31/10/2025

Tak semua benda perlu dicerita: Bila terlebih ‘oversharing’!

Zaman sekarang ni, hidup kita memang dah tak boleh lari dari media sosial. Bangun pagi buka WhatsApp, lepas tu scroll Instagram, TikTok, Facebook. Kadang sebelum mandi pun dah sempat buat story. Haha.

Kita kongsi macam-macam. Makanan, kerja, anak, pasangan, emosi… semuanya rasa macam perlu dipost. Kadang bukan sebab nak menunjuk pun, cuma nak rasa lega. Tapi dalam tak sedar, makin banyak yang kita “buka”, makin banyak juga mata yang menilai.

Baru-baru ni cikla nampak satu gambar kat Pinterest, gula-gula pelangi yang separuh dibuka, penuh lalat dan semut. Sebelahnya pula gula-gula yang sama tapi masih elok berbalut. Simple je gambar tu, tapi dia bagi tamparan lembut sebenarnya. Huhu.

Tak semua benda perlu dicerita: Bila terlebih ‘oversharing’!

Cikla terus terfikir, kenapa benda semanis gula-gula pun boleh nampak buruk bila dibuka? Sebab bila terlalu terdedah, benda yang asalnya manis pun hilang nilai.

Macam tu jugalah dengan kita. Jujur, dulu cikla pun jenis yang suka kongsi jugak. Tapi makin lama, cikla perasan bila terlalu terbuka orang bukan makin faham, tapi makin ramai yang “datang hinggap”. Ada yang simpati, ada yang menyindir, ada yang menilai.

Dan dari situ cikla belajar, diam tu pun satu bentuk kekuatan. Ada benda yang lebih indah bila kita simpan sendiri.

Bukan sebab nak berahsia, tapi sebab bukan semua orang perlu tahu apa yang kita lalui. Bila kita pandai jaga batas, kita jaga nilai diri kita sendiri. Sebab tu bila cikla tengok balik gambar gula-gula tu, cikla senyum sendiri.

Yang dibalut elok tu nampak cantik, terjaga, masih menarik. Yang terbuka? Hilang manis, hilang nilai.

Kadang apa yang kita simpan tu bukan beban, tapi pelindung. Kita bukan perlu tunjuk semuanya untuk jadi real. Kadang, jadi real tu bermaksud tahu bila nak senyap, bila nak cerita dan bila nak lepaskan perlahan-lahan.

Jadi lepas ni, sebelum korang nak kongsi apa-apa, tanya diri sendiri dulu, “Perlu ke semua orang tahu benda ni?”

Kalau jawapannya “tak perlu”, simpanlah. Sebab yang manis, bila dijaga, akan kekal manis. Boleh je nak share, tapi biarlah ada batasnya. 

30/10/2025

Hypothyroid bukan automatik kanser tiroid.

Mungkin ada orang bila dengar pasal "tiroid" je, terus bayangkan kanser. Tambah pulak bila doktor cakap hormon tiroid rendah (hypothyroid), ramai terus panik dan fikir ini tanda awal kanser. 

Hakikatnya, hypothyroid bukan kanser dan kedua-duanya adalah dua keadaan yang sangat berbeza.

Apa itu hypothyroid?

Benda ni dah banyak kali cikla share kan. Hypothyroid ni ialah keadaan kelenjar tiroid kurang aktif, menyebabkan badan tak cukup hasilkan hormon tiroid. Antara punca yang biasa:

- Autoimmune (contoh: Hashimoto).
- Kesan selepas bersalin (postpartum thyroiditis).
- Kekurangan iodine.
- Kesan sampingan ubat.
- Selepas rawatan tertentu.

Hypothyroid tak bermaksud ada kanser. Ia cuma gangguan hormon.

Apa itu kanser tiroid?

Kanser tiroid berlaku bila sel-sel tiroid berubah jadi abnormal dan membiak tanpa kawalan. Biasanya ada ketulan atau nodul pada leher dan akan disahkan melalui ultrasound dan FNAC (biopsi).

Kanser tiroid tak semestinya buat hormon tinggi atau rendah. Ramai pesakit kanser tiroid hormon mereka normal masa mula-mula dikesan.

Hypothyroid bukan automatik kanser tiroid.

Jadi, kenapa pesakit kanser tiroid boleh jadi Hypothyroid?

Ini yang ramai keliru.

Pesakit kanser tiroid biasanya jadi hypothyroid SELEPAS rawatan, contohnya:

-Pembedahan buang tiroid (thyroidectomy), hampir seluruh kelenjar dibuang.
-Radioactive Iodine (RAI), rawatan untuk matikan tisu tiroid.

Bila tiroid sudah dibuang atau dimatikan, badan tak boleh lagi hasilkan hormon sendiri, maka pesakit wajib ambil ubat hormon (thyroxine) setiap hari sepanjang hayat.

Kesimpulannya, hypothyroid bukan kanser dan tak semestinya berakhir sebagai kanser. Kanser tiroid pula boleh menyebabkan hypothyroid selepas rawatan, sebab tiroid telah dibuang atau dimatikan. 

Jangan panik hanya kerana hormon rendah. Apa yang penting buat follow up dan dapatkan rawatan yang betul.

28/10/2025

10,000 Langkah: Kenapa kaki kena rajin melangkah?

Siapa tak nak sihat dan cergas, kan? Selalu kita dengar pasal diet ketat, senaman berat atau pergi gym. Tapi, ada satu "senaman" paling senang, free dan boleh buat hari-hari, iaitu berjalan kaki!

Khususnya, kempen 10,000 langkah sehari yang popular tu. Nampak macam banyak, kan? Tapi sebenarnya, impaknya sangat besar pada kesihatan fizikal dan mental kita. Jom cikla nak share sikit kenapa 10,000 langkah ni power sangat!

Kenapa 10,000 langkah jadi goal?

Asalnya, nombor 10,000 langkah ni dipopularkan di Jepun pada tahun 1960an. Secara purata, 10,000 langkah bersamaan kira-kira 6.5 hingga 8 kilometer dan boleh membakar lebih kurang 300 hingga 400 kalori (bergantung pada berat badan dan kelajuan korang).

Ini jumlah yang cukup untuk memberikan kesan positif yang signifikan pada kesihatan tanpa perlu bersenam secara intensif. Ia adalah sasaran yang realistik untuk korang yang sibuk.

10,000 Langkah: Kenapa kaki kena rajin melangkah?

Manfaat 'power' bila kaki rajin melangkah.

Tak payah susah-susah nak workout berat, berjalan kaki 10,000 langkah sehari dah boleh bagi korang banyak kelebihan, antaranya:

1. Bantu kawal berat badan dan bakar lemak.
 - Bakar kalori: Setiap langkah adalah kalori yang dibakar. Dengan konsisten, ia bantu cipta defisit kalori (bakar lebih dari apa yang dimakan) dan confirm boleh turunkan berat badan atau maintain badan ideal.

 - Tingkatkam metabolisme: Bila badan aktif, metabolisme pun jadi laju. Maksudnya, badan korang lebih efisien membakar tenaga, walaupun ketika berehat!

