31/07/2026

Cara melupakan hal yang melukakan hati dan hidup lebih tenang.

Sekejap je dah nak habis bulan Julai. Esok dah masuk Ogos dah. Betapa cepatnya masa berlalu, tapi apa khabar dengan emosi kita? Adakah masih terjerat dengan kisah lama yang menyakitkan atau belajar pelan-pelan move on dan teruskan hidup? 

Cikla faham, cikla tak layak memberi nasihat dalam hal-hal sebegini sebab mereka yang melaluinya lebih tau akan kepedihan yang mereka rasa bila dikecewakan. Tapi mungkin korang pernah dengar ayat ni, "Kalau dah maafkan, lupakan sajalah." 

Dengar macam mudah je kan. Seolah-olah dengan satu keputusan, semua luka akan hilang dan hidup kembali seperti biasa. 

Hakikatnya, kehidupan tak berfungsi seperti itu. Hati manusia bukan suis yang boleh dimatikan sesuka hati dan kenangan bukan fail yang boleh dipadam dalam sekelip mata.

Ada orang yang pernah dikhianati bertahun-tahun dulu, namun sampai hari ini masih teringat apa yang berlaku. 

Ada pulak yang kehilangan orang tersayang dan masih terasa sebak bila melalui tempat-tempat yang pernah mereka kunjungi bersama. 

Ada juga yang pernah diperlakukan dengan kasar, dihina, dipandang rendah atau dipermainkan sehingga luka itu masih muncul dalam fikiran walaupun kehidupan sudah berubah.

Benda ini selalu buat seseorang berasa bersalah. Mereka mula mempersoalkan diri sendiri. "Aku dah maafkan, kenapa aku masih ingat?" "Adakah aku sebenarnya belum ikhlas?" "Kenapa orang lain nampak boleh teruskan hidup, tapi aku masih tak move on?"

Sebenarnya, memaafkan dan melupakan ialah dua perkara yang berbeza. 

Memaafkan ialah keputusan yang dibuat oleh hati. Melupakan pula melibatkan cara otak menyimpan pengalaman hidup. 

Cara melupakan hal yang melukakan hati dan hidup lebih tenang.

Otak manusia ni dicipta untuk mengingati perkara yang bagi kesan besar pada emosi, sama ada sangat menggembirakan ataupun sangat menyakitkan. 

Tujuan dia bukan untuk seksa kita, tapi sebagai mekanisme perlindungan agar kita lebih berhati-hati pada masa hadapan.

Sebab itulah kenangan yang menyakitkan kadang-kadang muncul secara tiba-tiba. Mungkin time kita tengah drive, sebelum tidur, time terdengar lagu tertentu atau bila melihat seseorang yang mengingatkan kita pada masa lalu. 

Kemunculan kenangan itu tak semestinya bermaksud kita belum sembuh dan tak bermaksud kita gagal memaafkan. Ianya adalah cara otak mengingat balik pengalaman yang pernah meninggalkan kesan mendalam.

Malangnya, ramai yang memilih untuk lawan kenangan tersebut. Mereka cuba memaksa diri supaya tak mengingatinya. Mereka marah kepada diri sendiri setiap kali kenangan itu muncul. 

Namun semakin kuat seseorang cuba menghalau sesuatu daripada fikirannya, semakin kuat pula perkara itu kembali. 

Fenomena ini memang sering berlaku dalam psikologi manusia. Bila kita berkata, "Aku tak nak fikir tentang perkara itu," otak sebenarnya sedang memberi perhatian kepada perkara yang sama.

Jalan menuju ketenangan bukanlah dengan memaksa diri untuk melupakan. Sebaliknya, ia bermula bila kita berhenti 'berperang' dengan kenangan itu. 

Kita mengaku yang peristiwa tersebut memang pernah berlaku. Ia memang menyakitkan. Ia memang meninggalkan kesan. Namun ia bukan lagi kehidupan kita pada hari ini.

Luka emosi juga mempunyai proses penyembuhan seperti luka fizikal. Kalau seseorang terjatuh sehingga lututnya berdarah, luka itu mungkin sembuh selepas beberapa minggu. Namun parutnya mungkin kekal bertahun-tahun. Bila tersentuh, kita masih sedar parut itu wujud, tapi ia tak lagi berdarah. 

Begitu jugalah dengan hati. Ada luka yang sembuh, tapi parutnya masih mengingatkan bahawa kita pernah melalui sesuatu yang sukar.

Kita juga kena faham bahawa memaafkan bukan bermaksud menghalalkan apa yang berlaku. 

Sebenarnya, memaafkan dan melupakan ialah dua perkara yang berbeza.   Memaafkan ialah keputusan yang dibuat oleh hati. Melupakan pula melibatkan cara otak menyimpan pengalaman hidup.

Memaafkan bukan bermaksud kita bersetuju dengan kezaliman atau pengkhianatan yang pernah dilakukan. Memaafkan ialah keputusan untuk tak lagi membiarkan masa lalu mengawal masa depan kita.

