09/10/2026

Bila doktor hentikan Propranolol, adakah jantung dah confirm normal?

“Doktor dah stop propranolol. Maksudnya jantung saya dah okay sepenuhnya ke?” Soalan macam ni sebenarnya biasa ditanya, terutama bagi mereka yang pernah mengalami hyperthyroidism dan dalam masa yang sama mengalami simptom seperti jantung berdebar, degupan laju, tangan menggeletar atau rasa macam jantung 'berlari'.

Jawapannya, tak semestinya begitu. Bila doktor stop propranolol, ia tak semestinya bermaksud jantung seseorang itu dah disahkan normal 100%.

Selalunya, keputusan itu dibuat berdasarkan keadaan semasa seseorang. Contohnya, hormon thyroid sudah semakin terkawal, degupan jantung dah jadi lebih stabil dan simptom seperti berdebar atau jantung laju sudah tak memerlukan kawalan berterusan dengan beta-blocker.

Jadi, propranolol dihentikan bukan sebab ubat itu tak diperlukan langsung sampai bila-bila, tapi kerana pada time itu doktor mungkin melihat bahawa kawalan simptom dengan ubat tersebut sudah tak diperlukan secara berterusan.

Propranolol bukan ubat untuk turunkan hormon thyroid. Ini bahagian yang ramai mungkin terkeliru. Propranolol ialah sejenis beta-blocker. Dalam keadaan hyperthyroidism, ia boleh digunakan untuk membantu mengawal simptom seperti degupan jantung yang laju, jantung berdebar dan tangan menggeletar.

Maksudnya, propranolol membantu kita rasa lebih terkawal dari segi simptom. Tapi ia bukan ubat yang menurunkan hormon thyroid. Sebab itu seseorang yang mengalami hyperthyroidism masih perlu menjalani rawatan dan pemantauan thyroid mengikut nasihat doktor. 

Bila doktor hentikan Propranolol, adakah jantung dah confirm normal?
Gambar contoh saja dari carian Google. 

Bila hormon thyroid semakin terkawal, simptom seperti jantung laju dan berdebar juga boleh berkurangan. Pada ketika itu, doktor mungkin mengurangkan dos propranolol atau menghentikannya.

Tapi kalau propranolol dah stop, kenapa masih ada yang berdebar? Ini pun penting untuk difahami. Walaupun bacaan thyroid sudah stabil, rasa berdebar masih boleh berlaku pada sesetengah orang. Sebabnya, palpitasi atau jantung berdebar bukan semestinya berpunca daripada thyroid sahaja. 

Kurang tidur, stres, anxiety, terlalu banyak kafein, dehidrasi, anemia dan sesetengah gangguan rentak jantung juga boleh menyebabkan seseorang rasa jantung berdegup kuat, laju atau tidak selesa.

Jadi, jangan terus fikir, “Thyroid dah okay, tapi kenapa jantung masih berdebar?” atau “Propranolol dah dihentikan, jadi jantung sepatutnya tak boleh berdebar lagi.” Badan manusia tak semudah itu. Ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi degupan jantung. Sebab itu ada orang ambil propranolol bila perlu

Dalam sesetengah keadaan, doktor mungkin menetapkan propranolol dengan cara tertentu, termasuk penggunaannya apabila simptom tertentu berlaku. Tapi sama ada seseorang boleh mengambil propranolol bila perlu atau perlu mengambilnya secara tetap bergantung kepada keadaan individu dan arahan doktor.

Jangan jadikan pengalaman orang lain sebagai panduan untuk mengubah dos sendiri. Contohnya, kalau seseorang berkata, “Saya dah stop propranolol. Kalau berdebar, saya makan.” Itu mungkin sesuai dengan pelan rawatan yang diberikan kepada orang tersebut, tapi tak semestinya sesuai untuk orang lain.

Sebab setiap orang ada keadaan thyroid, kadar denyutan jantung, tekanan darah, ubat-ubatan dan faktor kesihatan yang berbeza. Jadi, bila propranolol dihentikan, apa yang patut kita faham? Paling mudah, anggap begini. Propranolol mengawal simptom tertentu. Ia bukan ubat yang menyembuhkan masalah thyroid.

Apabila thyroid sudah lebih terkawal dan simptom jantung semakin baik, doktor mungkin merasakan propranolol tidak lagi diperlukan secara berterusan. Tapi menghentikan propranolol juga tak bermaksud kita boleh mengabaikan sebarang simptom selepas itu.

Kalau jantung berdebar berlaku sekali-sekala dan cepat reda, cuba perhatikan apa yang berlaku sebelum simptom tersebut muncul. Adakah kurang tidur? Minum kopi? Kurang minum air? Sedang stres? Atau berlaku selepas melakukan aktiviti tertentu? Catatan macam ini boleh membantu apabila berbincang dengan doktor.

Namun, kalau berdebar berlaku dengan kerap, berpanjangan, semakin teruk atau disertai simptom seperti sakit dada, sesak nafas, pening teruk, pengsan atau rasa hendak pitam, jangan hanya bergantung kepada propranolol atau tunggu ia hilang sendiri. Dapatkan penilaian perubatan.

Akhirnya, kalau doktor hentikan propranolol, jangan terus anggap, “Okay, jantung aku dah confirm normal 100%.” Dan jangan juga terus fikir, “Alamak, kenapa doktor stop? Mesti ada masalah.” Tak semestinya kedua-duanya.

Dalam banyak keadaan, ia adalah sebahagian daripada proses rawatan apabila simptom sudah bertambah baik dan keadaan thyroid semakin terkawal. Yang penting, ikut pelan rawatan doktor, jangan ubah atau sambung semula ubat sesuka hati dan perhatikan perubahan pada badan.

Propranolol mungkin membantu mengawal degupan jantung yang laju dan simptom tertentu, tetapi punca sebenar simptom tetap perlu difahami. Sebab itulah bila bercakap tentang thyroid dan jantung, bukan sekadar tengok satu ubat sahaja. Kita kena tengok keseluruhan cerita. 

06/10/2026

Selepas tiroid dibuang total: Kenapa masih perlu makan ubat dan buat follow-up?

Ramai yang bila dengar seseorang sudah menjalani total thyroidectomy, mereka akan fikir, “Dah buang tiroid, selesai dah masalah tiroid tu.”

Sebenarnya, tak semudah itu ye. Kelenjar tiroid mungkin dah takde, tapi kehidupan selepas pembedahan masih perlukan  diambil kira. 

Ada ubat pesakit yang perlu diambil setiap hari (thyroxine), ada pemeriksaan darah yang perlu dipantau dan bagi sesetengah pesakit, ultrasound leher juga masih menjadi sebahagian daripada follow-up. 

Lebih-lebih lagi kalau pembedahan dibuat disebabkan kanser tiroid. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku selepas tiroid dibuang?

Tiroid dibuang, jadi 'siapa' yang hasilkan hormon tiroid?

Tiroid ialah kelenjar kecil berbentuk seperti rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher. Walaupun kecil, tugasnya besar sebab hormon tiroid membantu mengawal penggunaan tenaga, metabolisme, suhu badan, degupan jantung dan pelbagai fungsi badan yang lain.

Bila seseorang menjalani total thyroidectomy, keseluruhan kelenjar tiroid dibuang. Maka badan takde lagi mempunyai “kilang” utama untuk menghasilkan hormon tiroid.

Sebab itulah pesakit biasanya perlu mengambil thyroxine. Thyroxine bukan sekadar 'ubat untuk tiroid'. Ia sebenarnya ialah hormon T4 sintetik yang digunakan untuk menggantikan hormon yang badan tak lagi dapat hasilkan secukupnya.

Sebab itu, bagi seseorang yang dah menjalani total thyroidectomy, mengambil thyroxine bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai option. Ia adalah sebahagian daripada rawatan penggantian hormon yang diperlukan selepas kelenjar tiroid dibuang.

Jadi, kenapa dos ubat setiap orang berbeza?

Kadang-kadang kita dengar seseorang makan thyroxine 75 mcg, orang lain 100 mcg, ada pula yang 125 mcg atau lebih. Macam cikla sendiri buat masa ni kena ambil thyroxine 125 mcg. 

Jangan terus fikir, “Wah, dos dia tinggi. Mesti penyakit dia lebih teruk.”Tak semestinya ye. Keperluan dos hormon tiroid dipengaruhi oleh banyak perkara dan doktor akan menyesuaikannya berdasarkan keputusan darah serta keadaan individu.

Bagi pesakit yang menjalani pembedahan disebabkan kanser tiroid pulak, dos levothyroxine bukan hanya bertujuan menggantikan hormon. Dalam sesetengah keadaan, ia juga digunakan untuk mengawal paras TSH. Dan di sinilah ceritanya jadi lain sikit.

Apa pula TSH?

TSH ialah singkatan kepada thyroid-stimulating hormone.
Bayangkan otak kita mempunyai seorang “pengurus” yang dipanggil kelenjar pituitari. Pengurus ini menghantar arahan kepada tiroid; “Tiroid, sila hasilkan hormon tiroid.”

Bila hormon tiroid mencukupi, sistem badan akan memberi maklum balas kepada pituitari supaya pengeluaran TSH dikurangkan. Jadi secara mudahnya, TSH ialah salah satu cara badan kawal sistem hormon tiroid.

Tapi, selepas seseorang menjalani total thyroidectomy, kita sudah takde kelenjar tiroid yang berfungsi seperti dahulu. Hormon T4 kemudiannya datang daripada thyroxine yang diambil setiap hari.

Kenapa TSH kadang-kadang sengaja dibuat rendah selepas kanser tiroid?

Ini antara perkara yang ramai orang tak tahu. Bagi sesetengah pesakit yang pernah mengalami kanser tiroid, doktor mungkin menetapkan dos thyroxine yang menyebabkan TSH berada di bawah julat normal.

Tujuannya adalah untuk kurangkan rangsangan TSH terhadap sel tiroid yang mungkin masih ada, termasuk sel kanser tertentu.

Ini dipanggil TSH suppression. Tapi penting untuk faham satu hal iaitu; TSH rendah tak semestinya bermaksud ubat terlebih dos. Dalam keadaan tertentu, TSH yang lebih rendah memang sebahagian daripada strategi rawatan.

Namun, ia bukan bermaksud semua pesakit kanser tiroid perlu mempunyai TSH yang sangat rendah sepanjang hayat.

Panduan American Thyroid Association yang lebih baharu menekankan supaya sasaran TSH dinilai secara berterusan berdasarkan respons pesakit terhadap rawatan dan bukti penyakit yang masih ada atau berulang. Kalau takde bukti yang penyakit yang berterusan, suppression yang agresif mungkin tak lagi diperlukan.

Selepas tiroid dibuang total: Kenapa masih perlu makan ubat dan buat follow-up?
Selepas tiroid dibuang total: Kenapa masih perlu makan ubat dan buat follow-up?

Maksudnya, rawatan bukan konsep; “Dah pernah kanser, jadi TSH mesti rendah selama-lamanya.” Sebaliknya, doktor akan tengok keadaan pesakit dari semasa ke semasa dan menyesuaikan rawatan berdasarkan keadaan sebenar pesakit itu sendiri. 

Kenapa TSH tak boleh ditekan terlalu rendah tanpa sebab?

Sebab hormon tiroid yang terlalu tinggi untuk tempoh yang lama juga boleh membawa kesan yang tak diingini.

TSH suppression yang terlalu agresif boleh dikaitkan dengan risiko seperti gangguan rentak jantung dan kehilangan kepadatan tulang atau osteoporosis, bergantung kepada keadaan dan tempoh rawatan.

So, doktor sebenarnya sedang mencari satu keseimbangan. Di satu pihak, mahu mengurangkan rangsangan terhadap sel kanser yang mungkin masih ada. Di satu pihak lagi, tak nak bagi hormon tiroid secara berlebihan sampai mendatangkan risiko kepada pesakit.

Sebab itulah dos thyroxine tak patut diubah sendiri, walaupun kita nampak keputusan TSH kita rendah.

Habis tu, kenapa pesakit kanser tiroid masih perlu buat ultrasound leher?

Sebab selepas tiroid dibuang, doktor bukan lagi sekadar mencari “nodul tiroid”. Mereka melihat kawasan yang dahulu diduduki oleh tiroid, yang dipanggil thyroid bed, serta nodus limfa di bahagian leher. 

Bayangkan thyroid bed sebagai “tapak rumah lama”. Kelenjar tiroid sudah dibuang, tapi kawasan tersebut masih boleh diperiksa menggunakan ultrasound untuk melihat sama ada terdapat perubahan, ketulan atau tisu yang perlukan penilaian lanjut. Doktor akan tengok lymph nodes, iaitu nodus limfa jugak. 

Dan jangan salah faham. Ada lymph node dalam ultrasound tak bermaksud ada kanser. Kita memang mempunyai banyak nodus limfa di leher. Yang penting ialah bagaimana rupa dan ciri nodus tersebut.

Sebab itu dalam laporan ultrasound, kita mungkin jumpa istilah seperti hilum, cortex, cystic change, calcification, vascularity dan sebagainya.

Semua itu boleh bantu doktor tentukan sama ada sesuatu nodus kelihatan biasa atau mempunyai ciri yang memerlukan pemerhatian lanjut.

Ultrasound leher memang merupakan salah satu pemeriksaan penting dalam pemantauan pesakit kanser tiroid selepas rawatan.

Kemudian kita dengar pula perkataan “Thyroglobulin” atau Tg. 

Ini satu lagi istilah yang selalu membuat pesakit tertanya-tanya. Thyroglobulin atau Tg ialah sejenis protein yang dihasilkan oleh sel tiroid, termasuk sel kanser tiroid yang berasal daripada sel tiroid tertentu.

Selepas total thyroidectomy dan bagi sesetengah pesakit, rawatan radioactive iodine, paras Tg boleh menjadi sangat rendah atau tak dapat dikesan.

Sebab itu Tg boleh digunakan sebagai salah satu penanda dalam pemantauan selepas rawatan kanser tiroid.

