Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

25/08/2026

Kisah Bilal bin Rabah selepas wafatnya Rasullullah...

Selepas wafatnya Rasulullah, Bilal bin Rabah telah meminta izin dari khalifah Abu Bakar untuk meninggalkan Madinah. Abu Bakar telah memberi izin kepada Bilal untuk meninggalkan Madinah.

Sebelum meninggalkan Madinah ditatapinya buat kali terakhir Kota Madinah di mana satu masa dulu dia dan Rasulullah berkongsi suka dan duka.

Bilal menetap bersama keluarganya di Syria, sungguh sukar bagi Bilal untuk melupakan kenangan bersama Rasulullah. Sekian lamanya Bilal menetap di Syria.

Kisah Bilal bin Rabah selepas wafatnya Rasullullah...

Satu hari Rasulullah muncul di dalam mimpinya, "Wahai Bilal keras sungguh hatimu,kenapa engkau tidak menziarahi aku". Lantas Bilal terjaga dari tidurnya dengan deraian air mata sehingga seluruh keluarganya terbangun.

Bilal menceritakan kepada ahli keluarganya apa yang terjadi, ahli keluarganya menyuruh Bilal menziarahi makam Rasulullah.

Semasa Bilal dalam perjalanan menuju Madinah, air matanya tidak henti-henti mengalir. Dia tidak berhenti di mana-mana agar cepat sampai di Madinah.

Setelah beberapa hari, Bilal sampai di makam Rasulullah lantas memberi salam, "Asalamualaika ya Rasulullah..."Air matanya terus mengalir.

Tiba-tiba datang Amirul Mukminin Syaidina Abu Bakar memeluk Bilal dari belakang untuk menenangkan Bilal, sehingga reda tangisan Bilal.

"Bilal, alang-alang kamu sudah berada di sini laungkanlah azan untuk kami," rayu Amirul Mukminin. "Tidak, wahai amirul mukminin," jawab Bilal.

"Laungkanlah azan, kami rindu akan suara kamu," pinta Syadina Umar. Bilal mengelangkan kepala.

Tiba-tiba datanglah dua orang cucu kesayangan Rasulullah iaitu Hassan dan Husin,"Pakcik Bilal, laungkanlah azan sebagaimana pakcik laungkannya di masa datuk kami masih ada."

Dipeluknya kedua-dua cucu kesayangan Rasulullah itu lantas diciumnya. "Sebentar tadi aku baru menolak permintaan Khalifah dan permintaan Syadina umar, aku takut untuk menolak permintaan kamu berdua, aku takut nanti Rasulullah akan menolak permintaan aku."

Bilal naik ke atas menara, ditatapinya satu persatu tempat kenangan bersama Rasulullah sambil air matanya mengalir laju.

"Allahuakbar, Allahuakbar... "

Terdiam seluruh penduduk Kota Madinah mendengar alunan suara azan tersebut. Suasana penduduk Kota Madinah masa itu sangat terkejut.

"Asyhadu ala ila haa illallah.. "

"Abu I'sa Rasulullah. Apakah Rasulullah dibangkitkan semula?", bisik mereka.

"Asyhadu ala ila haa illallah... "

Tangisan penduduk Kota Madinah kian pilu, mereka terkenangkan saat mereka bersama Rasulullah. Syadina Abu Bakar, Umar dan penduduk Madinah menitiskan air mata. Kerinduan pada suara agung itu kembali lalu mencetuskan satu situasi yang tercatat sebagai sejarah buat umat akhir zaman.

"Asyhadu anna Muhammad Rasulullah... "

Terus Bilal tersungkur tak dapat meneruskan azannya lagi, lantas disambut oleh Syadina Abu Bakar dan Syadina Umar, "Mengapa Bilal?"

"Waktu tengah azan tadi sehingga aku menyebut nama kekasihku,aku seakan-akan terlihat kelibat Rasulullah keluar dari rumah untuk solat berjemaah bersama kita."

"Aku rindu Rasulullah."
"Aku rindu Rasulullah."
"Aku rindu Rasulullah."

Berlenangan air mata para sahabat dan penduduk Kota Madinah apabila tukang azan Rasulullah pulang ke Kota Madinah untuk mengubati kerinduannya kepada Junjungan Besar Muhammad S.A.W.

Kisah Bilal bin Rabah selepas wafatnya Rasullullah...

Rindukah kita kepada Rasulullah?

Jangan lupa atau skip hari ini berselawat pada kekasih Allah sekurang kurangnya 3,10,100 kali,

Salam Maulidur Rasul. 

Kredit : Arman Yusuf

26/05/2026

Aidiladha : Dalam pengorbanan ada keberkatan.

In syaa Allah, esok kita akan menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha. Perayaan ini merupakan antara hari kebesaran yang sangat istimewa buat umat Islam di seluruh dunia. 

Sambutan ini bukan sekadar tentang penyembelihan haiwan korban, malah membawa makna yang jauh lebih mendalam dalam kehidupan seorang Muslim. 

Di sebalik ibadah korban, tersimpan nilai keikhlasan, pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT yang perlu dihayati oleh setiap insan.

Sejarah ibadah korban berkait rapat dengan kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim menerima perintah daripada Allah SWT untuk mengorbankan anak kesayangannya sebagai tanda ketaatan yang mutlak. 

Walaupun perintah itu sangat berat, baginda tetap akur dan reda demi memenuhi perintah Allah. Begitu juga Nabi Ismail AS yang menerima ketentuan tersebut dengan penuh keimanan. 

Namun, sebelum pengorbanan itu berlaku, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas sebagai tanda rahmat dan kasih sayangNya kepada hamba yang taat.

Daripada kisah inilah, umat Islam diajar bahawa pengorbanan yang sebenar bukan hanya melibatkan harta atau haiwan semata-mata, tapi juga pengorbanan perasaan, masa dan kepentingan diri demi mendapatkan keredaan Allah SWT. 

Aidiladha mengingatkan manusia supaya sentiasa meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam setiap perkara.

Ibadah korban juga mendidik umat Islam tentang sifat ikhlas dan rasa syukur. Haiwan yang dikorbankan bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau berbangga, sebaliknya dilakukan dengan niat ibadah dan membantu golongan yang memerlukan. 

