Kadang-kadang kita rasa hidup ini sempit, seolah-olah dunia hanya sebesar ruang yang kita nampak di depan mata. Kita lihat orang bebas bergerak ke mana sahaja mereka mahu, sedangkan kita pula terasa terkurung dalam 'balang' kecil ciptaan keadaan, masa atau keputusan sendiri.
Hakikatnya, bukan dunia yang mengecil. Tapi perspektif kita yang sedang diuji. Seperti ikan di dalam balang, ia bukan lemah, cuma belum berada di tempat yang sepatutnya. Begitu juga dengan kita. Ada fasa hidup yang membuatkan kita rasa terbatas, diperhatikan, dihakimi dan tidak mampu bergerak sejauh yang diimpikan.
Namun, jangan salahkan diri kerana berada di fasa itu. Setiap perjalanan ada masanya. Ada waktu untuk belajar bersabar, memahami diri dan menguatkan jiwa sebelum dilepaskan ke ruang yang lebih luas. Allah tak pernah menempatkan kita di satu tempat tanpa sebab.
Kalau hari ini terasa sempit, mungkin sebab sedang dibentuk untuk menjadi lebih kuat. Jangan bandingkan perjalanan hidup kita dengan orang lain. Setiap orang berenang di air yang berbeza, dengan ujian dan takaran yang berbeza.
Apa yang penting, teruskan percaya bahawa suatu hari nanti, balang itu akan terbuka, dan kita akan menemui ruang yang lebih luas untuk berkembang.
Tenanglah. Apa yang terasa membataskan hari ini, mungkin sedang mempersiapkan kita untuk kebebasan yang lebih bermakna esok hari.

No comments:
Post a Comment