Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts
Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts

18/09/2026

Jumaat datang lagi… Alhamdulillah.

Alhamdulillah, Jumaat datang lagi. 

Rasa macam baru saja mula minggu, tapi tau-tau hari ini dah Jumaat. Cuma cikla rasa entah kenapa minggu ni rasa macam lama betul nak habis. Hari Isnin rasa macam panjang, Selasa pun terasa lambat, Rabu dan Khamis pulak macam ada saja benda yang perlu dibuat.

Kadang-kadang kita tengok kalendar pun rasa, “Lambatnya nak sampai hujung minggu…" Tapi akhirnya, sampailah juga Jumaat.

Bila Jumaat datang, rasa macam ada satu ruang untuk kita tarik nafas sekejap. Berhenti daripada terlalu sibuk dengan macam-macam perkara dan cuba tenangkan hati. Sebab dalam kita mengejar urusan harian, kadang-kadang kita terlupa yang hati pun perlukan perhatian.

Ada masa kita terlalu fikirkan kerja. Ada masa fikir tentang keluarga. Tentang duit, tentang masa depan, tentang perkara yang belum selesai. Sampai kepala penuh dan hati pun penat.

Jadi, bila Jumaat datang, cikla suka ambil sedikit masa untuk mengingatkan diri sendiri kita ini sebenarnya tak pernah bersendirian. Ada Allah yang sentiasa ada.

Apa saja yang sedang kita fikirkan, Allah tahu. Apa saja yang kita pendam dalam hati, Allah tahu. Bahkan doa yang belum sempat kita luahkan dengan kata-kata pun Allah tahu.

Mungkin sebab itu Jumaat terasa istimewa. Ia mengingatkan kita untuk kembali kepada Allah, walaupun mungkin sepanjang minggu kita terlalu sibuk dengan dunia.

Jumaat datang Lagi… Alhamdulillah.

Semoga Jumaat kali ini membawa sedikit ketenangan kepada hati kita. Kalau ada yang sedang penat, semoga Allah beri kekuatan. Kalau ada yang sedang risau, semoga Allah tenangkan. Kalau ada yang sedang menunggu sesuatu, semoga Allah berikan jawapan pada waktu yang paling baik.

Dan kalau ada doa yang masih belum dimakbulkan, jangan cepat berputus asa. Teruskan berdoa. Teruskan berharap. Teruskan percaya bahawa aturan Allah itu lebih baik daripada apa yang kita rancangkan.

Hari Jumaat juga jangan lupa untuk perbanyakkan selawat. Tak perlu tunggu masa lapang yang sempurna. Selawatlah sambil buat kerja, sambil memandu, sambil memasak atau ketika duduk berehat.

Biar lidah kita ringan berselawat dan hati kita sentiasa mengingati Nabi Muhammad SAW.

"Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala ali Sayyidina Muhammad."

Moga cikla dan kalian semua sentiasa berada dalam lindungan Allah. Moga langkah kita dipermudahkan, rezeki kita dilapangkan, hati kita ditenangkan dan segala urusan yang sedang kita hadapi dipermudahkan satu persatu.

Alhamdulillah untuk satu lagi Jumaat. Masih diberi umur. Masih diberi kesempatan. Masih diberi peluang untuk memperbaiki diri.

Jom selawat. Semoga Jumaat kita hari ini lebih tenang, lebih bermakna dan dipenuhi keberkatan.

Salam Jumaat dan selamat pagi. 

08/09/2026

Bila Allah beri ujian...

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, kenapa hidup kita diuji macam-macam? Kenapa ada je hal yang datang menguji hati, emosi dan kesabaran kita?

Sedangkan kita tengok orang lain macam senang je hidupnya. Tak ada masalah besar, rezeki pun ada, sihat, hidup selesa. Kita pulak, satu-satu ujian datang. Belum sempat nak tarik nafas lega, datang pulak ujian yang lain.

Sebenarnya, antara tanda Allah nak tunjukkan bahawa Dia sayang kepada seseorang manusia adalah dengan memberikan ujian kepada mereka. 

Ya, ujian.

Benda yang kita selalu rasa berat, susah dan kadang-kadang sampai buat kita tertanya-tanya, "Kenapa aku yang kena?"

Sedangkan boleh jadi, ujian itulah sebenarnya cara Allah nak dekatkan kita kembali kepadaNya.

Kalau takde ujian langsung dalam hidup seseorang, boleh jadi itu tanda murka Allah. Walaupun hidupnya senang. Walaupun dia kaya. Walaupun dia sihat.

Kita boleh lihat kisah Firaun sebagai contoh. Dia sihat. Bahkan seperti yang disebutkan para ulama, dia bukan saja tak pernah bersin, malah tak pernah sakit dan menguap pun tak pernah.

Kenapa?

Sebab Allah tak tengok langsung pada dia. Kerana itu Allah tak bagi dia ujian. Berbeza dengan kita. Kadang-kadang Allah hadirkan ujian dalam hidup kita supaya kita kembali kepadaNya. 

Bila Allah beri ujian...

Dengan ujian, ramai orang akhirnya kembali mengingati Allah. Ramai yang mula berdoa bersungguh-sungguh. Ramai yang mula sujud dengan penuh pengharapan. Ramai yang mula sedar bahawa sebenarnya kita ini terlalu bergantung kepada Allah.

Sebab bila kita senang, mungkin kita mudah terlupa.bTapi bila datang ujian, waktu itulah kita mula mencari Allah. Waktu itulah kita mula mengangkat tangan dan berdoa. Waktu itulah kita mula menyebut nama Allah berkali-kali.

Jadi, jangan cepat menganggap ujian sebagai tanda Allah tak sayang kepada kita. Boleh jadi sebaliknya. Ujian itu adalah petanda yang cukup besar bahawa Allah sayang kita. Allah nak kita kembali kepadaNya. Allah nak kita dekat denganNya dan tak terus hanyut dengan dunia. Sebab akhirnya, dunia ini bukan tempat kita tinggal selama-lamanya.

Kita semua akan kembali kepada Allah dan hidup selama-lamanya di hari akhirat. Jadi, kalau hari ini kita sedang diuji, mungkin ada hikmah besar yang kita belum nampak. Mungkin Allah sedang tarik kita perlahan-lahan supaya kembali kepadaNya.

Bersabarlah. Teruskan berdoa. Teruskan berharap. Jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah.

Semoga setiap ujian yang kita lalui menjadi sebab kita semakin dekat dengan Allah, semakin kuat dan akhirnya mendapat kehidupan yang kekal di akhirat kelak.
In syaa Allah.

Kredit :  Al Fadhil Ustaz Wadi Annuar. 

04/09/2026

Adab dulu, baru ilmu...

Betul jugak orang kata, adab dulu baru ilmu.

Baru-baru ni viral satu kisah pergaduhan mulut antara seorang wanita dengan seorang lelaki yang dikatakan berpunca daripada isu potong barisan.

Kita yang tengok dari luar ni pun tahu, benda macam ni memang boleh buat orang rasa tak puas hati. Yelah, masing-masing dah beratur elok-elok, tiba-tiba ada yang potong barisan. Memang boleh buat darah naik ooo, haha. 

Namun, yang jadi perhatian bukanlah semata-mata tentang isu potong barisan tu. Sebaliknya tentang cara kita bertindak bila ditegur. Daripada apa yang dikongsikan, wanita tersebut dikatakan melenting bila ditegur sampai mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar. 