Aidiladha : Dalam pengorbanan ada keberkatan.

Daging korban diagihkan kepada keluarga, jiran tetangga serta golongan fakir miskin agar mereka turut merasai nikmat dan kegembiraan Aidiladha. 

Melalui amalan ini, hubungan sesama masyarakat menjadi lebih erat dan semangat saling membantu dapat dipupuk.

Selain itu, Aidiladha turut mengajar umat Islam tentang nilai kasih sayang dan kebersamaan. Ketika proses korban dilakukan, masyarakat biasanya bergotong-royong membantu antara satu sama lain. 

Suasana ini bukan sahaja menghidupkan semangat ukhwah, malah menjadi peluang untuk mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga dan jiran tetangga.

Dalam kehidupan hari ini, semangat pengorbanan sangat penting untuk diamalkan. Ada yang berkorban masa demi keluarga, berkorban tenaga demi mencari rezeki yang halal dan ada juga yang sanggup membantu orang lain walaupun dalam keadaan susah. 

Semua pengorbanan yang dilakukan dengan niat yang baik mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT.

Jadi, Aidiladha bukan hanya tentang menyembelih haiwan semata-mata, tapi merupakan simbol keimanan, keikhlasan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Aidiladha mengajar umat Islam supaya sentiasa bersyukur, saling membantu dan sanggup berkorban demi kebaikan bersama. 

Semoga semangat pengorbanan ini terus hidup dalam diri setiap Muslim, bukan sahaja ketika Aidiladha tapi dalam kehidupan seharian. Wallahualam. 

17/10/2025

Beramallah dengan Surah Al Insyirah.

Beramallah dengan Surah Al Insyirah.
Beramallah dengan Surah Al Insyirah.

Ajarilah anak-anak dengan membaca 7x surah Al Insyirah selepas waktu solat.

Bukan sahaja melembutkan hati bahkan memudahkan urusan kita. Bila lembut hati, mudah untuk kita mendengar nasihat dan menerima petunjuk dari Allah.

Tiada siapa yang mampu mudahkan urusan dunia dan urusan akhirat kita melainkan Allah.

Kredit : ceramahmotivasi

05/09/2025

Rindunya kita pada Rasulullah SAW.

Hari ini, kita mulakan untuk amalkan 10 hal ini bagi menghidup sunnah Rasulullah SAW.

1. Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

2. Membersihkan mulut dan bersugi. Terutama setiap kali selepas makan dan sebelum menunaikan solat.

3. Mendoakan orang yang memberi makan kepada kita.

4. Mengamalkan madu dan habbatus sauda.

5. Minum air dengan beberapa kali tegukan, bukan minum tanpa henti.

6. Menarik nafas ketika mula minum.

7. Tidak bernafas ataupun meniup ke dalam bekas minuman.

8. Tidur mengiring ke kanan.

9. Ambil wudhu' setiap kali sebelum beribadah dan memastikan diri sentiasa bersih dan kemas.

10. Sentiasa bersabar, bertindak pantas dan tegas dalam membuat keputusan.

Rindunya kita pada Rasulullah SAW.

Kehebatan Rasulullah SAW bukan sahaja diperakui oleh kita semua, malahan tokoh barat juga mengangkat Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin paling berpengaruh dalam  peradaban dunia.

Kalian boleh buat carian mengenai Michael H. Hart yang telah menyenaraikan Baginda Rasulullah dalam buku tulisannya 100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah.

Rasulullah SAW dianalisis sebagai satu model manusia yang memiliki kesempurnaan dari segenap sudut keilmuan yang boleh dijadikan rujukan terperinci.

Sempena Maulidur Rasul hari ini, kita sambut dan raikannya dengan mengamalkan semua sunnah Rasulullah SAW. Kita ubah yang simple namun impaknya besar dalam hidup.

Salam Maulidur Rasul  buat semua.

Kredit : Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah.

28/07/2025

Rahsia baca Al-Quran waktu pagi: Penawar hati yang ramai tak sedar.

Pernah tak kita tanya diri sendiri, kenapa ada masanya hati kita susah sangat nak tenang? Atau kenapa hati kita ni rasa kosong je, walaupun hidup nampak macam okay? Kan?

Kadang-kadang bila kita bangun pagi, terus pegang telefon. Buka media sosial, baca berita, balas mesej, tengok apa yang trending. Tapi jarang sangat kita mula pagi dengan makanan rohani , iaitu Al-Quran. Sedangkan kalau kita tahu apa yang Al-Quran boleh buat untuk jiwa kita, mesti kita akan cari masa untuk baca ia walaupun sekejap.

Rahsia baca Al-Quran waktu pagi: Penawar hati yang ramai tak sedar.

Membaca Al-Quran pada waktu pagi, khususnya selepas solat Subuh, sebenarnya bukan sekadar amalan biasa. Ia adalah satu bentuk ‘ubat’ yang Allah sediakan untuk penyakit hati kita, penyakit yang kita tak nampak dengan mata kasar.

Luaran, mungkin kita nampak sihat. Kita boleh jogging, pergi gym, pergi kerja dan beraktiviti macam biasa. Tapi dalam hati? Kadang-kadang penuh luka. Cepat marah, tak sabar, suka bandingkan hidup dengan orang lain, malas, rasa jauh dari Allah dan paling menyedihkan kita dah tak rasa berdosa bila buat salah.

Allah dah sebut dalam Surah Yunus, ayat 57, bahawa Al-Quran adalah pengajaran, penawar untuk penyakit dalam hati, hidayah dan rahmat bagi orang beriman. Tapi kita takkan rasa kesannya kalau kita tak ambil ‘ubat’ tu setiap hari.

Kesan Al-Quran tak macam ubat fizikal yang boleh dilihat kesannya cepat. Tapi siapa yang istiqamah baca, dia akan perasan hatinya makin lembut, fikirannya lebih lapang, emosinya lebih terkawal. Dan yang paling penting, dia akan rasa lebih dekat dengan Tuhan.

