Apa itu grave disease? Kenali punca, gejala dan kenapa ia bukan kanser tiroid.

By July 16, 2025

Grave disease atau nama lainnya penyakit Graves adalah sejenis gangguan autoimun yang menyebabkan kelenjar tiroid bekerja terlalu aktif. Dalam bahasa perubatan, keadaan ini dikenali sebagai hipertiroidisme iaitu apabila kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan daripada yang diperlukan oleh tubuh.

Apa yang berlaku dalam penyakit Graves ialah sistem imun badan ‘keliru’ dan mula menghasilkan antibodi yang dipanggil thyroid-stimulating immunoglobulins (TSI). Antibodi ini merangsang kelenjar tiroid untuk terus menghasilkan hormon, walaupun badan sebenarnya tidak memerlukannya. Akibatnya, kadar metabolisme badan menjadi sangat laju, dan pelbagai fungsi tubuh mula terganggu.

Antara tanda-tanda penyakit ini termasuk degupan jantung yang laju dan tidak sekata, penurunan berat badan yang mendadak tanpa sebab yang jelas, tangan menggeletar, berpeluh berlebihan, dan gangguan tidur. 

Sesetengah pesakit juga mengalami perubahan pada mata seperti mata yang kelihatan menonjol atau membengkak, satu keadaan yang dikenali sebagai Graves' ophthalmopathy. Gejala ini terjadi kerana antibodi juga boleh menyerang tisu di belakang mata.

Apa itu grave disease? Kenali punca, gejala dan kenapa ia bukan kanser tiroid.
Apa itu grave disease? Kenali punca, gejala dan kenapa ia bukan kanser tiroid. Kredit images to Google.

Penyakit Graves lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita, terutamanya yang berusia antara 30 hingga 50 tahun. Walaupun puncanya belum difahami sepenuhnya, faktor genetik dan tekanan emosi dipercayai menyumbang kepada kemunculan penyakit ini. Merokok juga dikenal pasti sebagai faktor risiko yang meningkatkan kebarangkalian komplikasi mata yang lebih teruk.

Penting untuk difahami bahawa Grave disease bukanlah kanser tiroid. Ia tidak melibatkan pertumbuhan sel tiroid yang abnormal atau berbahaya, sebaliknya ia berkait rapat dengan sistem imun yang menyerang kelenjar secara salah. 

Walaupun bukan kanser, Grave disease tetap berisiko kalau tak dirawat. Ia boleh menyebabkan masalah jantung, tulang yang rapuh (osteoporosis) dan krisis tirotoksik iaitu satu keadaan kecemasan yang mengancam nyawa.

Rawatan biasanya melibatkan ubat antitiroid, terapi radioaktif untuk mengecilkan kelenjar tiroid atau dalam sesetengah kes, pembedahan membuang kelenjar. Rawatan susulan secara berkala sangat penting untuk memastikan hormon tiroid kembali stabil dan tak menimbulkan komplikasi jangka panjang.

Kalau korang mengalami tanda-tanda seperti yang disebutkan tadi, terutamanya degupan jantung luar biasa, peluh berlebihan atau mata yang berubah, segeralah berjumpa doktor. Pemeriksaan darah untuk hormon tiroid (T3, T4, dan TSH) serta imbasan tiroid boleh membantu dalam mengenal pasti punca sebenar masalah kesihatan korang.

Lebih awal dikesan, lebih mudah rawatannya dan lebih tinggi kualiti hidup pesakit.

You Might Also Like

0 comments