Betul jugak orang kata, adab dulu baru ilmu.
Baru-baru ni viral satu kisah pergaduhan mulut antara seorang wanita dengan seorang lelaki yang dikatakan berpunca daripada isu potong barisan.
Kita yang tengok dari luar ni pun tahu, benda macam ni memang boleh buat orang rasa tak puas hati. Yelah, masing-masing dah beratur elok-elok, tiba-tiba ada yang potong barisan. Memang boleh buat darah naik ooo, haha.
Namun, yang jadi perhatian bukanlah semata-mata tentang isu potong barisan tu. Sebaliknya tentang cara kita bertindak bila ditegur. Daripada apa yang dikongsikan, wanita tersebut dikatakan melenting bila ditegur sampai mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar.
Tapi difahamkan juga, perselisihan faham tersebut akhirnya dah diselesaikan dan permohonan maaf juga telah dibuat. Kalau betullah semuanya dah selesai, Alhamdulillah.
Sebab bagi Cikla, manusia ni memang tak lari daripada buat silap. Kita bukan malaikat. Ada masa kita boleh bersabar, ada masa kita boleh terlepas cakap. Ada masa emosi menguasai diri sampai kita buat sesuatu yang bila difikirkan balik, kita sendiri rasa, “Eh, kenapalah aku buat macam tu tadi?” Kan?
Sebab tu dalam hidup ni, kita bukan hanya perlu belajar apa yang betul, tapi kita juga kena belajar camne nak sampaikan dan pertahankan sesuatu yang betul dengan cara yang betul.
Tak guna kita tahu banyak benda kalau bila ditegur sikit, terus melenting. Tak guna kita rasa diri kita betul kalau cara kita bercakap dengan orang lain sampai menyakitkan hati.
Dan tak guna juga kita nak menegur orang kalau teguran kita pula penuh dengan penghinaan dan kata-kata yang boleh memburukkan keadaan.
Adab tu penting.
Adab ketika bercakap. Adab ketika menegur.
Adab ketika ditegur. Malah, adab ketika kita sedang marah. Yang terakhir tu sebenarnya paling susah. Sebab masa kita tenang, memang mudah nak cakap, “Saya akan kawal emosi. Saya takkan marah.”
Tapi bila dah berdepan dengan situasi sebenar, bila ego tercuit, bila rasa kita diperlakukan tak adil, masa tu baru kita tahu sejauh mana kita mampu mengawal diri. Kadang-kadang perkara kecik pun boleh jadi besar hanya sebab memasing tak nak mengalah.
Yang asalnya cuma isu barisan, akhirnya jadi pertengkaran. Yang asalnya boleh settle dengan satu dua ayat, akhirnya jadi panjang sebab masing-masing nak membuktikan diri masing-masing betul. Padahal, tak semua perkara dalam hidup ni kita kena menang.
Ada masa mengalah bukan bermaksud kita kalah. Diam bukan bermaksud kita lemah. Minta maaf pulak bukan bermaksud maruah kita jatuh. Sebaliknya, mampu mengakui kesilapan dan meminta maaf itu menunjukkan kita cukup matang untuk mengenepikan ego.
Dan kalau kita berada di pihak yang menegur pula, tegurlah dengan cara yang baik.
Tak perlu jerit-jerit. Tak perlu memalukan orang. Tak perlu gunakan kata-kata yang boleh membuatkan keadaan bertambah panas.
Sebab tujuan menegur sepatutnya untuk memperbetulkan keadaan, bukannya untuk tunjuk yang kita lebih pandai, lebih baik atau lebih betul daripada orang lain.
Dalam masa yang sama, kita sebagai orang luar pun kena belajar sesuatu. Bila sesuatu perkara viral, mudah sangat kita nak jadi hakim. Tengok satu video, baca beberapa komen, lepas tu terus buat kesimpulan tentang seseorang.
Kita tak berada di tempat kejadian. Kita tak tahu apa yang berlaku sebelum dan selepas kejadian. Jadi, kalau perkara tersebut sudah diselesaikan, mungkin kita pun tak perlulah terus memanjangkan cerita atau menghukum orang tersebut berkali-kali.
Ambillah pengajaran. Itu lebih baik. Sebab mungkin hari ni kita nampak orang lain tersilap, tapi kita tak tahu bila pula kita akan berada dalam situasi yang sama.
Cuma bentuknya mungkin berbeza.
Mungkin bukan isu potong barisan. Mungkin dengan anak-anak. Mungkin dengan pasangan. Mungkin dengan kawan sekerja. Mungkin dengan orang yang tak dikenali. Dan mungkin juga dengan orang yang menegur kita tentang sesuatu yang memang kita buat salah.
Masa tu, mampukah kita terima teguran dengan hati terbuka? Atau kita akan terus melenting sebab ego tak membenarkan kita mengaku silap? Itulah yang patut kita fikirkan.
Sebenarnya, adab bukan hanya ketika kita berhadapan dengan orang yang kita suka. Adab kita paling jelas apabila kita berhadapan dengan orang yang kita tak setuju, orang yang menegur kita atau orang yang membuatkan kita marah.
Di situlah adab kita diuji. Dan cikla pun sama.
Kita semua masih belajar. Masih belajar untuk lebih sabar. Masih belajar untuk fikir sebelum bercakap. Masih belajar untuk menerima teguran. Masih belajar untuk mengawal emosi. Dan masih belajar untuk berkata “maaf” bila kita sedar kita dah tersilap.
So, daripada kita sibuk mencari siapa yang salah dan siapa yang betul dalam kisah yang viral ni, lebih baik kita jadikan ia sebagai cermin untuk diri sendiri.
Kalau aku berada dalam situasi tu, macam mana aku akan bertindak? Itu yang lebih penting. Sebab akhirnya, orang mungkin tak ingat apa ilmu yang kita ada. Orang mungkin tak ingat berapa banyak hujah yang kita keluarkan.
Tapi cara kita bercakap dengan mereka, cara kita melayan mereka dan cara kita mengawal diri ketika berdepan dengan konflik, benda tu mungkin mereka ingat lama.
Sebab tu orang kata, adab dulu, baru ilmu. Ilmu boleh membuatkan kita nampak bijak. Tapi adab yang baik membuatkan kita dihormati.
Semoga kita semua sentiasa belajar untuk menjaga tutur kata, mengawal emosi dan menghormati orang lain walaupun kita sedang tak bersetuju.
Dan kalau tersilap, jangan malu untuk mengaku. Sebab tak ada siapa yang rugi kerana meminta maaf. Kadang-kadang, satu perkataan maaf tu bukan tanda kita kalah. Tapi tanda kita cukup besar hati untuk memilih berdamai daripada terus mempertahankan ego.


No comments:
Post a Comment