Jadi, kalau belum biasa baca Al-Quran waktu pagi, cubalah. Tak perlu lama. Mungkin satu muka surat je dulu. Tapi buat dengan hati. Lama-lama, hati akan rindu. Dan masa itulah kita akan faham kenapa Al-Quran disebut sebagai syifa’.

Mulakan hari dengan Al-Quran dan biarkan ia menyembuhkan apa yang tak dapat dilihat oleh manusia. Sebab ubat hati, hanya Al-Quran yang tahu caranya.

02/03/2025

Ibadah puasa: Pengertian, hikmah dan kepentingannya dalam Islam.

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat kerana Allah SWT. 

Ibadah ini merupakan salah satu daripada lima rukun Islam dan diwajibkan ke atas setiap Muslim yang baligh dan berakal, sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah, 2:183)

Dalam Islam, terdapat beberapa jenis puasa, antaranya:

1. Puasa Wajib – Puasa Ramadan, puasa nazar dan puasa qada.

2. Puasa Sunat – Puasa Isnin dan Khamis, puasa Ayyamul Bidh (13, 14, dan 15 setiap bulan Islam), puasa enam hari Syawal dan puasa Asyura (10 Muharram).

3. Puasa Makruh – Contohnya, puasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digabungkan dengan hari lain.

4. Puasa Haram – Berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Ibadah puasa: Pengertian, hikmah dan kepentingannya dalam Islam.

Ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tapi mempunyai pelbagai hikmah dan kepentingan dalam kehidupan seorang Muslim:

1. Meningkatkan ketakwaan.
  • Puasa mengajar kita untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT serta meningkatkan amalan ibadah seperti solat, membaca Al-Quran dan bersedekah.
2. Melatih kesabaran dan disiplin.
  • Berpuasa membantu kita mengawal nafsu, memperkukuh kesabaran dan mendidik diri agar lebih berdisiplin dalam kehidupan seharian.
3. Menyihatkan tubuh badan.
  • Kajian perubatan menunjukkan bahawa puasa membantu menyingkirkan toksin dalam badan, meningkatkan metabolisme dan memperbaiki sistem pencernaan.
4. Mengeratkan hubungan sesama manusia.
  • Dengan berpuasa, kita lebih memahami penderitaan golongan yang kurang bernasib baik, sekali gus meningkatkan rasa empati dan keinginan untuk membantu mereka.
5. Membentuk akhlak mulia. 
  • Puasa bukan sahaja mengajar kita menahan lapar dan dahaga ttapi juga menahan diri daripada perbuatan yang tak baik seperti berkata kasar, berbohong dan bergosip.

Puasa adalah satu ibadah yang mempunyai pelbagai manfaat, bukan sahaja dari sudut keagamaan tapi juga dari segi kesihatan dan sosial. 

Oleh itu, umat Islam seharusnya menghayati ibadah ini dengan penuh keikhlasan agar dapat meraih ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT. 

Semoga kita semua diberi kekuatan untuk melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna dan mendapat keampunan serta rahmat daripadaNya. Salam Ramadan semua. 

29/11/2024

Rahmat Allah lebih luas dari dosa kita: Jangan berputus asa dari keampunanNya!

Sebagai manusia, kita dah pasti tak terlepas dari buat silap. Dosa yang dibuat sering kali berpunca dari kelemahan diri kita sendiri, namun Allah SWT sentiasa membuka pintu rahmat dan keampunan untuk hamba-hambaNya yang ingin kembali ke jalan yang benar. 

Firman Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 16, mengingatkan kita tentang doa Nabi Musa A.S yang penuh keinsafan:

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri, oleh itu ampunilah dosaku..."

Doa ini adalah luahan hati Nabi Musa A.S selepas baginda secara tak sengaja menyebabkan kematian seseorang. Namun, baginda tak berputus asa. Sebaliknya, baginda terus memohon keampunan daripada Allah dengan penuh keyakinan terhadap rahmatNya.

Rahmat Allah lebih luas dari dosa kita: Jangan berputus asa dari keampunanNya!

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita juga diajar untuk tak pernah merasa putus harapan walaupun dosa kita banyak. Rasulullah SAW bersabda:

"Setiap anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah mereka yang bertaubat..." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini mengingatkan kita bahawa taubat adalah jalan terbaik untuk kita membersihkan jiwa dan kembali kepadaNya. Jangan biarkan dosa-dosa kita yang lalu menghalang kita dari memohon ampun. Ingatlah, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Hidup ini terlalu singkat untuk terus dibelenggu rasa bersalah. Sebaliknya, jadi setiap hari peluang untuk perbaiki diri dan mendekatkan hati dan diri kepada Allah. 

Dengan penuh keinsafan, mohonlah keampunan daripadaNya kerana rahmat Allah itu lebih luas daripada segala dosa kita. Jangan pernah berputus asa daripada rahmat Allah. 

Setiap taubat yang ikhlas pasti diterima sebab Allah suka pada  hambaNya yang kembali kepadaNya dengan hati yang penuh keinsafan.

Moga Allah menerima taubat kita, aamiin insyaAllah. 

01/11/2024

Ujian hidup dan rahsia tenang menghadapinya dengan hubungan kuat pada Allah.

Kita semua tahu, dalam hidup ini, ujian adalah perkara yang pasti. Tak kira besar atau kecil, setiap orang akan melaluinya. Tapi, pernah tak kita terfikir kenapa ada orang yang kelihatan tenang dan kuat, walaupun badai hidup melanda? 

Manakala, ada juga yang nampaknya mudah goyah bila diuji. Rahsia sebenar bukanlah tentang betapa beratnya ujian itu, tetapi sejauh mana kuatnya hubungan kita dengan Allah.

Kadang-kadang, kita terasa lemah bukan kerana ujian yang berat, tapi sebab kita sendiri kurang mendekatkan diri pada Allah. Jadi, kalau kita nak lebih tenang dan tabah, perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah memperkukuhkan hubungan denganNya. 

Pertama sekali, jom kita tanya diri kita macam mana hubungan kita dengan solat? Adakah kita sekadar menunaikannya sebab kewajipan atau kita benar-benar menghayati setiap bacaan dan gerakan? 