Ia adalah hadiah yang kita berikan kepada diri sendiri agar hati tak terus dibebani oleh kemarahan, kebencian dan dendam.

Namun walaupun sudah memaafkan, ada hari-hari tertentu bila kesedihan datang semula. Pada saat itu, jangan menghukum diri sendiri. 

Sebaliknya, katakan dengan lembut kepada hati, "Aku tahu kenangan ini ada. Aku tahu ia pernah melukakan aku. Tetapi hari ini aku selamat. Hari ini aku memilih untuk hidup."

Ayat yang ringkas ini mungkin kelihatan biasa, tapi bila diulang berkali-kali dengan penuh kesedaran, ia membantu otak memahami bahawa ancaman itu sudah berlalu. Sedikit demi sedikit, kenangan tersebut kehilangan kuasanya.

Bagi seorang Muslim, ketenangan yang sebenar juga datang bila kita menyerahkan segala yang tak mampu kita ubah kepada Allah. 

Ada perkara yang tak pernah mendapat penjelasan. Ada persoalan yang mungkin tak akan pernah terjawab. Ada keadilan yang mungkin tak berlaku di dunia ini. 

Namun seorang mukmin percaya bahawa Allah Maha Mengetahui setiap air mata yang pernah jatuh, setiap doa yang pernah dipendam dan setiap luka yang disimpan dalam diam.

Firman Allah SWT:

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang." (Surah Ar-Ra'd: 28).

Ayat ini bukan bermaksud orang beriman tak akan bersedih. Sebaliknya, ia mengajar bahawa ketika hati sedang bergelora, tempat kembali yang paling selamat ialah kepada Allah. 

Dalam sujud yang panjang, dalam doa yang perlahan, dalam zikir yang diulang dengan penuh pengharapan, hati belajar untuk melepaskan beban yang selama ini dipikul sendirian.

Hakikatnya, ketenangan bukanlah bila kita berjaya memadam semua kenangan pahit. Ketenangan ialah bila kenangan itu masih wujud, tapi ia tak lagi menguasai kehidupan kita. 

Kita masih mampu tersenyum, masih mampu menyayangi orang lain, masih mampu merancang masa depan tanpa dibelenggu oleh masa lalu.

Kalau hari ini hati korang masih terluka walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, jangan putus asa. 

Penyembuhan bukan perlumbaan. Setiap orang mempunyai tempoh yang berbeza. Ada yang mengambil masa beberapa bulan, ada yang bertahun-tahun. Yang penting ialah terus melangkah walaupun perlahan.

Percayalah, suatu hari nanti korang akan mengingati peristiwa yang sama, tapi hati korang tak lagi terasa sesak macam dulu. 

Korang akan sedar bahawa Allah tak menghilangkan kenangan itu, tapi Dia telah menguatkan hati korang sampai kenangan tersebut tak lagi mampu menjatuhkan korang.

Mungkin itulah maksud sebenar sebuah penyembuhan. Bukan bila kita lupa sepenuhnya, tapi bila kita mampu mengingati tanpa lagi dihancurkan olehnya. Begitulah... 

30/07/2026

Bila Allah uji dengan kesihatan...

Sejak kebelakangan ini, macam makin ramai je kan orang di sekeliling kita diuji dengan masalah kesihatan. Ada yang diuji dengan penyakit ringan dan ada jugak yang menerima 'berita' yang benar-benar mengejutkan. 

Kadang-kadang orang yang selama ini kita nampak sihat dan cergas, tiba-tiba disahkan menghidap penyakit yang serius. 

Sebenarnya cikla baru je kehilangan pak lang pada minggu lepas. Terbaru, pak uda cikla juga menerima ujian yang sangat besar. Arwah pak lang dan pak uda cikla ni adalah adik abah. Doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan di otaknya dan beliau perlu menjalani pembedahan secepat mungkin.

Allahuakbar. Memang saya sangat terkejut bila terima berita ni. Pak uda sebelum ini seorang yang aktif dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah kesihatan yang serius. 

Namun, itulah hakikat kehidupan. Sakit tak memilih usia, tak memilih siapa dan boleh datang tanpa sebarang amaran.

Sebagai hambaNya, kita belajar untuk terima yang setiap ujian yang Allah berikan mesti mempunyai hikmah yang mungkin belum mampu kita fahami hari ini. Ye faham, bukan mudah nak terima, tapi kita yakin setiap ketentuanNya adalah yang terbaik.

Bila Allah menguji dengan kesihatan.
Bila Allah menguji dengan kesihatan. 

Buat keluarga Pak Uda, teruslah menjadi sumber kekuatan buat beliau. Berikan semangat, luangkan masa menemaninya dan jangan sesekali biarkan beliau merasakan dirinya keseorangan menghadapi ujian ini. 

