Betul ke hypothyroid penyebab rasa letih melampau?
Hypothyroid berlaku bila kelenjar tiroid tak menghasilkan hormon tiroid yang cukup. Hormon ini penting sebab dia mengawal metabolisma tubuh iaitu macam mana badan guna tenaga, kawal suhu badan, sokong kesihatan mental dan emosi serta banyak lagi.
Bila hormon ini kurang, metabolisma badan jadi slow, seolah-olah seluruh sistem tubuh korang berada dalam mode slow and steady. Akibatnya, korang akan mudah berasa penat walaupun baru bangun tidur, badan rasa berat dan tak bermaya dan fikiran pun menjadi kabur iaitu brain fog.
Selain itu, simptom-simptom lain yang sering dialami oleh penghidap hypothyroid termasuklah peningkatan berat badan walaupun tak makan banyak, sembelit yang kerap, kulit jadi kering, rambut gugur tanpa sebab yang jelas termasuklah perubahan emosi seperti cepat sedih, mudah murung atau rasa hilang semangat.
Sesetengah wanita juga mengalami kitaran haid yang tak menentu atau lebih banyak daripada biasa. Ada juga yang rasa sejuk walaupun berada dalam cuaca panas, dan ini adalah salah satu lagi tanda bahawa metabolisma tubuh telah menjadi perlahan.
Jadi, apa yang boleh dilakukan?
Langkah pertama yang paling penting ialah memastikan dos ubat yang diambil adalah tepat dan sesuai. Ubat utama yang biasa diberikan kepada pesakit hypothyroid ialah levothyroxine (nama lain: Eltroxin, Thyroxine atau Euthyrox). Dos ubat ini perlu dipantau secara berkala, biasanya melalui ujian darah seperti TSH dan FT4 setiap enam bulan atau mengikut nasihat doktor.
Kalau result TSH masih tinggi walaupun sudah mengambil ubat, ini mungkin menandakan dos yang diambil masih tak mencukupi dan inilah antara sebab utama kenapa ramai pesakit masih berasa letih walaupun patuh mengambil ubat.
Pengambilan ubat juga perlu dilakukan dengan cara yang betul agar keberkesanannya tak terganggu. Levothyroxine perlu diambil seawal pagi ketika perut kosong dan sekurang-kurangnya 30 hingga 60 minit sebelum makan. Elakkan mengambilnya bersama susu, kopi atau suplemen seperti zat besi dan kalsium kerana semua ini boleh mengurangkan penyerapan ubat ke dalam badan.
Pemakanan juga memainkan peranan penting dalam pengurusan hypothyroid. Sesetengah makanan seperti kubis, brokoli, taugeh, keledek, soya dan produk berasaskan soya seperti tempeh dan tofu mengandungi sejenis bahan yang dipanggil goitrogen. Bahan ini boleh mengganggu fungsi kelenjar tiroid kalau diambil secara berlebihan dalam bentuk mentah. Namun begitu, bila dimasak, kesan goitrogen ini biasanya akan berkurangan. Jadi, takde masalah untuk mengambilnya secara sederhana dan dalam bentuk masakan.
Walaupun keletihan merupakan cabaran utama bagi pesakit hypothyroid, senaman ringan tetap sangat digalakkan. Aktiviti seperti berjalan kaki, regangan atau senaman ringkas selama 10 hingga 15 minit sehari boleh membantu meningkatkan tenaga secara perlahan-lahan. Ia juga menyumbang kepada kesihatan mental dan tidur yang lebih berkualiti.
Akhir sekali, tidur yang mencukupi dan pengurusan stres amat penting. Stres yang tak terkawal boleh memburukkan lagi gejala hypothyroid. Mengamalkan rutin tidur yang konsisten, melakukan teknik relaksasi seperti pernafasan dalam, serta menjaga waktu solat dan ibadah mampu membantu tubuh menjadi lebih seimbang dan tenang.
Kalau korang telah pun mengambil ubat dengan betul tapi masih rasa letih, adalah penting untuk korang discuss balik dengan doktor yang merawat. Mungkin dos ubat belum sesuai atau terdapat faktor lain seperti kekurangan zat besi, vitamin B12 atau vitamin D yang turut memberi kesan kepada tahap tenaga harian.
So, keletihan yang dialami oleh penghidap hypothyroid bukan sekadar masalah tidur atau rehat yang tak cukup. Ia berpunca daripada ketidakseimbangan hormon dalam badan yang memerlukan perhatian serius, rawatan berterusan dan penjagaan menyeluruh dari segi ubat, pemakanan, gaya hidup dan kesihatan mental. Dengan kesedaran dan usaha yang konsisten, tubuh boleh kembali bertenaga dan minda lebih segar, insyaAllah.
Moga sihat selalu.
0 comments