Rahsia baca Al-Quran waktu pagi: Penawar hati yang ramai tak sedar.
Pernah tak kita tanya diri sendiri, kenapa ada masanya hati kita susah sangat nak tenang? Atau kenapa hati kita ni rasa kosong je, walaupun hidup nampak macam okay? Kan?
Kadang-kadang bila kita bangun pagi, terus pegang telefon. Buka media sosial, baca berita, balas mesej, tengok apa yang trending. Tapi jarang sangat kita mula pagi dengan makanan rohani , iaitu Al-Quran. Sedangkan kalau kita tahu apa yang Al-Quran boleh buat untuk jiwa kita, mesti kita akan cari masa untuk baca ia walaupun sekejap.
Membaca Al-Quran pada waktu pagi, khususnya selepas solat Subuh, sebenarnya bukan sekadar amalan biasa. Ia adalah satu bentuk ‘ubat’ yang Allah sediakan untuk penyakit hati kita, penyakit yang kita tak nampak dengan mata kasar.
Luaran, mungkin kita nampak sihat. Kita boleh jogging, pergi gym, pergi kerja dan beraktiviti macam biasa. Tapi dalam hati? Kadang-kadang penuh luka. Cepat marah, tak sabar, suka bandingkan hidup dengan orang lain, malas, rasa jauh dari Allah dan paling menyedihkan kita dah tak rasa berdosa bila buat salah.
Allah dah sebut dalam Surah Yunus, ayat 57, bahawa Al-Quran adalah pengajaran, penawar untuk penyakit dalam hati, hidayah dan rahmat bagi orang beriman. Tapi kita takkan rasa kesannya kalau kita tak ambil ‘ubat’ tu setiap hari.
Kesan Al-Quran tak macam ubat fizikal yang boleh dilihat kesannya cepat. Tapi siapa yang istiqamah baca, dia akan perasan hatinya makin lembut, fikirannya lebih lapang, emosinya lebih terkawal. Dan yang paling penting, dia akan rasa lebih dekat dengan Tuhan.
Jadi, kalau belum biasa baca Al-Quran waktu pagi, cubalah. Tak perlu lama. Mungkin satu muka surat je dulu. Tapi buat dengan hati. Lama-lama, hati akan rindu. Dan masa itulah kita akan faham kenapa Al-Quran disebut sebagai syifa’.
Mulakan hari dengan Al-Quran dan biarkan ia menyembuhkan apa yang tak dapat dilihat oleh manusia. Sebab ubat hati, hanya Al-Quran yang tahu caranya.
0 comments