Apa maksud kanser tiroid sembuh dan mengapa ia boleh berulang?
Apabila seseorang didiagnosis dengan kanser tiroid, harapan untuk sembuh selalunya tinggi kerana secara umum, kanser tiroid adalah antara jenis kanser yang mempunyai kadar survival yang baik terutama jenis papillary dan follicular.
Ramai pesakit menjalani pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid (total thyroidectomy), diikuti dengan rawatan radioiodin (RAI) dan kemudian pemantauan melalui ujian darah serta imbasan berkala.
Dalam banyak kes, doktor akan menggunakan istilah seperti “remisi lengkap” atau “tiada bukti penyakit” bila takde lagi tanda-tanda sel kanser dikesan dalam badan. Di sinilah ramai yang menganggap kanser telah “sembuh”.
Namun, dalam dunia perubatan, perkataan “sembuh” tak selalu bermaksud bebas sepenuhnya dari risiko. Istilah yang lebih tepat ialah remisi iaitu keadaan di mana penyakit tak dapat dikesan buat masa itu, tapi berisiko untuk muncul semula.
Kanser tiroid, walaupun kelihatan seperti telah “hilang”, boleh berulang selepas beberapa tahun, bahkan dalam kes tertentu, selepas lebih 10 tahun rawatan awal. Inilah yang dinamakan sebagai recurrence atau pengulangan semula kanser.
Recurrence boleh berlaku atas beberapa sebab. Salah satu daripadanya ialah kewujudan sel-sel kanser mikroskopik yang tak dapat dikesan semasa rawatan awal. Sel-sel ini boleh kekal “tidur” dalam badan selama bertahun-tahun sebelum ia mula membiak semula.
Kadang-kadang, sel-sel ini mungkin berada di luar kawasan tiroid contohnya di nodus limfa, paru-paru atau tulang dan ia akan mula menunjukkan aktiviti semula pada masa akan datang.
Dalam kes kanser yang berulang, sifatnya seringkali mungkin menjadi lebih agresif berbanding kali pertama. Sebab itulah pesakit yang telah melalui rawatan masih perlu mengambil ubat hormon tiroid setiap hari dan hadir ke janji temu susulan secara berkala.
Ubat ini bukan berfungsi menggantikan hormon yang hilang akibat pembuangan tiroid je, tapi juga ia bertindak untuk menekan paras TSH (thyroid stimulating hormone) dalam darah sebab TSH yang tinggi boleh merangsang pertumbuhan sel kanser yang tersisa.
Sebahagian pesakit mungkin bertanya, “Kalau sudah buang tiroid dan rawatan sudah selesai, kenapa masih kena makan ubat seumur hidup?”
Jawapannya ialah kerana hormon tiroid adalah penting untuk fungsi harian badan termasuklah metabolisme, tenaga, suhu badan dan kesihatan jantung. Bila kelenjar tiroid dibuang, badan tak lagi menghasilkan hormon ini secara semula jadi, so pengambilan levothyroxine atau thyroxine inilah akan menjadi satu keperluan kekal.
Di samping itu, kawalan dan pemantauan berterusan sangat penting. Doktor akan menilai paras thyroglobulin (protein yang dihasilkan oleh sel tiroid) dalam darah. Kalau paras ini naik selepas rawatan, ia boleh menjadi petanda awal bahawa sel tiroid (mungkin kanser) masih ada dan aktif. Imbasan seperti whole body scan atau PET scan juga digunakan untuk mengesan kawasan yang mungkin berlaku recurrence.
Kesimpulannya, “sembuh” daripada kanser tiroid bukan bermaksud risiko telah sifar. Ia bermaksud takde bukti penyakit buat masa itu. So, disiplin terhadap rawatan susulan, pemantauan makmal dan imaging serta pematuhan pengambilan ubat sangat penting untuk memastikan penyakit kekal terkawal atau kalau ia berulang pun, ia akan dapat dikesan pada peringkat awal.
Pesakit tak perlu hidup dalam ketakutan, tapi perlu hidup dalam kepekaan. Kanser tiroid mungkin senyap, tapi pemantauan yang berterusan adalah suara perlindungan yang tak ternilai. Alert is the key!
0 comments