08/11/2026

Belajar daripada kopi hitam.

Korang mesti tak pernah minum kopi hitam tanpa gula kan? Sebab rasanya mesti pahit, sedikit keras dan bukan semua orang boleh menelannya. Mungkin ada yang suka, tapi rasanya lagi ramai yang tak suka, betul tak? 

Tapi yang menariknya, kopi hitam tetap jadi kopi hitam. Dia tak perlu ditambah gula semata-mata untuk memenuhi selera semua orang.

Sebenarnya, ada satu pengajaran kecil yang kita boleh belajar daripada secawan kopi hitam ini. Kita tak perlu jadi terlalu manis untuk disukai oleh semua orang.

Dalam hidup ni, kadang-kadang kita terlalu sibuk nak jaga hati orang lain sampai lupa nak jaga hati sendiri. 

Kita cuba bercakap dengan cara yang semua orang suka. Kita cuba memenuhi kehendak orang sekeliling. Kita takut orang terasa, takut orang salah faham dan paling kita risau, takut orang tak suka pada diri kita.

Sampai satu tahap, kita mula ubah diri sendiri hanya sebab kita nak orang lain terima kita.

Kalau orang tak suka cara kita bercakap, kita cuba ubah. Kalau orang tak senang dengan pendapat kita, kita pendamkan. Kalau orang tak suka keputusan kita, kita rasa bersalah walaupun kita tahu keputusan itu yang terbaik untuk diri sendiri.

Penat sebenarnya hidup begitu, kan?

Sedangkan hakikatnya, kita memang tak akan mampu memuaskan hati semua orang. Seberapa baik pun kita melayan seseorang, tetap akan ada yang mencari salah. Seberapa ikhlas pun kita membantu, tetap akan ada yang mempertikaikan niat kita.

Jadi, untuk apa kita terlalu bersusah payah menjadi seseorang yang bukan diri kita?

Lihat sahaja kopi hitam. Ia tak perlukan gula untuk menjadi kopi yang berkualiti. Ia tak perlu menyamar menjadi kopi manis untuk mendapatkan tempat di hati peminatnya. Rasanya yang asli itulah identitinya.

Begitu juga dengan kita. Tak salah nak jadi orang yang baik, tapi jangan sampai kebaikan itu membuatkan orang lain ambil kesempatan. Tak salah bertolak ansur, tapi jangan sampai kita sendiri hilang pendirian. Tak salah menjaga hati orang, tapi jangan sampai hati sendiri selalu terluka.

Belajarlah untuk menjadi diri sendiri tanpa perlu terlalu memikirkan penerimaan orang lain.

Belajar daripada kopi hitam.
Belajar daripada kopi hitam. Kredit photo to Pinterest. 

Bukan bermaksud kita perlu jadi kasar, sombong atau tak peduli langsung tentang perasaan orang. Sebaliknya, kita cuma perlu tahu batas antara menjaga hubungan dengan manusia dan mengorbankan kebahagiaan diri sendiri.

Ada masanya kita perlu berkata tak. Ada masanya kita perlu menjauh. Ada masanya kita perlu berhenti menjelaskan sesuatu kepada orang yang memang tak mahu memahami.

Dan yang paling penting, kita perlu menerima hakikat bahawa bukan semua orang akan menyukai kita. Itu perkara biasa. Kita sendiri pun bukan menyukai semua orang, betul tak?

Jadi, jangan terlalu kecewa bila ada orang yang tak dapat terima diri kita seadanya.

Jadilah seperti kopi hitam. Asli, jujur dan tak perlu berselindung di sebalik rasa yang dibuat-buat. Biarlah ada yang suka dan ada yang tak. Kita bukan diciptakan untuk memenuhi selera semua orang.

Akhirnya, hidup ini terlalu singkat untuk kita menghabiskan masa berpura-pura jadi seseorang yang orang lain mahu.

Minumlah kopi hitam itu perlahan-lahan. Nikmati rasanya walaupun pahit sebab kadang-kadang, perkara yang paling jujur dalam hidup memang tak semestinya manis.

Dan percayalah, kita tetap berharga walaupun bukan semua orang menyukai kita. Jangan terlalu sibuk nak jadi manis di mata orang lain, sampai lupa jadi bahagia dengan diri sendiri.

04/11/2026

Pejam celik, dah masuk bulan November.

