Ibu hipotiroid hamil dan risiko zuriat rendah IQ?

Terkejut? Bertenang dahulu! Kita rungkaikan satu persatu permasalahan ini.

Persoalan asas yang pertama, 

APA ITU HIPOTIROID?

HIPOTIROID : Keadaan di mana hormon tiroid tidak mencukupi.

GEJALA: Pesakit hipotiroid mengalami simptom-simptom yang berkaitan dengan metabolisma rendah. Contohnya, tidak tahan sejuk, berasa letih, cepat lupa, lambat berfikir, kurang pendengaran, berat badan naik mendadak, sembelit dan jantung berdenyut perlahan..

Dengan kata mudahnya, semua fungsi badan menjadi perlahan.

PUNCA: Kelenjar tiroid adalah kilang di mana hormon tiroid dihasilkan. Nah! Tentu sahaja kita boleh fahami bahawa hipotiroid berlaku apabila kilang tersebut dibuang. 

Hipotiroid boleh berlaku sekiranya seseorang itu telah menjalani pembedahan pembuangan kelenjar tiroid secara menyeluruh (total thyroidectomy). Bermakna kebanyakan orang yang buang separuh (partial atau hemithyroidectomy) boleh menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi. 

Ada beberapa keadaan pesakit di mana hipotiroid boleh berlaku walaupun kelenjar tiroid masih kekal di tempatnya. Antaranya:

1. Hashimoto's tiroiditis
2. Tiroiditis sub-akut
3. Selepas minum Radioaktif Iodin (RAI) untuk tujuan melenyapkan fungsi kelenjar tiroid.

Ibu hipotiroid hamil dan risiko zuriat rendah IQ?

Persoalan kedua,

BOLEHKAH PESAKIT HIPOTIROID HAMIL?

Secara umumnya, pesakit hipotiroid tiada masalah untuk hamil. Namun, pesakit yang mempunyai ANTIBODI TIROPEROXIDASE (anti-TPO) yang tinggi dalam darah dikaitkan dengan kepayahan untuk mendapatkan zuriat.

Sekiranya anda pesakit hipotiroid yang sedang hamil atau merancang kehamilan, anda perlu memastikan bahawa hormon tiroid anda mencukupi. PERIKSA DARAH (HORMON TIROID) SEBELUM ATAU SEBAIK SAHAJA ANDA DISAHKAN HAMIL.

Persoalan ketiga,

BAGAIMANA KAMI (PARA DOKTOR) MERAWAT HIPOTIROID KETIKA PESAKIT HAMIL?

Melalui GANTIAN HORMON TIROID (Thyroid hormone replacement)

Ibu-ibu hipotiroid yang hamil biasanya memerlukan 50% lebih banyak hormon tiroksin (thyroxine) berbanding biasa; terutamanya pada awal usia kandungan (trimester pertama). Ini adalah kerana bayi dalam kandungan pada ketika itu bergantung sepenuhnya kepada hormon tiroid ibu disebabkan kelenjar tiroid bayi masih dalam proses pembentukan dan belum berfungsi.

PENTING! KEKURANGAN HORMON TIROID sewaktu mengandung dikaitkan dengan zuriat yang RENDAH IQ! Ini adalah kerana hormon tiroid adalah penting dalam pembentukan sistem otak dan saraf. Biasanya doktor  anda akan memastikan supaya bacaan T4 anda melebihi 15pmol/L dan TSH di bawah paras 2.5 mIU/L Bagi memastikan hormon tiroid anda mencukupi sepanjang kehamilan.

KAJIAN MENUNJUKAN BAHAWA WANITA HAMIL YANG DIRAWAT DENGAN HORMON TIROID YANG MENCUKUPI MEMPUNYAI ZURIAT BER-IQ NORMAL.

Jadi usah terkejut dan gusar! Dapatkan nasihat dan rawatan yang betul. Sekiranya selepas membaca pos ini anda  terfikir bagaimana cara untuk meningkatkan IQ zuriat anda. Pengambilan hormon tiroid berlebihan sewaktu mengandung TIDAK menyumbang kepada IQ yang lebih tinggi! Jadi jangan macam-macam ya!

Kredit perkongsian Dr Arif Shahar (Endokrinologi).

1 comment:

  1. IQ ada sorang kawan yang ada hipotiroid dan sedang hamil sekarang, boleh dikatakan setiap minggu kne checkup.

    terasa masuk dalam blog sendiri dulu2 ni sbb dlu IQ pun pakai template ni, jadi rindu pula. hehehehe

    ReplyDelete

Powered by Blogger.