Tapi difahamkan juga, perselisihan faham tersebut akhirnya dah diselesaikan dan permohonan maaf juga telah dibuat. Kalau betullah semuanya dah selesai, Alhamdulillah.

Sebab bagi Cikla, manusia ni memang tak lari daripada buat silap. Kita bukan malaikat. Ada masa kita boleh bersabar, ada masa kita boleh terlepas cakap. Ada masa emosi menguasai diri sampai kita buat sesuatu yang bila difikirkan balik, kita sendiri rasa, “Eh, kenapalah aku buat macam tu tadi?” Kan?

Adab dulu, baru ilmu...

Sebab tu dalam hidup ni, kita bukan hanya perlu belajar apa yang betul, tapi kita juga kena belajar camne nak sampaikan dan pertahankan sesuatu yang betul dengan cara yang betul.

Tak guna kita tahu banyak benda kalau bila ditegur sikit, terus melenting. Tak guna kita rasa diri kita betul kalau cara kita bercakap dengan orang lain sampai menyakitkan hati.

Dan tak guna juga kita nak menegur orang kalau teguran kita pula penuh dengan penghinaan dan kata-kata yang boleh memburukkan keadaan.

Adab tu penting.

Adab ketika bercakap. Adab ketika menegur.
Adab ketika ditegur. Malah, adab ketika kita sedang marah. Yang terakhir tu sebenarnya paling susah. Sebab masa kita tenang, memang mudah nak cakap, “Saya akan kawal emosi. Saya takkan marah.”

Tapi bila dah berdepan dengan situasi sebenar, bila ego tercuit, bila rasa kita diperlakukan tak adil, masa tu baru kita tahu sejauh mana kita mampu mengawal diri. Kadang-kadang perkara kecik pun boleh jadi besar hanya sebab memasing tak nak mengalah.

Yang asalnya cuma isu barisan, akhirnya jadi pertengkaran. Yang asalnya boleh settle dengan satu dua ayat, akhirnya jadi panjang sebab masing-masing nak membuktikan diri masing-masing betul. Padahal, tak semua perkara dalam hidup ni kita kena menang.

Ada masa mengalah bukan bermaksud kita kalah. Diam bukan bermaksud kita lemah. Minta maaf pulak bukan bermaksud maruah kita jatuh. Sebaliknya, mampu mengakui kesilapan dan meminta maaf itu menunjukkan kita cukup matang untuk mengenepikan ego.

Dan kalau kita berada di pihak yang menegur pula, tegurlah dengan cara yang baik.

Tak perlu jerit-jerit. Tak perlu memalukan orang. Tak perlu gunakan kata-kata yang boleh membuatkan keadaan bertambah panas.

Sebab tujuan menegur sepatutnya untuk memperbetulkan keadaan, bukannya untuk tunjuk yang kita lebih pandai, lebih baik atau lebih betul daripada orang lain.

Dalam masa yang sama, kita sebagai orang luar pun kena belajar sesuatu. Bila sesuatu perkara viral, mudah sangat kita nak jadi hakim. Tengok satu video, baca beberapa komen, lepas tu terus buat kesimpulan tentang seseorang.

Kita tak berada di tempat kejadian. Kita tak tahu apa yang berlaku sebelum dan selepas kejadian. Jadi, kalau perkara tersebut sudah diselesaikan, mungkin kita pun tak perlulah terus memanjangkan cerita atau menghukum orang tersebut berkali-kali.

Ambillah pengajaran. Itu lebih baik. Sebab mungkin hari ni kita nampak orang lain tersilap, tapi kita tak tahu bila pula kita akan berada dalam situasi yang sama.

Cuma bentuknya mungkin berbeza.

Mungkin bukan isu potong barisan. Mungkin dengan anak-anak. Mungkin dengan pasangan. Mungkin dengan kawan sekerja. Mungkin dengan orang yang tak dikenali. Dan mungkin juga dengan orang yang menegur kita tentang sesuatu yang memang kita buat salah.

Masa tu, mampukah kita terima teguran dengan hati terbuka? Atau kita akan terus melenting sebab ego tak membenarkan kita mengaku silap? Itulah yang patut kita fikirkan.

Sebenarnya, adab bukan hanya ketika kita berhadapan dengan orang yang kita suka. Adab kita paling jelas apabila kita berhadapan dengan orang yang kita tak setuju, orang yang menegur kita atau orang yang membuatkan kita marah.

Di situlah adab kita diuji. Dan cikla pun sama. 

Kita semua masih belajar. Masih belajar untuk lebih sabar. Masih belajar untuk fikir sebelum bercakap. Masih belajar untuk menerima teguran. Masih belajar untuk mengawal emosi. Dan masih belajar untuk berkata “maaf” bila kita sedar kita dah tersilap.

So, daripada kita sibuk mencari siapa yang salah dan siapa yang betul dalam kisah yang viral ni, lebih baik kita jadikan ia sebagai cermin untuk diri sendiri.

Kalau aku berada dalam situasi tu, macam mana aku akan bertindak? Itu yang lebih penting. Sebab akhirnya, orang mungkin tak ingat apa ilmu yang kita ada. Orang mungkin tak ingat berapa banyak hujah yang kita keluarkan.

Tapi cara kita bercakap dengan mereka, cara kita melayan mereka dan cara kita mengawal diri ketika berdepan dengan konflik, benda tu mungkin mereka ingat lama.

Sebab tu orang kata, adab dulu, baru ilmu. Ilmu boleh membuatkan kita nampak bijak. Tapi adab yang baik membuatkan kita dihormati.

Semoga kita semua sentiasa belajar untuk menjaga tutur kata, mengawal emosi dan menghormati orang lain walaupun kita sedang tak bersetuju.

Dan kalau tersilap, jangan malu untuk mengaku. Sebab tak ada siapa yang rugi kerana meminta maaf. Kadang-kadang, satu perkataan maaf tu bukan tanda kita kalah. Tapi tanda kita cukup besar hati untuk memilih berdamai daripada terus mempertahankan ego. 

03/09/2026

Hidup macam gelas?

Ada je ni, baru lepas breakfast, tiba-tiba terfikir pulak pasal kehidupan. Hihi. Ada beberapa gelas atas meja. Ada yang nampak macam dah habis diminum, ada yang tinggal sikit dan ada pulak yang masih ada isi. Yang paling jelas sekali, gelas air hitam kat sebelah tu macam masih penuh lagi. Sejuk pula tu, sampai berembun gelasnya.

Tapi yang gelas-gelas kosong ni pun ada cerita dia sendiri. Mungkin tadi penuh. Mungkin airnya sedap. Mungkin diminum perlahan-lahan sambil sembang dengan kawan. Mungkin juga sebab haus sangat, terus minum sampai licin. Korang yang tengok gambar ni mana tahu, kan? Betul tak? 

Hidup macam gelas?

Begitulah juga dengan hidup kita. Kadang-kadang kita terlalu sibuk tengok gelas orang lain. Tengok orang lain macam semuanya cukup. Kerja ada, duit ada, keluarga bahagia, bercuti sana sini, makan sedap-sedap. Tengok media sosial pula, makin rasa macam hidup kita ni yang paling tertinggal.

Kita pun mula bertanya dalam hati,

“Kenapa hidup aku tak macam dia?”
“Kenapa rezeki aku sikit?”
“Kenapa orang lain nampak senang, aku pula asyik kena kuat?”

