Ada orang tanpa dia sedar, dia cepat sangat menilai seseorang hanya melalui apa yang dia nampak di mata. Bila nampak orang kurang upaya (OKU), ada yang terus rasa simpati berlebihan, ada juga yang tanpa sedar pandang rendah pada mereka.
Hakikatnya, kedua-dua reaksi ni sebenarnya datang dari satu perkara yang sama, iaitu kita tak betul-betul mengenali siapakah mereka sebenarnya.
OKU bukan sekadar label. Mereka adalah manusia biasa yang ada impian, usaha dan semangat yang kadang-kadang jauh lebih kuat daripada kita yang cukup sifat ni. Apa yang membezakan cuma cara mereka jalani kehidupan.
Dan percaya atau tak, ramai antara mereka yang hidup lebih berdikari, lebih kental malah dan lebih positif berbanding kita.
Bayangkan hidup dengan cabaran yang orang lain tak perlu hadap setiap hari. Perkara yang bagi kita nampak mudah, bagi mereka mungkin perlukan usaha dua kali ganda. Tapi mereka tetap bangun, tetap cuba dan tetap tak mengalah. Itu bukan sesuatu yang kecil ye, itulah luar biasa.
Masalahnya, ada manusia dalam masyarakat kita masih ada mempunyai mindset di takuk lama. Orang macam ni selalu nampak kekurangan dulu sebelum nampak kelebihan. Dia cepat rasa kesian tapi jarang benar-benar bagi peluang. Sedangkan apa yang OKU perlukan bukan simpati semata-mata, tapi kepercayaan dan ruang untuk buktikan kemampuan.
Kalau kita ubah cara pandang sikit je, kita akan mula nampak sesuatu yang berbeza. Kita akan nampak keberanian dalam diri mereka. Kita akan nampak usaha yang konsisten walaupun penuh cabaran. Kita akan nampak bahawa mereka juga mampu berjaya, malah kadang-kadang lebih hebat.
Namun, apa yang paling penting adalah rasa hormat. Hormat tu simple tapi besar maknanya. Layan mereka macam manusia biasa, bukan macam berbeza. Tak perlu terlalu kasihan, tak perlu juga menjauh.
Cukup sekadar jadi manusia yang faham dan menghargai. Sebab dalam dunia ni, setiap orang sedang berjuang dengan cara masing-masing. Bezanya cuma ada yang nampak, ada yang tak.
Jadi lepas ni, bila korang jumpa OKU, cuba buang dulu segala persepsi. Tengok mereka sebagai individu, bukan kekurangan mereka. Mana tahu, dari situ korang sendiri akan belajar sesuatu yang selama ni kita terlepas pandang iaitu erti sebenar kekuatan.
Moga bermanfaat.
_20260414_165901_0000.png)
0 Comments