Perkataan goiter mungkin biasa didengar oleh mereka yang alami masalah tiroid, namun tak ramai yang betul-betul faham apa kaitannya dengan bacaan TIRADS.
Bila doktor cakap ada goiter, kemudian keluar pula keputusan ultrasound yang menyebut “TIRADS 2” atau “TIRADS 4”, ramai terus risau dan terbayang yang bukan-bukan. Sebenarnya, dua istilah ini adalah perkara yang berbeza ye.
Goiter sebenarnya ialah keadaan di mana kelenjar tiroid menjadi lebih besar daripada biasa. Penyebabnya pula macam-macam. Ada yang sebab kekurangan iodin, ada akibat ketakseimbangan hormon, ada sebab keradangan dan ada juga sebab wujudnya nodul atau ketulan kecil dalam kelenjar tiroid itu sendiri.
Goiter tak semestinya bahaya, tapi ia petanda bahawa tiroid kita perlukan perhatian. Di sinilah ramai mula keliru tentang TIRADS.
TIRADS bukan penanda goiter dan bukan jugak “tahap penyakit tiroid”. TIRADS sebenarnya adalah sistem skor yang doktor gunakan untuk menilai sama ada nodul tiroid itu berisiko rendah atau tinggi untuk jadi kanser.
Maksudnya, seseorang hanya akan dapat bacaan TIRADS kalau dalam goiter itu ada nodul. Kalau tiroid hanya membesar secara menyeluruh tanpa ketulan, selalunya takde sebab untuk memberikan skor TIRADS.
Cara paling mudah untuk memahami hubungan goiter, nodul dan TIRADS adalah dengan membayangkan goiter sebagai sebuah rumah.
Rumah itu membesar, tapi persoalannya ialah, adakah rumah itu ada tetamu yang mencurigakan? Nodul ialah tetamu itu. TIRADS pula ialah cara doktor menilai sama ada tetamu tadi “baik-baik saja” atau perlu diperiksa lebih lanjut.
Semakin tinggi skor TIRADS, semakin tinggi risiko nodul itu perlu diuji dengan lebih mendalam, seperti melalui prosedur FNA (Fine Needle Aspiration).
Sebab itu, bila seseorang diberitahu mereka ada goiter dan nodul dinilai sebagai TIRADS 2 atau TIRADS 3, ia bukan bermaksud mereka ada kanser. Ia hanya bermaksud doktor sedang menilai ciri-ciri nodul tersebut, sama ada bentuknya, sempadannya, cara ia memantulkan ultrasound dan beberapa faktor lain.
Ramai orang panik bila nampak angka, sedangkan hakikatnya kebanyakan nodul tiroid adalah jinak dan hanya perlu pemantauan berkala.
Namun begitu, apa pun keadaan tiroid, tanda-tanda awal memang tak boleh diabaikan. Sama ada leher nampak bengkak, suara jadi serak tanpa sebab jelas, rasa susah menelan, jantung berdebar atau tubuh cepat letih, semuanya patut diberi perhatian.
Pemeriksaan tiroid bukan menyakitkan, hanya ultrasound tapi kesannya boleh membantu kita mencegah masalah lebih besar di kemudian hari.
Kesihatan tiroid mungkin nampak kecil kalau dibandingkan dengan organ lain, tapi kesannya pada tenaga, mood, metabolisme dan keseluruhan fungsi badan sangat besar. Awareness tentang goiter dan TIRADS sangat penting supaya masyarakat lebih faham, kurang takut dan lebih cepat bertindak bila ada tanda-tanda awal.
Dan paling penting, jangan biarkan istilah perubatan membuatkan kita panik. Yang penting ialah faham apa yang berlaku pada tubuh, tahu apa yang perlu dipantau dan buat pemeriksaan sebelum keadaan menjadi lebih rumit. Tiroid kecil saja saiznya, tapi penjagaannya jangan dibuat main.

No comments:
Post a Comment