Kullu kheir, semuanya baik-baik saja.

By Cikla Shahril - December 19, 2022

KULLU KHEIR, semuanya baik-baik saja.
KULLU KHEIR, semuanya baik-baik saja. Gambar adalah ubahsuai dari canva.com

Dikisahkan ada seorang raja yang mempunyai seorang pembantu (pemuda) yang sangat dikasihinya. Pembantunya itu kebiasaannya dalam apa jua keadaan, sering berkata atau membalas kata-kata dengan perkataan : "KULLU KHEIR" yang bermaksud semuanya baik-baik saja.

Pada suatu hari, raja mengajak pembantunya ini pergi memburu kerana memburu adalah kesukaannya. Sedang asyik mencari mangsa buruan, si pembantu itu ternampak lalang atau rimbunan pohon belukar bergoyang-goyang memberi tanda ada sesuatu dibaliknya. Lantas tanpa berlengah si pemuda itu pun melepaskan panahnya. Serentak dengan itu terdengarlah suara jeritan.

Rupa-rupanya yang menjerit itu adalah sang raja. Raja lantas keluar dari tempat persembunyian itu dan menjerit, "Siapa yang punya angkara ini?" Si pemuda tersebut ketakutan, namun tetap saja yang dijawabnya. "Saya. Kullu kheir."

Raja merasa sangat marah. Apatah lagi bila panah tersebut menyebabkan baginda kehilangan satu jarinya. "Apa yang kheir?" tanya raja dengan marah. Raja tersebut akhirnya dengan rasa sangat marah, memerintahkan agar pembantunya itu dipenjarakan. Meringkuklah si pemuda itu di dalam penjara.

Setahun berlalu, raja merasa rindu untuk berburu lagi. Lantas diperintahkan agar dipersiapkan segala kelengkapan berburu dan sekumpulan pengawal untuk mengiringnya. Namun, kali ini tanpa si pemuda tersebut sebab pemuda itu masih menjalani hukumannya di penjara.

Maka, pergilah raja bersama kumpulan pengawal dan pengiringnya. Kerana terlalu asyik berburu, tanpa raja sedari, baginda sudah terpisah jauh dari pengawal dan pengiringnya sehingga baginda sudah termasuk ke kawasan orang asli yang makan orang iaitu orang kanibal. Bahkan lebih menakutkan, rupa-rupanya raja sudah pun termasuk perangkap mereka. Lantas raja pun dibawa ke kurungan bersama tawanan lain.

Setiap hari para tawanan diberi makanan yang enak dan banyak dengan tujuan supaya tubuh mereka gemuk sebelum mereka dimasak dan dimakan oleh kaum kanibal tersebut. Seorang demi seorang selamat menjadi lauk. Suatu hari sedang mereka memilih-milih tawanan yang ingin dijadikan lauk untuk hari itu, seorang dari mereka terpandang raja tersebut.

"Ini! Ini badannya tegap gemuk, kulit halus, pasti enak kalau dijadikan lauk kita hari ini!" Mereka akhirnya sepakat membawa raja tersebut keluar untuk disiang. Sebelum itu, mereka memeriksa seluruh tubuh si raja. Tiba-tiba seorang dari mereka menjerit, "Jarinya kurang satu! Dia cacat!"

Mereka mempersembahkan hal tersebut kepada ketua mereka, lantas dengan segera ketua mereka berkata, "Lepaskan dia! Lepaskan dia! Bagi kita, dia itu pembawa malang! Sial kita nanti dibuatnya!" Maka dilepaskanlah raja tersebut. Raja tersebut tercengang dan terus tanpa berlengah-lengah lagi melarikan diri dari tempat tersebut.

Sesampainya raja di istananya, tiba-tiba baginda teringat kepada pemuda si pembantu yang sangat dikasihinya itu, maka segera diperintahkan kepada pengawal supaya melepaskan pemuda tersebut dan membawanya mengadap baginda. "Kullu kheir. Ya, kalau tak kerana jari beta putus disebabkan panah kamu, tentu saja beta sudah dijadikan lauk oleh sekumpulan kanibal. Maafkan beta sebab menyumbat kamu di dalam penjara."

Pemuda tersebut seraya menjawab, "Oh tak mengapa, Tuanku. Tak mengapa, kullu kheir!" Raja jadi pelik. "Kenapa pula kamu meringkuk dipenjara tapi tetap saja kullu kheir (semuanya baik-baik saja)?"

"Jika Tuanku memaafkan patik sejak mula dan tak menyumbatkan patik ke dalam penjara,  sudah tentulah semasa Tuanku keluar berburu kelmarin patik akan ikut dan tertangkap sekali. Tuanku terlepas kerana jari Tuanku cacat, tapi patik tak dan pastilah patik yang akan menjadi lauk mereka hari itu. Makanya, walau patik dihukum di penjara tapi kullu kheir!"

Masya'Allah.

Kredit penulis asal. 

  • Share:

You Might Also Like

0 Comments