Padahal kita cuma nampak 'gelas' orang, bukan perjalanan dia. Kita tak tahu berapa banyak air mata yang dia telan sebelum gelasnya nampak penuh. Kita tak tahu berapa kali dia hampir putus asa. Kita tak tahu berapa banyak benda yang terpaksa dia lepaskan untuk mendapatkan apa yang dia ada sekarang.

Sebab itu, mungkin kita kena belajar berhenti membandingkan isi gelas sendiri dengan gelas orang lain.

Kalau hari ni gelas kita cuma tinggal separuh, minumlah dengan tenang. Kalau tinggal sikit, nikmatilah yang sikit tu. Kalau kosong pula, jangan terus fikir semuanya dah berakhir.

Kadang-kadang gelas yang kosong bukan bermaksud rezeki kita sudah habis. Mungkin Tuhan sedang mengosongkannya supaya Dia boleh mengisinya semula dengan sesuatu yang lebih baik.
Dan kalau sekarang kita rasa penat, tak mengapa untuk berhenti sekejap.

Rehat.
Tarik nafas.
Minum air.
Makan kalau lapar. 
Kemudian sambung semula bila hati dah kuat sikit.

Sebab hidup ni bukan perlumbaan siapa paling cepat penuh gelasnya. Ada orang rezekinya datang awal, ada yang lambat. Ada yang penuh sekejap, kemudian diuji. Ada yang lama menunggu, akhirnya mendapat lebih daripada apa yang pernah dia bayangkan.

Kita cuma perlu percaya pada aturan Allah. Yang penting, jangan kerana nampak gelas orang lain lebih penuh, kita lupa mensyukuri apa yang masih ada dalam gelas sendiri.

Sebab boleh jadi, apa yang kita anggap sikit hari ini sebenarnya adalah sesuatu yang sedang didambakan oleh orang lain. Jadi, nikmatilah apa yang ada. Tak perlu tunggu hidup sempurna baru nak rasa bahagia.

Kadang-kadang secawan minuman sejuk, meja yang sederhana, orang-orang yang kita sayang dan hati yang masih mampu tersenyum pun sebenarnya sudah cukup menjadi tanda bahawa hidup ini masih baik-baik saja.

Dan kalau hari ini gelas kita kosong percayalah, cerita kita belum habis. Mungkin Allah cuma sedang berkata, “Tunggu sekejap. Aku nak isi semula gelas kamu dengan sesuatu yang lebih baik.” 

Selamat pagi korang. Semoga hari ini rezeki kita bukan saja memenuhi gelas, tapi juga memenuhi hati dengan ketenangan, kesyukuran dan rasa cukup. 

20/08/2026

5 cara, tenangkan hari bila diuji.

Setiap orang pasti akan melalui ujian dalam hidup. Itu lumrah kita sebagai manusia biasa. Sedangkan para Nabi dan Rasul pun diberi ujian oleh Allah, inikan pulak kita sebagai hambaNya yang pendosa. Mungkin kita akan diuji dengan pekerjaan, kesihatan, hubungan, kehilangan orang yang disayangi atau perkara yang langsung tak pernah kita jangka.

Bila ujian datang bertubi-tubi, paling tak kita mungkin akan tertanya-tanya pada diri, 

"Kenapa aku?"
"Sampai bila semua ini nak berakhir?"
"Aku dah tak kuat..."

Sebenarnya, tak salah pun kalau kita nak rasa sedih, penat atau kecewa. Kita ni kan manusia. Kita ada hati dan perasaan.

Namun, dalam keadaan hati sedang berat itulah kita perlu belajar untuk kembali kepada Allah. Bukan lari daripada Allah ketika diuji, tapi semakin dekat kepadaNya.

1. Tenangkan diri dan banyak mengingati Allah.

Perkara pertama yang boleh kita lakukan ketika berdepan ujian ialah cuba tenangkan diri.

Jangan terus membuat keputusan ketika emosi sedang memuncak. Tarik nafas perlahan-lahan dan ingat bahawa apa yang sedang berlaku bukanlah sesuatu yang berada di luar pengetahuan Allah.

Allah tahu apa yang kita lalui.
Allah tahu air mata yang kita sembunyikan.
Allah tahu betapa penatnya kita cuba bertahan.

Dalam keadaan hati yang tak tenang, cuba banyakkan zikir dan mengingati Allah. Sebutlah nama Allah perlahan-lahan. Istighfar, selawat dan bacalah ayat-ayat Al-Quran.

Kadang-kadang masalah kita belum selesai, tapi hati kita sudah mula terasa lebih tenang.

Itulah salah satu kekuatan bila kita mengingati Allah.

2. Sabar, walaupun rasanya sangat berat.

Sabar bukan bermaksud kita tak boleh nak sedih, tak boleh menangis.

Sabar juga bukan bermaksud kita kena berpura-pura kuat sepanjang masa.

Sabar ialah terus bertahan dan tak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun hati sedang sakit.

Allah mengingatkan bahawa Dia bersama orang-orang yang sabar.

Jadi, kalau hari ini kita sedang melalui sesuatu yang sangat berat, cuba pujuk diri sendiri:

"Aku mungkin tak nampak jalan keluarnya sekarang, tapi Allah nampak."
"Aku mungkin tak faham kenapa ini berlaku, tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik untukku."

Kita tak perlu menyelesaikan semuanya dalam satu hari. Ambil satu langkah pada satu masa.

3. Jangan tinggalkan solat.

Walau berat macam mana pun kehidupan kita, jangan tinggalkan solat.

Ketika hati sedang hancur, sujudlah.
Ketika fikiran sedang serabut, sujudlah.
Ketika kita tak tahu kepada siapa hendak mengadu, sujudlah kepada Allah.

Ada perkara yang kita tak mampu nak ceritakan kepada manusia. Tapi kita boleh luahkan semuanya kepada Allah dalam doa.

Selepas solat, ambillah sedikit masa untuk berdoa. Tiak perlu ayat yang terlalu panjang atau susah.

Cakap sahaja kepada Allah dengan hati yang jujur.

"Ya Allah, aku penat."
"Ya Allah, aku tak tahu nak buat apa."
"Ya Allah, tolong kuatkan hati aku."

Allah mendengar.

Dan kadang-kadang, apa yang kita perlukan bukanlah masalah itu hilang sekelip mata, tapi hati yang diberikan kekuatan untuk menghadapinya.

4. Belajar bersyukur dalam ujian. 

Bersyukur masa senang memang mudah.

Tapi bersyukur masa sedang diuji adalah sesuatu yang memerlukan hati yang sangat kuat.

Bukan bermaksud kita kena bersyukur sebab mendapat kesusahan. Tapi kita boleh bersyukur kerana masih mempunyai Allah sebagai tempat bergantung.

Mungkin ujian itu membuatkan kita lebih banyak berdoa.

Mungkin ia membuatkan kita kembali mendirikan solat dengan lebih baik.

Mungkin ia mengajar kita tentang kehidupan.
Mungkin ia menjauhkan kita daripada sesuatu yang sebenarnya tak baik untuk kita.

Dan mungkin juga, ujian itu menjadi jalan untuk kita lebih dekat dengan Allah.

Kita mungkin belum nampak hikmahnya sekarang. Tetapi percayalah, Allah tak pernah melakukan sesuatu dengan sia-sia.

5. Percayalah bahawa Allah ada jalan keluar.

Bila sedang diuji, kita mudah rasa seolah-olah hidup kita sudah tak mempunyai jalan keluar.