Solat sebenarnya cara kita berhubung dengan Allah dan bila kita lakukannya dengan kusyuk, ada kekuatan batin yang akan hadir. Macam mana susah sekalipun masalah kita, bila dah berbual dengan Allah dalam solat, kita akan rasa lega.

Selain solat, jangan lupa untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran. Ramai yang baca Al-Quran, tapi tak ramai yang cuba faham maknanya. 

Padahal, dalam Al-Quran terkandung pelbagai nasihat dan panduan hidup. Kadang-kadang satu ayat saja dah cukup untuk beri kita semangat baru. Jadi, cuba jadikan Al-Quran sebagai teman harian kita, bukan sekadar dibaca masa terluang atau bila ada masa lapang.

Ujian hidup dan rahsia tenang menghadapinya dengan hubungan kuat pada Allah.

Satu lagi yang penting, berdoa dengan hati yang ikhlas. Bila kita berdoa, cuba hadirkan sepenuh hati. Jangan anggap doa hanya sekadar rutin. Anggap ia sebagai cara kita berkomunikasi dengan Allah. 

Ingat, Allah sentiasa mendengar, walaupun mungkin doa kita tak dimakbulkan serta-merta. Kadang-kadang, Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita. Jadi, jangan putus asa untuk terus berdoa.

Dan tak lupa juga, sabar dan syukur adalah dua kunci untuk hadapi ujian hidup. Sabar bukan bermaksud kita berdiam diri tanpa usaha, tapi kita cuba untuk terima setiap ujian dengan hati terbuka. 

Syukur pula tanda kita menghargai nikmat yang masih ada, walaupun sedang diuji. Bila kita bersyukur, kita akan nampak ujian sebagai satu proses yang sementara, dan Allah tak pernah tinggalkan kita.

Akhir sekali, cuba dekatkan diri dengan orang yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Pilih sahabat yang positif, yang mengajak kita kepada kebaikan dan memberi semangat untuk terus beramal. Kadang-kadang, suasana persekitaran yang baik boleh membantu kita menjadi lebih kuat dan istiqamah.

Setiap ujian ada hikmahnya, tapi bagaimana kita menghadapinya bergantung kepada sejauh mana kita meletakkan kebergantungan pada Allah. Dengan hubungan yang kuat padaNya, ujian yang datang akan terasa lebih ringan. 

Jadi, jom sama-sama kita usahakan untuk memperkukuh hubungan kita dengan Allah. Semoga dengan usaha ini, hidup kita akan lebih tenang, diberkati dan dipermudahkan olehNya.

27/10/2024

Hasbunallahu wa ni'mal-wakil: Rahsia ketabahan dan ketenangan hati.

Dalam hidup, siapa je yang tak pernah rasa tersepit, kan? Ada masa kita rasa macam semua pintu tertutup, semua jalan buntu, tak tahu nak buat apa. 

Tapi waktu tu jugaklah, ayat "Hasbunallahu wa ni'mal-wakil" muncul dalam ingatan. Maksudnya, “Cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami, dan Dia sebaik-baik pelindung.” Ringkas, tapi mendalam sungguh maknanya.

Ayat ni mengingatkan kita yang dalam apa jua keadaan, Allah sentiasa ada. Dia Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan segala yang kita lalui sebenarnya ada dalam rancangan Dia. 

Memang tak mudah nak terima bila hati tengah gundah, tapi cuba tengok dari perspektif ni: apa pun yang datang, semuanya hanya ujian sementara.

Kalau tanya pada mereka yang tengah dalam tekanan, ramai yang kata membaca ayat ni beri kekuatan luar biasa. Macam ada suntikan keyakinan dalam diri. 

Kadang-kadang, bila duit tak cukup, hubungan retak, atau masalah berat yang rasa macam tak boleh selesai, "Hasbunallahu wa ni'mal-wakil" ni jadi macam 'mantera' ketenangan. Sebab kita ingat, segala yang berlaku takkan pernah lari daripada kuasa Allah.

Bila kita sedar ni, barulah rasa lega sikit, kan? Segala yang terjadi dah ditentukan, Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.

Hasbunallahu wa ni'mal-wakil: Rahsia ketabahan dan ketenangan hati.

Tawakal pulak bukan sekadar redha dan pasrah tanpa usaha. Tawakal ni berusaha sampai habis tenaga, guna segala ilmu dan kebolehan yang ada, tapi akhirnya kita serahkan pada Allah. 

Maknanya, kita takkan kecewa dengan hasil akhirnya sebab kita tahu Allah yang tentukan dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Contoh mudah? Bayangkan kita nak sangat naik pangkat dalam kerja. Usaha gila-gila, sampai ke tahap burnout, tapi mungkin ada rintangan di tengah jalan. Bos yang tak supportive, target yang sukar nak capai. 

Bila kita rasa usaha kita dah maksimum, ingatlah ayat ni dan letakkan pergantungan pada Allah. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak, percayalah Allah tengah atur sesuatu yang lagi baik.

Dalam dunia yang serba tak menentu ni, mudah je hati rasa gelisah. Kadang-kadang risau pasal keselamatan diri, keluarga, atau masa depan kita. Tapi bila kita ingat yang Allah tu sebaik-baik pelindung, rasa yakin tu jadi perisai hati. Keyakinan bahawa Allah sentiasa melindungi kita buat kita lebih tenang nak hadapi apa sahaja yang mendatang.

Siapa tak pernah dengar kisah Nabi Ibrahim a.s. yang dilempar ke dalam api? Pada saat genting tu, baginda sebut "Hasbunallahu wa ni'mal-wakil," dan Allah jadikan api yang panas tu sejuk serta menyelamatkan baginda. 

Bayangkan, situasi yang nampak mustahil berubah jadi keajaiban. Kisah ni ajar kita yang kalau kita benar-benar berserah pada Allah, tak ada apa yang mustahil.

Jadi, "Hasbunallahu wa ni'mal-wakil" ni lebih daripada sekadar ayat. Dia adalah ungkapan iman kita, pengakuan yang Allah itu maha hebat, maha berkuasa atas segala-galanya. 

