27 January 2026

Hidup rasa terbatas?

January 27, 2026 2 Comments
Kadang-kadang kita rasa hidup ini sempit, seolah-olah dunia hanya sebesar ruang yang kita nampak di depan mata. Kita lihat orang bebas bergerak ke mana sahaja mereka mahu, sedangkan kita pula terasa terkurung dalam 'balang' kecil ciptaan keadaan, masa atau keputusan sendiri.

Hakikatnya, bukan dunia yang mengecil. Tapi perspektif kita yang sedang diuji. Seperti ikan di dalam balang, ia bukan lemah, cuma belum berada di tempat yang sepatutnya. Begitu juga dengan kita. Ada fasa hidup yang membuatkan kita rasa terbatas, diperhatikan, dihakimi dan tidak mampu bergerak sejauh yang diimpikan.

Namun, jangan salahkan diri kerana berada di fasa itu. Setiap perjalanan ada masanya. Ada waktu untuk belajar bersabar, memahami diri dan menguatkan jiwa sebelum dilepaskan ke ruang yang lebih luas. Allah tak pernah menempatkan kita di satu tempat tanpa sebab. 

Hidup rasa terbatas?

Kalau hari ini terasa sempit, mungkin sebab sedang dibentuk untuk menjadi lebih kuat. Jangan bandingkan perjalanan hidup kita dengan orang lain. Setiap orang berenang di air yang berbeza, dengan ujian dan takaran yang berbeza. 

Apa yang penting, teruskan percaya bahawa suatu hari nanti, balang itu akan terbuka, dan kita akan menemui ruang yang lebih luas untuk berkembang.

Tenanglah. Apa yang terasa membataskan hari ini, mungkin sedang mempersiapkan kita untuk kebebasan yang lebih bermakna esok hari.

24 January 2026

Bila sabar dah sampai hadnya.

January 24, 2026 0 Comments
Ramai orang ingat marah ni cuma datang daripada orang yang panas baran. Hakikatnya, kemarahan yang paling “meletup” selalunya datang daripada orang yang terlalu banyak bersabar.

Orang jenis ni biasanya berhati lembut. Dia pilih diam daripada bergaduh. Dia telan rasa, pujuk hati sendiri, dan selalu bagi peluang. Bila disakiti, dia cuba faham. Bila dilukakan, dia cuba maafkan. Bukan sebab dia lemah, tapi sebab dia tak suka menyusahkan orang lain. Masalahnya, sabar tanpa sempadan bukan kekuatan tapi beban.

Setiap kali dia mengalah, ada satu bahagian hati yang terpaksa ditutup. Setiap kali dia kata “tak apa”, sebenarnya ada luka yang belum sembuh. Lama-lama, semua yang dipendam tu berkumpul. Senyap, tapi berat.

Bila sabar dah sampai hadnya.

Dan bila sampai satu tahap dia tak mampu lagi senyum palsu atau maaf tanpa rasa, masa tu kemarahan keluar dengan cara yang orang tak jangka. Bukan marah kecil-kecil, tapi marah yang datang bersama kecewa, penat dan rasa tak dihargai.

Bila orang baik marah, selalunya bukan sebab satu kesalahan. Tapi sebab terlalu banyak perkara yang dibiarkan berlalu tanpa dihormati.

Sebab tu penting untuk kita belajar jaga sempadan. Baik bukan bermaksud korang kena terima semua benda. Memaafkan tak bermaksud orang lain boleh ulang benda yang sama. Dan diam bukan tanda setuju.

Hormati orang yang banyak bersabar. Dengar bila mereka mula bersuara. Jangan tunggu sampai orang yang selalu tenang tu akhirnya memilih untuk menjauh atau melepaskan segalanya.

Kadang-kadang, orang baik tak perlukan banyak, cuma sedikit ehsan memahami dan rasa hormat.

22 January 2026

Macam mana nak build balik kepercayaan pada orang yang pernah khianati kita?

January 22, 2026 0 Comments
Jujur cakap, bila kepercayaan dah dikhianati hati memang bukan retak sikit je tau. Kadang ada yang sampai rasa hancur. Bukan senang nak percaya semula, apatah lagi kalau pengkhianatan tu datang daripada orang yang kita paling yakin. Pasangan, ahli keluarga, kawan rapat atau orang yang kita sandarkan harapan.