Tapi jangan lupa, apa yang nampak buntu bagi kita tak pernah buntu bagi Allah.

Allah tahu jalan yang kita tak tahu.
Allah tahu masa yang kita tak tahu.
Allah tahu apa yang kita perlukan walaupun kita sendiri tak tahu apa yang terbaik untuk diri kita.

Sebab itu, teruskan berdoa.
Teruskan berusaha.
Teruskan bersabar.
Dan teruskan berharap kepada Allah.

Mungkin jawapan kepada doa kita bukan datang dalam bentuk yang kita bayangkan. Tapi yakinlah bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

5 cara, tenangkan hari bila diuji.

Bila ujian datang, kembalilah kepada Allah. 

Ujian dalam hidup memang tak mudah. Ada hari kita rasa kuat. Ada hari kita rasa sangat lemah. Ada masa kita mampu tersenyum di hadapan orang lain, tapi bila bersendirian, air mata jatuh tanpa mampu ditahan.

Takpe.

Menangislah kalau perlu.

Berehatlah kalau penat.

Tapi, jangan berhenti berharap kepada Allah.

Tenangkan diri. Banyakkan zikir. Bersabar. Jaga solat. Bersyukur dan terus percaya kepada Allah.

Kadang-kadang, ujian bukan datang untuk menghancurkan kita.

Sebaliknya, ujian mungkin jadi jalan untuk kita kembali kepada Allah dengan hati yang lebih dekat, lebih rendah diri dan lebih kuat.

Percayalah, selepas kesusahan ada kemudahan.

Mungkin hari ini kita belum nampak jalan penyelesaiannya.

Tapi teruskan melangkah.

Kerana Allah sentiasa ada.

Dan bila kita kembali kepada Allah ketika diuji, in syaa Allah hati akan menjadi lebih lapang dan kita akan dipimpin untuk menemukan jalan keluar yang terbaik.

Jangan berputus asa. Allah tahu apa yang sedang kita lalui. Dan Allah tahu bila masa yang terbaik untuk mengubah keadaan kita.

13/08/2026

Bohong tetap bohong, besar atau kecil ia tetap merosakkan kepercayaan.

“Alah, bohong kecil je…”

Pernah tak kita dengar ayat macam ni? Atau mungkin tanpa sedar, kita sendiri pernah menggunakannya untuk membenarkan sesuatu yang kita tahu sebenarnya tak benar. Hurmm.... 

Ramai orang anggap penipuan hanya salah bila ia melibatkan perkara besar. Kalau sekadar menyembunyikan perkara kecil, ubah sikit cerita atau bagi alasan yang tak tepat, ia dianggap tak begitu serius. Tapi hakikatnya, besar atau kecil sesuatu hal itu, bohong tetap bohong.

Sebab yang membuatkan sesuatu penipuan itu menyakitkan bukan semata-mata tentang apa yang dibohongkan. Yang lebih berat ialah bila kepercayaan seseorang terhadap kita dipermainkan.

Bayangkan seseorang yang selama ini kita percaya. Kita percaya kata-katanya, kita percaya penjelasannya dan kita percaya bahawa dia akan bercakap benar dengan kita. Kemudian kita tahu yang selama ini ada perkara yang disembunyikan atau tak diceritakan dengan jujur.

Mungkin perkara itu nampak kecil pada orang yang berbohong. Tapi bagi orang yang ditipu, persoalannya bukan lagi tentang perkara kecil tersebut.

Persoalannya ialah, “Kalau yang ini pun sanggup dibohongkan, apa lagi yang aku tak tahu?” Di situlah kepercayaan mula retak.

Kepercayaan sebenarnya dibina daripada perkara-perkara kecil. Cara kita bercakap, cara kita menepati janji, cara kita mengakui kesilapan dan yang paling penting, keberanian kita untuk berkata benar walaupun kebenaran itu mungkin tak menyenangkan.

Begitu juga dengan penipuan. Ia mungkin bermula dengan perkara kecil. “Tak nak dia marah.” “Tak nak gaduh.” “Benda kecil je.” “Nanti aku cerita.” 

Tapi bila perkara seperti ini jadi kebiasaan, lama-kelamaan seseorang akan mula tertanya-tanya, “Mana satu yang boleh aku percaya?”

Dan bila kepercayaan sudah hilang, meminta maaf sahaja kadang-kadang tak cukup untuk mengembalikannya seperti dahulu.

Bukan bermaksud kita semua perlu sempurna dan tak pernah melakukan kesilapan. Kita manusia. Kita boleh tersilap, terlupa atau membuat keputusan yang tak tepat. Tapi ada perbezaan besar antara melakukan kesilapan dan memilih untuk menipu.

Kalau tersilap, akui. Kalau terlupa, beritahu. Kalau takut untuk berkata benar, cari keberanian untuk menghadapinya. Mungkin kejujuran itu menyakitkan pada awalnya, tapi sekurang-kurangnya kita tak menambah satu lagi luka dengan penipuan.  Kadang-kadang kita terlalu takut kehilangan seseorang sehingga pilih untuk berbohong. Ironinya, penipuan itulah yang akhirnya boleh menyebabkan kita kehilangan mereka.  Jadi, sebelum kita berkata, “Bohong kecil je…”, fikir semula.  Mungkin bagi kita ia kecil. Tapi bagi seseorang yang meletakkan kepercayaan kepada kita, kesannya mungkin jauh lebih besar daripada yang kita sangka.

Kalau tersilap, akui. Kalau terlupa, beritahu. Kalau takut untuk berkata benar, cari keberanian untuk menghadapinya. Mungkin kejujuran itu menyakitkan pada awalnya, tapi sekurang-kurangnya kita tak menambah satu lagi luka dengan penipuan.

Kadang-kadang kita terlalu takut kehilangan seseorang sehingga pilih untuk berbohong. Ironinya, penipuan itulah yang akhirnya boleh menyebabkan kita kehilangan mereka.

Jadi, sebelum kita berkata, “Bohong kecil je…”, fikir semula.

Mungkin bagi kita ia kecil. Tapi bagi seseorang yang meletakkan kepercayaan kepada kita, kesannya mungkin jauh lebih besar daripada yang kita sangka.

Big or small, lies are lies.

Kerana dalam hubungan apa pun, keluarga, persahabatan, pasangan atau tempat kerja kejujuran mungkin tak menjadikan semuanya sempurna.

Tapi tanpa kejujuran, bagaimana kita mahu membina kepercayaan yang benar-benar kukuh? Jujur mungkin sakit sekejap. Tapi penipuan boleh meninggalkan luka yang lama. 

10/08/2026

Pasti ada…

Kadang-kadang kita tengok seseorang itu selalu ceria. Senyum tak pernah lekang, suka bergurau dan nampak macam hidupnya baik-baik sahaja. Tapi kita tak pernah tahu apa yang sebenarnya berlaku di sebalik senyuman itu.

Ada orang yang nampak sangat bahagia... 

Tapi sebenarnya sedang menyembunyikan rasa sakit. Dia mungkin ketawa bersama kawan-kawan, aktif di media sosial dan nampak macam takde masalah. Namun bila dia bersendirian, mungkin ada perkara yang sedang dia fikirkan dan tanggung seorang diri.

Begitu juga dengan orang yang nampak diam.

Jangan cepat anggap dia sombong atau tak nak berkawan. Mungkin sebenarnya ada terlalu banyak perkara yang dia nak luahkan, tapi dia sendiri tak tahu macam mana nak mengatakannya. Kadang-kadang, diam itu bukan sebab takde cerita. Tapi sebab terlalu banyak yang tersimpan.

