Alhamdulillah, Jumaat datang lagi.
Rasa macam baru saja mula minggu, tapi tau-tau hari ini dah Jumaat. Cuma cikla rasa entah kenapa minggu ni rasa macam lama betul nak habis. Hari Isnin rasa macam panjang, Selasa pun terasa lambat, Rabu dan Khamis pulak macam ada saja benda yang perlu dibuat.
Kadang-kadang kita tengok kalendar pun rasa, “Lambatnya nak sampai hujung minggu…" Tapi akhirnya, sampailah juga Jumaat.
Bila Jumaat datang, rasa macam ada satu ruang untuk kita tarik nafas sekejap. Berhenti daripada terlalu sibuk dengan macam-macam perkara dan cuba tenangkan hati. Sebab dalam kita mengejar urusan harian, kadang-kadang kita terlupa yang hati pun perlukan perhatian.
Ada masa kita terlalu fikirkan kerja. Ada masa fikir tentang keluarga. Tentang duit, tentang masa depan, tentang perkara yang belum selesai. Sampai kepala penuh dan hati pun penat.
Jadi, bila Jumaat datang, cikla suka ambil sedikit masa untuk mengingatkan diri sendiri kita ini sebenarnya tak pernah bersendirian. Ada Allah yang sentiasa ada.
Apa saja yang sedang kita fikirkan, Allah tahu. Apa saja yang kita pendam dalam hati, Allah tahu. Bahkan doa yang belum sempat kita luahkan dengan kata-kata pun Allah tahu.
Mungkin sebab itu Jumaat terasa istimewa. Ia mengingatkan kita untuk kembali kepada Allah, walaupun mungkin sepanjang minggu kita terlalu sibuk dengan dunia.
Semoga Jumaat kali ini membawa sedikit ketenangan kepada hati kita. Kalau ada yang sedang penat, semoga Allah beri kekuatan. Kalau ada yang sedang risau, semoga Allah tenangkan. Kalau ada yang sedang menunggu sesuatu, semoga Allah berikan jawapan pada waktu yang paling baik.
Dan kalau ada doa yang masih belum dimakbulkan, jangan cepat berputus asa. Teruskan berdoa. Teruskan berharap. Teruskan percaya bahawa aturan Allah itu lebih baik daripada apa yang kita rancangkan.
Hari Jumaat juga jangan lupa untuk perbanyakkan selawat. Tak perlu tunggu masa lapang yang sempurna. Selawatlah sambil buat kerja, sambil memandu, sambil memasak atau ketika duduk berehat.
Biar lidah kita ringan berselawat dan hati kita sentiasa mengingati Nabi Muhammad SAW.
"Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala ali Sayyidina Muhammad."
Moga cikla dan kalian semua sentiasa berada dalam lindungan Allah. Moga langkah kita dipermudahkan, rezeki kita dilapangkan, hati kita ditenangkan dan segala urusan yang sedang kita hadapi dipermudahkan satu persatu.
Alhamdulillah untuk satu lagi Jumaat. Masih diberi umur. Masih diberi kesempatan. Masih diberi peluang untuk memperbaiki diri.
Jom selawat. Semoga Jumaat kita hari ini lebih tenang, lebih bermakna dan dipenuhi keberkatan.
Salam Jumaat dan selamat pagi.


No comments:
Post a Comment