Pukul sebab nak mengajar? Wajar ke?

Ada suami bila dah hilang sabar, ayat yang selalu keluar ialah, “Aku dah lama bersabar dengan perangai kau.” Seolah-olah pukulan itu wajar hanya sebab emosi dah terlalu penuh.

Tapi pernah tak suami duduk diam sekejap dan fikir, selama ini siapa sebenarnya yang lebih banyak memendam rasa?

Kadang-kadang seorang isteri bukan tak sakit hati. Bukan tak kecewa.bBukan tak penat melayan perangai suami yang panas baran, suka meninggikan suara, ego tak mahu mengaku salah, balik rumah muka masam, susah berbincang, kurang membantu atau mudah melepaskan marah pada orang rumah.
Cuma ramai isteri memilih diam.

Diam bukan sebab tak terluka.
Diam sebab cuba menjaga rumah tangga.
Diam sebab masih hormat suami.
Diam sebab tak mahu anak-anak nampak ibu ayah bergaduh.
Dan ada juga yang diam sebab terlalu penat untuk menjelaskan apa yang dia rasa.

Malangnya, bila seorang isteri mula bersuara selepas terlalu lama memendam, dia pula dilabel melawan, biadab atau buat suami hilang sabar. Hakikatnya, memukul bukan cara mendidik.bTak kira apa pun alasan, tangan yang sepatutnya melindungi bukan digunakan untuk menyakiti.

Seorang perempuan berkahwin bukan untuk jadi tempat suami melepaskan kemarahan. Dia tinggalkan keluarga, belajar hidup dengan orang baru, menyesuaikan diri dengan perangai suami, mengandung, melahirkan anak, urus rumah, simpan penat sendiri. Semua itu bukan perkara kecil ya. 

Pukul sebab nak mengajar? Wajar ke?

Bayangkan perempuan yang setiap hari tidur sebelah kita, masakkan makanan untuk kita, jaga anak-anak kita akhirnya menangis sebab tangan kita sendiri. Luka pada badan mungkin boleh hilang. Tapi luka dalam hati kadang-kadang bertahun tak sembuh.

Ada isteri yang masih mampu senyum depan orang walaupun dalam hati takut bila suami mula naik suara.

Ada yang setiap kali dengar bunyi tapak kaki suami balik rumah, dada terus berdebar sebab takut malam itu akan jadi medan marah lagi.

Dan lebih sedih, ada anak-anak yang membesar dengan trauma melihat ibu mereka dipukul depan mata.

Anak lelaki mungkin membesar dengan fikiran bahawa memukul isteri itu normal bila marah.

Anak perempuan pula mungkin membesar dengan kepercayaan bahawa disakiti pasangan adalah sesuatu yang perlu ditahan demi mempertahankan rumah tangga. 

Sedangkan kasih sayang tak sepatutnya membuat seseorang hidup dalam ketakutan.

Kalau benar dah terlalu lama bersabar, berbincanglah.
Kalau terlalu banyak salah faham, carilah jalan untuk berbicara.
Kalau emosi tak terkawal, belajarlah untuk diam sekejap sebelum marah meledak.

Seorang lelaki tak akan jadi lemah hanya kerana memilih untuk mengawal tangan dan kemarahan. Malah lelaki yang benar-benar kuat ialah lelaki yang mampu menahan marah ketika emosinya sedang memuncak. Rumah tangga bukan tempat mencari siapa paling berkuasa. Ia tempat dua manusia belajar memahami kekurangan masing-masing.

Dan buat para suami, cuba tanya diri sendiri dengan jujur. Kalau ibu atau adik perempuan kita dipukul suami atas alasan nak mengajar, sanggupkah kita melihatnya? Kalau hati kita sendiri tak sanggup melihat perempuan yang kita sayang disakiti, kenapa tangan itu begitu mudah jatuh pada isteri sendiri? 

Isteri bukan musuh. Dia pasangan hidup yang sepatutnya dipeluk ketika penat, didengar ketika sedih dan dilindungi ketika lemah. Kerana dalam rumah tangga, rasa hormat dan kelembutan selalu lebih kuat daripada pukulan dan kemarahan. Wallahualam.

Post a Comment

Previous Post Next Post