Luka kencing manis: Bahaya diam yang mungkin tak kita sedari.

By July 14, 2025

Luka kecil bagi orang biasa mungkin tak mendatangkan masalah. Namun bagi mereka yang menghidap kencing manis, luka yang kelihatan remeh itu boleh jadi sesuatu yang sangat serius, malah membawa kepada risiko kehilangan anggota badan. Nauzubillah. 

Namun, inilah realiti luka kencing manis atau lebih dikenali sebagai ulser diabetik. Ia adalah bahaya yang diam, perlahan-lahan merebak tanpa sedar dan sedihnya hal ni sering kali diabaikan.

Luka pada pesakit diabetes tak sembuh macam biasa sebab tubuh mereka berhadapan dengan beberapa kekangan dalaman. Gula dalam darah yang tinggi secara konsisten akan mengganggu proses semula jadi penyembuhan luka. 

Selain itu, kerosakan pada saluran darah menyebabkan bekalan oksigen dan nutrien ke bahagian yang luka menjadi terbantut. Dalam banyak kes, pesakit juga mengalami kerosakan saraf (neuropati) yang menjadikan mereka tak sedar bahawa mereka terluka sebab takde rasa sakit, takde isyarat untuk bertindak.

Apa yang membimbangkan, luka ini mudah dijangkiti pelbagai jenis kuman. Antara bakteria yang kerap menyerang termasuk Staphylococcus aureus, Streptococcus pyogenes dan Pseudomonas aeruginosa. Sesetengah kuman seperti MRSA dan bakteria anaerob bukan sahaja tahan terhadap antibiotik, malah boleh menyebabkan jangkitan yang merebak hingga ke tulang dan seluruh tubuh. 

Luka kencing manis: Bahaya diam yang mungkin tak kita sedari.

Dalam banyak kes, kegagalan mengenal pasti dan merawat jangkitan ini lebih awal menyebabkan luka menjadi semakin besar, bernanah, berbau dan akhirnya memerlukan pembedahan atau amputasi.

Penjagaan luka yang betul adalah satu kemestian. Setiap luka perlu dicuci dengan larutan bersih seperti saline, dikeringkan secara perlahan dan dibalut dengan dressing yang sesuai, bukan dengan plaster biasa atau bahan yang tak disteril. 

Ramai masih menggunakan bahan-bahan yang tak sepatutnya seperti ubat gigi, serbuk kopi atau minyak panas dengan harapan luka cepat kering. Malangnya, langkah-langkah ini hanya membuka ruang untuk lebih banyak bakteria membiak dan menjadikan luka lebih teruk.

Rawatan profesional selalunya merangkumi pembersihan luka oleh pakar (debridement), penggunaan ubat topikal atau antibiotik berdasarkan ujian kultur dan pemantauan berterusan. Kawalan gula darah adalah asas utama penyembuhan. Tanpa bacaan gula yang stabil, usaha merawat luka hanyalah sia-sia. 

Selain rawatan perubatan, terdapat juga pendekatan semula jadi yang boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan, seperti penggunaan madu tualang steril, lidah buaya, minyak kelapa dara dan habbatus sauda namun hanya sebagai sokongan, bukan pengganti rawatan klinikal.

Dalam banyak situasi, tanda-tanda awal jangkitan sering diabaikan. Luka yang berair, berbau busuk, berwarna kehitaman atau menyebabkan demam patut segera dinilai oleh doktor. Jangan tunggu sampai luka jadi kronik sebab time itu, satu-satunya pilihan mungkin hanyalah pemotongan anggota.

Apa yang lebih penting dari segala rawatan adalah kesedaran. Ramai yang tak tahu bahawa luka kecil di kaki pesakit diabetes boleh menjadi titik mula kepada krisis kesihatan yang lebih besar. Penjagaan kaki, pemeriksaan harian, pemilihan kasut yang betul dan pemantauan kesihatan kulit adalah langkah pencegahan yang mudah tetapi sangat berkesan. Malangnya, langkah-langkah ini jarang diberi perhatian sehinggalah sudah terlambat.

Luka kencing manis bukan sekadar isu perubatan. Ia menyentuh soal kualiti hidup, ketahanan mental dan beban emosi kepada pesakit dan penjaga. Luka yang tak sembuh bukan saja menyakitkan fizikal, malah mengganggu emosi dan meragut keyakinan diri.

Justeru, sebarkan kesedaran ini. Mungkin dengan satu perkongsian, satu bacaan, satu nasihat kita menyelamatkan kaki seseorang. Atau lebih penting lagi, menyelamatkan nyawanya.

Moga bermanfaat. 

You Might Also Like

0 comments