Kadang-kadang, kehadiran orang tersayang dan kata-kata yang memberi harapan mampu menjadi penawar yang sangat bernilai.

Marilah kita sama-sama mendoakan moga dipermudahkan segala urusan pembedahan Pak Uda, diberikan kesembuhan yang sempurna dan diangkat segala kesakitan yang ditanggung oleh Allah serta memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi dugaan ini.

Sesungguhnya, setiap ujian yang Allah turunkan bukan untuk melemahkan kita, tapi untuk menguatkan hati dan mendekatkan diri kepadaNya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan buat semua yang sedang diuji dengan sakit. Aamiin Ya Rabbal 'Alamin. 

29/07/2026

Ayam masak kerisik, bila tak tau nak masak apa..

Ada masanya mak-mak ni boleh jadi blur nak masak apa hari-hari. Macam cikla, dah la lauk hari-hari ayam saja, ikan memang amatlah jarang masuk dalam rumah ni. Kot teringin barulah masak. Masak sekor dua potong tiga pun belum tentu habis. 

Berbalik kepada kisah menu block mak-mak, kebetulan cikla nampak adik cikla post dekat status wasap dia buat ayam masak kerisik. Apa lagi, kita usha lah resepinya. Jom cikla share macam mana nak masak, mana tau kot-kot korang nak try pulak kannn. Hihi. 

Ayam masak kerisik, bila tak tau nak masak apa..
Ayam masak kerisik, bila tak tau nak masak apa.. 

Resepi ayam masak kerisik versi saya.

Bahan-bahan:

Ayam (dipotong ikut suka korang nak besor ke nak kecik ke kemudian dibersihkan sebersih-bersihnya). 
1 biji bawang besar. 
2-3 ulas bawang putih. 
1/2 inci halia. 
1/2 inci kunyit hidup (kalau kurang kuning korang topup dengan serbuk kunyit ya). 
Sebatang serai diketuk. 
Kerisik 1 peket. 
Minyak untuk menumis. 
Garam, gula dan perasa secukupnya. 

Hiasan (optional, ada letak. Kalau takde tak payah). 
Daun bawang. 
Tomato. 
Cili merah/hijau.

Cara nak masak:

1. Blend bawang besar, bawang putih, halia dan kunyit hidup sampai lumat. 
2. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali/periuk yang sesuai, kemudian tumis bahan blend tadi sampai garing dan naik bau. Selepas itu, masukkan serai yang telah diketuk, tumis sekejap. 
4. Masukkan ayam dan air secukupnya. Tutup kuali dan biarkan ayam masak. 
5. Bila ayam dah masak, masukkan kerisik, garam, gula dan perasa secukupnya. Kalau nampak kering kuahnya, tambah air sikit. Biarkan sekejap. 
6. Last, masukkan tomato dan cili merah kemudian taburkan daun bawang. Gaul-gaul sekejap. Siap untuk dihidang. 

Ayam masak kerisik, bila tak tau nak masak apa..
Ayam masak kerisik, bila tak tau nak masak apa.. 

Ayam masak kerisik, bila tak tau nak masak apa..
Ayam masak kerisik, bila tak tau nak masak apa.. 

Kalau korang suka berkuah, lebihkan air. Tapi cikla, suka pekat sikit camni. Jangan risau, kita yang buat dia. Ejas je sampai rasa okey. Bagi cikla, rasa ayam masak kerisik ni not bad jugaklah. Tak pedas, budak-budak boleh join makan. Jadilah, buat tukar-tukar selera kan. Takdelah makan menu yang sama hari-hari. Selamat mencuba. 

27/07/2026

Hidup dengan masa lalu atau move on? Mana yang terbaik?

Sebagai manusia biasa kita pasti pernah melalui fasa yang sukar. Ada yang kehilangan orang tersayang, ada yang dikecewakan, ada jugak yang terluka kerana apa yang diharapkan tak menjadi kenyataan. Semua itu akan meninggalkan kenangan yang memang susah nak lepaskan.

Persoalannya, adakah kita mahu terus hidup dengan masa lalu atau pilih untuk move on dan teruskan hidup macam biasa?

Hakikatnya, move on bukan bermaksud kita kena lupakan segala yang pernah berlaku. Sebaliknya, ia adalah proses untuk kita terima bahawa ada sesetengah hal yang memang kita tak mampu nak ubah. 

Perkara yang berlalu akan tetap menjadi sebahagian daripada kisah hidup kita, tapi ia tak semestinya menentukan masa depan kita. Betul tak? 

Ramai yang sangka move on itu mesti dan perlu berlaku dengan cepat. Sebenarnya tak ye. Ada hari kita rasa kuat, ada hari kita akan kembali bersedih. Benda ni normal je. Setiap orang mempunyai perjalanan dan tempoh penyembuhan yang berbeza.

Hidup dengan masa lalu atau move on? Mana yang terbaik?

Apa yang penting ialah kita tak berhenti melangkah. Bagi ruang pada diri kita untuk sembuh, buatlah hal yang happy happy, luangkan masa bersama orang yang menghargai kita dan percaya bahawa hari esok sentiasa membawa peluang untuk memulakan sesuatu yang lebih baik.

Hidup ini bukanlah lama sangat untuk kita habiskan dengan terus pandang ke belakang. Ye betul, kenangan mungkin tak akan hilang sepenuhnya, tapi rasa sakit itu akan semakin pudar bila kita pilih untuk terima dan teruskan hidup kita.

Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk melepaskan apa yang tak lagi menjadi milik kita dan terus melangkah dengan hati yang lebih tenang. 

Kadang-kadang, kebahagiaan bukan datang bila kita dapat balik apa yang kita dah hilang, tapi bila kita belajar menghargai apa yang masih kita miliki hari ini. Begitulah....

25/07/2026

Dulu kejar bersungguh, tapi bila dah dapat kenapa berubah?

Tak dinafikan ye ada lelaki tapi bukan semualah, time belum memiliki (seorang perempuan), amboi bukan main lagi usaha dia. Sanggup tunggu, sanggup bersabar, sanggup berkorban masa, tenaga, duit, ehh semuanyalah semata-mata nak dapatkan perempuan yang dia suka.
 
Tapi peliknya, bila dah halal, bila dah jadi isteri sendiri, hurmm usaha tu makin pudar. Perhatian makin kurang. Perangai pun mula berubah. Yang dulu lembut cakap pun soft spoken, sekarang jadi dingin. Suara asyik nak meninggi je. Yang dulu ambil berat, jadi buat tak kisah. Lantak kau la. 

Apa sebenarnya yang dorang nak agaknya ye?

Hakikatnya, walaupun bukan semua lelaki macam ni, tapi sesetengahnya yang jadi macam ni, selalunya ada sesuatu yang berubah dalam diri dia. 

Ada yang sebenarnya lebih cintakan proses mengejar daripada tanggungjawab memiliki. Masa mengejar, ada rasa cabaran. Ada rasa nak menang. Bila dah dapat, rasa tu hilang. 

Tapi, yang sedihnya dia lupa, perkahwinan bukanlah penamat tapi permulaan perjalanan yang lagi panjang. Ada juga yang masuk alam perkahwinan tanpa benar-benar faham erti tanggungjawab. Ingat kahwin sekadar cukup syarat. Tapi realitinya, perkahwinan perlukan usaha setiap hari. 

Bukan cukup dengan 'aku dah kahwin dengan kau', tapi kena ada 'aku nak jaga kau sampai bila-bila'. Bila mindset tu takde, maka mulalah longgar sana sini.

Kadang-kadang, ada lelaki berubah sebab dia rasa selesa. Terlalu selesa sampai terlupa untuk terus menghargai. Dia fikir, 'dia dah jadi isteri aku, dia takkan ke mana'. 

Dulu kejar bersungguh, tapi bila dah dapat… Kenapa berubah?

Tanpa sedar, sikap ambil mudah tu lah yang perlahan-lahan merosakkan hubungan. Perempuan bukan nak dilayan mewah pun, cukuplah dihargai, cukuplah si lelaki rasa kehadirannya penting.

Dan ada juga yang sebenarnya belum matang dari segi emosi. Masa bercinta, dia boleh jadi versi terbaik diri dia. 

Tapi bila kahwin, dia kembali kepada diri asal yang belum bersedia untuk komitmen jangka panjang. Ego tinggi, komunikasi lemah, tak pandai urus emosi. Semua ni mula terserlah bila dah hidup sebumbung.

Tapi dalam kita persoalkan lelaki, kita juga kena faham hubungan ni adalah berkonsep dua hala. Bila satu pihak berhenti berusaha, pihak satu lagi pun akan terasa letih.
 
Lama-lama, yang tinggal cuma rutin tanpa rasa. Dan dari situlah, bermulanya retak yang mungkin tak nampak dari luar.

Jadi sebenarnya, apa yang dorang nak?

Mungkin mereka sendiri pun tak tahu. Atau mungkin mereka nak dihargai, tapi lupa cara untuk menghargai.
 
Nak difahami, tapi tak pernah untuk belajar memahami. Nak disayangi, tapi tak pernah  konsisten memberi kasih sayang.

Perkahwinan bukan tentang siapa dapat siapa. Tapi tentang siapa yang terus memilih pasangan dia, setiap hari.

Kalau dulu boleh bersungguh untuk dapatkan, kenapa bila dah halal tak boleh bersungguh untuk pertahankan? Itu soalan yang ramai perempuan simpan dalam diam. Betul tak? 

24/07/2026

Hyperthyroid, hypothyroid dan ketulan tiroid, apa bezanya ye?