2. Jantung sihat, hidup lebih panjang.
- Lancarkan peredaran darah: Berjalan adalah senaman kardio yang baik. Ia menguatkan jantung, menurunkan tekanan darah dan mengawal kadar kolesterol jahat (LDL).

 - Kurangkan risiko sakit kronik: Rutin berjalan boleh kurangkan risiko penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2.

3. Otot dan tulang jadi kuat.
- Sendi dan otot lebih kuat: Pergerakan berjalan bantu melincirkan sendi dan menguatkan otot di kaki, lutut dan pinggul. Ini sangat membantu mengurangkan risiko sakit sendi atau osteoporosis.

4. Mood baik, otak cerdas.
- Lawan stres: Jalan kaki melepaskan endorphin (hormon gembira) yang boleh kurangkan tekanan, kegelisahanbdan simptom depresi.

- Tingkatkan fokus: Bila peredaran darah ke otak lancar, korang akan rasa lebih fokus, fresh dan mungkin lebih kreatif!

5. Tidur lebih lena.
- Kualiti tidur meningkat: Berjalan pada waktu siang membantu mengawal kitaran tidur-jaga (ritma sirkadian). Badan yang letih secara sihat pada siang hari akan bantu korang tidur lebih lena pada waktu malam.

Macam mana nak capai 10,000 langkah?

"Ala, mana nak cari masa 10,000 langkah hari-hari?" Jangan risau, tak perlu terus berjalan 2 jam tanpa henti. Kuncinya ialah pecah-pecahkan dan jadikan ia sebahagian rutin harian. Contoh;

- Parkir jauh: Bila pergi supermarket atau pejabat, parkir kereta di petak paling jauh.

- Guna tangga: Lupakan lif! Guna tangga ke mana sahaja korang pergi.

- Jalan sambil telefon: Buat panggilan telefon sambil berjalan ulang-alik dalam rumah atau pejabat.

 - Jalan-jalan selepas makan: Ambil masa 10-15 minit berjalan santai selepas makan tengah hari atau malam.

- Guna fitness tracker: Guna smartwatch untuk kira langkah korang. Bila nampak angka, lebih semangat nak capai goal!

Kesimpulannya,  10,000 langkah mungkin nampak macam satu cabaran, tapi ia adalah pelaburan paling mudah dan berbaloi untuk kesihatan jangka panjang korang. Tak perlu tunggu esok, mulakan langkah pertama korang hari ini! Let's go!

27/10/2025

7 aktiviti harian bakar kalori tanpa sedar.

Ramai ingat nak kurus kena pergi gym atau jogging sejam sehari. Tak semestinya gais.  Padahal, ada banyak aktiviti harian biasa yang sebenarnya boleh bantu bakar kalori tanpa korang sedar. Yang penting, konsisten dan buat dengan betul. 

7 aktiviti harian bakar kalori tanpa sedar.

Jom tengok 7 aktiviti simple yang boleh bantu turunkan berat kalau korang amalkan setiap hari.

1. Naik tangga. - Lupakan lif. Naik 2–3 tingkat pun dah boleh bakar dalam 20–50 kalori. Kalau ulang 5–6 kali sehari, confirm rasa cardio free-free. Hihi.

2. Jalan kaki masa telefon. - Daripada duduk bila call, apa kata cuba berjalan keliling rumah atau office. 10 minit call bersamaan lebih kurang 40 kalori terbakar. Simple tapi power.

3. Kemas rumah. - Menyapu, mop lantai, lap tingkap. Semua ni sebenarnya kategori senaman low impact. 30 minit kemas rumah boleh bakar 100–150 kalori. Wow!

4. Berdiri lebih lama. - Duduk lama buat metabolisma slow. Tukar habit. Berdiri masa reply WhatsApp atau semasa tengok live IG. Standing bersamaan lebih kalori terbakar dari duduk.

5. Masak sendiri. - Aktiviti di dapur melibatkan banyak pergerakan. Potong bahan, angkat barang, jalan ulang meja ke sinki. Selain lebih sihat dari makan luar, kalori pun terbakar sekali.

6. Main dengan anak/pets. - Kejar anak, dukung, main baling bola. Ini semua kira light cardio. Lagi enjoy, lagi lama korang bergerak tanpa sedar.

7. Jalan cari tempat parking jauh sikit. - Biasakan parking jauh sikit dari pintu mall atau office. 5–10 minit berjalan dua kali sehari pun dah cukup jadikan habit kurus perlahan-lahan.

So, tak perlu tunggu ada mood nak bersenam. Benda simple harian pun boleh jadi ‘fat burner’ kalau korang buat konsisten. Start kecil, tapi setiap hari. Bukan buat sehari, tapi konsisten setiap hari.

26/10/2025

Penyakit tiroid berulang : Bagaimana pulak kalau mereka yang hypothyroid sebab pembedahan?

Kalau seseorang itu hypothyroid disebabkan pembedahan tiroid (contohnya total atau partial thyroidectomy), situasinya sedikit berbeza berbanding hypo akibat masalah autoimun seperti Hashimoto.

Dalam kes lepas pembedahan, kelenjar tiroid mereka tak lagi menghasilkan hormon secukupnya secara semula jadi, sebab kelenjar telah dibuang.

Jadi, mereka 100% bergantung kepada ubat Levothyroxine (Euthyrox/Tirosint/Thyroxine) seumur hidup.

Takde lagi isu “penyakit datang balik” sebab tiroid yang bermasalah dah takde. Yang boleh terganggu hanyalah dos ubat, bukan penyakit “berulang”.

Penyakit tiroid berulang : Bagaimana pulak kalau mereka yang hypothyroid sebab pembedahan?

Tapi, bolehkah bacaan TSH jadi tak stabil walaupun takde kelenjar tiroid? Jawapannya, BOLEH. Dan, keadaan ni sangat biasa. Antara sebabnya:

1. Ubat tiroid tak diambil secara konsisten (contoh: makan selang seli, lupa, ikut suka hati hari ni makan / esok tak).

2. Ambil ubat dengan cara yang salah (makan ubat pastu terus minum kopi / susu / teh).

3. Berat badan berubah banyak (naik atau turun), jadinya dos perlu di adjust.

4. Mengandung, keperluan hormon meningkat.

5. Stress melampau / kurang tidur.

6. Makan supplement iron, kalsium, soy terlalu dekat dengan ubat, akibatnya ubat tak serap dengan baik.

Namun begitu, pemakanan masih relevan, tapi dengan cara berbeza;

1. Fokus utama adalah pastikan serapan ubat optimum.

2. Elak makanan/supplement yang mengganggu serapan ubat dalam 4 jam pertama.

3. Bukan lagi isu “pemakanan mengganggu tiroid” tapi pemakanan mengganggu keberkesanan ubat.

Moga info ni memberi manfaat.

24/10/2025

30 petua kesihatan tradisional melayu dengan bidara.

Bidara ni bukan sekadar pokok biasa, tapi anugerah semula jadi yang sangat power! Dari zaman dulu sampai sekarang, orang guna bidara ni untuk pelbagai manfaat termasuklah untuk rawatan fizikal dan rohani. Jom tengok apa manfaat hebat daun bidara ni:

30 petua kesihatan tradisional melayu dengan bidara.