Yang selalu menguatkan orang lain pun boleh rasa lemah. 

Kita mungkin pernah kenal seseorang yang selalu memberikan kata-kata semangat. Bila orang lain ada masalah, dialah yang akan berkata:

"Sabar, semuanya akan baik-baik saja."
"Jangan putus asa."
"Kena kuat."

Tapi kita terlupa bahawa orang yang selalu menyuruh orang lain supaya kuat juga seorang manusia.

Dia pun boleh penat.
Dia pun boleh kecewa.
Dia pun ada masa rasa tidak mampu.

Kadang-kadang dia terlalu biasa jadi tempat orang lain bersandar sampai tak tahu kepada siapa pula dia boleh bersandar bila dirinya sendiri sedang lemah.

Orang yang suka menghiburkan orang lain juga mungkin sedang bersedih. 

Ada orang yang kehadirannya sentiasa buat orang lain ketawa. Dia suka buat lawak, suka menceriakan suasana dan sentiasa cuba memastikan orang di sekelilingnya tidak berasa sedih.

Tapi mungkin di sebalik semua itu, dia sedang menyimpan kesedihan yang sangat dalam. Bukan semua kesedihan perlu ditunjukkan dengan air mata.

Ada kesedihan yang disembunyikan melalui senyuman.
Ada luka yang ditutup dengan gurauan.

Dan ada rasa penat yang hanya diketahui oleh dirinya sendiri.

Pasti ada…

Jadi, jangan terlalu cepat menilai seseorang. 

Kita hanya melihat sebahagian kecil daripada kehidupan seseorang. Kita tak tahu apa yang dia lalui sebelum bertemu dengan kita, apa yang sedang dia fikirkan selepas berpisah dengan kita atau apa yang dia simpan jauh di dalam hati.

Sebab itu, berbuat baiklah walaupun kita tak tahu seseorang itu sedang melalui apa.

Tanya khabar.
Dengar bila mereka mahu bercerita.
Jangan cepat menghukum.

Dan yang paling penting, jangan anggap seseorang sentiasa baik-baik saja hanya kerana dia kelihatan ceria.

Kadang-kadang satu soalan ringkas seperti, “Awak okay ke?” boleh membuatkan seseorang rasa bahawa masih ada orang yang mengambil berat tentang dirinya.

Kita mungkin tak mampu menyelesaikan masalah orang lain. Tapi kita boleh jadi seseorang yang membuatkan mereka rasa mereka tak perlu menghadapi semuanya seorang diri.

Kerana hakikatnya, setiap orang sedang berjuang dengan sesuatu yang mungkin tidak kita nampak.

Jadi, kalau hari ini kita nampak seseorang tersenyum, doakan dia. Kalau nampak seseorang diam, jangan terus menghukum. Kalau ada seseorang yang selalu menguatkan kita, sesekali tanyakan pula keadaan dirinya.

“Kau sendiri macam mana? Betul-betul okay ke?”

Mungkin soalan yang nampak kecil itu sebenarnya sangat bermakna. 

31/07/2026

Cara melupakan hal yang melukakan hati dan hidup lebih tenang.

Sekejap je dah nak habis bulan Julai. Esok dah masuk Ogos dah. Betapa cepatnya masa berlalu, tapi apa khabar dengan emosi kita? Adakah masih terjerat dengan kisah lama yang menyakitkan atau belajar pelan-pelan move on dan teruskan hidup? 

Cikla faham, cikla tak layak memberi nasihat dalam hal-hal sebegini sebab mereka yang melaluinya lebih tau akan kepedihan yang mereka rasa bila dikecewakan. Tapi mungkin korang pernah dengar ayat ni, "Kalau dah maafkan, lupakan sajalah." 

Dengar macam mudah je kan. Seolah-olah dengan satu keputusan, semua luka akan hilang dan hidup kembali seperti biasa. 

Hakikatnya, kehidupan tak berfungsi seperti itu. Hati manusia bukan suis yang boleh dimatikan sesuka hati dan kenangan bukan fail yang boleh dipadam dalam sekelip mata.

Ada orang yang pernah dikhianati bertahun-tahun dulu, namun sampai hari ini masih teringat apa yang berlaku. 

Ada pulak yang kehilangan orang tersayang dan masih terasa sebak bila melalui tempat-tempat yang pernah mereka kunjungi bersama. 

Ada juga yang pernah diperlakukan dengan kasar, dihina, dipandang rendah atau dipermainkan sehingga luka itu masih muncul dalam fikiran walaupun kehidupan sudah berubah.

Benda ini selalu buat seseorang berasa bersalah. Mereka mula mempersoalkan diri sendiri. "Aku dah maafkan, kenapa aku masih ingat?" "Adakah aku sebenarnya belum ikhlas?" "Kenapa orang lain nampak boleh teruskan hidup, tapi aku masih tak move on?"

Sebenarnya, memaafkan dan melupakan ialah dua perkara yang berbeza. 

Memaafkan ialah keputusan yang dibuat oleh hati. Melupakan pula melibatkan cara otak menyimpan pengalaman hidup. 

Cara melupakan hal yang melukakan hati dan hidup lebih tenang.

Otak manusia ni dicipta untuk mengingati perkara yang bagi kesan besar pada emosi, sama ada sangat menggembirakan ataupun sangat menyakitkan. 

Tujuan dia bukan untuk seksa kita, tapi sebagai mekanisme perlindungan agar kita lebih berhati-hati pada masa hadapan.

Sebab itulah kenangan yang menyakitkan kadang-kadang muncul secara tiba-tiba. Mungkin time kita tengah drive, sebelum tidur, time terdengar lagu tertentu atau bila melihat seseorang yang mengingatkan kita pada masa lalu. 

Kemunculan kenangan itu tak semestinya bermaksud kita belum sembuh dan tak bermaksud kita gagal memaafkan. Ianya adalah cara otak mengingat balik pengalaman yang pernah meninggalkan kesan mendalam.

Malangnya, ramai yang memilih untuk lawan kenangan tersebut. Mereka cuba memaksa diri supaya tak mengingatinya. Mereka marah kepada diri sendiri setiap kali kenangan itu muncul. 

Namun semakin kuat seseorang cuba menghalau sesuatu daripada fikirannya, semakin kuat pula perkara itu kembali. 

Fenomena ini memang sering berlaku dalam psikologi manusia. Bila kita berkata, "Aku tak nak fikir tentang perkara itu," otak sebenarnya sedang memberi perhatian kepada perkara yang sama.

Jalan menuju ketenangan bukanlah dengan memaksa diri untuk melupakan. Sebaliknya, ia bermula bila kita berhenti 'berperang' dengan kenangan itu. 

Kita mengaku yang peristiwa tersebut memang pernah berlaku. Ia memang menyakitkan. Ia memang meninggalkan kesan. Namun ia bukan lagi kehidupan kita pada hari ini.

Luka emosi juga mempunyai proses penyembuhan seperti luka fizikal. Kalau seseorang terjatuh sehingga lututnya berdarah, luka itu mungkin sembuh selepas beberapa minggu. Namun parutnya mungkin kekal bertahun-tahun. Bila tersentuh, kita masih sedar parut itu wujud, tapi ia tak lagi berdarah. 

Begitu jugalah dengan hati. Ada luka yang sembuh, tapi parutnya masih mengingatkan bahawa kita pernah melalui sesuatu yang sukar.