Apabila bercakap tentang masalah tiroid, ramai yang fikir dan anggap semua penyakit tiroid adalah sama. Malah, ada juga yang beranggapan kalau ada ketulan atau bengkak pada bahagian leher tapi keputusan darah normal, ia pasti merupakan kanser tiroid. 

Hakikatnya, tanggapan ini tak tepat ye. Walaupun cikla dah share pasal ni banyak kali dalam blog ni sebelum ni mungkn ada yang belum betul-betul faham perbezaan ketiga-tiganya terutama mereka yang baru disahkan mengidap penyakit ni.

Hyperthyroid ialah keadaan bila kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan. Hormon ini fungsi dia untuk kawal kadar metabolisme badan. Bila jumlahnya terlalu tinggi, badan kita akan bekerja lebih laju daripada biasa. 

Mereka yang mengalami hyperthyroid mungkin akan mengalami jantung berdebar, penurunan berat badan walaupun selera makan bertambah, mudah berpeluh, cepat berasa panas, tangan menggeletar serta sukar tidur. Ini simptom yang biasalah jadi. 

Hypothyroid pulak berlaku bila kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang terlalu sedikit. Keadaan ini akan menyebabkan metabolisme badan menjadi lebih slow. Penghidap hypothyroid sering mengadu cepat letih, mudah berasa sejuk, berat badan meningkat, kulit jadi kering, sembelit dan kurang bertenaga. 

Kedua-dua keadaan ini umumnya melibatkan masalah penghasilan hormon tiroid dan biasanya dapat dikenal pasti melalui ujian darah iaitu thyroid function test (TFT). 

Namun, berbeza pulak dengan keadaan bila wujudnya bengkak atau ketulan pada kelenjar tiroid. Mungkin ada yang hairan kan bila doktor bagitau result blood test dorang normal je walaupun dorang ada ketulan kat leher. 

Hyperthyroid, hypothyroid dan ketulan tiroid, apa bezanya ye?

Sebenarnya, benda ini tak pelik pun, sebab banyak kes yang berlaku camni. Ujian darah yang normal hanya show fungsi hormon tiroid masih berada dalam julat normal, tapi ia tak dapat menentukan sama ada sesuatu ketulan itu jinak (benign) atau sebaliknya.

Walaupun kebanyakan ketulan tiroid adalah tak berbahaya dan bukan kanser disebabkan ia adalah  nodul jinak, sista atau pembesaran kelenjar tiroid tapi ada jugak sebilangan kes yang melibatkan kanser tiroid.
 
So, setiap ketulan tiroid tu doktor kena check dan dinilai dengan pemeriksaan lanjut seperti imbasan ultrasound dan biopsi (FNAC) bagi memastikan diagnosis yang tepat. Itu pun kadang tak tepat pun. Macam cikla dulu suspek je. Dah operate total, baru confirm ia adalah kanser. 

Apa yang penting, awareness tentang penyakit tiroid sangat penting ye sebab simptomnya selalu  disalah anggap sebagai keletihan biasa ataupun perubahan hormon. 

Kalau korang perasan adanya  bengkak kat bahagian hadapan leher korang,  pastu korang mengalami perubahan suara pulak, susah nak menelan atau mempunyai simptom yang berkaitan dengan hyperthyroid atau hypothyroid, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor ye. 

Moga bermanfaat. 

23/07/2026

Nak reply WhatsAp, susah sangat ke?

Pernah tak korang send mesej dekat seseorang, lepas tu tunggu berjam-jam sampai berhari-hari tapi masih tak reply? Lagi geram bila nampak je dia online, siap update status lagi, tapi mesej kita langsung dia tak nampak sebelah mata pun, huhu. 

Dalam situasi camni, ramai yang mula berfikir macam-macam. Ada yang rasa diri tak penting, ada yang fikir lelaki tu dah tak berminat, malah ada juga yang terus membuat kesimpulan hubungan tu ada problem.

Hakikatnya, tak semua lelaki yang lambat reply mesej itu sengaja mengabaikan orang lain. Cara lelaki berkomunikasi sebenarnya berbeza dengan kebanyakan wanita. 

Ramai lelaki melihat mesej  tu sebagai satu perkara yang perlu dijawab bila dorang betul-betul ada masa atau bila dorang rasa perlu memberi perhatian penuh kepada conversation tersebut.

Ada lelaki yang jenis fokus pada kerja. Bila dia tengah bekerja, dia boleh letakkan telefon di tepi selama beberapa jam tanpa membuka WhatsApp langsung. 

Bukan sebab tak nampak mesej, tapi sebab fikirannya sedang tertumpu kepada perkara lain. Bila kerja selesai, barulah dia teringat semula untuk membuka dan membalas mesej yang tertangguh.

Nak reply WhatsAp, susah sangat ke?

Selain itu, ada juga lelaki yang sememangnya bukan jenis suka bersembang melalui telefon. Mereka lebih selesa cakap secara berdepan atau melalui panggilan telefon berbanding menaip panjang-panjang. Bagi dorang, mesej sekadar medium untuk menyampaikan perkara penting, bukannya tempat untuk berbual sepanjang hari.

Kadang-kadang, lelaki lambat membalas mesej bukan sebab busy, tapi sebab tak tahu nak reply apa. Mungkin mesej yang diterima tak memerlukan jawapan segera atau pun dorang ni  ambil masa untuk fikir respons yang sesuai. Ada juga yang membaca mesej, berniat untuk membalas kemudian, tapi akhirnya lupa sebab terlalu banyak perkara lain yang sedang difikirkan.

Namun begitu, kita juga tak boleh nak nafi ada jugak sesetengah lelaki yang memang kurang berminat. 

Kalau seseorang sentiasa memberikan alasan yang sama, mengambil masa terlalu lama untuk membalas tanpa sebab yang munasabah atau hanya relpy bila dia perlukan sesuatu, itu mungkin petanda bahawa keutamaan korang dalam hidupnya takdelah sepenting yang disangka.

Walau apa pun, korang janganlah cepat sangat nak  buat andaian hanya berdasarkan kelajuan seseorang membalas mesej. 

Setiap orang mempunyai rutin, komitmen dan cara komunikasi yang berbeza . 

Ada orang yang membalas dalam masa beberapa minit, ada juga yang memerlukan beberapa jam. Kelajuan membalas mesej tak semestinya menggambarkan tahap sayang, hormat atau penghargaan terhadap seseorang.

Dalam dunia yang serba pantas hari ini, ramai yang menganggap balasan mesej segera sebagai tanda perhatian.

Tapi hakikatnya, perhatian sebenar bukan sekadar pada seberapa cepat seseorang membalas WhatsApp. Yang lebih penting ialah bagaimana dia melayan kita secara keseluruhan, sama ada dia menghormati kita, mengambil berat tentang perasaan kita dan sentiasa ada ketika diperlukan.

So, kalau ada lelaki yang lambat membalas mesej korang, jangan cepat melatah atau membuat kesimpulan negatif. Cuba lihat gambaran yang lebih besar. 

Mungkin dia memang sibuk. Mungkin dia bukan kaki WhatsApp. Atau maybe dia tengah berdepan dengan perkara yang korang sendiri tak tahu. 

Kadang-kadang, ketenangan dalam memahami seseorang jauh lebih baik daripada terlalu banyak berfikir tentang dua tanda biru di WhatsApp. Betul tak? 

17/07/2026

Jom belajar ikhlas dengan apa yang datang dan pergi dengan bersangka baik.

Kadang-kadang hidup ni memang tak berjalan seperti yang kita nak. Ada hari yang kita rasa  tenang je, namun ada juga hari yang kita rasa berat sangat untuk harung. Ada orang datang membawa bahagia, namun ada juga yang hadir cuma untuk mengajar kita tentang kecewa.

Tapi dalam semua perkara yang berlaku, satu benda yang paling susah sebenarnya adalah untuk terus bersangka baik. Bila diuji, hati mula bertanya macam-macam. “Kenapa aku?” “Kenapa benda ni jadi dekat aku?” “Apa salah aku sebenarnya?”

Soalan-soalan macam ni normal ye sebenarnya. Kita ni manusia biasa, bukan robot yang sentiasa kuat. Tapi bila kita semakin dewasa, kita semakin sedar yang tak semua benda perlu kita faham sekarang. Ada perkara yang Allah bagi jawapan lambat sebab Dia nak kita belajar sesuatu terlebih dahulu.

Kadang-kadang orang yang paling kita sayang itulah yang paling kuat melukakan hati kita. Kadang-kadang keadaan yang kita benci itulah sebenarnya yang banyak mengajar kita tentang sabar. Dan kadang-kadang kehilangan yang kita tangisi hari ini, rupa-rupanya menjadi penyelamat untuk masa depan kita nanti.

Sebab tu jangan terlalu simpan dendam pada manusia dan jangan terlalu marah pada takdir. Penat hati kalau asyik memegang rasa kecewa. Kita fikir dengan membenci, hati akan puas. Tapi, hakikatnya makin lama dipendam, makin berat jiwa sendiri. Sedangkan orang lain mungkin sudah lama meneruskan hidup.

Jom belajar ikhlas dengan apa yang datang dan pergi dengan bersangka baik.

Belajarlah untuk lepaskan perlahan-lahan. Bukan sebab apa yang berlaku itu tak sakit, tapi sebab hati kita juga berhak untuk tenang. Tak semua orang akan kekal dalam hidup kita. Ada yang datang untuk menemani, ada yang datang sekadar singgah dan ada juga yang hadir untuk mengajar kita menjadi lebih kuat daripada sebelumnya.

Percayalah, setiap ujian yang datang bukan untuk menghancurkan kita. Ujian hadir supaya kita lebih matang, lebih sabar dan lebih mengenal diri sendiri. 