1. Bidara penawar sihir dan gangguan. 

Rebus 7 helai daun bidara, kemudian jadikan air rebusan ni sebagai mandian. Siramlah ke seluruh badan dari kepala hingga kaki. Niat dan mohon perlindungan dari Allah. InshaAllah membantu redakan gangguan rohani.

2. Mandian bidara hilangkan aura negatif. 

Letak daun bidara dalam air suam, tambah sedikit garam bukit dan limau purut. Rendam dan mandi untuk tenangkan emosi dan cuci aura.

3. Daun bidara sebagai sabun semulajadi. 

Tumbuk daun bidara, jadikan pes. Boleh guna untuk gosok kulit, sangat sesuai untuk kulit sensitif atau ekzema.


4. Rawat rambut gugur dengan bidara. 

Air rebusan bidara boleh dijadikan bilasan rambut. Kuatkan akar rambut dan segarkan kulit kepala.

5. Minum air rebusan bidara untuk detoks. 

Rebus beberapa helai daun bidara dan minum airnya seminggu sekali. Bantu cuci dalaman dan kuatkan imun badan.

6. Sapu bidara untuk luka kecil dan bisul. 

Tumbuk daun bidara dan tampal pada luka ringan atau bisul. Bidara bersifat anti-bakteria.

7. Bidara sebagai mandian wanita lepas bersalin. 

Campurkan bidara, serai wangi, daun pandan dan limau nipis dalam air panas. Baik untuk pulihkan tenaga dalaman wanita.

8. Bidara bantu atasi susah tidur. 

Rendam daun bidara dalam air panas, jadikan teh. Minum sebelum tidur, ia dikatakan dapat membantu tenangkan saraf.

9. Atasi gatal-gatal badan dengan bidara. 

Tumbuk daun bidara, campur dengan sedikit air, sapu pada tempat gatal. Rasa sejuk dan lega.

10. Mandi bidara ketika haid pertama. 

Petua orang tua untuk stabilkan hormon dan tenangkan emosi anak perempuan.

11. Hilangkan stress dan resah. 

Hirup bau daun bidara yang diramas dalam air suam. Haruman semulajadi bantu redakan tekanan.

12. Bidara untuk peluh berlebihan. 

Campur bidara dengan daun sireh, rebus dan lapkan pada ketiak. Kurangkan bau badan juga.

13. Air rebusan bidara lawan demam panas. 

Sejukkan air rebusan bidara dan lapkan badan anak yang demam. Turunkan suhu perlahan-lahan.

14. Bidara untuk ruam bayi. - Tumbuk halus, tapis, ambil air dan sapu pada ruam atau gatal bayi. Selamat dan semulajadi.

15. Bidara sebagai skrub badan. 

Campur bidara kisar dengan beras, gosok lembut di badan. Buang daki dan lembutkan kulit.

16. Campuran bidara dan kunyit untuk jerawat. 

Tumbuk kedua bahan, jadikan masker seminggu sekali. Kecutkan jerawat dan cerahkan parut.

17. Bidara dan limau kasturi rawat kelemumur. 

Lumur di kepala, biar seketika dan bilas. Kurangkan kegatalan kulit kepala.

18. Bidara hilangkan bisa gigitan serangga. 

Sapukan pes bidara pada bekas gigitan. Kurangkan bengkak dan rasa gatal.

19. Rawatan anak lambat bercakap (petua orang lama). 

Mandikan anak dengan air bidara selama 7 hari berturut, sambil baca doa. Dilakukan dengan niat dan tawakkal.

20. Bidara untuk kecutkan rahim. 

Minum air rebusan bidara bersama halba dan manjakani (dalam pantang). Kuatkan rahim dan keluarkan darah kotor.

21. Penawar histeria dan lemah semangat. 

Mandian bidara bersama surah Ruqyah. Petua tok bidan kampung.

22. Air bidara untuk jerawat badan. 

Mandi air bidara 3 kali seminggu. Ia dikatakan boleh membersihkan pori dan buang toksin dari kulit.

23. Bidara campur garam sebagai scrub kaki. 

Kaki kasar, tumit merekah? Guna daun bidara tumbuk dan garam kasar, gosok lembut kaki seminggu sekali.

24. Bidara bantu rawat insomnia. 

Letak daun bidara kering dalam bantal atau sarung, ia menjadi terapi semulajadi untuk tenangkan minda.

25. Elak bayi terkena 'sawan tangis'. 

Mandikan bayi dengan air daun bidara yang direndam semalaman.

26. Bidara dan akar kayu sebagai ubat buasir. 

Rebus bersama akar senduduk dan minum. Tapi perlu rujuk juga pada pakar untuk kes serius.

27. Sapu bidara untuk kaki bengkak. 

Daun bidara segar ditumbuk lumat, tampal pada tempat bengkak atau lenguh-lenguh badan.

28. Campur bidara dengan halia untuk lawas. 

Rebus dan minum waktu pagi, ia dikatakan dapat bantu pencernaan dan lawas buang air besar.

29. Rendaman kaki daun bidara. 

Baik untuk kaki letih, lenguh atau bengkak. Air suam bersama daun bidara, hasilnya terapi semulajadi.

30. Guna sabun/herba berasaskan bidara. 

Kalau susah nak cari daun segar, guna produk bidara sedia ada (sabun, scrub, minyak urut) tetap dapat manfaatnya. 

Petua ni hanya asbab saja, yang menyembuhkan hanya Allah. Namun tak salah untuk mencuba kan. Mana tau serasi, boleh dapat manfaatnya. Selamat mencuba. 

23/10/2025

Bila usia semakin meningkat…

Semakin bertambah usia, makin banyak perkara yang buat hati kita rasa risau. Dulu masa muda mungkin kita fikir dunia ni panjang lagi, masa masih banyak, peluang untuk berubah masih luas. Tapi bila angka umur makin bertambah, hati tiba-tiba mula tanya diri sendiri, “Ibadah aku macam mana? Allah terima tak?”

Sebab realitinya, kita tahu ibadah kita masih belum sempurna. Solat ada yang hujung waktu, ada hari hati bersemangat, ada hari rasa berat. Kadang-kadang khusyuk cuma sekejap. Baca Al-Quran pun ikut mood. Sedekah, zikir, doa semuanya ada naik turun.

Dan di sinilah rasa "risau" itu muncul. Bukan sebab kita tak nak jadi baik, tapi sebab kita takut tak sempat. Takut usaha kita belum cukup. Takut amalan yang kita rasa banyak tu sebenarnya tak bernilai pun di sisi Allah kalau hati tak betul.

Rasa Risau Itu Tanda Allah Sayang!

Sebenarnya, bila hati dah mula fikir dan risau tentang ibadah, itu tanda Allah masih peluk kita dengan hidayah. Kalau hati kita langsung tak kisah, hurmmm itu yang lebih menakutkan sebenarnya.

Rasa takut, rasa belum cukup, rasa nak jadi lebih baik semua itu adalah rahmat dari Allah.

Bila usia semakin meningkat…

Teruskan Usaha, Jangan Putus Asa.

