Bila seseorang berubah, jangan ungkit kisah silamnya.

Ada orang mudah nak judge atau tengok seseorang itu pada masa lalu sampai terlupa bahawa manusia boleh berubah. Kita nampak kesilapan dia, kelemahan dia, perangai lama dia tapi kita tak nampak mungkin setiap malam yang dia lalui sendirian untuk cuba jadi lebih baik.

Hakikatnya, proses untuk berubah bukan sesuatu yang mudah ye. Lagi-lagi bila perbuatan tu dah jadi umpama darah daging. Ada yang terpaksa lawan rasa kecewa, lawan trauma, lawan diri sendiri, malah ada yang jatuh berkali-kali sebelum akhirnya mampu bangun semula. 

Jadi, bila seseorang mula berubah ke arah yang lebih baik, perkara paling kecil yang kita boleh buat adalah menghargai usaha itu, bukan mengungkit apa yang pernah berlaku dulu.

Kadang-kadang, ayat seperti “dulu bukan main lagi dia ni” atau “alah, aku tahu perangai lama dia macam mana” nampak biasa pada orang yang bercakap. Tapi pada orang yang sedang cuba bina hidup baru, ayat itu boleh jadi sangat menyakitkan. Ia seolah-olah menarik dia kembali ke tempat yang dia cuba tinggalkan.

Bila Seseorang Berubah, Jangan Ungkit Kisah Silamnya

Ye, semua orang ada masa silam. Tak ada manusia yang hidup sempurna tanpa pernah buat silap. Bezanya cuma ada orang simpan kesalahan mereka secara diam dan ada yang kesilapan mereka pernah dilihat ramai. Sebab itu, kita tak perlu jadi hakim kepada perjalanan hidup orang lain.

Kalau seseorang sedang cuba berubah, beri ruang untuk dia berkembang. Berilah sokongan walaupun kecil, doakan yang baik atau sekadar tak mengungkit kisah lama pun dah cukup besar nilainya. Kadang-kadang, orang yang pernah jatuh paling teruk itulah yang paling menghargai peluang untuk jadi lebih baik.

Dan mungkin suatu hari nanti, kita juga akan berada di tempat yang sama. Kita juga berharap orang lain melihat siapa diri kita hari ini, bukan terus menghukum berdasarkan siapa kita semalam.

Walaupun bukan mudah untuk bangkit, tapi lebih susah bila orang sekeliling tak pernah benarkan kita benar-benar berubah. Begitulah....

Post a Comment

Previous Post Next Post