Dah lunch ke? Cikla belum, tapi masak dah settle. Landing landing jap, baru lepas amik anak sekolah kan. So, hari ni cikla nak share resepi yang pernah jadi viral kat laman sosial sebelum ni. La ni baru menyempat nak mencubanya. AYAM BALI VIRAL. Viral tu saja cikla tambah, tapi memang resepi ni viral pun kan.

Kebetulan ada lebihan ayam separuh cikla dah masak aritu, so tengok-tengok cukuplah. Lagipun kami tak ramai pun. Jadilah kan. Resepi asal cikla ambil dari blog Che Mat Gebu yang popular tu. Tapi, cikla olah sikit sebab ada bahan yang cikla takde. Nak lihat resepi asal, klik SINI

Bila sekali imbas, ayam bali ni rupanya seakan-akan ayam masak merah. Cuma ada beberapa bahan yang ditambah, so rasanya dah tentu lain sikitlah. Dah dah, jom kita tengok dulu apakah bahannya.

Resepi ayam masak bali viral.
Resepi ayam masak bali viral. 

Bahan bahan;

1/2 ekor ayam (dibersihkan dan ditoskan, kemudian perap sekejap dengan garam dan serbuk kunyit).
6 batang serai (diketuk).
4 tangkai daun kari.
1 sudu besar kicap manis kipas udang.
3-4 sudu besar cili giling.
1/2 cawan air.
Minyak untuk menggoreng dan menumis. Gula dan garam secukup rasa.

Bahan kisar;

3-4 biji bawang merah.
8 ulas bawang putih.
1 inci halia.
1/2 inci belacan. (Optional - cikla tak letak sebab takde).

Caranya pulak;

Panaskan minyak dalam kuali dan bila minyak dah panas, masukkan ayam dan goreng sebentar. Jangan garing sangat. Lebih elok masa goreng ayam, tutup kuali. Lepas tu, angkat ayam dan ketepikan. Kurangkan sedikit minyak gorengan ayam tadi, dan tumis serai bersama daun kari sekejap. Lepas tu, masukkan bahan kisar dan cili giling. Biarkan sampai garing dan cili masak. 

Kemudian, masukkan gula dan garam dan kacau lagi. Setelah itu, masukkan ayam dan air, kemudian kacau rata. Biar sampai kuah pekat. Bila kuah dah lekat, masukkan kicap manis, dan kacau rata. Perasakan lagi dengan garam dan gula, kemudian kacau. Kalau rasa dah ok, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Selamat mencuba!