Pernah tak korang berada dalam keadaan camni? Korang dah maafkan seseorang yang pernah melukakan hati korang. Korang dah cuba berdamai dengan apa yang berlaku. Korang pun dah tak nak bergaduh, tak nak berdendam, apatah lagi nak ungkit kisah lama.
Tapi, entah kenapa, ada masa-masanya kenangan tu datang balik. Tiba-tiba hati rasa sedih. Tiba-tiba rasa kecewa. Malah, ada kalanya korang terfikir, "kenapa aku masih ingat benda ni sedangkan semuanya dah lama berlalu?" Pelik, kan? Akal korang tahu benda tu dah lepas, tapi hati korang macam belum betul-betul lupakan.
Sebenarnya, korang kena faham satu hal. Memaafkan seseorang tak bermaksud korang akan terus melupakan apa yang dia dah buat kepada korang. Dua perkara ni nampak macam sama, tapi hakikatnya lain giler.
Memaafkan itu adalah bila korang pilih untuk tak terus menyimpan dendam terhadap seseorang. Korang mungkin dah terima apa yang berlaku dan tak naklagi membebankan hati dengan kemarahan. Tapi melupakan pulak bukan sesuatu yang korang boleh on off sesuka hati. Umpamnya macam korang takde suis yang boleh ditekan erase semua kenangan yang pernah menyakitkan korang.
Lebih-lebih lagi kalau orang yang melukakan hati korang tu ialah seseorang yang korang sayang, seseorang yang korang percaya atau seseorang yang korang tak pernah sangka akan tergamak buat koang camtu.
Kadang-kadang, yang menyakitkan hati tu bukan semata-mata apa yang dia dah buat, tapi hakikatnya korang tak pernah agak benda tu akan jadi. Korang pulak dah letakkan kepercayaan, korang dan ikhlas dalam hubungan, korang dah cuba buat yang terbaik, tapi akhirnya korang jugak yang terpaksa menanggung rasa kecewa.
Bila perkara macam ni berlaku, luka yang tinggal bukan sekadar tentang kejadian itu. Ia juga tentang kepercayaan yang dah retak, harapan yang tak kesampaian dan perasaan yang pernah korang letakkan pada seseorang.
Sebab itulah ada luka yang mengambil masa lama untuk sembuh. Bukan sebab korang sengaja nak ingat hal tu, tapi sebab hal itu pernah bagi kesan yang mendalam dalam hidup korang.
Kadang-kadang, korang sendiri pun penat dengan perasaan tu. Korang tertanya-tanya, "kenapa aku masih terasa?" "Kenapa aku masih sedih bila teringat?" "Kenapa aku tak boleh jadi macam orang lain yang nampak mudah saja melupakan perkara yang dah berlaku?"
Sampai satu tahap, korang mula menyalahkan diri sendiri. Korang rasa macam korang ni terlalu sensitif, ikut perasaan sangat atau susah nak move on. Sedangkan, hakikatnya korang cuma manusia biasa yang pernah terluka.
Tak salah pun kalau korang masih terasa dengan sesuatu yang pernah menyakitkan hati. Perasaan bukan sesuatu yang boleh dipaksa untuk hilang dalam sekelip mata. Ada hal yang boleh dilupakan dengan mudah, tapi ada juga hal yang akan tinggalkan kesan begitu lama walaupun korang dah cuba sedaya upaya untuk teruskan hidup.
Dan satu lagi, jangan anggap diri korang gagal memaafkan hanya sebab korang masih ingat apa yang berlaku. Korang boleh memaafkan seseorang dan pada masa yang sama masih ingat perbuatan yang pernah dia buat. Korang can choose untuk tak benci dia, tapi itu tak bermaksud korang kena berpura-pura yang korang tak pernah terluka.
Memaafkan jugak bukan bermaksud korang mesti kena close macam dulu. Kalau kepercayaan dah hilang, korang berhak nak ambil masa untuk build semula. Kalau korang rasa korang kena jaga jarak demi ketenangan diri, itu pun tak salah. Korang boleh memaafkan seseorang tanpa perlu bagi dia ruang yang sama dalam hidup korang macam sebelum ni.
Sebab bagi cikla, memaafkan itu soal melepaskan beban dalam hati, manakala membina semula kepercayaan ialah dua hal yang berbeza. Kepercayaan yang dah rosak perlukan masa, usaha dan perubahan yang nyata untuk dipulihkan.