Allah bukan tengok siapa paling sempurna. Tapi Allah tengok siapa yang terus berusaha.

Ibadah sikit tapi konsisten, Allah sayang.
Doa walau pendek, tapi dari hati, Allah dengar.
Solat sambil belajar untuk lebih khusyuk, Allah hargai.

Yang penting, jangan berhenti. Selagi kita hidup, pintu taubat dan rahmat Allah sentiasa terbuka.

Semoga setiap langkah kecil kita ke arah kebaikan, Allah pandang dengan kasih sayang.

22/10/2025

Belajar hormat orang tanpa tahu siapa mereka!

Pernah tak korang terfikir, berapa ramai sebenarnya yang korang layan baik hanya sebab dorang tu berpangkat tinggi atau popular? Dan berapa ramai pula yang korang tak endahkan sebab tak kenal, tak nampak “hebat" atau rasa macam tak ada kepentingan? 

Hakikatnya, zaman sekarang ni ramai orang terlalu cepat menilai berdasarkan “luaran”, tengok pada jawatan, bilangan follower, gaya hidup atau status. Padahal, hormat yang paling ikhlas ialah bila kita layan seseorang dengan baik tanpa perlu tahu siapa dia pun.

Hormat bukan bermaksud kita takut, tunduk atau mengampu. Hormat bermaksud kita mengiktiraf nilai insan, walaupun kita tak tahu latar belakang mereka. Kadang-kadang, orang paling sederhana penampilannya itulah yang paling banyak berjasa atau paling besar ilmunya.

Bayangkan…

Kita senyum pada pakcik pengawal keselamatan tiap pagi. Tanpa tahu dia sebenarnya bekas pegawai tentera.

Kita bantu makcik sapu sampah tanpa tahu dia mungkin menyara cucu sorang diri.

Kita cakap elok dengan rider penghantar makanan walaupun hujan lebat. Itu pun dah cukup untuk buat hari seseorang jadi lebih baik.

Belajar hormat orang tanpa tahu siapa mereka!

Hormat itu murah.
Kesannya mahal.

Yang lebih menarik, bila kita biasa hormat semua orang tanpa memilih, hati pun jadi lebih tenang. Ego makin rendah. Hidup rasa lebih ringan. Kadang-kadang rezeki pun datang daripada orang yang kita tak sangka langsung.

Kita mungkin tak ingat semua benda hebat yang orang pernah buat untuk kita. Tapi orang sentiasa ingat macam mana cara kita layan mereka.

Mulakan dengan benda simple:  Senyum. Ucap terima kasih. Jangan pandang rendah. Tak perlukan pangkat untuk jadi manusia yang ada adab.

Akhirnya, hidup ini bukan tentang siapa yang paling tinggi kedudukannya, tapi siapa yang paling tinggi adabnya. Pangkat boleh berubah, harta boleh hilang, populariti boleh jatuh tapi cara kita menghormati orang akan sentiasa diingati. 

Bila kita belajar hormat tanpa syarat, kita bukan saja memuliakan orang lain, tapi sebenarnya sedang mendidik hati sendiri untuk jadi manusia yang lebih lembut, matang dan dihormati kembali.

Mulakan hari ini. Bukan sebab orang tu siapa tapi sebab kita siapa.

Perangi Influenza.

Pantang dah tau, tapi ramai yang buat-buat lupa. Bila infulenza berleluasa, hal yang sama repeat, macam demam, batuk, sampai satu rumah pun boleh terpalit sakit. Benda ni jadi bukan sebab kita lambat dapatkan rawatan, tapi kita confident sangat virus ni kecik cenot. Bak kata dak keteng yang mulut becok tu.

Dulu time Kobit bermaharajalela, ingat tak kita always dengan mask, dalam beg pun penuh mask bila keluar rumah siap pakai dengan hand sanitizer macam-macam brand lagi. Pastu sentiasa jaga jarak dengan orang sekeliling. Sejarah tak mungkin berulang, tapi formula itulah yang masih berkesan.

Perangi Influenza.

Sebabnya virus ni bukannya pilih pilih nama penyakit. Influenza, RSV dan Covid semuanya menebar dengan cara yang sama iaitu udara, sentuhan dan jarak yang terlalu dekat. Dan semuanya ni boleh di control dengan tabiat yang sama jugak.

So, kalau dah tahu pantang, teruskanlah dengan protection. Pakai mask bila batuk, cucilah tangan tu lepas sentuh permukaan awam dan jangan kongsi ruang rapat bila badan tu tak sihat.

Kita dah pernah berjaya kawal satu pandemik besar dulu. Takkan nak kalah dengan influenza yang cara cegahnya kita dah master?

Jom lakukan sekarang.

Kredit : Public Health Malaysia.

21/10/2025

Beban tersembunyi seorang ibu yang ramai tak nampak.

Kadang-kadang kita tengok seorang ibu tu, dia senyum, nampak kuat, bahkan borak sembang macam takde apa. Tapi hakikatnya, dalam diam mereka bawa “beg” yang sangat berat. Bukan beg yang kita nampak dengan mata, tapi beban emosi dan mental yang hanya mereka sendiri rasa.

Setiap hari, seorang ibu sentiasa fikir seribu satu perkara. Dari bangun pagi sampai mata pejam semula, minda tak pernah berhenti. Jadual anak, makan apa hari ni, bil. apa dah masuk, sekolah anak minta apa minggu ni, rumah dah kemas ke belum dan macam-macam lagi. Walaupun orang sekeliling nampak semuanya “okay je”, hakikatnya kepala sentiasa penuh dengan mental load yang tak habis-habis.

Dan bila tak sempat buat semua, mula datang rasa bersalah. Rasa macam tak cukup baik. Rasa macam tak jadi ibu yang cukup sempurna. Padahal sebenarnya dah buat lebih daripada cukup, cuma tak pernah puji diri sendiri.

To-do list pula tak pernah habis. Settle satu, muncul dua. Ibu selalu rasa macam sentiasa mengejar masa. Dalam masa yang sama, mereka juga rasa tekanan bila tengok orang lain nampak lebih teratur, lebih rajin, lebih produktif. Perbandingan diam-diam yang buat hati penat tau.

Beban tersembunyi seorang ibu yang ramai tak nampak.
Beban tersembunyi seorang ibu yang ramai tak nampak. Gambar sekadar hiasan 

Paling sedih, masa untuk diri sendiri hampir tak wujud. Kalau ada pun cuma 5 minit sebelum tertidur atau masa mandi pun otak masih tengah fikir nak defrost ayam atau belum.

Seorang ibu bukan perlukan hadiah mahal atau kata-kata besar untuk rasa dihargai. Cukup sekadar ada yang bertanya “penat tak hari ni?” dan benar-benar tunggu jawapan. Cukup bila ada yang sudi bantu tanpa perlu disuruh. Cukup bila ada yang faham bahawa di sebalik “saya okey”, sebenarnya ada hati yang sedang kuat bertahan.

Jadi, kalau korang seorang ibu peluklah diri korang sekejap. Korang dah buat yang terbaik, walau kadang rasa tak cukup. Dan untuk semua yang membaca, jangan tunggu hari ibu untuk hargai seorang wanita hebat dalam hidup korang. Kasih sayang, penghormatan dan penghargaannadalah oksigen yang mereka perlukan setiap hari.