Kita juga kena faham bahawa memaafkan bukan bermaksud menghalalkan apa yang berlaku. 

Sebenarnya, memaafkan dan melupakan ialah dua perkara yang berbeza.   Memaafkan ialah keputusan yang dibuat oleh hati. Melupakan pula melibatkan cara otak menyimpan pengalaman hidup.

Memaafkan bukan bermaksud kita bersetuju dengan kezaliman atau pengkhianatan yang pernah dilakukan. Memaafkan ialah keputusan untuk tak lagi membiarkan masa lalu mengawal masa depan kita.

Ia adalah hadiah yang kita berikan kepada diri sendiri agar hati tak terus dibebani oleh kemarahan, kebencian dan dendam.

Namun walaupun sudah memaafkan, ada hari-hari tertentu bila kesedihan datang semula. Pada saat itu, jangan menghukum diri sendiri. 

Sebaliknya, katakan dengan lembut kepada hati, "Aku tahu kenangan ini ada. Aku tahu ia pernah melukakan aku. Tetapi hari ini aku selamat. Hari ini aku memilih untuk hidup."

Ayat yang ringkas ini mungkin kelihatan biasa, tapi bila diulang berkali-kali dengan penuh kesedaran, ia membantu otak memahami bahawa ancaman itu sudah berlalu. Sedikit demi sedikit, kenangan tersebut kehilangan kuasanya.

Bagi seorang Muslim, ketenangan yang sebenar juga datang bila kita menyerahkan segala yang tak mampu kita ubah kepada Allah. 

Ada perkara yang tak pernah mendapat penjelasan. Ada persoalan yang mungkin tak akan pernah terjawab. Ada keadilan yang mungkin tak berlaku di dunia ini. 

Namun seorang mukmin percaya bahawa Allah Maha Mengetahui setiap air mata yang pernah jatuh, setiap doa yang pernah dipendam dan setiap luka yang disimpan dalam diam.

Firman Allah SWT:

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang." (Surah Ar-Ra'd: 28).

Ayat ini bukan bermaksud orang beriman tak akan bersedih. Sebaliknya, ia mengajar bahawa ketika hati sedang bergelora, tempat kembali yang paling selamat ialah kepada Allah. 

Dalam sujud yang panjang, dalam doa yang perlahan, dalam zikir yang diulang dengan penuh pengharapan, hati belajar untuk melepaskan beban yang selama ini dipikul sendirian.

Hakikatnya, ketenangan bukanlah bila kita berjaya memadam semua kenangan pahit. Ketenangan ialah bila kenangan itu masih wujud, tapi ia tak lagi menguasai kehidupan kita. 

Kita masih mampu tersenyum, masih mampu menyayangi orang lain, masih mampu merancang masa depan tanpa dibelenggu oleh masa lalu.

Kalau hari ini hati korang masih terluka walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, jangan putus asa. 

Penyembuhan bukan perlumbaan. Setiap orang mempunyai tempoh yang berbeza. Ada yang mengambil masa beberapa bulan, ada yang bertahun-tahun. Yang penting ialah terus melangkah walaupun perlahan.

Percayalah, suatu hari nanti korang akan mengingati peristiwa yang sama, tapi hati korang tak lagi terasa sesak macam dulu. 

Korang akan sedar bahawa Allah tak menghilangkan kenangan itu, tapi Dia telah menguatkan hati korang sampai kenangan tersebut tak lagi mampu menjatuhkan korang.

Mungkin itulah maksud sebenar sebuah penyembuhan. Bukan bila kita lupa sepenuhnya, tapi bila kita mampu mengingati tanpa lagi dihancurkan olehnya. Begitulah... 

27/07/2026

Hidup dengan masa lalu atau move on? Mana yang terbaik?

Sebagai manusia biasa kita pasti pernah melalui fasa yang sukar. Ada yang kehilangan orang tersayang, ada yang dikecewakan, ada jugak yang terluka kerana apa yang diharapkan tak menjadi kenyataan. Semua itu akan meninggalkan kenangan yang memang susah nak lepaskan.

Persoalannya, adakah kita mahu terus hidup dengan masa lalu atau pilih untuk move on dan teruskan hidup macam biasa?

Hakikatnya, move on bukan bermaksud kita kena lupakan segala yang pernah berlaku. Sebaliknya, ia adalah proses untuk kita terima bahawa ada sesetengah hal yang memang kita tak mampu nak ubah. 

Perkara yang berlalu akan tetap menjadi sebahagian daripada kisah hidup kita, tapi ia tak semestinya menentukan masa depan kita. Betul tak? 

Ramai yang sangka move on itu mesti dan perlu berlaku dengan cepat. Sebenarnya tak ye. Ada hari kita rasa kuat, ada hari kita akan kembali bersedih. Benda ni normal je. Setiap orang mempunyai perjalanan dan tempoh penyembuhan yang berbeza.

Hidup dengan masa lalu atau move on? Mana yang terbaik?

Apa yang penting ialah kita tak berhenti melangkah. Bagi ruang pada diri kita untuk sembuh, buatlah hal yang happy happy, luangkan masa bersama orang yang menghargai kita dan percaya bahawa hari esok sentiasa membawa peluang untuk memulakan sesuatu yang lebih baik.

Hidup ini bukanlah lama sangat untuk kita habiskan dengan terus pandang ke belakang. Ye betul, kenangan mungkin tak akan hilang sepenuhnya, tapi rasa sakit itu akan semakin pudar bila kita pilih untuk terima dan teruskan hidup kita.

Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk melepaskan apa yang tak lagi menjadi milik kita dan terus melangkah dengan hati yang lebih tenang. 

Kadang-kadang, kebahagiaan bukan datang bila kita dapat balik apa yang kita dah hilang, tapi bila kita belajar menghargai apa yang masih kita miliki hari ini. Begitulah....

17/07/2026

Jom belajar ikhlas dengan apa yang datang dan pergi dengan bersangka baik.

Kadang-kadang hidup ni memang tak berjalan seperti yang kita nak. Ada hari yang kita rasa  tenang je, namun ada juga hari yang kita rasa berat sangat untuk harung. Ada orang datang membawa bahagia, namun ada juga yang hadir cuma untuk mengajar kita tentang kecewa.

Tapi dalam semua perkara yang berlaku, satu benda yang paling susah sebenarnya adalah untuk terus bersangka baik. Bila diuji, hati mula bertanya macam-macam. “Kenapa aku?” “Kenapa benda ni jadi dekat aku?” “Apa salah aku sebenarnya?”

Soalan-soalan macam ni normal ye sebenarnya. Kita ni manusia biasa, bukan robot yang sentiasa kuat. Tapi bila kita semakin dewasa, kita semakin sedar yang tak semua benda perlu kita faham sekarang. Ada perkara yang Allah bagi jawapan lambat sebab Dia nak kita belajar sesuatu terlebih dahulu.

Kadang-kadang orang yang paling kita sayang itulah yang paling kuat melukakan hati kita. Kadang-kadang keadaan yang kita benci itulah sebenarnya yang banyak mengajar kita tentang sabar. Dan kadang-kadang kehilangan yang kita tangisi hari ini, rupa-rupanya menjadi penyelamat untuk masa depan kita nanti.