Bila kita praktikkan tawakal ni, yakin yang Allah sentiasa ada, insyaAllah kita akan rasa tenang dalam hidup. Setiap ujian tu bukan untuk melemahkan, tapi untuk kita sedar bahawa pertolongan Allah itu takkan pernah putus.

Apa pun yang kita lalui, ingatlah Allah cukup untuk kita. Wallahualam. 

26/10/2024

Kaya bukan sekadar banyak harta, kaya untuk kebaikan!

Mungkin ada yang salah faham bila bercakap soal kekayaan dalam Islam, seolah-olah kita tak digalakkan jadi kaya atau harta hanya akan buat kita lalai. 

Sebenarnya, jadi kaya itu sesuatu yang positif dan boleh mendekatkan diri kita kepada Allah, selagi kita ikut jalan yang betul dan gunakan harta kita untuk tujuan yang baik. 

Kekayaan dalam Islam tak lain tak bukan adalah alat untuk mencapai kebaikan, bukan untuk mengisi hawa nafsu atau memenuhi semua kehendak dunia semata-mata. 

Bila kita ada kekayaan, perkara pertama yang akan kita dapat lakukan ialah keluarkan lebih banyak zakat. Ini bukan hanya pasal tanggungjawab, tapi juga peluang untuk bantu mereka yang memerlukan. 

Dengan harta yang lebih banyak, lebih banyak zakat kita boleh bagi. Zakat ini bukan sahaja jadi sumber rezeki kepada golongan yang susah, tapi juga cara untuk kita bersihkan harta kita. 

Bila kita ikhlas keluarkan zakat, Allah akan tambah berkat pada harta yang kita ada. Lagi ikhlas kita bantu orang, lagi dekat kita dengan reda Allah.

Kaya bukan sekadar banyak harta, kaya untuk kebaikan!

Selain zakat, kita juga boleh bersedekah dengan lebih banyak. Bersedekah ni tak ada had tertentu, kita boleh bagi apa yang kita ada dan mampu. Rasulullah SAW sendiri contoh terbaik dalam bab ni, selalu tolong orang dan galakkan kita bersedekah. 

Dan tak semestinya sedekah tu kena dalam bentuk wang; boleh juga dalam bentuk makanan, pakaian atau barang keperluan lain. 

Amalan ni bukan sahaja bantu orang yang memerlukan, tapi juga beri ketenangan pada hati kita. Yang paling best, setiap kali kita bersedekah, ganjaran di sisi Allah makin bertambah.

Kekayaan juga bukan untuk kita bantu orang luar saja, tapi untuk pastikan kehidupan kita dan keluarga lebih selesa. Bila kita ada kewangan yang stabil, kita boleh bagi anak-anak pendidikan terbaik, sediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, dan juga bantu ahli keluarga yang mungkin perlukan sokongan kewangan. 

Malah, dari sinilah kita juga boleh buka peluang pekerjaan atau sokong komuniti dengan perniagaan yang kita usahakan. Jadi, nak jadi kaya bukan benda yang sia-sia atau dilarang dalam Islam. 

Sebenarnya, ia satu dorongan untuk kita jadi lebih baik dan memberi lebih banyak. Hanya dengan niat yang ikhlas dan cara yang betul, kekayaan kita boleh jadi sumber kebahagiaan pada orang lain, pada diri kita, dan mendekatkan kita kepada Allah. Kaya bukan sekadar duit, tapi alat untuk kita buat kebaikan.

Wallahualam.

03/10/2024

Buat amal biarlah ikhlas sebab inilah ujian dan ganjaran dari Allah.

Dalam hidup ini, mungkin kita pernah rasa kecil hati bila kebaikan yang kita buat tak dihargai orang. Namun, kita kena sedar yang bukan semua kebaikan itu mesti mendapat penghargaan di mata manusia. Sebenarnya, time kita buat sesuatu tanpa dipandang oleh orang lain, di situlah Allah sedang menguji keikhlasan hati kita.

Ironinya, ikhlas dalam beramal adalah salah satu perkara yang paling susah nak jaga. Allah sebenarnya uji kita sejauh mana kita mampu buat sesuatu itu dengan sepenuh hati tanpa mengharapkan balasan atau pujian. 

Inilah tahap sabar yang kena kita tanam dalam diri kita. Kecewa sebab tak dipuji mungkin datang dari ego dan keinginan untuk diakui. Tapi, Allah tak tengok hasil semata-mata. Allah tengok pada niat dan usaha kita.

Jadi, apa yang terbaik adalah sentiasa bersedia menerima kalau kebaikan kita tak dihargai oleh manusia. Sebab apa? Sebab  penghargaan manusia itu bersifat sementara dan sering kali tak adil. 

Sebaliknya, berharaplah pada Allah. Mohon agar setiap amalan yang kita buat dipandang Allah dengan rahmatNya. Dan, Allah jualah adalah sebaik-baik penilai.

Buat amal biarlah ikhlas sebab inilah ujian dan ganjaran dari Allah.

Nafsu itu selalu datang dalam bentuk yang halus. Kita mungkin rasa kebaikan yang kita buat tu dah cukup nak bawa kita ke syurga. 

Namun, berhati-hatilah. Ada kalanya, rasa cukup itu adalah tipu daya nafsu yang boleh merosakkan amal kita. Jangan biar diri tertipu dengan perasaan yang kita dah buat yang terbaik, sebaliknya sentiasa perbaiki serta tambah amal dengan rendah hati.

Kata pujangga ada mengatakan, amalan tanpa keikhlasan itu macam bayangan yang hilang bila terkena sinar matahari. So, teruslah berbuat baik walaupun takde siapa tengok, sebab Allah sentiasa memerhati. 

Moga kita semua dijauhkan dari keinginan dipuji manusia dan diberikan kekuatan untuk mengekalkan keikhlasan dalam setiap perbuatan kita. Wallahualam.

01/10/2024

Kita sentiasa dalam pengawasan Allah.

Ketika kita melakukan sesuatu perbuatan, khususnya perkara yang salah atau kejahatan, lazimnya kita akan melihat ke kiri dan ke kanan, risau kalau-kalau ada orang lain yang nampak perbuatan kita. Ini adalah naluri manusia yang takut dikesan oleh orang lain, takut dihukum atau dikritik. 