Kerana di sebalik senyum yang nampak tenang itu, ada seorang wanita yang sedang berjuang sehabis daya demi keluarga yang dia cintai.

20/10/2025

Cara untuk jadi lebih matang?

Bila bercakap pasal jadi lebih matang, ramai orang ingat ia semua tentang umur. Hakikatnya bukan. Matang ni datang dari cara kita berfikir, cara kita respon pada situasi dan macam mana kita urus emosi sendiri. 

Kadang-kadang, kita tak perasan yang sebenarnya kita dah penat asyik berharap pada orang lain untuk buat kita rasa okay. Sebab tu, proses jadi lebih matang ni sebenarnya bermula bila kita mula belajar untuk terima kenyataan.

Bukan semua benda dalam hidup akan jadi seperti yang kita rancang. Kadang kita usaha habis-habisan, tapi tetap tak dapat apa yang kita nak. Bila kita mampu terima realiti tanpa terus menyalahkan diri sendiri atau orang lain, di situ lah kita mula jadi kuat. Bukan pasrah tapi reda dan move on dengan tenang.

Dalam masa yang sama, kematangan juga datang bila kita pandai kawal emosi. Bukan bermaksud kena jadi robot tak ada perasaan, tapi lebih kepada tahu bila patut respon, bila lebih baik diam. Sebab tak semua benda perlu diberi reaksi. 

Kadang-kadang, kita marah sangat pada sesuatu yang sebenarnya tak penting pun selepas dua minggu kemudian. Bila dah mula boleh fikir panjang sebelum buka mulut, itu level lain.

Cara untuk jadi lebih matang?

Dan jangan lupa, jaga mental health sendiri. Ramai tak sedar, bila mental kita terjaga, keputusan yang kita buat pun lebih stabil. Kita lebih jelas apa yang kita nak, bukan ikut emosi sesaat. 

Self-care bukan sekadar healing di spa atau short trip, tapi juga tahu bila nak jauhkan diri dari drama, toxic energy dan benda yang menyedut tenaga emosi.

Jangan cepat judge orang. Kita tak pernah tahu cerita penuh seseorang. Kadang, kita cuma nampak 10% dari hidup dia. Salah faham paling banyak terjadi bila kita terlalu cepat membuat kesimpulan. Ambil masa untuk faham dulu bukan untuk menang hujah, tapi untuk elak menyesal di kemudian hari.

Ada masa, berdiam itu bukan kalah. Diam bukan pasrah. Diam adalah pilihan untuk tak buang tenaga pada benda remeh. Bila dah matang, kita tak lagi sibuk nak buktikan diri betul sebab kita tahu tak semua pertarungan perlu dimenangi.

Dan akhir sekali, berhenti jadikan orang lain sebagai sumber utama kebahagiaan. Bila kita terlalu bergantung pada manusia untuk rasa cukup, kita akan selalu kecewa. Bahagia yang paling stabil ialah bila kita boleh buat diri kita rasa tenang walaupun seorang.

Matang bukan tentang jadi serius setiap masa tapi tentang belajar kenal diri, urus hati dan cari damai dengan cara yang lebih bijak. Slowly, kita akan rasa hidup lebih ringan dan tak mudah goyah walaupun diuji.

Adab itu tak perlukan modal!

Pernah tak korang terfikir, kenapa ada orang yang biasa-biasa je, tapi semua orang suka berkawan dengan dia? Bukan sebab harta, bukan sebab rupa, bukan sebab dia banyak duit. Tapi semata-mata kerana sopan santun dan adabnya. Adab tak perlukan duit, tapi nilainya kadang-kadang lebih tinggi daripada segunung kekayaan.

Zaman sekarang ni, kadang-kadang kita tak sedar betapa berharganya satu ucapan “terima kasih”, satu senyuman ikhlas atau sekadar balasan “no worries, take your time”. Benda kecil, tapi mampu ubah mood orang lain sepanjang hari. Yang buatkan kita dihormati bukan selalu tentang apa yang kita ada, tapi bagaimana kita buat orang lain rasa.

Adab bukan hanya sopan santun depan orang yang lebih tua. Adab juga bila kita reply mesej dengan baik, bila kita tak tinggikan suara pada staf restoran, contohnya dan bila kita bagi ruang untuk orang lain bercakap. Dan yang paling penting, adab tetap kekal walaupun takde siapa yang sedang tengok. Di situ lah beza antara sekadar “nampak baik” dan “betul-betul baik”.

Adab itu tak perlukan modal!

Hakikatnya, dunia sentiasa menguji kita. Ada masa penat, ada masa stress, ada masa mood tak bagus. Tapi bila kita tetap memilih untuk berlembut, tetap memilih untuk menjaga tutur kata, itu bukan lemah ye korang. Itu kuasa sebab hanya orang yang kuat mampu kawal diri dalam keadaan sukar.

Dan yang menariknya, adab yang kita tunjuk hari ini mungkin jadi doa dalam diam daripada seseorang yang kita tak pernah kenal. Mungkin jadi sebab urusan kita dipermudahkan suatu hari nanti. Sebab itu orang dulu selalu pesan, “buat baik tak perlu tunggu balasan”.

Jadi, kalau hari ini kita rasa tak mampu beri apa-apa kepada orang lain, ingatlah satu perkara,   kita masih boleh beri kebaikan melalui adab. Sebab manners really cost nothing, tapi impaknya boleh jadi segalanya.

17/10/2025

Beramallah dengan Surah Al Insyirah.

Beramallah dengan Surah Al Insyirah.
Beramallah dengan Surah Al Insyirah.

Ajarilah anak-anak dengan membaca 7x surah Al Insyirah selepas waktu solat.

Bukan sahaja melembutkan hati bahkan memudahkan urusan kita. Bila lembut hati, mudah untuk kita mendengar nasihat dan menerima petunjuk dari Allah.

Tiada siapa yang mampu mudahkan urusan dunia dan urusan akhirat kita melainkan Allah.

Kredit : ceramahmotivasi

16/10/2025

The most difficult cleaning...

Sebenarnya, tempat yang paling susah nak 'dibersihkan' bukanlah rumah kita, tapi dalam fikiran kita sendiri.

Setiap hari, kita kumpul macam-macam benda dalam kepala. Kenangan lama, rasa bersalah, kekecewaan, amarah dan kadang-kadang juga suara-suara negatif yang asyik ulang benda sama: “Aku tak cukup bagus,” atau “Orang lain lagi hebat.” Tanpa sedar, semua ni jadi macam sawang yang makin tebal sampai kita rasa berat, kusut dan penat.

Masalahnya, sawang dalam fikiran tak nampak dengan mata. Kita boleh sapu rumah sampai berkilat, tapi fikiran yang penuh serabut tetap buat kita rasa tak tenang. “Cleaning” ni bukan kerja sehari dua. Kadang-kadang ambil masa berbulan, malah bertahun. Tapi yang penting, kita kena mula.

The most difficult cleaning...

