Ada satu perkara yang makin biasa kebanyakan orang sekarang buat, iaitu semua benda rasa macam perlu dikongsi. Sedih sikit, update status. Marah sikit, tulis panjang-panjang. Kecewa dengan seseorang, terus luah dekat media sosial.
Ye faham, kadang-kadang bukan sebab nakkan perhatian pun, cuma rasa lega bila dapat luahkan apa yang terbuku dalam hati tu Memang betul, manusia perlukan tempat untuk meluah atau mengadu.
Tapi dalam masa yang sama, bukan semua hal kita orang lain kena tau.
Ada perkara yang lebih baik disimpan kemas dalam hati atau diluahkan hanya kepada orang yang betul-betul kita dipercayai.
Bukan sebab kita kena pendam semuanya, tapi kerana tak semua orang mampu faham apa yang kita rasa. Ada yang mendengar untuk memahami dan ada juga yang mendengar sekadar nak tahu cerita je.
Bila kita terlalu terbuka berkongsi emosi, kadang-kadang kita sendiri akan penat di kemudian hari. Waktu marah, kita tulis ikut emosi. Waktu sakit hati, kita luah tanpa fikir panjang.
Tapi bila hati dah tenang, kita mula rasa malu, menyesal atau berharap orang lupa apa yang pernah kita kongsikan. Tapi, malangnya, tak semua benda di internet mudah hilang atau dipadam.
Ada juga masa, terlalu banyak berkongsi boleh membuka ruang untuk orang salah faham. Orang luar nampak satu bahagian cerita je, lalu pastu terus membuat andaian. Sedangkan mereka tak tahu keseluruhan situasi yang berlaku sebenarnya.
At last, masalah yang asalnya kecil jadi lebih besar sebab terlalu ramai yang masuk campur.
Menjaga privasi bukan bermaksud kita sombong atau memendam rasa. Ia sebenarnya lebih kepada satu bentuk menjaga diri. Lagipun bukan semua luka kita perlu tunjuk semata-mata nak buktikan kita sedang sakit atau terluka.
Kadang-kadang diam itu lebih menenangkan. Kadang-kadang memilih untuk tak bercerita adalah cara kita menjaga hati sendiri.
So, belajarlah berpada-pada dalam meluahkan perasaan sebab ia mengajar kita untuk lebih matang mengawal emosi. Tak semua rasa marah perlu dilepaskan time itu jugak.
Tak semua kecewa perlu diumumkan kepada semua orang. Ada waktunya kita perlu beri ruang untuk diri sendiri untuk bertenang dulu sebelum bercakap atau bertindak.
Dalam hidup ni, ada perkara yang lebih indah bila disimpan rapi. Bahagia tak perlu terlalu ditayang dan sedih tak semestinya perlu diumumkan. Cukuplah orang yang benar-benar dekat tahu keadaan kita.
Selebihnya, biarlah hati belajar kuat sedikit demi sedikit.
Sebab pada akhirnya, ketenangan itu datang bila kita tahu membezakan antara apa yang perlu diluahkan dan apa yang lebih baik disimpan.
Tags:
muhasabah diri