Sebab tu jangan terlalu simpan dendam pada manusia dan jangan terlalu marah pada takdir. Penat hati kalau asyik memegang rasa kecewa. Kita fikir dengan membenci, hati akan puas. Tapi, hakikatnya makin lama dipendam, makin berat jiwa sendiri. Sedangkan orang lain mungkin sudah lama meneruskan hidup.

Jom belajar ikhlas dengan apa yang datang dan pergi dengan bersangka baik.

Belajarlah untuk lepaskan perlahan-lahan. Bukan sebab apa yang berlaku itu tak sakit, tapi sebab hati kita juga berhak untuk tenang. Tak semua orang akan kekal dalam hidup kita. Ada yang datang untuk menemani, ada yang datang sekadar singgah dan ada juga yang hadir untuk mengajar kita menjadi lebih kuat daripada sebelumnya.

Percayalah, setiap ujian yang datang bukan untuk menghancurkan kita. Ujian hadir supaya kita lebih matang, lebih sabar dan lebih mengenal diri sendiri. 

Mungkin hari ini kita menangis kerana sesuatu, tapi beberapa tahun akan datang kita akan tersenyum bila mengenang semuanya. Kita akan faham kenapa Allah ambil sesuatu daripada hidup kita dan kenapa Dia tak makbulkan semua yang kita mahu.

Hidup ini bukan tentang siapa paling bahagia tanpa masalah. Tapi siapa yang masih mampu berdiri walaupun berkali-kali jatuh. Siapa yang masih memilih untuk percaya bahawa selepas susah, akan ada tenang yang menunggu.

Jadi hati, tetaplah bersangka baik. Walau apa pun yang terjadi, jangan biarkan kecewa mengubah diri menjadi manusia yang penuh marah dan benci. Sebab dalam setiap luka, pasti ada hikmah yang sedang membentuk kita menjadi seseorang yang lebih kuat. Wallahualam. 

05/07/2026

Belajar bersyukur, jangan riak!

Kadang-kadang dalam hidup ni, kita terlalu selesa dengan apa yang kita ada sampai kita terlupa satu perkara penting, iaitu semua ni sebenarnya pinjaman. Rezeki, kesihatan, kebahagiaan, malah orang-orang yang ada di sekeliling kita, semuanya datang daripada Allah. Dan bila-bila masa sahaja, Allah boleh tarik semula.

Hakikatnya, hidup ni tak pernah milik kita sepenuhnya. Hari ni kita mungkin ada segalanya. Duit cukup, bisnes jalan, keluarga bahagia. Tapi esok? Kita tak tahu. Sebab tu pentingnya untuk sentiasa bersyukur, bukan hanya bila susah, tapi lagi-lagi bila senang.

Bila kita mula rasa 'aku hebat', 'ini semua sebab usaha aku', di situlah sebenarnya kita sedang diuji. Ujian bukan datang dalam bentuk kesusahan sahaja, tapi juga dalam bentuk kesenangan. Dan riak atau rasa bangga diri berlebihan, boleh buat kita lupa siapa yang sebenarnya beri semua tu.

Belajar bersyukur, jangan riak!

Bersyukur ni bukan sekadar sebut Alhamdulillah. Ia datang dengan rasa rendah diri, sedar bahawa tanpa izin Allah, kita bukan siapa-siapa. Orang yang betul-betul bersyukur akan lebih tenang, tak mudah bandingkan diri dengan orang lain, dan tak rasa perlu untuk menunjuk-nunjuk.

Kadang kita tengok orang lain jatuh, kita rasa kita lebih baik. Tapi hakikatnya, mungkin itu peringatan untuk kita. Allah boleh angkat seseorang, dan Allah juga boleh uji seseorang dalam sekelip mata. Jadi daripada sibuk menilai orang, lebih baik kita jaga hati sendiri.

Hidup ni bukan tentang siapa paling hebat, tapi siapa paling sedar diri. Sedar bahawa semua yang kita ada hari ni boleh hilang bila-bila masa. Dan bila kita betul-betul faham perkara tu, kita akan lebih menghargai, lebih bersyukur, dan insyaAllah, lebih jauh daripada sifat riak.

Jadi, apa pun yang kita ada hari ni, kecil atau besar, hargailah. Ucap syukur. Jaga hati. Sebab bila Allah bagi, itu rezeki. Bila Allah ambil semula, itu juga tanda kasih sayangNya untuk mengingatkan kita kembali. Wallahuallam.

04/07/2026

Kalau Allah sayang aku, kenapa Allah uji aku?

"Kenapa aku yang diuji?"

Soalan ini mungkin pernah terlintas di hati dan fikiran setiap daripada kita. Lebih-lebih lagi bila kita diuji dengan sakit, kehilangan, kesempitan rezeki atau pelbagai masalah yang terasa begitu berat untuk dipikul.

Syaitan ni mamg jahat sebab selalu membisikkan sangkaan yang bukan-bukan.

"Allah dah marah aku."
"Allah dah tak sayang aku."
"Ini semua hukuman atas dosa-dosa aku."

Namun, betul ke seperti yang disangkakan itu?

Hakikatnya, bukan semua ujian Allah itu adalah tanda kemurkaan Allah. Malah, dalam banyak keadaan, ujian adalah bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya.

Allah tak menguji kita sebab Dia membenci kita. Allah menguji kita sebab Dia mengetahui apa yang tak kita ketahui. Dia mengetahui kekuatan yang ada dalam diri kita. Dia mengetahui jalan terbaik untuk mendidik hati kita. 

Kadang-kadang, ketika hidup kita terlalu selesa contohnya, kita mula lupa untuk bergantung kepada Allah. Solat menjadi tergesa-gesa. Doa pulak jadi semakin singkat. Zikir pulak makin jarang. Apatah lagi mengaji. Hati pula makin jauh dari Allah.

Lalu Allah mengirimkan ujian.

Bukan untuk mematahkan kita, tapi untuk membawa kita kembali kepadaNya.

Kalau Allah sayang aku, kenapa Allah uji aku?

Bukankah ketika diuji, kita lebih banyak mengangkat tangan berdoa? Kita lebih lama bersujud. Kita lebih bersungguh-sungguh memohon pertolongan daripada Allah.

Mungkin itulah saat hubungan kita dengan Allah menjadi paling dekat.

Ujian juga bukan sekadar menguji kesabaran. Ia membersihkan dosa-dosa, mengangkat darjat, melembutkan hati dan mengajar kita bahawa tak ada tempat bergantung yang lebih kuat selain Allah.

Kita mungkin tak faham hikmah di sebalik setiap ujian hari ini. Tapi percayalah, Allah tak pernah menzalimi hambaNya. Setiap ketentuanNya pasti mengandungi rahmat, walaupun pada awalnya ia hadir dalam bentuk air mata.

Jadi, kalau hari ini kita sedang diuji, jangan cepat menyangka Allah telah meninggalkan kita. 

Mungkin sebenarnya Allah sedang memanggil kita pulang kepadaNya.

Mungkin Allah sedang membersihkan hati kita.

Mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang kita harapkan.

Teruskan bersabar. Teruskan berdoa. Teruskan bersangka baik kepada Allah.

Sebab, kasih sayang Allah tak selalu hadir dalam bentuk nikmat yang kita suka. Kadang-kadang, kasih sayangNya hadir dalam bentuk ujian yang akhirnya membawa kita lebih dekat kepada-Nya.

Semoga setiap ujian yang kita lalui menjadi asbab pengampunan dosa, penguat iman dan jalan menuju syurga.