Mula dengan maafkan diri sendiri. Lepaskan apa yang dah lepas, walaupun susah. Jangan simpan semua benda lama yang buat hati kita gelap. Gantikan dengan fikiran yang lebih ringan. Fikir apa yang kita boleh ubah sekarang, bukan apa yang kita dah tak mampu ubah dulu.

Dan yang paling penting, jangan rasa bersalah kalau ambil masa untuk ‘bersih-bersih’ fikiran. Healing bukan perlumbaan. Kadang-kadang kita cuma perlu duduk diam, tarik nafas panjang dan perlahan-lahan buang habuk yang dah lama terkumpul dalam kepala.

Lagi satu, belajar lepaskan apa yang dah tak berguna. Benda yang dah lepas tu, biarlah dia pergi. Kita tak perlu simpan semua hal lama dalam kotak fikiran.

Bila fikiran dah bersih, hati pun rasa ringan. Dan masa tu, kita akan sedar… pembersihan paling susah sebenarnya bukan sapu rumah, tapi sapu sawang dalam kepala sendiri.

15/10/2025

Di sebalik roti dan darah...

Di sebalik roti dan darah...
Di sebalik roti dan darah...

Dalam sekeping gambar yang memilukan, terlihat seorang wanita duduk di sisi anak kecil yang terbujur kaku. Di tangannya, seketul roti berlumuran darah. 

Mungkin satu-satunya makanan yang tinggal, mungkin juga simbol pengorbanan yang tak terucap. 

Air matanya kering, wajahnya letih, tapi pandangan matanya masih sarat dengan kasih sayang dan kesedihan yang tak tertanggung.

Gambar ini bukan sekadar seni. Ia adalah realiti. Realiti rakyat P yang setiap hari berjuang untuk hidup di tengah runtuhan bangunan, dentuman bom dan jeritan anak-anak kecil yang kehilangan segalanya. Keluarga, rumah, bahkan masa depan.

Roti dalam genggaman itu melambangkan kelaparan yang tiada penghujung, manakala darah yang menitis darinya adalah tanda kekejaman yang terus berlaku tanpa belas kasihan. 

Dunia mungkin hanya melihat sekeping gambar, tetapi bagi mereka di bumi P, inilah kehidupan seharian. Hidup dalam ketakutan, kehilangan dan derita yang tiada noktah.

Wanita itu, ibu yang baru kehilangan anak. Anak itu, salah seorang daripada ribuan syuhada kecil yang gugur tanpa sempat mengenal erti dunia. 

Kini, persoalannya berapa lama lagi dunia mahu memejam mata? Berapa banyak lagi nyawa yang perlu diragut sebelum keadilan ditegakkan?

Kita mungkin jauh dari tanah P, tapi kita tak boleh jauh dari rasa kemanusiaan. Suara kecil kita mungkin tak sekuat senjata, tapi ia tetap boleh menjadi suara yang menuntut keadilan dan kemanusiaan.

Jangan biarkan penderitaan ini berlalu tanpa tindakan. 

Sebarkan kesedaran. 

Doakan mereka. 

Hulurkan bantuan walau sekecil mana pun. Kerana bagi mereka di sana, setiap doa, setiap sumbangan dan setiap suara adalah tanda bahawa mereka tak dilupakan.

#PrayForPalestine 
#SavePalestine 
#StandWithHumanity

Apa yang penting... confident!

Kadang-kadang, kita terlalu fokus nak nampak perfect dalam semua benda termasuk cara kita belajar atau buat sesuatu. Tapi kalau tengok gambar  kat bawah tu, kan comel? 

Apa yang penting... confident!
Apa yang penting... confident! 

Seorang budak kecil tengah khusyuk baca buku, walaupun terbalik! Haha. Sebenarnya, itulah simbol semangat sebenar untuk belajar. Rasa ingin tahu dan keyakinan diri. Dia mungkin belum tahu buku tu terbalik, tapi semangat dia nak “baca” tu luar biasa. Tak kisah apa orang nampak, yang penting dia cuba.

Dalam hidup pun sama. Kadang kita rasa orang lain semua “betul”, kita je yang “terbalik”. Tapi siapa tahu, dari percubaan terbalik tu lah datang idea baru, cara baru atau rezeki yang kita tak disangka.

Jadi, lepas ni kalau rasa tersilap langkah atau buat benda tak macam orang lain. Tarik nafas, senyum dan teruskan. Yang penting, yakin dan terus belajar.

Sebab kadang, jalan terbalik pun boleh bawa kita ke arah yang betul. Kan?

14/10/2025

Anak kecil di tengah runtuhan: Kisah kekuatan dan harapan.

Anak kecil di tengah runtuhan: Kisah kekuatan dan harapan.
Anak kecil di tengah runtuhan: Kisah kekuatan dan harapan.

Kadang-kadang satu gambar dah cukup untuk buat kita terdiam.

Dalam gambar ni, kita nampak seorang budak lelaki  sedang mendukung adiknya di tengah-tengah runtuhan bangunan. Senyumannya tenang, tapi penuh makna. Dalam keadaan yang sepatutnya buat dia takut, dia tetap tabah sebab dalam dunia yang hancur, dia masih pilih untuk kuat.

Beginilah realiti yang sedang berlaku di P sekarang.

Setiap hari, ada anak kecil yang kehilangan keluarga, tempat tinggal dan masa depan mereka. Tapi yang luar biasanya, mereka masih mampu tersenyum, masih bantu satu sama lain walaupun mereka sendiri lapar dan letih.

Bayangkan, kita di sini hidup dalam aman, tapi di sana, setiap hari adalah perjuangan untuk hidup.

Pinggan kosong dan sebiji buah delima dalam gambar tu seolah-olah lambang betapa sedikitnya yang tinggal, tapi mereka tetap bertahan. 

Mereka kongsi apa saja yang ada. Cinta dan kasih sayang tetap jadi kekuatan utama, walaupun segalanya seakan musnah.

Kita mungkin tak mampu berada di sana, tapi kita boleh buat sesuatu dari jauh.

Kita boleh sebarkan kesedaran. Kita boleh derma, walau sedikit. Kita boleh doa sebab doa orang yang ikhlas itu sangat kuat.

Setiap perkongsian, setiap doa, setiap usaha kecil boleh jadi harapan buat mereka yang sedang berjuang.

Jangan biarkan dunia lupa pada P.

Di sebalik setiap batu runtuh, ada cerita manusia.

Ada anak kecil yang masih percaya pada esok, walaupun hari ini penuh luka.

#PrayForPalestine #KemanusiaanTanpaSempadan

Kesan rantai emosi. Bila jeritan kita terpantul balik!

Kesan rantai emosi. Bila jeritan kita terpantul balik!
Kesan rantai emosi. Bila jeritan kita terpantul balik!

Gambar ni nampak simple, tapi mesej dia… dalam.

Kalau tengok betul-betul, ia tunjuk macam mana satu emosi boleh berpusing balik. Dari seorang ibu, ke anak dan akhirnya kembali semula kepada ibu bila dia dah tua.