Namun, kita selalu lupa bahawa Allah sentiasa melihat segala apa yang kita lakukan, sama ada ada orang lain yang nampak atau tak.

Keadaan ini mengingatkan kita kepada hakikat bahawa pengawasan Allah itu takde had. Mata manusia mungkin tak sentiasa memerhati, tapi mata Allah tak pernah terlepas dari memantau segala gerak-geri kita. Dalam Quran, Allah berfirman:

"Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Hadid, Ayat 4).

Ayat ini mengingatkan kita bahawa takde satu pun perbuatan yang tersembunyi daripada pengetahuanNya. Perasaan sentiasa diawasi Allah seharusnya menimbulkan rasa malu untuk berbuat dosa, walaupun takde seorang pun manusia di sekeliling.

Kita sentiasa dalam pengawasan Allah.

Dalam hidup ini, kita sering berusaha untuk menjaga imej di mata manusia, tapi yang lebih penting ialah menjaga amal kita di hadapan Allah. Kalau kita sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa memerhati, kita akan lebih berhati-hati dalam tindakan, kata-kata dan pemikiran kita.

So, daripada sibuk melihat kiri dan kanan, marilah kita mula mengamalkan kesedaran bahawa Allah sentiasa melihat kita. 

Dengan itu, kita akan lebih terdorong untuk menjauhi perkara yang dilarang dan memperbanyakkan amal kebaikan, bukan sekadar untuk menjaga pandangan manusia, tapi lebih penting untuk meraih reda Allah. Wallahualam. 

27/09/2024

Percaya dan tawakkal: Serah segalanya kepada Allah.

Hidup ini sememangnya penuh dengan pelbagai liku dan cabaran. Itu lumrah. Kita mungkin merancang sesuatu itu dengan teliti, berharap segala-galanya berjalan lancar. 

Namun, tak dapat dinafikan bahawa manusia hanya mampu merancang, tapi Allah yang menentukan segala-galanya. Prinsip ini adalah asas kepada konsep tawakkal dalam Islam.

Tawakkal bermaksud kita melakukan usaha sehabis baik, tapi pada akhirnya, kita menyerahkan segala keputusan kepada Allah. Kita perlu ingat bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita, meskipun pada ketika itu kita tak faham mengapa sesuatu perkara terjadi.

Contohnya, bayangkan kita merancang untuk menjalankan satu perniagaan. Kita telah membuat kajian, menyediakan modal dan melabur masa serta tenaga. 

Namun, kalau perniagaan itu tak berjaya seperti yang diharapkan, bukan bermakna usaha kita sia-sia. Mungkin Allah sedang menguji kesabaran kita atau merancang sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

Percaya dan tawakkal: Serah segalanya kepada Allah.

Bagaimana nak latih diri bertawakkal?

1. Usaha dengan sepenuh hati: Jangan hanya bergantung kepada nasib. Lakukan setiap perkara dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

2. Berdoa dengan ikhlas: Sentiasa mohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan.

3. Redha dengan ketentuanNya: Apabila keputusan Allah tak seperti yang kita harapkan, terimalah dengan hati terbuka. Ingat, setiap dugaan ada hikmahnya.

4. Positifkan fikiran: Jangan putus asa atau berasa kecewa. Yakinlah bahawa Allah merancang sesuatu yang lebih baik, cuma masanya belum tiba.

Jadi, serahkanlah segala urusan kepada Allah setelah kita berusaha. Allah adalah sebaik-baik perancang dan hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

15/09/2024

Jangan jemu berdoa kerana Allah sentiasa mendengar!

Berdoa adalah satu amalan yang sangat mudah dilakukan, namun sering kali kita terlepas pandang akan kepentingannya. 

Bagi sesetengah orang, berdoa mungkin dianggap sebagai satu rutin yang biasa, tapi hakikatnya ia adalah komunikasi langsung antara kita dengan Allah. 

Jangan sesekali jemu atau berasa malas untuk berdoa kerana setiap doa yang kita panjatkan, Allah sentiasa mendengar dan memberikan perhatian kepada hamba-hambaNya.

Jangan jemu berdoa kerana Allah sentiasa mendengar!

Kadang-kadang, kita merasa doa kita tak dimakbulkan, lantas kita mula hilang keyakinan. Ingatlah, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. 

Mungkin apa yang kita minta itu tak sesuai untuk kita pada waktu itu atau Allah ingin menggantikan doa kita dengan sesuatu yang lebih baik. 

Jangan risau kalau belum nampak hasilnya, kerana Allah telah berjanji, "Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan bagimu." (Surah Ghafir: 60). 

Berdoalah dengan penuh yakin dan ikhlas. Sambil berdoa, bayangkan bahawa doa kita sedang naik ke langit dan didengari oleh Allah. Ini akan meningkatkan keimanan kita bahawa doa kita tak pernah sia-sia.

Namun, tak semua doa akan dimakbulkan dengan segera. Ada doa yang mungkin Allah makbulkan secepat kilat, ada yang memerlukan masa dan ada yang Allah tangguhkan sebagai ujian untuk kita bersabar. Ujian ini mengajar kita untuk tak mudah putus asa. Kesabaran dalam menunggu balasan doa juga adalah satu bentuk ibadah. 

Kalau kita rasa doa kita belum dimakbulkan, cuba renungkan semula, mungkin Allah sedang menguji tahap kesabaran kita. Ulangkan doa-doa yang kita pohon dalam keadaan yang tenang, seperti selepas solat atau ketika waktu mustajab seperti sepertiga malam.

Berdoalah dengan harapan yang tinggi. Jangan pernah merendahkan diri dengan menganggap doa kita tidak layak diterima. Ingatlah, Allah Maha Pemurah dan Maha Mendengar, Dia tidak akan menghampakan hambaNya. Setiap permintaan yang baik, walau sekecil manapun akan mendapat perhatian dariNya. 

Ambil masa setiap hari untuk 'berbual' dengan Allah melalui doa. Mungkin ketika duduk di atas sejadah atau dalam perjalanan ke tempat kerja, luangkan beberapa minit untuk berdoa dengan harapan yang tinggi.

