Dalam hadis, terdapat beberapa panduan untuk kita yang menziarah rumah saudara-mara ketika berhari raya ini. Antaranya ialah:
a. Meminta izin sebelum masuk ke rumah.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah mengingatkan bahawa andai sekiranya seseorang itu telah meminta izin, namun tidak dijawab oleh Tuan Rumah, maka hendaklah dia pulang. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Barangsiapa yang meminta izin sebanyak tiga kali, kemudian tidak dibenarkan, maka hendaklah dia pulang." (HR al-Bukhari)
b. Memilih waktu yang sesuai.
Ketika ingin menziarahi seseorang, kita hendaklah memilih waktu yang sesuai agar tidak menyusahkan Tuan Rumah. Kata al-Imam al-Nawawi:
"dan hendaklah ziarah tersebut dengan tujuan yang baik yang bukan mereka tidak suka, pada waktu yang mereka reda dengannya." (al-Nawawi, Kitab al-Azkar)
c. Tidak mengintai dan menjaga pandangan.
Rasulullah mendidik para sahabat agar menjaga pandangan ketika melakukan ziarah. Baginda akan berdiri di sisi sudut pintu bagi menjaga pandangan agar tidak ternampak sesuautu yang tidak disukai oleh Tuan Rumah. Saidina Abdullah bin Busr menceritakan:
"Sesungguhnya Rasulullah itu, apabila Baginda datang kepada pintu rumah seseorang, maka Baginda tidak berdiri menghadap pintu (secara terus), tetapi Baginda berdiri di bahagian sudut kanan atau kiri pintu."
d. Tidak merosakkan barang tuan rumah.
Perkara ini ditekankan oleh Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid yang menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab ibu ayah untuk memastikan anak-anak mereka tidak merosakkan barangan Tuan Rumah. Kata beliau:
"Dan janganlah dibiarkan anak-anak membuat rosak (sepah, sia-sia) di rumah pemiliknya yang mana mereka akan meruntuhkan (tujuan) ziarah itu."
Semoga Allah membimbing kita. InshaAllah.
Kredit : Dr Ahmad Sanusi Azmi
Betul semuanya
ReplyDelete