Mula-mula, si ibu marah anaknya yang masih kecil. Budak tu nampak takut, keliru, tak tahu apa salah dia. Tapi dalam babak seterusnya, anak tu dah besar dan sekarang dia dah pandai melawan balik bila ibunya marah pada dia. Akhirnya, bila dia dah dewasa dan ibunya pula yang menua, giliran dia pula menjerit pada ibunya. Rantai ni berulang.

Inilah realiti yang ramai tak sedar. Anak belajar cara mengurus emosi melalui apa yang dia lihat setiap hari. Kalau dia selalu dengar jeritan, dia akan fikir marah tu cara biasa untuk selesaikan masalah. Kalau dia selalu rasa takut bila buat silap, dia akan belajar sembunyikan perasaan daripada berdepan dengan masalah sebenar.

Kadang-kadang, bila kita tengok anak mudah melawan atau cepat marah, kita lupa nak tanya dari mana dia belajar semua tu? Mungkin dari kita sendiri.

Bukan sebab kita jahat, tapi sebab kita pun manusia. Kita penat, kita stres dan mungkin kita  pun pernah dibesarkan dengan cara yang sama.

Tapi bila kita sedar, itu tanda baik. Sebab dari kesedaran tu la perubahan boleh bermula. Kita boleh pilih untuk berhenti menjerit dan mula bercakap dengan lebih lembut. Kita boleh pilih untuk faham, bukan terus menghukum.

Anak-anak bukan salinan kesilapan kita, tapi mereka boleh jadi versi lebih baik kalau kita tunjukkan jalan yang berbeza. Dan, semua tu bermula dari satu benda kecil, sabar.

Kalau kita ubah cara kita bercakap hari ni, mungkin esok anak kita akan belajar cara bercinta dan berlembut dengan orang lain.

Kerana apa yang dia lihat hari ni, ialah apa yang dia akan jadi esok. 

13/10/2025

Jangan uji sabar orang baik, sekali dia marah...

Pernah tak jumpa orang yang jenis sabar, tenang, tak suka gaduh tapi bila dia marah, terus 'senyap' satu dunia? 

Sebenarnya, orang yang berhati baik ni bukan tak ada rasa marah. Cuma dia pandai kawal. Dia simpan, dia diam, dia maafkan. Sebab dia tak suka suasana tegang, tak suka buat orang terasa. Tapi, lama-lama bila asyik dipendam, hati pun boleh jadi penat.

Bila sampai satu tahap, orang baik ni akan mula menjauh. Dia tak marah-marah, tapi dia mula senyap. Dia tarik diri, sebab dia dah penat bagi peluang. Dan bila dia dah sampai tahap tu, susah nak dapat balik kepercayaan atau kasih sayang dia macam dulu.

Jangan uji sabar orang baik, sekali dia marah...

Sebab tu orang selalu kata, jangan uji orang baik. Bukan sebab dia lemah, tapi sebab dia terlalu kuat menahan. Sampai akhirnya dia terpaksa lepaskan semuanya sekaligus.

Kalau ada orang dalam hidup kita yang selalu mengalah, selalu bagi muka hargailah dia. Jangan sampai satu hari nanti, dia pilih untuk diam terus sebab masa tu, semua dah terlambat.

Jangan ambil ringan hati yang lembut. Bila dia marah, itu bukan tanda dia berubah  tapi tanda dia dah cukup terluka. Hargai orang yang sabar sebelum sabarnya hilang.

12/10/2025

Kisah di sebalik roti dan darah.

Kisah di sebalik roti dan darah.

Dalam sekeping gambar yang memilukan, terlihat seorang wanita duduk di sisi anak kecil yang terbujur kaku. 

Di tangannya, seketul roti berlumuran darah. Mungkin itulah satu-satunya makanan yang tinggal, mungkin juga simbol pengorbanan yang tak terucap. 

Air matanya kering, wajahnya letih, tapi pandangan matanya masih sarat dengan kasih sayang dan kesedihan yang tak tertanggung.

Gambar ini bukan sekadar seni. Ia adalah realiti. Realiti rakyat P yang setiap hari berjuang untuk hidup di tengah runtuhan bangunan, dentuman bom dan jeritan anak-anak kecil yang kehilangan segalanya. Keluarga, rumah, bahkan masa depan.

Roti dalam genggaman itu melambangkan kelaparan yang tiada penghujung, manakala darah yang menitis darinya adalah tanda kekejaman yang terus berlaku tanpa belas kasihan. 

Dunia mungkin hanya melihat sekeping gambar, tapi bagi mereka di bumi P, inilah kehidupan seharian. Hidup dalam ketakutan, kehilangan dan derita yang tiada noktah.

Wanita itu mungkin seorang ibu yang baru kehilangan anak. Anak itu mungkin salah seorang daripada ribuan syuhada kecil yang gugur tanpa sempat mengenal erti dunia.

Dan burung merpati di sisinya seolah membawa mesej bahawa di sebalik segala kekejaman manusia, harapan dan doa masih terbang tinggi menuju langit.

Kini, persoalannya berapa lama lagi dunia mahu memejam mata? Berapa banyak lagi nyawa yang perlu diragut sebelum keadilan ditegakkan?

Kita mungkin jauh dari tanah P, tapi kita tidak boleh jauh dari rasa kemanusiaan. Suara kecil kita mungkin tak sekuat senjata, tapi ia tetap boleh menjadi suara yang menuntut keadilan dan kemanusiaan.

Jangan biarkan penderitaan ini berlalu tanpa tindakan.

Sebarkan kesedaran. Doakan mereka. Hulurkan bantuan walau sekecil mana pun. Kerana bagi mereka di sana, setiap doa, setiap sumbangan, dan setiap suara adalah tanda bahawa mereka tak dilupakan.

#PrayForPalestine #StandWithHumanity

11/10/2025

Micro Papillary Thyroid Carcinoma.

Micro papillary thyroid carcinoma adalah salah satu daripada jenis kanser tiroid. Dikenali sebagai 'micro' kerana saiz tumor kurang daripada 1 cm. Ia termasuk dalam subkategori kanser tiroid papillary yang paling kerap ditemui.

Micro papillary thyroid carcinoma biasanya tumbuh dengan perlahan dan mempunyai prognosis (ramalan tentang penyakit) yang amat baik.

Risiko penyebaran ke kelenjar limfa dan organ lain adalah rendah berbanding kanser tiroid yang lebih besar atau agresif.

Rawatan utama adalah pembedahan, sama ada membuang sebahagian kelenjar tiroid (lobektomi) atau membuang keseluruhan kelenjar tiroid, bergantung kepada keadaan pesakit.

Terapi radioaktif iodin (RAI) atau rawatan hormon mungkin tidak selalu diperlukan.

Pemantauan berkala melalui ultrasound adalah penting untuk mengesan sebarang tanda berulang.

Kebanyakan pesakit mempunyai kadar kelangsungan hidup yang tinggi dengan rawatan dan pemantauan yang sesuai.

Micro Papillary Thyroid Carcinoma.

Micro papillary thyroid carcinoma adalah kanser tiroid yang kecil dengan kadar risiko yang rendah dan hasil rawatan yang sangat baik, tetapi memerlukan pengurusan dan pemantauan yang teliti untuk memastikan tiada komplikasi jangka panjang.

