Jom jauhi sifat Fattanun.
Dalam hidup bermasyarakat, sangat digalakkan untuk menjaga hubungan sesama manusia. Islam pun selalu ajar kita tentang pentingnya silaturahim sebab daripadanya lahir kasih sayang, tolong-menolong dan rasa hormat-menghornati yang akan menguatkan ikatan persaudaraan.
Namun, ada satu sifat buruk yang boleh memusnahkan semua ini, iaitu sifat fattanun. Fattanun ni maksudnya orang yang suka mengadu-domba, melaga-lagakan orang dengan niat nak cetuskan pergaduhan sekaligus perpecahan.
Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan dalam hadisnya bahawa, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu-domba.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa beratnya dosa mengadu-domba. Ia bukan perbuatan kecil yang dianggap remeh ye, tapi dosa besar yang boleh meruntuhkan ukhuwah, menanam rasa benci dan akhirnya memutuskan hubungan sesama manusia.
Allah SWT juga menegaskan larangan ini dalam Al-Quran: “Dan janganlah kamu mengikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang kerap berjalan ke sana kemari untuk mengadu-domba.” (Surah Al-Qalam: 10-11).
Ayat ini menggambarkan betapa buruknya sifat tersebut sebab ia melambangkan akhlak yang rosak dan berlawanan dengan sifat seorang mukmin sejati.
Hari ini, sifat fattanun bukan hanya berlaku secara face to face, malah semakin berleluasa di medsos jugak. Senang senang je, seseorang tu boleh sebarkan cerita bohong, tokok tambah cerita atau tinggalkan komen yang mengadu-gadu.
Kesan daripada tindakan ini bukan boleh melahirkan fitnah je, malah mampu pecahbelahkan masyarakat. Lebih sedih, ia berlaku hanya kerana rasa iri hati, dengki atau mahu mencari perhatian.
Islam mengajar kita untuk menahan diri daripada berkata sesuatu yang tak bagi manfaat. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kata-kata adalah amanah. Kalau yang keluar dari mulut atau tulisan kita hanya akan menyakitkan hati orang lain, lebih baik memilih diam.
Sebaliknya, jadilah pendamai, jadi orang yang menyebarkan kasih sayang, pupuk kebaikan dan cari jalan mendamaikan kalau berlaku konflik. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu.” (Surah Al-Hujurat: 10).
Inilah jalan yang sepatutnya diambil, bukan menjadi pencetus kepada perpecahan.
Apa yang penting, segala-galanya kembali kepada hati. Sifat fattanun lahir daripada jiwa yang dipenuhi iri hati, dendam dan hasad dengki. Sebab itu penting untuk kita sentiasa bermuhasabah, bersihkan hati dengan zikrullah, banyakkan istighfar dan memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan daripada sifat tercela.
Ingat, jadi pengadu-domba bukan merosakkan hubungan sesama manusia je, malah menjauhkan kita daripada rahmat Allah. Jom kita sama-sama menjaga lidah dan perbuatan supaya silaturahim sesama kita terus terpelihara dan hidup kita dipenuhi dengan kasih sayang serta kedamaian. InshaAllah.
Kredit : Olahan semula dari perkongsian grup telegram Ceramah Ustaz dan Ustazah.
0 comments