29/11/2026

Husnuzon itu memang susah, tapi....

Husnuzon atau bersangka baik. Dua perkataan yang nampak mudah disebut, tapi hakikatnya bukan mudah nak diamalkan. Korang setuju tak?

Kalau orang buat baik dengan kita, memang senanglah kita nak bersangka baik. Senyum pun sampai ke telinga. Tapi, bila orang buat sesuatu yang mengguris hati, mula datang macam-macam persoalan dalam kepala.

"Kenapalah dia buat macam tu?" "Dia saja je ke buat macam tu?" "Dia tak fikir ke perasaan orang lain?"

Haa... sudah! Mulalah otak tu nak fikir bukan-bukan. Belum sempat orang itu bagi explain, kita dah buat macam-macam andaian. Siap ada skrip pakej pelakon dengann jalan cerita sendiri. Haha. 

Sebenarnya kan korang, di situlah ujian husnuzon kita bermula.

Bukan semua perkara yang berlaku perlu kita tafsirkan daripada sudut yang negatif. Kadang-kadang, ada perkara yang kita tak tahu pun. Ada cerita di sebalik sesuatu kejadian yang kita tak nampak. Mungkin orang itu ada masalah sendiri, mungkin dia sedang melalui hari yang sukar atau mungkin juga apa yang kita anggap sebagai sesuatu yang menyakitkan hati itu sebenarnya dia tak sengaja pun.

Sebab itulah pentingnya kita belajar untuk bersangka baik.

Tapi, nak husnuzon ini bukan bermaksud kita perlu menafikan perasaan sendiri. Bukan juga bermaksud kita kena biarkan orang lain boleh buat sesuka hati pada kita. Namun, bersangka baik dan meletakkan batas dalam hubungan adalah dua perkara yang boleh berjalan seiring.

Kita boleh pilih untuk tak berprasangka buruk dan dalam masa yang sama kita tetap belajar jaga hati dan diri sendiri.

Satu lagi, jangan terlalu cepat menghukum sesuatu keadaan hanya berdasarkan apa yang kita nampak. Apa yang kita nampak mungkin cuma sebahagian kecil dari cerita sebenar.

Kadang-kadang, Allah aturkan sesuatu yang kita tak suka bukan untuk susahkan kita, tapi mungkin ada hikmah yang belum mampu kita fahami sekarang.

Mungkin juga sesuatu yang tak menjadi seperti yang kita harapkan sebenarnya sedang menjauhkan kita daripada perkara yang lebih buruk. Sapa tahu, kan?

Husnuzon itu memang susah, tapi....

Cuma, cikla pun manusia biasa. Ada masanya hati kuat, ada masanya hati cepat terusik. Ada waktunya boleh berlapang dada, ada waktunya nak bersangka baik pun terasa macam kena angkat beban 50 kilogram tau. Payah betul rasanya!

Namun, kita kena selalu ingat bahawa hidup ini bukan tentang bagaimana kita boleh kawal semua perkara yang berlaku, tapi bagaimana kita mengawal reaksi kita terhadap sesuatu perkara.

Kalau tak mampu nak bersangka baik, sekurang-kurangnya jangan terus bersangka buruk. Beri ruang kepada diri sendiri untuk bertenang. Jangan biarkan emosi menjadi pengarah kepada setiap keputusan kita.

Belajar untuk diam seketika, fikir baik-baik dan serahkan perkara yang di luar kemampuan kita kepada Allah.

Akhirnya, husnuzon bukan bermaksud kita tak pernah kecewa, tak pernah terluka atau tak pernah mempersoalkan sesuatu. Tapi, kita pilih untuk tak membiarkan sangkaan buruk menguasai hati.

Semoga Allah lembutkan hati kita, lapangkan dada kita dan didik kita menjadi manusia yang sentiasa bersangka baik terhadapNya serta sesama manusia.

Memang susah nak husnuzon, tapi tak bermakna kita tak boleh belajar untuk melakukannya. Perlahan-lahan pun tak apa. Yang penting, jangan berhenti berusaha menjadi lebih baik. 

No comments:

Post a Comment