Untuk memantau Micro Papillary Thyroid Carcinoma yang tidak mengambil RAI, paling penting ialah buat ultrasound tiroid (biasanya) setiap 6 hingga 12 bulan, untuk memantau saiz tumor dan melihat sekiranya ada sebarang perubahan.

Doktor juga akan membuat pemeriksaan fizikal untuk mengesan kehadiran benjolan baru atau pembesaran kelenjar limfa di leher.

Ujian Darah TSH (Thyroid Stimulating Hormone) diperlukan untuk memantau paras hormon tiroid untuk memastikan tahap TSH berada pada paras yang disarankan kerana TSH yang rendah sedikit dapat membantu mengurangkan risiko pertumbuhan tumor.

Jika terdapat nodul baru atau perubahan yang mencurigakan pada ultrasound, biopsy perlu dilakukan semula untuk memastikan tiada perubahan malignan.

Pengidap perlu memantau sebarang simptom baru seperti kesukaran menelan, perubahan suara, atau pembesaran leher yang mungkin menunjukkan perubahan pada keadaan kanser.

Ikutlah nasihat doktor untuk pantau dan ambillah ubat hormone tiroid tanpa culas.

Pemantauan tanpa RAI biasanya diberi untuk kes-kes micro yang dianggap berisiko rendah, tumor kecil, tiada tanda2 merebak dan pesakit pula dalam keadaan sihat. 

Jika ada tanda-tanda atau bukti tumor membesar atau merebak, rawatan lanjut akan dipertimbangkan.

Pemantauan ketat ini penting untuk mengesan sebarang perubahan awal supaya tindakan segera boleh diambil.

Walaupun ianya masih penyakit kanser, tapi kadar penyembuhan dan kawalan penyakit ini sangat baik dengan rawatan dan pemantauan yang betul.

Kredit grup fb Tiroid dan Anda Ori. 

A Thief Never Becomes an Owner : Kebenaran yang tak mampu dicuri.

Dalam hidup ini, ada satu kebenaran yang tak pernah berubah 'pencuri tak akan pernah menjadi pemilik sebenar...'

Ayat ini mungkin nampak sederhana, tapi hakikatnya ia menyimpan makna yang amat dalam. 

Ia mengingatkan kita bahawa sesuatu yang dirampas dengan kezaliman tak akan pernah menjadi milik sejati. 

Walau masa berlalu, walau ribuan alasan cuba dijadikan hujah, kebenaran tetap akan berdiri teguh di tempatnya.

Hari ini, dunia menyaksikan satu kisah yang menyayat hati di bumi P. Tanah suci itu dirampas, rumah dirobohkan dan darah tumpah hampir setiap hari hanya kerana mereka mempertahankan hak yang sememangnya milik mereka. 

Ironinya, mereka yang merampas cuba menutup jenayah mereka dengan propaganda dan kuasa. Namun, kebenaran tak pernah boleh dicuri.

“A thief never becomes an owner.” Itulah hakikat yang tak dapat diubah.

A Thief Never Becomes an Owner : Kebenaran yang tak mampu dicuri.

Anak-anak P yang kehilangan keluarga masih tersenyum dengan iman yang kuat. 

Para ibu yang menatap langit penuh debu masih berdoa dengan tenang. 

Mereka mungkin tak punya tempat tinggal tapi mereka punya sesuatu yang lebih berharga iaitu keyakinan bahawa tanah itu akan kembali kepada pemilik asalnya, cepat atau lambat.

Kerana pemilikan sejati bukan datang daripada senjata, tapi daripada kebenaran.

Pemilik sejati bukan mereka yang menindas, tapi mereka yang sabar dan tabah mempertahankan hak mereka dengan iman dan cinta kepada tanah air.

Dunia boleh berpura-pura buta.

Media boleh berdiam diri.

Namun sejarah dan doa yang tak pernah putus dari hati umat manusia akan terus menjadi saksi bahawa kezaliman tak akan menang selamanya.

Mereka boleh curi tanah, tapi tak boleh curi identiti.

Mereka boleh runtuhkan rumah, tapi tak boleh runtuhkan semangat.

Dan mereka boleh cuba memadam nama P, tapi P akan tetap hidup dalam hati setiap insan yang cinta kepada keadilan.

“A thief never becomes an owner", kerana sesuatu yang dicuri tak akan pernah menjadi milik sejati. Dan P akan tetap P. Hari ini, esok dan selamanya.

Hasbunallah wanikmal wakil. 

10/10/2025

Mereka boleh musnahkan kota, tapi bukan kebenaran!

Mereka boleh musnahkan kota, tapi bukan kebenaran!

Jom kita renungkan lukisan di atas. Dalam satu lukisan yang hening tapi sarat dengan makna tersirat, seorang kanak-kanak kecil duduk di atas buah watermelon, simbol yang sering dikaitkan dengan P. Di hadapannya, terbentang pemandangan kota yang musnah, bangunan yang runtuh, debu yang menutup langit jingga. 

Namun walaupun segalanya hancur di depan matanya, kata-kata yang tertera di bawahnya berbunyi, “They can destroy cities, but never the truth.”

Begitulah realiti yang sedang dihadapi oleh rakyat P hari ini. Kota dan bandar mereka boleh dibom berkali-kali, rumah mereka boleh dihancurkan, tanah mereka boleh dirampas tapi semangat mereka, kebenaran perjuangan mereka, tak akan pernah mati.

Setiap kali dunia menyaksikan runtuhan di G atau tangisan anak kecil yang kehilangan keluarga, kita sebenarnya sedang melihat wajah sebenar keberanian, keberanian untuk terus hidup di tengah penderitaan yang tak terperi. Kanak-kanak dalam lukisan ni bukan sekadar watak dalam lukisan; dia mewakili setiap anak P yang belajar tersenyum walau di bawah langit peperangan.

Watermelon, dalam konteks P, bukan sekadar buah. Ia menjadi simbol identiti dan penentangan sebab warna merah, hijau, putih dan hitamnya menyerupai warna bendera P. 

Bila dunia cuba memadamkan simbol perjuangan mereka, rakyat P memilih watermelon sebagai lambang harapan. Ia tanda bahawa walaupun segala-galanya cuba dihapuskan, mereka masih punya cara untuk berkata, “Kami masih di sini.”

Hakikatnya, kebenaran tak pernah mudah dipadamkan. Ia hidup dalam setiap doa, setiap cerita, setiap gambar yang dikongsi dari bumi G. Kebenaran itu terus bergema di hati manusia yang tak sanggup berpaling daripada penderitaan mereka. 

Dunia boleh berpura-pura tak nampak, media boleh memilih untuk berdiam, tapi kebenaran tetap akan menemui jalannya seperti cahaya yang menembusi celah runtuhan.

Dan kita, sebagai manusia, punya tanggungjawab untuk memastikan kebenaran itu terus hidup. 

Teruskan bersuara, dengan berkongsi, dengan berdoa dan dengan tak membiarkan naratif penindasan menenggelamkan kemanusiaan sebab memang betul apa yang tertulis di bawah lukisan itu, 'mereka boleh musnahkan kota, tapi tidak sekali-kali kebenaran'.

#StandWithHumanity
#FromTheRiverToTheSea