Kalau sebelum ini Tg sangat rendah tetapi kemudian menunjukkan peningkatan, doktor mungkin mahu menyiasat dengan lebih lanjut. Tetapi sekali lagi, satu nombor Tg tak boleh ditafsirkan secara bersendirian.

Doktor akan melihat trend Tg, keputusan TgAb, sejarah rawatan, pemeriksaan klinikal dan keputusan ultrasound bersama-sama.

Apa pula TgAb?

TgAb ialah thyroglobulin antibody, iaitu antibodi terhadap thyroglobulin.

Kenapa doktor tengok TgAb?

Kerana kewujudan TgAb boleh menyukarkan tafsiran keputusan Tg. Sebab itu, bila Tg diperiksa, TgAb juga penting untuk dipertimbangkan. Dalam bahasa mudah, doktor bukan hanya bertanya; “Berapa Tg?” Tapi juga; “Adakah terdapat TgAb yang boleh mempengaruhi cara kita membaca keputusan Tg?”

Itulah sebabnya laporan darah kadang-kadang mempunyai beberapa nombor yang nampak seperti tak berkaitan, sedangkan semuanya sebenarnya saling melengkapi.

Jadi kalau Tg tak dapat dikesan, maksudnya kanser sudah hilang?

Ia adalah satu keputusan yang boleh melegakan dalam konteks yang sesuai, tapi kita tak sepatutnya menggunakan satu keputusan sahaja untuk mengatakan seseorang “100% sudah sembuh”.

Follow-up kanser tiroid biasanya melihat keseluruhan gambaran. Keputusan darah. Ultrasound. Pemeriksaan doktor. Sejarah dan jenis kanser asal. Rawatan yang pernah diterima. Dan yang paling penting, perubahan dari masa ke masa.

Sebab itu follow-up tetap penting walaupun seseorang berasa sihat dan dah bertahun-tahun menjalani pembedahan. Kanser tiroid boleh berulang dalam sesetengah pesakit walaupun selepas beberapa tahun, sebab itu pemantauan selepas rawatan masih memainkan peranan.

Jadi apa sebenarnya yang doktor sedang pantau?

Kalau nak faham dengan cara paling mudah, bayangkan follow-up selepas total thyroidectomy sebagai satu “puzzle”.

TSH dan FT4 membantu doktor melihat keadaan penggantian hormon. Thyroglobulin dan TgAb, dalam pesakit yang sesuai, membantu memantau kemungkinan adanya tisu tiroid atau penyakit yang masih ada/berulang.

Ultrasound leher membantu melihat thyroid bed dan nodus limfa. Kemudian semua maklumat itu digabungkan dengan sejarah penyakit dan pemeriksaan klinikal. Bukan satu keputusan sahaja. Bukan satu nombor sahaja. Tetapi keseluruhan cerita pesakit.

Selepas tiroid dibuang total: Kenapa masih perlu makan ubat dan buat follow-up?
Selepas tiroid dibuang total: Kenapa masih perlu makan ubat dan buat follow-up?

Dan inilah perkara paling penting untuk awareness. 

Ramai orang melihat seseorang yang sudah menjalani pembedahan tiroid dan berkata, “Dah buang dah kanser tu, kenapa masih makan ubat?” Jawapannya mudah. Sebab kelenjar tiroid sudah tiada, jadi hormon perlu digantikan.

Kemudian ada pula yang melihat keputusan TSH rendah dan terus berkata, “Ubat awak terlebih dos tu!” Tidak semestinya.

Bagi sesetengah pesakit kanser tiroid, TSH memang mungkin disasarkan lebih rendah berdasarkan keadaan mereka.

Dan ada juga yang bertanya, “Dah lama operation, kenapa masih kena buat blood test dan ultrasound?” Sebab rawatan kanser tak semestinya berakhir pada hari pembedahan. 

Pembedahan mungkin sudah selesai, tapi pemantauan ialah sebahagian daripada perjalanan selepas rawatan. Jadi kalau kita mengenali seseorang yang pernah menjalani total thyroidectomy, jangan hanya tanya, “Dah sembuh ke belum?”

Kadang-kadang soalan yang lebih baik ialah, “Follow-up macam mana sekarang?” sebab seseorang boleh nampak sihat dari luar, bekerja seperti biasa, ketawa seperti biasa dan menjalani kehidupan seperti biasa tapi di sebalik itu, dia mungkin masih mengambil hormon setiap hari dan menjalani pemeriksaan berkala untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.

Dan satu lagi perkara yang sangat penting, jangan bandingkan dos ubat, bacaan TSH atau keputusan Tg kita dengan orang lain.

Dua orang boleh sama-sama pernah menjalani total thyroidectomy, tetapi sasaran rawatan mereka boleh berbeza kerana sejarah penyakit, risiko dan respons terhadap rawatan juga berbeza. Setiap badan mempunyai cerita yang tersendiri. 

Moga bermanfaat.