How being shy is hurting you!

By July 23, 2025

Ye, memang tak dinafikan dari dulu lagi kita semua anggap malu itu adalah tanda sopan santun, lemah lembut atau mereka yang tak suka cari perhatian. Tapi, korang tau tak, di sebalik semua tu, ada sisi yang jarang kita fikirkan. Apa dia eh? Haa, kalau nak tau jom baca sampai habis. 

Bila rasa malu mula mengawal hidup, ia boleh menjadi seperti rantai halus yang perlahan-lahan mencengkam potensi diri kita. Kita mungkin tak sedar, tapi sebenarnya banyak pintu tertutup hanya kerana kita terlalu takut untuk mengetuk.

Seseorang yang pemalu seringkali mendiamkan diri walaupun hatinya ingin bercakap. Contohnya, dalam kelas, mereka mungkin tahu jawapan tapi tak berani nak angkat tangan. Kat tempat kerja pulak, mereka mungkin ada idea yang bernas tapi membiarkan orang lain mengambil pujian kerana mereka takut nampak ‘terlebih’. 

Manakala, dalam hubungan sosial, mereka mungkin ingin berkenalan dan ingin berkawan  tapi langkah pertama itu terlalu berat untuk diambil.

Masalahnya di sini, dunia ini jarang memberi ruang kepada orang yang diam. Dalam kerjaya, yang berani ke depan lebih mudah dilihat dan dihargai. Dalam hubungan, yang mampu meluahkan perasaan lebih mudah difahami. 

Dan dalam kehidupan secara umum, mereka yang yakin walaupun hanya berpura-pura akan lebih cepat melangkah ke hadapan. Malangnya, orang pemalu selalunya terperangkap dalam kepala sendiri. Mereka banyak berfikir, banyak menganalisis dan akhirnya lost the chance!

How being shy is hurting you!

Selain tu, rasa malu yang berlebihan juga boleh mengganggu kesihatan mental. Dari sekadar rasa gugup, ia boleh membesar menjadi kebimbangan sosial, salah satu bentuk anxiety yang membuatkan seseorang takut dinilai, takut dihina atau takut melakukan kesilapan di depan orang lain. Ini bukan sekadar rasa malu biasa, tapi sesuatu yang boleh menyekat kehidupan sepenuhnya.

Yang lebih menyedihkan, orang pemalu selalunya juga sukar mempertahankan diri. Mereka mungkin tak tahu macam mana untuk menetapkan sempadan, tak biasa mengatakan ‘tak’, dan selalu meletakkan keperluan orang lain lebih utama daripada diri sendiri. Lama-kelamaan, mereka jadi letih, kecewa dan mula rasa seperti mereka tak cukup baik, hanya kerana tak mampu bersuara.

Namun begitu, sifat malu bukanlah sesuatu yang perlu dibuang sepenuhnya. Ia boleh jadi sifat yang mendidik kita untuk lebih berhati-hati dan lebih sensitif terhadap orang sekeliling. Tapi kalau ia sudah mula 'menyakitkan' kita dari segi emosi, hubungan, kerjaya dan keyakinan diri maka ia perlu dihadapi. Bukan dengan memaksa diri berubah secara drastik, tapi dengan langkah kecil. 

Berani bersuara sedikit demi sedikit, melatih diri mengenal suara hati sendiri dan memaafkan ketaksempurnaan yang mungkin berlaku di sepanjang jalan. Kita tak perlu jadi paling lantang. Tapi kita perlu belajar untuk tidak terus diam.

Dalam dunia yang terlalu 'bising' ini, kadangkala suara paling penting adalah suara yang kita sembunyikan. Jangan biarkan malu menutup cahaya dalam diri yang sepatutnya bersinar. Sebab kadang-kadang, satu langkah kecil keluar dari zon selesa boleh membuka pintu besar yang menunggu kita di sisi lain.

Moga bermanfaat. 

You Might Also Like

0 comments