Kanser tiroid mikro: Kecil, tapi masih kanser!

By July 13, 2025

Siapa aje yang tak terkejut bila disahkan menghidap kanser tiroid, apatah lagi kalau keputusan menunjukkan saiznya sangat kecil, kurang daripada satu sentimeter. Dalam istilah perubatan, ini dikenali sebagai papillary thyroid microcarcinoma (PTMC). Ia tergolong dalam kategori kanser tiroid papilari, iaitu jenis yang paling biasa berlaku dan paling perlahan berkembang. Namun, walaupun saiznya kecil, ia tetap diklasifikasikan sebagai kanser.

PTMC biasanya tak menimbulkan apa-apa gejala. Malah, kebanyakannya ditemui secara tak sengaja semasa pesakit menjalani imbasan leher untuk masalah lain, seperti pemeriksaan nodul tiroid atau ultrasound atas sebab bukan berkaitan kanser. 

Kanser tiroid mikro: Kecil, tapi masih kanser!

Oleh kerana sifatnya yang perlahan dan kurang agresif, ramai pesakit diberikan harapan yang baik dan ini bukan sekadar kata-kata manis, tapi benar-benar disokong oleh statistik perubatan.

Prognosis untuk PTMC sangat tinggi, dengan kadar kelangsungan hidup melebihi 95% hingga hampir 100% dalam tempoh 10 tahun, terutamanya kalau kanser tersebut belum merebak keluar dari tiroid.

Namun begitu, PTMC tetap tak boleh dipandang ringan. Meskipun saiznya kecil, masih ada kemungkinan sel-sel kanser ini boleh merebak ke nodus limfa di sekeliling leher. Dalam kes yang sangat jarang, ia boleh muncul semula walaupun selepas pembedahan. 

Risiko berulang ini lebih tinggi kalau pada awal diagnosis, kanser tersebut telah menunjukkan tanda-tanda menyebar ke nodus limfa atau kalau terdapat faktor genetik tertentu seperti mutasi BRAF V600E yang dikaitkan dengan tingkah laku kanser yang lebih agresif.

Anggaran kadar berulang bagi PTMC secara keseluruhan adalah sekitar 2 hingga 6 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Rawatan utama bagi PTMC selalunya melibatkan pembedahan, sama ada pembuangan satu lobus tiroid (lobektomi) atau keseluruhan tiroid (total thyroidectomy), bergantung pada kes. Dalam beberapa situasi tertentu, doktor mungkin mencadangkan rawatan susulan seperti terapi radioiodin (RAI) untuk memusnahkan sisa sel tiroid atau kanser yang tertinggal. 

Selepas rawatan, pemantauan jangka panjang akan diteruskan melalui ujian darah untuk melihat paras thyroglobulin, iaitu penanda tumor bagi pesakit kanser tiroid serta imbasan ultrasound dari semasa ke semasa.

Kesimpulannya, walaupun PTMC dianggap sebagai ‘kanser yang baik’ dari segi kelakuannya, ia tetap membawa nama kanser dan memerlukan perhatian serta rawatan yang sesuai. Ia kecil, ya tapi tak boleh dipandang enteng. 

Disiplin dalam pemantauan dan susulan rawatan sangat penting bagi mengelakkan risiko berulang. Dengan pengesanan awal dan rawatan yang betul, peluang untuk sembuh adalah sangat tinggi dan kebanyakan pesakit dapat meneruskan hidup dengan baik dan normal.

Moga mendapat sedikit ilmu. 

You Might Also Like

0 comments