Bersabar kerana Allah pasti ganti dengan yang lebih baik.
Dalam hidup ni, kita memang tak boleh lari daripada kehilangan. Ada masa kita hilang sesuatu yang kita sayang, ada masa kita terlepas rezeki yang kita rasa memang dah jadi milik kita, ada masa kita kehilangan orang yang rapat dengan kita. Hati siapa yang tak sedih kan? Normal lah kalau kita rasa kecewa, down, ada sesetengah tu menangis sampai tak larat. Itu fitrah manusia.
Tapi dalam setiap kehilangan tu, sebenarnya ada satu janji Allah yang selalu kita lupa. Allah takkan ambil sesuatu daripada kita kecuali Dia nak ganti dengan sesuatu yang lebih baik. Cuma masalahnya, kita selalu nak nampak cepat, nak rasa ganti tu hari ni juga. Padahal Allah lebih tahu bila masa yang sesuai.
Bayangkan kalau kita hilang sesuatu sekarang, mungkin kita rasa itu benda paling berharga dalam hidup kita. Tapi sebenarnya, Allah nampak jauh ke depan. Allah tahu kalau kita simpan benda tu lama-lama, mungkin ia akan menyusahkan atau melukakan kita lebih teruk. Jadi, bila Allah tarik, bukan sebab Dia benci kita, tapi sebab Dia sayang. Dia nak bersihkan, nak kuatkan dan nak bagi sesuatu yang kita sendiri tak pernah terfikir.
Kadang kita diuji dengan kehilangan kerja. Masa tu, kita rasa macam dunia dah gelap, tak tahu nak terus hidup macam mana. Tapi bila kita bersabar, usaha, doa, perlahan-lahan kita nampak Allah buka jalan lain. Dapat kerja baru yang lebih baik atau mungkin terbuka pintu rezeki melalui bisnes sendiri. Kalau kita tak pernah hilang kerja lama tu, mungkin sampai bila-bila kita takkan berani cuba benda baru.
Begitu juga dalam soal hati. Kita mungkin pernah ditinggalkan, dikecewakan atau cinta yang kita sangka kekal rupanya tak jadi. Masa tu memang rasa dunia nak runtuh. Tapi bertahun kemudian, bila Allah hadirkan seseorang yang lebih baik, yang lebih menghargai kita, baru kita sedar kenapa Allah “ambil” orang dulu tu. Sebab Allah nak bagi ruang untuk orang yang lebih sesuai hadir dalam hidup kita.
Ye betullah sabar tu memang susah, sebab ia bukan sekadar duduk diam tunggu masa berlalu. Sabar tu maksudnya tahan diri daripada putus asa, kuatkan hati walaupun tengah sakit dan percaya Allah tengah susun sesuatu untuk kita. Kadang kita rasa macam doa kita tak didengar, padahal Allah dah aturkan sesuatu yang lebih baik, cuma kita belum nampak lagi.
Jadi, bila kita rasa kehilangan, cuba ingat janji ni; "Allah takkan ambil kecuali Dia nak ganti dengan yang lebih baik." Pegang kuat-kuat kata ni dalam hati. Bersabarlah walaupun air mata masih jatuh. Percayalah, setiap kesabaran akan dibayar dengan sesuatu yang jauh lebih indah daripada apa yang pernah kita sangka.
0 comments