Mungkin hari ini kita menangis kerana sesuatu, tapi beberapa tahun akan datang kita akan tersenyum bila mengenang semuanya. Kita akan faham kenapa Allah ambil sesuatu daripada hidup kita dan kenapa Dia tak makbulkan semua yang kita mahu.

Hidup ini bukan tentang siapa paling bahagia tanpa masalah. Tapi siapa yang masih mampu berdiri walaupun berkali-kali jatuh. Siapa yang masih memilih untuk percaya bahawa selepas susah, akan ada tenang yang menunggu.

Jadi hati, tetaplah bersangka baik. Walau apa pun yang terjadi, jangan biarkan kecewa mengubah diri menjadi manusia yang penuh marah dan benci. Sebab dalam setiap luka, pasti ada hikmah yang sedang membentuk kita menjadi seseorang yang lebih kuat. Wallahualam. 

12/07/2026

Tangan selalu kebas terutamanya pada waktu malam? Jangan terus anggap salah tidur je.

Itulah ayat yang selalu kita dengar bila tangan tiba-tiba rasa kebas. Kadang-kadang baru bangun tidur, jari rasa semut-semut. Ada masa pegang telefon lama sikit pun tangan mula rasa mencucuk dan kebas.

Mula-mula mungkin nampak biasa. Tapi bila semakin kerap jadi, sampai terjaga waktu malam sebab tangan rasa kebas, itu mungkin petanda sesuatu yang dipanggil carpal tunnel syndrome.

Carpal tunnel syndrome berlaku bila saraf median di pergelangan tangan tertekan. Saraf ini penting kerana ia mengawal rasa pada ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan sebahagian jari manis. Bila saraf ini mula terhimpit, badan akan mula beri signal seperti kebas, semut-semut atau rasa seperti elektrik pada jari.




Ramai sebenarnya tak sedar simptom awal carpal tunnel. Ada yang ingat cuma penat bekerja. Ada yang fikir sebab terlalu banyak pegang telefon. Malah ada juga yang hanya tahan dan biarkan bertahun-tahun. 

Biasanya simptom bermula perlahan-lahan. Contohnya ketika memandu, menaip, memasak atau pegang telefon terlalu lama, tangan mula rasa kebas. Waktu malam pula simptom boleh jadi lebih teruk sampai terbangun dari tidur. Ada orang secara spontan akan menggoncang tangan sebab rasa itu sedikit melegakan.

Lama-kelamaan, tangan boleh jadi semakin lemah. Barang mudah terjatuh. Nak buka penutup botol pun rasa susah. Dalam keadaan lebih serius, otot di bahagian bawah ibu jari boleh nampak semakin mengecil.

Antara golongan yang lebih berisiko mengalami carpal tunnel termasuk mereka yang banyak menggunakan tangan secara berulang, wanita hamil, pesakit diabetes, individu dengan masalah tiroid, serta mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Sebab itu penting untuk tak mengabaikan simptom kebas tangan yang berulang. Bukan semua kebas tangan bermaksud carpal tunnel, tapi kalau ia berlaku dengan kerap terutama pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah, elok dapatkan pemeriksaan doktor. Lagi awal dirawat, lagi baik peluang untuk mengurangkan tekanan pada saraf sebelum menjadi lebih teruk.

Rawatan pula bergantung pada tahap simptom. Ada yang hanya perlu ubah cara penggunaan tangan, kurangkan pergerakan berulang dan memakai wrist splint ketika tidur. Ada juga yang memerlukan fisioterapi, ubat atau rawatan lanjut jika saraf sudah terlalu tertekan.

Kadang-kadang badan kita dah beri hint lebih awal. Cuma kita yang selalu anggap ia perkara kecil. Jadi kalau tangan selalu kebas, jangan sekadar sapu minyak dan tahan sendiri. Dengar juga apa yang badan cuba sampaikan.

05/07/2026

Belajar bersyukur, jangan riak!

Kadang-kadang dalam hidup ni, kita terlalu selesa dengan apa yang kita ada sampai kita terlupa satu perkara penting, iaitu semua ni sebenarnya pinjaman. Rezeki, kesihatan, kebahagiaan, malah orang-orang yang ada di sekeliling kita, semuanya datang daripada Allah. Dan bila-bila masa sahaja, Allah boleh tarik semula.

Hakikatnya, hidup ni tak pernah milik kita sepenuhnya. Hari ni kita mungkin ada segalanya. Duit cukup, bisnes jalan, keluarga bahagia. Tapi esok? Kita tak tahu. Sebab tu pentingnya untuk sentiasa bersyukur, bukan hanya bila susah, tapi lagi-lagi bila senang.

Bila kita mula rasa 'aku hebat', 'ini semua sebab usaha aku', di situlah sebenarnya kita sedang diuji. Ujian bukan datang dalam bentuk kesusahan sahaja, tapi juga dalam bentuk kesenangan. Dan riak atau rasa bangga diri berlebihan, boleh buat kita lupa siapa yang sebenarnya beri semua tu.