"Ya Allah, jadikanlah setiap ujian yang Engkau berikan sebagai jalan untuk kami semakin dekat kepadaMu, bukan semakin jauh daripadaMu. Aamiin."

27/05/2026

Jadi orang hebat tanpa hilang rendah diri.

Ada orang bila dah berjaya sikit, terus lupa diri. Cara bercakap berubah, cara pandang orang pun lain macam. Padahal dulu masa susah, semua orang dia cari. Tapi bila dah duduk tinggi sikit, mulalah rasa diri paling betul, paling hebat dan paling layak dihormati.

Sebab tu cikla suka sangat dengan ayat ni, 'Tinggi boleh, tapi jangan sampai ke langit. Rendah boleh, tapi jangan sampai dipijak.' Ayat dia pendek je, tapi maksud dia dalam.

Dalam hidup ni, memang kita digalakkan untuk jadi lebih baik. Nak berjaya, nak ada duit, nak ada ilmu, nak ada nama. Tak salah langsung. Malah bagus sebenarnya kalau kita ada impian besar. Tapi setinggi mana pun kita naik, jangan sampai lupa untuk berpijak di bumi yang nyata.

Kadang-kadang orang bukan benci kita sebab kita berjaya. Orang cuma penat dengan sikap kita yang berubah selepas berjaya. Setuju tak?

Jadi orang hebat tanpa hilang rendah diri.

Bila dah ada sedikit kelebihan, jangan pandang rendah dekat orang lain. Jangan bercakap macam semua orang tak setanding kita. Dunia ni kecil je sebenarnya. Hari ni kita di atas, esok lusa belum tentu lagi. Hidup ni berpusing. Orang yang kita tak pandang hari ni, mungkin satu hari nanti jadi orang yang paling banyak bantu kita.

Dalam masa yang sama, nak jadi baik pun kena ada batasnya. Ramai orang terlalu takut nak kecewakan orang lain sampai akhirnya diri sendiri dipijak. Semua benda dia okay je, tapi dalam masa yang sama semua benda dia pendam. 

Bila orang ambil kesempatan, dia diam sebab tak nak nampak jahat. Hakikatnya, rendah diri tak bermaksud kita kena biarkan orang pijak maruah, masa dan perasaan kita. Ada beza antara baik hati dengan terlalu mengalah.

Kadang-kadang kita kena belajar cakap 'tak'. Kena belajar letak harga diri di tempat yang betul. Hormat orang lain penting, tapi hormat diri sendiri pun sama penting. Kalau terlalu tinggi, orang susah nak dekat. Kalau terlalu rendah, orang senang nak pijak. 

So, berpada-padalah dalam segala hal. Biar orang hormat kita sebab sikap kita, bukan sebab kita menunjuk siapa diri kita.

Akhirnya, manusia ni bukan dinilai pada seberapa tinggi dia berdiri, tapi pada bagaimana dia melayan orang lain ketika dia berada di atas. Begitulah. 

20/05/2026

Lidah memang tak bertulang, tapi cukup kuat untuk mematahkan hati seseorang.

Kadang-kadang kita rasa apa yang keluar dari mulut cuma gurauan biasa atau luahan marah sekejap, tapi bagi orang yang mendengar, kata-kata itu boleh tersimpan lama dalam hati.
Ramai orang ingat luka fizikal saja yang sakit. 

Hakikatnya, luka disebabkan kata-kata juga boleh tinggalkan kesan yang mendalam. Ada orang nampak tenang di luar, tapi sebenarnya sedang cuba pulihkan hati yang terluka kerana hinaan, sindiran atau kata-kata kasar yang diterima.

Sebab itu, menjaga percakapan sangat penting dalam kehidupan seharian. Bila sedang marah, kita selalunya bercakap tanpa berfikir. Masa itu emosi menguasai diri dan apa saja boleh terkeluar dari mulut. 

Lidah memang tak bertulang, tapi cukup kuat untuk mematahkan hati seseorang.

Selepas keadaan reda, mungkin kita boleh minta maaf, tapi bukan semua luka hati mudah sembuh. Ada kata-kata yang terus bermain dalam fikiran seseorang walaupun sudah bertahun berlalu.

Dalam hubungan keluarga, persahabatan atau pasangan, komunikasi yang baik boleh mengeratkan hubungan. Sebaliknya, percakapan yang menyakitkan boleh menjauhkan hati. 

Kadang-kadang bukan sebab masalah besar pun, tetapi cara kita bercakap membuatkan orang rasa tidak dihargai.

Sebenarnya, bercakap dengan lembut bukan tanda lemah. Malah, orang yang mampu menjaga kata-kata ketika marah adalah orang yang kuat mengawal emosi. Tak salah untuk menegur atau meluahkan rasa tak puas hati, tapi pilihlah cara yang lebih baik supaya hati orang lain tak terluka.

Sebelum bercakap, cuba fikir sekejap. Kalau kita sendiri tak suka mendengar kata-kata itu, mungkin orang lain juga akan terasa sakit bila mendengarnya. 

Lidah memang tak bertulang, tapi kesannya mampu meninggalkan luka yang tak nampak di mata.

17/05/2026

Bila seseorang berubah, jangan ungkit kisah silamnya.

Ada orang mudah nak judge atau tengok seseorang itu pada masa lalu sampai terlupa bahawa manusia boleh berubah. Kita nampak kesilapan dia, kelemahan dia, perangai lama dia tapi kita tak nampak mungkin setiap malam yang dia lalui sendirian untuk cuba jadi lebih baik.

Hakikatnya, proses untuk berubah bukan sesuatu yang mudah ye. Lagi-lagi bila perbuatan tu dah jadi umpama darah daging. Ada yang terpaksa lawan rasa kecewa, lawan trauma, lawan diri sendiri, malah ada yang jatuh berkali-kali sebelum akhirnya mampu bangun semula. 

Jadi, bila seseorang mula berubah ke arah yang lebih baik, perkara paling kecil yang kita boleh buat adalah menghargai usaha itu, bukan mengungkit apa yang pernah berlaku dulu.

Kadang-kadang, ayat seperti “dulu bukan main lagi dia ni” atau “alah, aku tahu perangai lama dia macam mana” nampak biasa pada orang yang bercakap. Tapi pada orang yang sedang cuba bina hidup baru, ayat itu boleh jadi sangat menyakitkan. Ia seolah-olah menarik dia kembali ke tempat yang dia cuba tinggalkan.

Bila Seseorang Berubah, Jangan Ungkit Kisah Silamnya

Ye, semua orang ada masa silam. Tak ada manusia yang hidup sempurna tanpa pernah buat silap. Bezanya cuma ada orang simpan kesalahan mereka secara diam dan ada yang kesilapan mereka pernah dilihat ramai. Sebab itu, kita tak perlu jadi hakim kepada perjalanan hidup orang lain.

Kalau seseorang sedang cuba berubah, beri ruang untuk dia berkembang. Berilah sokongan walaupun kecil, doakan yang baik atau sekadar tak mengungkit kisah lama pun dah cukup besar nilainya. Kadang-kadang, orang yang pernah jatuh paling teruk itulah yang paling menghargai peluang untuk jadi lebih baik.

Dan mungkin suatu hari nanti, kita juga akan berada di tempat yang sama. Kita juga berharap orang lain melihat siapa diri kita hari ini, bukan terus menghukum berdasarkan siapa kita semalam.

Walaupun bukan mudah untuk bangkit, tapi lebih susah bila orang sekeliling tak pernah benarkan kita benar-benar berubah. Begitulah....