Jerebu, jerebu, jerebu. Tempat korang okey tak? Budak-budak tak sekolah hari ni, sekolah tutup dan buat pdpr kat rumah. Bagus jugaklah sebab bila tengok keadaan jerebu kat luar tu memang nampak agak tebal jugak. Dah macam kat cameron highland. Huhu.
Bila tiba musim jerebu, perkara yang selalu kita fikirkan ialah batuk, sakit tekak, mata pedih dan sesak nafas. Tapi, apa pulak kesan jerebu terhadap pesakit tiroid?
Sebenarnya, jerebu bukan sekadar membuatkan udara nampak berkabus je. Udara yang tercemar ni mengandungi zarah halus yang boleh masuk ke dalam saluran pernafasan dan paru-paru. Sebab itulah kita dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti di luar bila jerebu makin teruk.
Bagi pesakit hipertiroid contohnya, kita tau mereka mengalami hormon tiroid yang berlebihan. Keadaan ini boleh membuatkan jantung berdegup laju, mudah berdebar, cepat rasa panas dan badan mudah letih.
Kalau pesakit terdedah pada pencemaran udara yang tinggi, kesan pencemaran terhadap sistem jantung dan pernafasan boleh menambahkan ketakselesaan, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah jantung atau hipertiroid yang masih belum terkawal.
Bagaimanapun, ini taklah bermaksud semua pesakit hipertiroid akan mengalami masalah yang lebih teruk masa jerebu. Keadaan setiap orang berbeza, sebab ia depend pada tahap penyakit dan kesihatan memasinglah.
Bagaimana pula dengan pesakit hipotiroid pulak? Hipotiroid berlaku bila kelenjar tiroid tak hasilkan hormon yang cukup. Antara simptom yang biasa adalah badan mudah letih, mengantuk, kulit kering dan tak tahan sejuk.
Bila jerebu berlaku, pesakit mungkin mengalami batuk, tekak tak selesa atau rasa sukar bernafas macam orang lain juga.
Cuma, kalau badan terasa terlalu letih atau nafas jadi pendek dari biasa, jangan terus menganggap semuanya berpunca daripada hipotiroid.
Jerebu, masalah paru-paru, anemia dan pelbagai keadaan kesihatan lain jugak boleh sebabkan simptom yang hampir sama.
Ada kajian menunjukkan kaitan antara pendedahan kepada bahan pencemar dengan perubahan hormon tiroid. Namun, bukti yang ada masih belum cukup untuk mengatakan bahawa jerebu secara langsung akan menyebabkan hipotiroid, hipertiroid atau membuatkan bacaan TSH seseorang berubah.
So, kalau bacaan TSH dan FT4 kita selama ini elok dan stabil, tak perlulah terus panik bila berlaku jerebu. Teruskan mengambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor dan hadir ke temu janji susulan seperti biasa.
Tak perlu pula tergesa-gesa nak buat ujian hormon tiroid semata-mata kerana udara sedang berjerebu, kecuali kalau ada sebab klinikal atau doktor yang suruh.
Bagi pesakit kanser tiroid yang dah menjalani pembedahan membuang kelenjar tiroid, penjagaan ketika jerebu juga tak kurang pentingnya.
Walaupun kita kena sentiasa peka pada kesihatan, setakat bukti yang ada, belum terdapat bukti kukuh bahawa pendedahan singkat kepada jerebu akan menyebabkan kanser tiroid berulang.
Pesakit yang mengambil ubat levothyroxine perlu meneruskan rawatan mengikut dos yang telah ditetapkan dan tiak mengubah dos sendiri.
Jadi, apa yang boleh kita lakukan untuk menjaga diri ketika jerebu?
Pertama, rajinkan diri memeriksa bacaan Indeks Pencemaran Udara atau IPU di kawasan masing-masing. Kalau bacaan semakin meningkat, kurangkan aktiviti di luar rumah, terutama senaman berat.
Kalau perlu keluar ketika jerebu, pelitup muka jenis N95 yang dipakai dengan betul boleh membantu mengurangkan penyedutan zarah halus. Pelitup muka biasa tak memberikan perlindungan yang sama terhadap zarah halus.
Bila berada di rumah, tutup tingkap ketika udara di luar tak sihat dan gunakan penapis udara HEPA kalau ada.
Minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi dan pastikan ubat tiroid diambil seperti biasa.
Paling penting, jangan abaikan simptom yang luar biasa. Kalau korang alami sesak nafas yang teruk, sakit dada, rasa macam nak pengsan atau degupan jantung korang laju giler bersama keadaan badan yang semakin tak sihat, dapatkan rawatan segera.
Kesimpulannya, pesakit tiroid tak semestinya lebih mudah terjejas oleh jerebu berbanding orang lain.
Namun, mereka yang mempunyai hipertiroid yang belum terkawal atau masalah jantung dan paru-paru perlu lebih berhati-hati.
Kita mungkin tak boleh mengawal keadaan cuaca atau menghilangkan jerebu, tapi kita boleh mengambil langkah untuk mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.
Buat pesakit tiroid di luar sana, jangan terlalu takut, tapi janganlah ambil mudah pulak. Teruskan rawatan, jaga kesihatan dan berikan perhatian kepada perubahan yang berlaku pada tubuh sendiri.
Tiroid terjaga, pernafasan pun perlu dijaga. Jangan tunggu badan mula memberi amaran baru kita nak ambil peduli. Take care, korang!

No comments:
Post a Comment