"Dia dah maafkan, tapi kenapa masih teringat?"
Ini antara persoalan yang selalu timbul bila seseorang wanita masih nampak seperti masih terkesan dengan peristiwa yang pernah melukakan hatinya.
Kadang-kadang orang di sekeliling tengok keadaan ni sebagai tanda dia belum move on, sengaja simpan dendam atau terlalu ikut rasa. Namun hakikatnya, keadaan tersebut jauh lebih kompleks daripada apa yang dilihat dari luaran.
Wanita ni sebenarnya mampu je nak maafkan orang yang pernah sakitkan hati dorang. Dorang pilih untuk tak membalas, tak berdendam dan cuba teruskan kehidupan macam biasa. Tapi memaafkan tak semestinya dorang boleh lupa segala hal yang pernah berlaku. Sebab, dua perkara ini sangat berbeza ya kawan-kawan.
Kalau korang nak tau, dalam psikologi otak manusia mempunyai sistem yang direka untuk lindungi diri daripada bahaya.
Bila seseorang alami pengalaman yang sangat menyakitkan terutamanya dari segi emosi contohnya dikhianati, dipermainkan, dihina, ditinggalkan atau mengalami konflik yang bagi kesan mendalam, otak akan simpan memori tu semua dengan lebih kuat berbanding memori biasa.
Sebab itulah, ada orang masih boleh ingat dengan jelas kata-kata yang pernah melukakan hati dia walaupun dah bertahun-tahun berlaku. Lebih menarik lagi, memori yang berkait dengan emosi selalunya akan tersimpan bersama perasaan yang dialami ketika peristiwa itu jadi.
So, bila seseorang berdepan dengan situasi yang hampir sama, mendengar ayat yang serupa atau melihat perkara yang mengingatkan dorang kepada pengalaman lama, emosi tersebut boleh muncul semula secara automatik.
Inilah yang sering disebut sebagai "trigger".
Trigger bukan bermaksud seseorang itu sengaja mengungkit masa lalu. Ia adalah tindak balas semula jadi otak bila sesuatu mengingatkannya kepada pengalaman yang pernah menyebabkan kesakitan emosi.
Kadang-kadang trigger boleh berlaku hanya kerana satu perkataan, satu lagu, satu tempat atau cara seseorang bercakap.
Sebab itu ada wanita yang tiba-tiba jadi sedih, marah atau kecewa walaupun peristiwa tersebut sudah lama berlalu.
Bukan kerana mereka mahu hidup dalam kenangan lama, tapi kerana otak mereka sedang mengaitkan situasi semasa dengan pengalaman yang pernah meninggalkan kesan mendalam.
Persoalannya, adakah ini bermaksud seseorang itu mengalami mental disorder?
Jawapannya, tak semestinya. Ramai orang yang pernah alami luka emosi akan mengalami keadaan seperti ini tanpa mempunyai sebarang gangguan mental.
Ia merupakan reaksi normal manusia terhadap pengalaman yang menyakitkan. Sama seperti luka fizikal yang meninggalkan parut, luka emosi juga boleh meninggalkan kesan yang mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
Namun begitu, kalau kesan tersebut terlalu kuat sampai ganggu kehidupan harian dorang, hubungan dorang dengan orang lain, pekerjaan, tidur atau menyebabkan dorang sentiasa berada dalam keadaan panic dan stress dalam tempoh yang lama, so penilaian profesional mungkin diperlukan.
Dalam sesetengah kes, pengalaman traumatik yang serius boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan mental tertentu yang memerlukan bantuan pakar.
Tapi adalah penting untuk difahami bahawa tak semua orang yang mudah trigger mempunyai mental disorder. Kadang-kadang mereka hanya manusia biasa yang pernah terluka.
Malah, wanita sering dikaitkan dengan kemampuan mengingati perincian emosi dengan lebih mendalam. Ini bukan kerana mereka lemah atau terlalu sensitif.
Kajian psikologi menunjukkan bahawa ramai wanita cenderung memproses pengalaman melalui sudut emosi dan hubungan interpersonal.
So, peristiwa yang melibatkan kepercayaan, kasih sayang dan hubungan dengan orang lain sering memberi kesan yang lebih mendalam kepada mereka.
Bila seseorang berkata, "Dah lama benda tu berlaku, kenapa masih ingat lagi?", hakikatnya proses penyembuhan emosi setiap individu adalah berbeza.
Ada yang pulih dalam beberapa bulan, ada yang mengambil masa bertahun-tahun. Tiada tempoh masa yang boleh ditetapkan untuk semua orang.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang itu menguruskan luka tersebut.
Kalau mereka belajar menerima apa yang berlaku, memahami emosi sendiri dan terus menjalani kehidupan dengan sihat, itu sebenarnya tanda mereka sedang sembuh walaupun sesekali masih terasa sakit bila teringat.
Kita juga perlu memahami bahawa memaafkan bukan bermaksud memadam memori. Memaafkan adalah pilihan untuk tak membiarkan kebencian menguasai hidup.
Tapi memori tetap akan wujud sebab ia sebahagian daripada pengalaman hidup yang membentuk diri seseorang.
Jadinya, kalau ada seorang wanita yang masih sesekali teringat kepada peristiwa yang pernah melukakan hatinya walaupun dia sudah memaafkan, jangan terlalu cepat melabelnya sebagai lemah, terlalu emosional atau mengalami masalah mental.
Mungkin dia sebenarnya sudah sangat kuat. Dia tak lagi marah seperti dahulu. Dia tak lagi menyimpan dendam seperti dulu.
Dia cuma masih mempunyai parut yang sesekali terasa bila tersentuh. Begitulah.
Tags:
relationship
