'Santai Tapi Sampai'

30 August 2024

Terung, sayuran banyak manfaat yang orang tak tau!

Siapa yang tak pernah tengok sayur terung? Mesti semua pernah tengok dan makan kan? Sebab sayur terung ni popular jugak di kalangan masyarakat. Nak dapatkannya pun senang, ramai je yang menjualnya, tak kurang jugak yang menanamnya.

Terung atau lebih dikenali sebagai "eggplant" dalam bahasa Inggeris, adalah sejenis sayuran yang sering digunakan dalam masakan Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Terung ni jugak dikatakan berasal dari kawasan Asia Selatan (India dan Sri Langka). Terung mempunyai bentuk bujur dan ada jugak yang bentuk bulat. Kulitnya biasanya berwarna purple gelap, tapi ada jugak warna putih atau hijau. Selain menjadi bahan yang serbaguna dalam masakan, terung juga mengandungi banyak manfaat kesihatan. 

Terung, sayuran banyak manfaat yang orang tak tau!
Terung, sayuran banyak manfaat yang orang tak tau! Kredit image Google,

Untuk pengetahuan korang, terung kaya dengan pelbagai nutrien yang superb seperti kalsium, zat besi, tinggi serat, bioflavonoid dan vitamin K. Antara  manfaat terung dari segi kesihatan:

1- Kaya dengan antioksidan. - Terung mengandungi antioksidan seperti nasunin, yang membantu melawan radikal bebas dalam badan. Radikal bebas ini boleh merosakkan sel dan menyumbang kepada penuaan serta penyakit kronik.

2- Baik untuk kesihatan jantung. - Kandungan serat dalam terung membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah. Ini penting untuk kesihatan jantung kerana kolesterol tinggi boleh menyebabkan penyumbatan arteri yang seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

3- Menyokong kawalan gula dalam darah. - Terung mempunyai indeks glisemik rendah, yang bermaksud ia tak menyebabkan lonjakan mendadak dalam kadar gula darah. Ini menjadikan terung sesuai untuk individu yang menghidap diabetes atau yang ingin mengawal kadar gula darah mereka.

4- Meningkatkan fungsi otak. - Terung mengandungi fitonutrien yang membantu tingkatkan aliran darah ke otak dan melindungi membran sel dari kerosakan. Ini dapat meningkatkan daya ingatan dan fungsi kognitif.

5- Membantu pengurusan berat badan. - Terung rendah kalori tetapi tinggi serat, menjadikannya pilihan yang baik untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan atau mengekalkan berat badan yang sihat. Serat dalam terung juga membantu rasa kenyang lebih lama.

Terung, sayuran banyak manfaat yang orang tak tau!
Terung, sayuran banyak manfaat yang orang tak tau! Kredit image Google.

Terung sangat serbaguna dalam masakan. Ia boleh dipanggang, digoreng, dimasak bersama kari atau dibuat sebagai ulam. Terung yang dipanggang dengan sedikit minyak zaitun dan garam adalah pilihan yang sihat dan enak. Kesimpulannya, terung bukan sahaja enak dimakan, tetapi juga penuh dengan nutrien yang bermanfaat untuk kesihatan. Jadi, jangan ragu-ragu untuk menambah terung dalam diet harian korang!

1 comment:

  1. My fav terung ini. Sukaaa dimasak apapun. Tp LBH suka dimasak sambal balado terong 🤤. Sedaap

    ReplyDelete