Masuk usia 40-an sebenarnya satu fasa yang sangat istimewa. Ia bukan lagi tentang mengejar dunia semata-mata, tapi mula beralih kepada mencari ketenangan, makna hidup dan persediaan untuk akhirat. Badan pun dah tak sama macam dulu, tenaga semakin berkurang dan masa pula terasa makin cepat berlalu.
Sebab itulah pada usia ini, kita digalakkan untuk mula mengurangkan beberapa perkara yang membebankan diri dan dalam masa yang sama memperbanyakkan perkara yang membawa manfaat untuk dunia dan akhirat.
Contohnya, kita disarankan untuk kurangkan makan berlebihan dan mula membiasakan diri berpuasa, sama ada puasa sunat atau sekadar mengawal kuantiti makanan. Bukan sekadar untuk kesihatan fizikal, tapi juga untuk mendisiplinkan diri dan menundukkan nafsu.
Begitu juga dengan percakapan. Makin banyak kita bercakap, makin besar kemungkinan kita tersilap kata. Jadi lebih baik kurangkan bercakap perkara yang tidak berfaedah dan gantikan dengan memperbanyakkan zikir, istighfar dan selawat agar hati lebih tenang.
Waktu tidur pula, bukan bermaksud kita perlu menyeksa diri, tapi elok kalau dapat kurangkan tidur yang berlebihan dan gunakan sedikit masa malam untuk beribadah, walaupun hanya beberapa minit untuk solat sunat dan berdoa. Ia boleh jadi sumber ketenangan dan kekuatan jiwa yang luar biasa.
Dalam masa yang sama, kita juga digalakkan mengurangkan gaya hidup bermewah-mewah dan mula memperbanyakkan sedekah. Tidak semestinya wang, boleh jadi dalam bentuk doa, tenaga, senyuman atau bantuan kecil kepada orang lain.
Pada usia ini juga, hubungan sosial perlu lebih terkawal. Kurangkan pergaulan yang melalaikan dan banyakkan masa untuk bermuhasabah diri, menilai apa yang telah dan belum kita capai, dosa yang perlu dibaiki dan amalan yang perlu dipertingkatkan.
Bila berdepan ujian hidup, cubalah kurangkan mengeluh. Sebaliknya, banyakkan berdoa dan mengadu kepada Allah kerana menghadapkan segala keluh kesah kepada manusia tidak akan mengubah apa-apa, malah kadang-kadang hanya menambahkan beban di hati.
Fokus hidup juga mula perlu diubah. Kurangkan mengejar aktiviti yang hanya memberi keuntungan dunia dan tambah aktiviti yang bermanfaat untuk akhirat. Hati-hati juga dalam soal meminta. Kurangkan meminta kepada manusia dan biasakan diri untuk memberi, walaupun sedikit.
Dan yang paling penting, jangan terlalu bergantung kepada manusia kerana manusia juga serba kekurangan. Gantungan sebenar hanyalah kepada Allah SWT, yang tak pernah lalai dan tak pernah mengecewakan hambaNya.
Kesimpulannya, usia 40 bukan penamat kehidupan, tetapi sepatutnya menjadi titik tolak untuk kehidupan yang lebih bermakna. Lebih sederhana, lebih tenang, lebih dekat dengan Tuhanbdan lebih bersedia untuk apa yang menanti selepas kehidupan di dunia ini.
Begitulah.

No comments:
Post a Comment