Entah kenapa, semakin kita dewasa, semakin kerap pula kenangan zaman sekolah datang mengetuk pintu hati.
Kadang-kadang hanya sebab terdengar satu lagu lama. Kadang-kadang sebab ternampak gambar sekolah yang dah kekuningan. Kadang-kadang pula bila lalu depan sekolah lama, kita tiba-tiba terfikir, “Dulu aku pernah sekolah kat sini.”
Dan dalam sekelip mata, kita macam dibawa balik ke satu zaman yang sudah lama kita tinggalkan. Zaman di mana masalah terbesar kita mungkin terlupa bawa buku latihan, duit belanja tak cukup atau kena marah cikgu sebab tak siap kerja sekolah.
Masa tu kita rasa semua benda susah. Nak datang sekolah pagi-pagi pun mengeluh. Nak buat kerja sekolah pun rasa macam satu beban dunia. Nak tunggu loceng balik pula, lima minit terasa macam lima jam. Tapi peliknya, bila dah dewasa camni kita rindu pulak dengan semua kenangan tu.
Rindu bunyi loceng sekolah. Rindu suara cikgu yang dari jauh pun kita dah kenal. Rindu meja dan kerusi yang penuh dengan contengan nama sendiri dan nama kawan. Rindu kantin sekolah yang makanannya biasa-biasa je, tapi rasa paling sedap di dunia. Rindu air sirap dalam plastik. Rindu mi goreng yang kadang-kadang terlebih minyak. Rindu beli jajan sambil berdiri tepi kantin sebab meja semua dah penuh.
Dan paling kita rindu sebenarnya bukanlah sekolah itu. Tapi manusia yang pernah mengisi hari-hari kita di dalamnya.
Kawan-kawan.
Kawan yang dulu setiap hari kita jumpa, sekarang mungkin setahun sekali pun belum tentu. Dulu nak jumpa tak perlu merancang. Hari-hari ada. Pagi masuk kelas sama-sama. Rehat sama-sama. Kena marah cikgu pun sama-sama. Balik sekolah pun kadang-kadang masih sempat melepak dan borak macam tak ada kerja lain.
Sekarang?
Nak berjumpa kena tengok kalendar. “Free tak hujung minggu ni? “Aku tengok jadual dulu.” “Kalau tak dapat, bulan depan kita plan.”
Begitulah hidup. Dulu kita selalu berharap nak cepat besar. Nak habis sekolah. Nak kerja. Nak ada duit sendiri. Nak bebas buat apa yang kita suka.
Tak pernah kita sangka, rupanya menjadi dewasa datang bersama satu perkara yang kita tak pernah minta, rindu. Rindu pada zaman yang kita sendiri pernah tergesa-gesa mahu tinggalkan.
Kalau difikirkan semula, zaman sekolah sebenarnya penuh dengan perkara kecil yang kita anggap biasa. Bergaduh dengan kawan, kemudian esoknya baik semula. Berebut tempat duduk. Pinjam pemadam tapi lupa pulangkan. Tiru kerja sekolah lima minit sebelum cikgu masuk kelas. Ketawa sampai sakit perut sebab satu benda yang sebenarnya tak kelakar pun.
Dan ada juga kisah-kisah yang kita simpan sampai hari ini. Crush zaman sekolah. Surat kecil yang dilipat-lipat. Nama seseorang yang pernah ditulis berkali-kali dalam buku nota.
Dan yang paling lucu, dulu kita rasa kehidupan kita sangat besar. Kawan-kawan kita itulah dunia kita. Sekolah itulah tempat kita membesar. Masalah yang berlaku di dalam kelas terasa macam masalah paling besar dalam hidup.
Tapi hari ini, selepas bertahun-tahun berlalu, kita sedar rupanya itulah antara tahun-tahun paling sederhana dan paling bahagia dalam hidup kita.
Tak banyak yang kita ada. Tak banyak yang kita fikirkan. Tapi kita mampu ketawa dengan begitu mudah. Tak perlu bercuti jauh-jauh untuk rasa bahagia. Tak perlu telefon mahal. Tak perlu gambar cantik untuk dimuat naik. Cukup ada kawan di sebelah, makanan di tangan dan cerita yang tak habis-habis. Itu pun dah cukup.
Mungkin sebab itu kenangan zaman sekolah susah untuk hilang. Sebab ia bukan sekadar kenangan tentang bangunan, kelas atau buku teks. Ia adalah kenangan tentang versi diri kita yang dulu. Versi kita yang masih belum mengenal banyak kecewa.
Belum tahu betapa sibuknya hidup bila dewasa. Belum tahu bahawa sesetengah kawan yang kita fikir akan kekal selamanya akhirnya hanya tinggal nama dalam contact telefon. Belum tahu bahawa suatu hari nanti, kita akan sanggup buat apa saja untuk kembali menjadi budak sekolah walaupun untuk sehari.
Kalau diberi peluang untuk kembali ke zaman sekolah, mungkin kita tak akan minta banyak. Kita cuma mahu duduk semula di tempat yang sama.
Pakai uniform yang sama. Dengar bunyi loceng yang sama. Kemudian tengok kawan-kawan yang dulu dan berkata dalam hati, “Kalaulah aku tahu waktu tu akan jadi kenangan, mesti aku hargai lebih banyak.”
Tapi masa tak pernah berjalan ke belakang. Yang kita ada hanyalah kenangan. Dan mungkin itulah sebabnya sesekali, tak salah kalau kita berhenti sekejap daripada kesibukan hidup.
Buka semula album lama. Cari gambar-gambar sekolah. Tengok muka kawan-kawan yang dulu kita jumpa setiap hari. Ketawakan fesyen rambut zaman dulu. Geleng kepala tengok gambar sendiri. Kemudian tersenyum. Sebab walaupun masa itu sudah berlalu, ia pernah menjadi sebahagian daripada hidup kita.
Dan sampai bila-bila pun zaman sekolah akan tetap ada satu tempat istimewa dalam hati. Sebab ada sesetengah kenangan yang tak perlu kita hidupkan semula untuk kita rindukan.
Cukup sekadar mengingatinya, kita sudah boleh tersenyum.


No comments:
Post a Comment