Belajar bersyukur, jangan riak!

Bersyukur ni bukan sekadar sebut Alhamdulillah. Ia datang dengan rasa rendah diri, sedar bahawa tanpa izin Allah, kita bukan siapa-siapa. Orang yang betul-betul bersyukur akan lebih tenang, tak mudah bandingkan diri dengan orang lain, dan tak rasa perlu untuk menunjuk-nunjuk.

Kadang kita tengok orang lain jatuh, kita rasa kita lebih baik. Tapi hakikatnya, mungkin itu peringatan untuk kita. Allah boleh angkat seseorang, dan Allah juga boleh uji seseorang dalam sekelip mata. Jadi daripada sibuk menilai orang, lebih baik kita jaga hati sendiri.

Hidup ni bukan tentang siapa paling hebat, tapi siapa paling sedar diri. Sedar bahawa semua yang kita ada hari ni boleh hilang bila-bila masa. Dan bila kita betul-betul faham perkara tu, kita akan lebih menghargai, lebih bersyukur, dan insyaAllah, lebih jauh daripada sifat riak.

Jadi, apa pun yang kita ada hari ni, kecil atau besar, hargailah. Ucap syukur. Jaga hati. Sebab bila Allah bagi, itu rezeki. Bila Allah ambil semula, itu juga tanda kasih sayangNya untuk mengingatkan kita kembali. Wallahuallam.

04/07/2026

Kalau Allah sayang aku, kenapa Allah uji aku?

"Kenapa aku yang diuji?"

Soalan ini mungkin pernah terlintas di hati dan fikiran setiap daripada kita. Lebih-lebih lagi bila kita diuji dengan sakit, kehilangan, kesempitan rezeki atau pelbagai masalah yang terasa begitu berat untuk dipikul.

Syaitan ni mamg jahat sebab selalu membisikkan sangkaan yang bukan-bukan.

"Allah dah marah aku."
"Allah dah tak sayang aku."
"Ini semua hukuman atas dosa-dosa aku."

Namun, betul ke seperti yang disangkakan itu?

Hakikatnya, bukan semua ujian Allah itu adalah tanda kemurkaan Allah. Malah, dalam banyak keadaan, ujian adalah bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya.

Allah tak menguji kita sebab Dia membenci kita. Allah menguji kita sebab Dia mengetahui apa yang tak kita ketahui. Dia mengetahui kekuatan yang ada dalam diri kita. Dia mengetahui jalan terbaik untuk mendidik hati kita. 

Kadang-kadang, ketika hidup kita terlalu selesa contohnya, kita mula lupa untuk bergantung kepada Allah. Solat menjadi tergesa-gesa. Doa pulak jadi semakin singkat. Zikir pulak makin jarang. Apatah lagi mengaji. Hati pula makin jauh dari Allah.

Lalu Allah mengirimkan ujian.

Bukan untuk mematahkan kita, tapi untuk membawa kita kembali kepadaNya.

Kalau Allah sayang aku, kenapa Allah uji aku?

Bukankah ketika diuji, kita lebih banyak mengangkat tangan berdoa? Kita lebih lama bersujud. Kita lebih bersungguh-sungguh memohon pertolongan daripada Allah.

Mungkin itulah saat hubungan kita dengan Allah menjadi paling dekat.

Ujian juga bukan sekadar menguji kesabaran. Ia membersihkan dosa-dosa, mengangkat darjat, melembutkan hati dan mengajar kita bahawa tak ada tempat bergantung yang lebih kuat selain Allah.

Kita mungkin tak faham hikmah di sebalik setiap ujian hari ini. Tapi percayalah, Allah tak pernah menzalimi hambaNya. Setiap ketentuanNya pasti mengandungi rahmat, walaupun pada awalnya ia hadir dalam bentuk air mata.

Jadi, kalau hari ini kita sedang diuji, jangan cepat menyangka Allah telah meninggalkan kita. 

Mungkin sebenarnya Allah sedang memanggil kita pulang kepadaNya.

Mungkin Allah sedang membersihkan hati kita.

Mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang kita harapkan.

Teruskan bersabar. Teruskan berdoa. Teruskan bersangka baik kepada Allah.

Sebab, kasih sayang Allah tak selalu hadir dalam bentuk nikmat yang kita suka. Kadang-kadang, kasih sayangNya hadir dalam bentuk ujian yang akhirnya membawa kita lebih dekat kepada-Nya.

Semoga setiap ujian yang kita lalui menjadi asbab pengampunan dosa, penguat iman dan jalan menuju syurga.

"Ya Allah, jadikanlah setiap ujian yang Engkau berikan sebagai jalan untuk kami semakin dekat kepadaMu, bukan semakin jauh daripadaMu. Aamiin."