'Santai Tapi Sampai'

5 July 2022

Raih peluang istimewa di bulan Zulhijjah.

Tak lama lagi kita nak menyambut raya haji kan. Kejap jer rasa dah nak raya lagi, hihi. Namun, tahukah korang, pelbagai peluang istimewa sedang menanti kita pada bulan Zulhijjah khususnya pada 10 hari pertama.Rugilah jika hari-hari yang penuh keutamaan dan kemuliaan ini berlalu begitu sahaja.  Antara kelebihan di bulan Zulhijjah;

1.  Keutamaan beramal soleh Pada 10 Awal Zulhijjah.

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini (1 – 10 Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid." (Musnad Ahmad No: 5879) Hadis Hasan.

Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah (1 hingga 10 Zulhijjah) tak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan sebagainya. 

2.  Puasa sunat Arafah menghapuskan dosa dua tahun.

Rebutlah kelebihan untuk berpuasa sunat hari Arafah. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Daripada Abu Qatadah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa hari 'Arafah saya berharap dari Allah dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya." Para ulama mensunnahkan puasa 'Arafah kecuali jika berada di 'Arafah. (Sunan Tirmizi No: 680) Hadis Sahih.

3.  Hari Arafah antara sebaik-baik waktu dan tempat berdoa.

Satu daripada kelebihan pada Hari Arafah selain berpuasa sunat ialah waktu berdoa. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya;

Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah: "LAA ILAAHA ILLALLAHU WAHDAHUU LAA SYARIIKALAHU LAHUL MULKU WALAHUL HAMDU WAHUWA 'ALAA KULLI SYAI'IN QADIIR (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan dan bagiNya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu).” [HR. Tirmizi no. 3509]. Hadis Hasan.

4.  Ibadah korban adalah amal yang lebih disukai Allah pada AidilAdha.

Amalan yang Allah lebih suka kepada hambanya pada Hari Raya AidilAdha ialah melaksanakan ibadat korban. Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud;

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada ‘Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya.” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan.

Jom kita rebut pelbagai kelebihan yang ada pada bulan Zulhijjah ini.

Kredit : Dakwah_Bidadari.

No comments:

Post a Comment