'Santai Tapi Sampai'

26 October 2024

Kaya bukan sekadar banyak harta, kaya untuk kebaikan!

Mungkin ada yang salah faham bila bercakap soal kekayaan dalam Islam, seolah-olah kita tak digalakkan jadi kaya atau harta hanya akan buat kita lalai. Sebenarnya, jadi kaya itu sesuatu yang positif dan boleh mendekatkan diri kita kepada Allah, selagi kita ikut jalan yang betul dan gunakan harta kita untuk tujuan yang baik. 

Kekayaan dalam Islam tak lain tak bukan adalah alat untuk mencapai kebaikan, bukan untuk mengisi hawa nafsu atau memenuhi semua kehendak dunia semata-mata. Bila kita ada kekayaan, perkara pertama yang akan kita dapat lakukan ialah keluarkan lebih banyak zakat. Ini bukan hanya pasal tanggungjawab, tapi juga peluang untuk bantu mereka yang memerlukan. 

Dengan harta yang lebih banyak, lebih banyak zakat kita boleh bagi. Zakat ini bukan sahaja jadi sumber rezeki kepada golongan yang susah, tapi juga cara untuk kita bersihkan harta kita. Bila kita ikhlas keluarkan zakat, Allah akan tambah berkat pada harta yang kita ada. Lagi ikhlas kita bantu orang, lagi dekat kita dengan reda Allah.

Kaya bukan sekadar banyak harta, kaya untuk kebaikan!

Selain zakat, kita juga boleh bersedekah dengan lebih banyak. Bersedekah ni tak ada had tertentu, kita boleh bagi apa yang kita ada dan mampu. Rasulullah SAW sendiri contoh terbaik dalam bab ni, selalu tolong orang dan galakkan kita bersedekah. 

Dan tak semestinya sedekah tu kena dalam bentuk wang; boleh juga dalam bentuk makanan, pakaian atau barang keperluan lain. Amalan ni bukan sahaja bantu orang yang memerlukan, tapi juga beri ketenangan pada hati kita. Yang paling best, setiap kali kita bersedekah, ganjaran di sisi Allah makin bertambah.

Kekayaan juga bukan untuk kita bantu orang luar saja, tapi untuk pastikan kehidupan kita dan keluarga lebih selesa. Bila kita ada kewangan yang stabil, kita boleh bagi anak-anak pendidikan terbaik, sediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, dan juga bantu ahli keluarga yang mungkin perlukan sokongan kewangan. 

Malah, dari sinilah kita juga boleh buka peluang pekerjaan atau sokong komuniti dengan perniagaan yang kita usahakan. Jadi, nak jadi kaya bukan benda yang sia-sia atau dilarang dalam Islam. 

Sebenarnya, ia satu dorongan untuk kita jadi lebih baik dan memberi lebih banyak. Hanya dengan niat yang ikhlas dan cara yang betul, kekayaan kita boleh jadi sumber kebahagiaan pada orang lain, pada diri kita, dan mendekatkan kita kepada Allah. Kaya bukan sekadar duit, tapi alat untuk kita buat kebaikan.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment