3 December 2025

Kenapa ada orang susah nak move on walaupun katanya dah maafkan?

Tak dinafikan, ada perkara dalam hidup yang meninggalkan kesan lebih lama daripada yang kita sangka. Ada orang boleh terus bangkit dan jalan macam biasa, tapi ada juga yang tersangkut di tengah perjalanan. Bukan sebab dia tak nak move on, tapi sebab luka yang tinggal dalam hati tu terlalu mendalam.

Ramai orang boleh cakap, “Saya dah maafkan.” Dan selalunya, itu bukan tipu. Dia memang dah memilih untuk memaafkan. Tapi memaafkan dan melupakan adalah dua perkara yang sangat berbeza. 

Memaafkan ialah keputusan, tapi melupakan ialah proses yang perlahan. Kita boleh pilih untuk maaf hari ini, tapi memori dan rasa tu tetap perlukan masa untuk pudar.

Kenapa ada orang susah nak move on walaupun katanya dah maafkan?

Kadang-kadang ada hal kecil yang boleh jadi pencetus. Tempat yang pernah dikunjungi, lagu yang pernah dikongsi, ayat yang bunyinya hampir sama atau perangai seseorang yang mengingatkan pada seseorang yang pernah melukakan. Benda-benda kecil ni boleh hidupkan balik memori yang kita sangka dah mati. 

Bukan sebab nak menyalahkan sesiapa, tapi otak manusia memang dicipta untuk mengingat perkara yang meninggalkan kesan kuat sebagai bentuk perlindungan. Ia seolah-olah berkata, “Dulu kau pernah sakit dekat sini. Hati-hati.”

Orang yang sukar move on selalunya ialah orang yang benar-benar menjiwai sesuatu. Bila mereka sayang, mereka sayang habis-habisan. Bila percaya, mereka percaya sepenuhnya. Namun, bila terluka, memang dalam. Luka yang dalam ambil masa lama untuk sembuh, sama seperti luka fizikal. Tak nampak dari luar, tapi pedihnya tetap terasa.

Dan proses healing itu bukan satu garisan lurus. Ada hari dia bangun rasa kuat dan mampu ketawa macam takde apa yang jadi. Ada hari pula memori lama terjah kembali dan hati rasa berat tanpa sebab yang jelas. Itu normal. Itu fitrah manusia.

Jadi, kalau kita pernah tertanya-tanya kenapa seseorang masih teringat-ingat walaupun dia dah maafkan, jawapannya mudah. Dia belum sepenuhnya sembuh. Dan itu bukan kelemahan. Itu cuma bukti bahawa dia pernah sayang, percaya dan berharap dengan sungguh-sungguh.

Kadang bukan dia tak move on, dia cuma sedang belajar berjalan semula, perlahan-lahan. Dan setiap langkah kecil itu tetap sebuah kemajuan. 

No comments:

Post a Comment