Salah satu sebab mengapa doa kita mungkin tak dimakbulkan adalah kerana kita lupa bersyukur. Sering kali kita terlalu fokus meminta lebih, tapi terlupa untuk mensyukuri apa yang kita sudah ada. Syukur adalah kunci untuk menjemput lebih banyak rezeki dan rahmat dalam hidup kita. 

Setiap kali selepas berdoa, ambil masa untuk bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang kita ada. Dengan ini, kita akan lebih menghargai kehidupan dan lebih bersedia menerima apa jua keputusan Allah terhadap doa kita.

Konsisten dalam berdoa adalah penting. Janganlah kita hanya berdoa ketika ditimpa musibah atau memerlukan sesuatu, tapi tinggalkan doa bila kita senang. Istiqamah dalam berdoa menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan kita sebagai hamba. 

Cuba jadikan doa sebagai rutin harian contohnya selepas solat atau sebelum tidur. Dengan cara ini, kita dapat mendisiplinkan diri untuk sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan.

Allah tak pernah jemu mendengar doa-doa kita, jadi mengapa kita harus jemu memohon kepadaNya? Setiap doa, walau sebesar zarah sekalipun, pasti ada balasannya. Sentiasalah berdoa kerana itu adalah tanda kebergantungan kita kepadaNya. 

Semoga Allah sentiasa mendengar dan memperkenankan setiap doa yang kita panjatkan. Ingat, doa itu adalah senjata orang mukmin, jadi jangan pernah lelah untuk menggunakannya.

13/09/2024

Kebaikan bersedekah: Mengapa korang tak perlu takut untuk memberi?

Ada orang mungkin menghadapi dilema ketika hendak bersedekah. Ada yang berfikir bahawa memberi harta kepada orang lain mungkin akan mengurangkan rezeki mereka. 

Namun, dalam Islam bersedekah bukan sahaja dianggap sebagai amalan baik tapi juga sebagai cara untuk mendapatkan lebih banyak keberkatan dan rezeki dari Allah.

Rezeki yang berlipat ganda.

Salah satu ajaran penting dalam Islam adalah bahawa setiap sedekah yang diberikan dengan ikhlas akan dibalas oleh Allah dengan rezeki yang lebih banyak. Ini kerana, dalam ajaran Islam setiap amal kebaikan akan mendapat ganjaran dan sedekah adalah salah satu bentuk amal yang sangat dianjurkan.

Tidak akan mengurangkan harta.

Kebimbangan bahawa sedekah akan mengurangkan harta adalah salah. Sebenarnya, bersedekah adalah satu cara untuk mengembangkan dan memberkati harta kita. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sedekah tidak akan mengurangkan harta." Ini menunjukkan bahawa dengan memberi, kita sebenarnya membuka pintu rezeki yang lebih luas.

Kebaikan bersedekah: Mengapa korang tak perlu takut untuk memberi?
Kebaikan bersedekah: Mengapa korang tak perlu takut untuk memberi? Kredit image to Google.

Meningkatkan kehidupan sosial.

Bersedekah juga dapat meningkatkan hubungan sosial kita. Memberi kepada mereka yang memerlukan bukan sahaja membantu mereka tapi juga mempereratkan ikatan dalam komuniti. 

Ini boleh membawa kepada hubungan yang lebih baik dan sokongan sosial yang lebih kuat, yang kesemuanya berpotensi memberi manfaat dalam pelbagai aspek kehidupan.

Ketenangan jiwa.

Selain daripada manfaat harta/material, bersedekah juga memberi ketenangan jiwa. Melihat kebaikan yang kita berikan membawa kebahagiaan dan kepuasan yang tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Ini adalah satu bentuk pelaburan dalam kebahagiaan dan ketenangan diri yang sangat berharga.

Jadi, bersedekah adalah satu amalan yang penuh dengan kebaikan dan manfaat. Ia bukan sahaja mendatangkan ganjaran daripada Allah tetapi juga memperkayakan kehidupan kita dari segi spiritual dan sosial. 

Jangan takut untuk memberi kerana dalam memberi, kita sebenarnya menerima lebih banyak daripada yang kita bayangkan. 

Wallahualam. 

04/09/2024

Taubat: Jangan bertangguh, selagi pintu masih terbuka!

Dalam hidup ini, kita semua tak lari daripada melakukan dosa dan kesilapan, sama ada secara sedar atau tak. Namun, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat untuk hambaNya yang ingin kembali kepadaNya. Janganlah kita bertangguh dalam bertaubat kerana kita tak tahu bila nyawa akan diambil.

Untuk pengetahuan korang, taubat adalah satu proses pembersihan jiwa dan penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan. Ia bukan sekadar memohon ampun, tapi juga berazam untuk tak mengulangi dosa yang sama. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Zumar, ayat 53:

"Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Ini menunjukkan betapa besarnya rahmat Allah SWT kepada hamba-lNya yang ikhlas bertaubat.

Taubat: Jangan bertangguh, selagi pintu masih terbuka!

Jangan Bertangguh!

Kehidupan ini penuh dengan ketakpastian. Tiap detik yang berlalu membawa kita lebih dekat kepada kematian. Oleh itu, bertaubatlah segera tanpa bertangguh. Mengingati kematian bukanlah untuk menakut-nakutkan, tapi untuk menyedarkan kita bahawa masa untuk memperbaiki diri adalah terhad.

Tanda bahawa taubat kita diterima adalah bila kita merasakan perubahan dalam diri. Kita jadi lebih dekat dengan Allah, lebih takut untuk mengulangi dosa dan berusaha untuk meningkatkan amal ibadah. 

Meskipun begitu, kita harus sentiasa memohon kepada Allah agar taubat kita diterima dan dosa-dosa kita diampunkan.

Jangan terlalu lama terperangkap dengan dosa semalam sebab pintu taubat masih terbuka luas. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itu peluang taubat ada. Semoga Allah SWT menerima taubat kita dan menjadikan kita hambaNya yang bertaqwa. Aamiin.

02/09/2024

Menghargai perhatian Allah di setiap saat.

Kehidupan selalu buat kita rasa terbeban dengan macam-macam masalah dan cabaran yang datang silih berganti. Kita mungkin akan menyalahkan keadaan, orang di sekeliling kita atau bahkan takdir atas apa yang menimpa kita. 

