Itulah ayat yang selalu kita dengar bila tangan tiba-tiba rasa kebas. Kadang-kadang baru bangun tidur, jari rasa semut-semut. Ada masa pegang telefon lama sikit pun tangan mula rasa mencucuk dan kebas.
Mula-mula mungkin nampak biasa. Tapi bila semakin kerap jadi, sampai terjaga waktu malam sebab tangan rasa kebas, itu mungkin petanda sesuatu yang dipanggil carpal tunnel syndrome.
Carpal tunnel syndrome berlaku bila saraf median di pergelangan tangan tertekan. Saraf ini penting kerana ia mengawal rasa pada ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan sebahagian jari manis. Bila saraf ini mula terhimpit, badan akan mula beri signal seperti kebas, semut-semut atau rasa seperti elektrik pada jari.
Ramai sebenarnya tak sedar simptom awal carpal tunnel. Ada yang ingat cuma penat bekerja. Ada yang fikir sebab terlalu banyak pegang telefon. Malah ada juga yang hanya tahan dan biarkan bertahun-tahun.
Biasanya simptom bermula perlahan-lahan. Contohnya ketika memandu, menaip, memasak atau pegang telefon terlalu lama, tangan mula rasa kebas. Waktu malam pula simptom boleh jadi lebih teruk sampai terbangun dari tidur. Ada orang secara spontan akan menggoncang tangan sebab rasa itu sedikit melegakan.
Lama-kelamaan, tangan boleh jadi semakin lemah. Barang mudah terjatuh. Nak buka penutup botol pun rasa susah. Dalam keadaan lebih serius, otot di bahagian bawah ibu jari boleh nampak semakin mengecil.
Antara golongan yang lebih berisiko mengalami carpal tunnel termasuk mereka yang banyak menggunakan tangan secara berulang, wanita hamil, pesakit diabetes, individu dengan masalah tiroid, serta mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.
Sebab itu penting untuk tak mengabaikan simptom kebas tangan yang berulang. Bukan semua kebas tangan bermaksud carpal tunnel, tapi kalau ia berlaku dengan kerap terutama pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah, elok dapatkan pemeriksaan doktor. Lagi awal dirawat, lagi baik peluang untuk mengurangkan tekanan pada saraf sebelum menjadi lebih teruk.
Rawatan pula bergantung pada tahap simptom. Ada yang hanya perlu ubah cara penggunaan tangan, kurangkan pergerakan berulang dan memakai wrist splint ketika tidur. Ada juga yang memerlukan fisioterapi, ubat atau rawatan lanjut jika saraf sudah terlalu tertekan.
Kadang-kadang badan kita dah beri hint lebih awal. Cuma kita yang selalu anggap ia perkara kecil. Jadi kalau tangan selalu kebas, jangan sekadar sapu minyak dan tahan sendiri. Dengar juga apa yang badan cuba sampaikan.
Tags:
health
