Panik disorder atau gangguan panik adalah sejenis gangguan mental di mana seseorang mengalami serangan panik secara tiba-tiba dan berulang tanpa sebab yang jelas. Serangan panik ini biasanya datang dengan perasaan takut melampau yang disertai dengan pelbagai simptom fizikal seperti degupan jantung yang sangat laju, kesukaran bernafas, peluh berlebihan, rasa pening serta kebas pada anggota badan. Walaupun ia tak mengancam nyawa, serangan ini selalu buat penghidapnya rasa seperti sedang hadap ancaman besar, seperti serangan jantung atau hilang kawalan diri.
Bagaimana panik disorder berlaku?
Panik disorder biasanya bermula pada usia remaja atau awal dewasa dan lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Punca sebenar gangguan ini tak diketahui, tapi ia dipercayai berkaitan dengan kombinasi faktor genetik, perubahan kimia dalam otak, serta pengalaman trauma atau tekanan yang berlebihan. Individu yang pernah melalui pengalaman buruk seperti kemalangan, kehilangan orang tersayang atau situasi mencemaskan mungkin lebih berisiko mengalami gangguan ini.
Simptom panik disorder.
Penghidap biasanya mengalami serangan panik secara tiba-tiba, walaupun dalam situasi yang tak berbahaya. Antara simptom utama termasuk:
- Rasa takut melampau tanpa sebab.
- Dada terasa sempit atau sakit.
- Rasa sesak nafas atau seperti tercekik.
- Rasa seperti akan pengsan.
- Sensasi tidak realiti atau hilang kawalan.
Adakah panik disorder boleh dirawat?
Ye, boleh. Ia dirawat dan dikawal dengan rawatan yang sesuai. Rawatan biasanya melibatkan gabungan terapi psikologi seperti terapi kognitif-tingkah laku (CBT) dan ubat-ubatan seperti anti-anxiety atau antidepresan. Selain itu, teknik relaksasi seperti pernafasan dalam dan meditasi juga dapat membantu mengurangkan serangan panik.
Langkah menguruskan panik disorder.
Kalau korang atau orang terdekat mengalami simptom ini, langkah pertama adalah mendapatkan bantuan profesional seperti pakar psikiatri atau kaunselor. Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan juga sangat penting. Di samping itu, mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidur mencukupi, bersenam dan mengurangkan pengambilan kafein boleh membantu mencegah serangan panik.
Panik disorder bukanlah kelemahan diri, tapi masalah kesihatan mental yang memerlukan perhatian dan rawatan. Dengan langkah yang betul, ramai penghidap berjaya menjalani kehidupan normal dan bebas daripada serangan panik. Jangan biarkan rasa takut mengawal hidup korang, dapatkan bantuan segera.
No comments:
Post a Comment