Rasa kecewa dan tak puas hati ada kalanya buat kita lupa akan satu hakikat yang penting bahawa Allah sentiasa memahami setiap perasaan dan keadaan yang kita alami.

Lumrah, bila kita rasa gelisah, kita akan mudah untuk terjerumus dalam kancah keluhan yang tak berpenghujung. "Kenapa ini terjadi kepada aku?" "Kenapa orang lain tak memahami aku?

Soalan-soalan ini akan selalu muncul di benak fikiran. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa dalam setiap kesusahan dan ujian itu, Allah tak pernahtinggalkan kita? Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita dan setiap detik kehidupan kita adalah dalam perancanganNya yang sangst sempurna.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 286, "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." 

Maksudnya, apa je cabaran yang kita hadapi adalah sesuatu yang mampu kita hadap dengan izinNya. Ujian itu mungkin berat, tapi ia juga chance untuk kita dekatkan diri kepada Allah dan memohon pertolongan daripadaNya. 

Menghargai perhatian Allah di setiap saat.

Hakikatnya, pilihan tetap di tangan kita. Mahu terus-menerus mengeluh dan menyalahkan takdir atau mengambil kesempatan untuk bersyukur atas perhatian Allah yang sentiasa ada? 

Dalam setiap kesusahan, ada rahmat tersembunyi yang mungkin kita tak nampak pada awalnya. Dengan bersyukur, hati kita akan menjadi lebih tenang dan kita akan lebih mampu melihat kebaikan di sebalik setiap dugaan.

Jadi, stop mengeluh. Renungkan betapa besarnya kasih sayang Allah yang tak pernah meninggalkan kita walau sesaat pun. Dalam gembira, kita bersyukur. Dalam kesedihan, kita juga bersyukur sebab kita tahu bahawa Allah Maha Tahu dan Dia sentiasa ada untuk kita. 

Pilihlah untuk bersyukur dan terima setiap takdir dengan hati yang lapang, yakin bahawa Allah lebih memahami dan mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Wallahualam. 

30/08/2024

Kelebihan dan Keberkatan Hari Jumaat.

Hari Jumaat adalah hari yang sangat istimewa dalam kalendar Islam dan mempunyai banyak kelebihan serta keberkatan. 

Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam AS diciptakan, pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu dia dikeluarkan dari syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

Untuk pengetahuan korang, salah satu kelebihan hari Jumaat adalah waktu mustajab doa. Terdapat waktu tertentu pada hari Jumaat di mana doa-doa dikabulkan. 

Rasulullah SAW bersabda, “Pada hari Jumaat ada satu waktu yang tidaklah seorang hamba Muslim berdoa padanya kecuali Allah akan memakbulkannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Walaupun waktu tersebut tak ditentukan secara tepat, banyak ulama menganggap waktu tersebut berada antara khutbah dan solat Jumaat.

Kelebihan dan Keberkatan Hari Jumaat.
 Kelebihan dan Keberkatan Hari Jumaat.Kredit image Norhanimah.

Hari Jumaat juga merupakan hari di mana amalan baik dilipatgandakan pahalanya. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan amalan soleh pada hari ini, seperti membaca Surah Al-Kahf, memperbanyakkan selawat kepada Nabi dan melakukan sedekah.

Solat Jumaat adalah kewajipan bagi lelaki Muslim yang sudah baligh dan dalam keadaan sihat. Ini adalah kesempatan untuk berkumpul dan mendengar khutbah yang mengandungi nasihat serta pengajaran yang berguna. Solat Jumaat juga menggantikan solat Zohor pada hari itu.

Hari Jumaat adalah peluang untuk membersihkan diri secara fizikal dan spiritual. Disunatkan untuk mandi sebelum pergi ke solat Jumaat, memakai pakaian yang bersih, dan memotong kuku serta merapikan diri. Semua ini mencerminkan kesungguhan dalam menghormati hari yang mulia ini.

Hari Jumaat juga merupakan waktu yang baik untuk berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan. Menghadiri solat Jumaat bersama-sama adalah satu bentuk ibadah yang mendekatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Kelebihan dan Keberkatan Hari Jumaat.
 Kelebihan dan Keberkatan Hari Jumaat. Kredit Google.

Dengan memahami dan mengamalkan kelebihan hari Jumaat, kita dapat meraih keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk memanfaatkan hari Jumaat dengan sebaik-baiknya. InshaAllah. 

02/08/2024

Hari Jumaat dan selawat.

Hari Jumaat adalah hari yang sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Beberapa hadis menunjukkan keutamaan mengucapkan selawat pada hari ini:

1. Hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat. Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

2. Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi).

Hari Jumaat dan selawat.
Hari Jumaat dan selawat. Gambar kredit Google.

Selawat bukan sahaja menjadi tanda kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW tetapi juga menjadi cara untuk mendapatkan keberkatan, syafaat, dan keampunan daripada Allah SWT. 

Pada hari Jumaat, dengan melafazkan selawat, kita dapat meraih lebih banyak keberkatan dan rahmat daripada Allah. 

"Allahumma salli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad, kama sallaita 'ala Ibrahim wa 'ala ali Ibrahim. Innaka Hamidum Majid."

Semoga dengan memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat, kita mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW di hari akhirat kelak. InshaAllah. 

25/07/2024

Empat perkara!

Empat perkara!
Gambar sekadar hiasan.

Baginda Rasulullah SAW bersabda : 

"Ada 4 (empat) perkara, yang barangsiapa memilikinya, maka Allah SWT  akan membangunkan untuknya rumah di Syurga dan ia dalam naungan cahaya Allah Yang Maha Agung.

Keempat perkara tersebut adalah :

1. Apabila pegangannya adalah La Ilaha Illallah.

2. Jika memperoleh kebaikan, maka ia mengucapkan Alhamdulillah.

3. Apabila berbuat salah atau dosa, maka ia mengucapkan Astaghfirullah.

4. Apabila ia ditimpa musibah, maka ia berkata Innalillahi wa Inna Ilaihi Raji'un'.

[ HR. Ad-Dailami ]