Alhamdulillah, pejam celik pejam celik, hari ni dah masuk 4 November dah. Cepat betul masa berlalu kan? Rasa macam baru je kita mulakan tahun 2026, tup-tup sekarang dah masuk bulan November. Tak sampai dua bulan lagi, kita bakal melangkah ke tahun baru.

Bila fikir-fikir balik, macam-macam perkara dah berlaku sepanjang tahun ni. Ada hari yang kita lalui dengan penuh kegembiraan, ada juga hari yang menguji kesabaran dan kekuatan diri. Ada impian yang berjaya kita capai, ada juga yang masih belum menjadi kenyataan. Tapi, takpe, setiap orang ada perjalanan dan ceritanya sendiri.

Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar sesuatu sampai terlupa nak berhenti sekejap dan merenung sejauh mana kita dah melangkah. Sedangkan perkara kecil yang kita berjaya lakukan pun sebenarnya satu pencapaian yang patut kita hargai.

Pejam celik, dah masuk bulan November.

Mungkin bagi sesetengah orang, pencapaian terbaik tahun ni ialah berjaya dapat kerja yang diimpikan, memiliki sesuatu yang dah lama dihajati, berjaya simpan duit atau capai sesuatu dalam kehidupan. Tapi bagi orang lain pulak, pencapaian terbaik dorang mungkin sekadar berjaya bangun setiap pagi, terus kuat walaupun banyak masalah yang datang, menjaga keluarga dengan baik atau berjaya melalui hari-hari yang sukar tanpa mengalah.

Apa pun bentuk pencapaian kita, jangan sesekali pandang kecil usaha sendiri. Tak semua kejayaan perlu diraikan dengan sesuatu yang besar. Kadang-kadang, kemampuan untuk terus bertahan dan menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin pun dah cukup membanggakan.

Jadi, sementara masih ada masa sebelum tahun 2026 melabuhkan tirainya, apa kata kita ambil sedikit masa untuk melihat kembali perjalanan sepanjang tahun ni. Apa yang dah berjaya kita capai? Apa pula yang masih belum terlaksana? Tak perlu terlalu keras pada diri sendiri kalau ada perkara yang belum menjadi kenyataan. Selagi masih ada peluang, selagi itulah kita boleh terus berusaha.

Buat yang sedang berjuang dengan kehidupan masing-masing, semoga terus kuat dan jangan mudah putus asa. Percayalah, setiap usaha walaupun kecil tetap ada nilainya. Kita mungkin tak dapat apa yang kita nak sekarang, tapi mudah-mudahan ada sesuatu yang lebih baik sedang menanti.

Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Aamiin.

17/10/2026

Kenapa susah nak lupakan luka lama walaupun kita dah maafkan?

Memaafkan seseorang tak bermaksud korang akan terus melupakan apa yang dia dah buat kepada korang. Dua perkara ni nampak macam sama, tapi hakikatnya lain giler.

Memaafkan itu adalah bila korang pilih untuk tak terus simpan dendam. Korang mungkin dah terima apa yang berlaku dan tak nak lagi bebankan hati dengan kemarahan. 

Tapi melupakan pulak bukan sesuatu yang korang boleh on off sesuka hati. Lebih-lebih lagi kalau orang yang melukakan hati korang tu ialah seseorang yang korang sayang, percaya dan korang tak pernah sangka akan tergamak buat korang camtu.

Kadang-kadang, yang menyakitkan hati tu bukan semata-mata apa yang dia dah buat, tapi hakikatnya korang tak pernah agak pun benda tu akan jadi. 

Korang pulak dah letakkan kepercayaan korang dan ikhlas dalam hubungan, korang dah cuba buat yang terbaik, tapi akhirnya korang terpaksa tanggung rasa kecewa.

Bila perkara camni berlaku, luka yang tinggal bukan sekadar tentang kejadian tu. Ia juga tentang kepercayaan yang dah retak, harapan yang tak kesampaian dan perasaan yang pernah korang letakkan pada seseorang.

Sebab itulah ada luka yang ambil masa lama untuk sembuh. Bukan sebab korang sengaja nak ingat hal tu, tapi sebab hal itu pernah bagi kesan yang mendalam dalam hidup korang.

Sampai satu tahap, korang rasa macam korang ni terlalu sensitif, ikut perasaan sangat atau susah nak move on. Sedangkan, hakikatnya korang cuma manusia biasa yang pernah terluka.