So, jangan paksa diri untuk jadi macam dulu semata-mata sebab korang dah memaafkan seseorang. Korang tak perlu nak rushing to proof yang korang dah okay, sedangkan dalam hati korang tu masih ada hal yang sedang korang try to heal.
Ada kalanya, korang bukan tak boleh move on. Korang sebenarnya dah pun teruskan life korang, cuma ada part dalam diri korang tu yang masih belajar accept apa yang pernah jadi.
Korang masih bekerja, masih menguruskan keluarga, masih ketawa dengan kawan-kawan dan masih menjalani rutin seperti biasa. Dari luar, mungkin orang nampak korang dah okay. Tapi jauh di sudut hati, ada kenangan yang sesekali datang mengetuk pintu ingatan.
Bila kenangan itu muncul, tak perlulah korang marah kepada diri sendiri. Tak perlulah korang kata, "Kenapa aku masih ingat benda ni? Sampai bila aku nak macam ni?"
Sebaliknya, cuba pujuk diri sendiri dengan lembut. Mengaku je yang hal tu pernah sakitkan korang. Terima yang korang tak mampu nak ubah apa yang dah jadi, tapi korang masih boleh pilih macam mana korang nak jalani life korang selepasnya.
Korang jugak tak payah nak paksa diri untuk cari hikmah daripada setiap hal yang menyakitkan. Ada masanya korang hanya perlukan masa untuk faham perasaan sendiri, terima rasa kecewa itu dan belajar hidup tanpa terus dibelenggu oleh hal yang sama.
Kalau kenangan itu datang lagi, biarkan ia berlalu tanpa perlu korang menghidupkan semula setiap babak dalam fikiran. Korang boleh mengakui yang korang pernah terluka tanpa perlu terus tinggal dalam luka itu.
Perlahan-lahan, belajar alihkan perhatian kepada perkara yang sedang korang miliki hari ini. Hargai orang yang masih ada, jaga hubungan yang memberikan ketenangan dan berikan ruang kepada diri sendiri untuk menikmati perkara-perkara kecil yang menggembirakan hati.
Apa yang paling penting, jangan biarkan perbuatan seseorang pada masa lalu menentukan bagaimana korang melihat diri sendiri korang pada hari ini. Kalau seseorang pernah mengkhianati kepercayaan korang, itu tak bermaksud korang bodoh sebab pernah percaya pada dia.
Kalau seseorang pernah ambil kesempatan atas kebaikan korang, itu tak bermaksud korang perlu berhenti jadi orang yang baik. Dan kalau seseorang pernah melukakan hati korang, itu tak bermaksud korang perlu terus hukum diri korang sendiri dengan mengingati kesakitan yang sama.
Apa yang berlaku bukan semuanya dalam kawalan korang. Tapi bagaimana korang jaga diri selepas terluka, itu sesuatu yang boleh korang usahakan sikit-sikit.
Kalau luka itu masih ganggu hidup korang seharian, buat korang jadi susah tidur, sentiasa dibelenggu rasa resah atau jejaskan pulak hubungan dengan orang lain, tak salah juga untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor atau ahli profesional. Korang tak perlu menanggung semuanya seorang diri.
Akhirnya, cikla nak korang faham bahawa sembuh bukan bermaksud korang dah tak ingat langsung apa yang pernah jadi. Sembuh ialah bila korang mampu ingat tanpa perlu terus tanggung rasa sakit yang sama macam dulu.
Mungkin hari ini korang masih terasa. Mungkin esok pun kenangan itu masih datang. Takpe. Bagi diri korang masa. Tak semua luka sembuh dalam tempoh yang sama dan tak semua orang melalui proses yang serupa.
Jangan terlalu keras dengan diri sendiri hanya sebab hati korang ambil masa lebih lama untuk pulih. Korang dah cuba memaafkan. Korang dah cuba terima. Korang dah cuba teruskan kehidupan. Itu pun satu usaha yang besar, walaupun orang lain mungkin tak nampak.
Dan kalau sampai hari ini korang masih belum mampu nak lupakan semuanya, tak bermakna korang gagal untuk move on. Mungkin korang cuma sedang belajar untuk berdamai dengan sesuatu yang pernah melukakan hati korang.
Tak perlu lupa semuanya untuk meneruskan kehidupan. Cukuplah bila suatu hari nanti, kenangan itu tak lagi mempunyai kuasa untuk merampas ketenangan korang. Peluk hati sendiri baik-baik, ya. Korang pun layak untuk bahagia, walaupun pernah terluka. Begitulah....

No comments:
Post a Comment