Jangan anggap diri korang gagal memaafkan hanya sebab korang masih ingat apa yang berlaku. Korang boleh memaafkan seseorang dan pada masa yang sama masih ingat perbuatan yang pernah dia buat. 

Korang can choose untuk tak benci dia, tapi itu tak bermaksud korang kena berpura-pura yang korang tak pernah terluka.

Memaafkan jugak bukan bermaksud korang mesti kena close macam dulu. Kalau kepercayaan dah hilang, korang berhak nak ambil masa untuk build semula. 

Kalau korang rasa korang kena jaga jarak demi ketenangan diri, itu pun tak salah. Korang boleh memaafkan seseorang tanpa perlu bagi dia ruang yang sama dalam hidup korang macam sebelum ni.

Sebab bagi cikla, memaafkan itu soal melepaskan beban dalam hati, manakala membina semula kepercayaan ialah dua hal yang berbeza. Kepercayaan yang dah rosak perlukan masa, usaha dan perubahan yang nyata untuk dipulihkan.

So, jangan paksa diri untuk jadi macam dulu semata-mata sebab korang dah memaafkan seseorang. Korang tak perlu nak rushing to proof yang korang dah okay, sedangkan dalam hati korang tu masih ada hal yang sedang korang try to heal.


Korang bukan tak boleh move on. Korang sebenarnya dah pun teruskan life korang, cuma ada part dalam diri korang tu yang masih belajar accept apa yang pernah jadi. 

Korang masih bekerja, masih menguruskan keluarga, masih ketawa dengan kawan-kawan dan masih menjalani rutin seperti biasa. Dari luar, mungkin orang nampak korang dah okay. Tapi jauh di sudut hati, ada kenangan yang sesekali datang mengetuk pintu ingatan.

Bila kenangan itu muncul, tak perlulah korang marah kepada diri sendiri. Tak perlulah korang kata, "Kenapa aku masih ingat benda ni? Sampai bila aku nak macam ni?"

Sebaliknya, cuba pujuk diri sendiri dengan lembut. Mengaku je yang hal tu pernah sakitkan korang. Terima yang korang tak mampu nak ubah apa yang dah jadi, tapi korang masih boleh pilih macam mana korang nak jalani life korang selepasnya.

Perlahan-lahan, belajar alihkan perhatian kepada perkara yang sedang korang miliki hari ini. Hargai orang yang masih ada, jaga hubungan yang memberikan ketenangan dan berikan ruang kepada diri sendiri untuk menikmati perkara-perkara kecil yang menggembirakan hati.

Apa yang paling penting, jangan biarkan perbuatan seseorang pada masa lalu menentukan bagaimana korang melihat diri sendiri korang pada hari ini. Kalau seseorang pernah mengkhianati kepercayaan korang, itu tak bermaksud korang bodoh sebab pernah percaya pada dia. 

Kalau seseorang pernah ambil kesempatan atas kebaikan korang, itu tak bermaksud korang perlu berhenti jadi orang yang baik. 

Dan kalau seseorang pernah melukakan hati korang, itu tak bermaksud korang perlu terus hukum diri korang sendiri dengan mengingati kesakitan yang sama.

Apa yang berlaku bukan semuanya dalam kawalan korang. Tapi bagaimana korang jaga diri selepas terluka, itu sesuatu yang boleh korang usahakan sikit-sikit. 

Jangan terlalu keras dengan diri sendiri hanya sebab hati korang ambil masa lebih lama untuk pulih. Korang dah cuba memaafkan. Korang dah cuba terima. Korang dah cuba teruskan kehidupan. Itu pun satu usaha yang besar, walaupun orang lain mungkin tak nampak.

Dan kalau sampai hari ini korang masih belum mampu nak lupakan semuanya, tak bermakna korang gagal untuk move on. Mungkin korang cuma sedang belajar untuk berdamai dengan sesuatu yang pernah melukakan hati korang.

Tak perlu lupa semuanya untuk meneruskan kehidupan. Cukuplah bila suatu hari nanti, kenangan itu tak lagi mempunyai kuasa untuk merampas ketenangan korang. Peluk hati sendiri baik-baik, ya. Korang pun layak untuk bahagia, walaupun pernah terluka. Begitulah....