Persoalannya sekarang: boleh ke bina semula kepercayaan? Jawapan ringkasnya, boleh, tapi bukan mudah dan bukan cepat. So, jom baca sampai habis.

1. Faham dulu: Percaya itu pilihan, bukan kewajipan.

Perkara paling penting, korang tak wajib percaya semula sesiapa. Ramai orang rasa bersalah bila tak boleh percaya balik.

“Aku ni jahat ke sebab tak boleh move on?”

Tak. Kepercayaan adalah hak, bukan hutang. Kalau hati belum bersedia, itu normal.

2. Jangan terus paksa diri ‘Okay’!

Ramai silap di sini. Baru luka, tapi terus paksa diri.

“Tak apa lah, aku maafkan je.”

Padahal dalam hati masih berdarah. Hakikatnya, maaf tak sama dengan percaya. Move on tak sama dengan lupa.

Bagi ruang untuk rasa kecewa, marah, sedih. Sebab emosi yang ditekan akan muncul balik, malah lebih kuat.

3. Tengok perubahan, bukan janji.

Kalau orang tu betul-betul nak bina semula kepercayaan, dia tak defensive bila kita tanya. Dia konsisten, bukan rajin sekejap. Dia bertanggungjawab, bukan salahkan keadaan. Kepercayaan tak dibina dengan ayat; 

“Percayalah aku dah berubah.”

Tapi dengan tindakan kecil yang berulang-ulang.

4. Mulakan dengan kepercayaan kecil.

Tak perlu terus buka semua pintu. Contoh;

- Percaya dalam perkara kecil dulu.

- Simpan sempadan yang jelas.
- Jangan kongsi semua benda peribadi sekaligus.

Anggap kepercayaan macam volume, bukan ON atau OFF, tapi boleh dilaras perlahan-lahan.

Macam mana nak build balik kepercayaan pada orang yang pernah khianati kita?

5. Tetapkan sempadan (boundary) tanpa rasa bersalah.

Sempadan bukan tanda dendam. Sempadan tanda self-respect.

Contoh sempadan sihat;

“Aku perlukan masa.”
“Aku tak selesa bila benda ni diulang.”
“Kalau ini jadi lagi, aku akan undur diri.”

Orang yang ikhlas nak baiki hubungan akan hormat sempadan.

6. Jangan abaikan diri sendiri demi jaga hubungan.

Kadang kita terlalu fokus nak baiki hubungan, sampai lupa jaga hati sendiri. Tanya diri;

Aku tenang atau sentiasa overthinking?
Aku rasa selamat atau selalu berjaga-jaga?
Aku jadi diri sendiri atau asyik berlakon kuat?

Kalau kepercayaan yang dibina semula buat korang makin sakit, itu bukan healing, itu self-neglect.

7. Terima hakikat: Ada hubungan yang tak perlu diselamatkan.

Realiti ini pahit, tapi jujur. Tak semua hubungan layak peluang kedua. Bukan sebab korang kejam, tapi sebab keselamatan emosi lebih penting. Kadang membina kepercayaan semula bermaksud, percaya pada diri sendiri untuk berundur.

Percaya semula bermula dengan percaya diri sendiri. Bila dikhianati, yang paling hilang sebenarnya bukan orang tapi keyakinan pada diri sendiri. Jadi sebelum percaya orang lain;

Percaya pada intuisi sendiri.
Percaya pada had diri.
Percaya bahawa korang layak dihormati.

Kalau satu hari nanti kepercayaan itu datang semula, biarlah ia datang dengan tenang. Bukan dengan paksaan. Kalau korang pernah melalui pengkhianatan, percayalah korang tak lemah. Korang cuma manusia yang pernah berharap.

Kadang Allah tak ambil sesuatu untuk menyakiti, tapi untuk melindungi hati kita daripada luka yang lebih besarApa yang dikhianati hari ini, boleh jadi sedang membersihkan jiwa kita daripada kebergantungan yang salah.

Tenanglah. Apa yang pergi tanpa kejujuran, memang tak pernah ditakdirkan untuk kekal. Percayalah, Allah gantikan kepercayaan yang hancur bukan dengan orang yang sama, tapi dengan kekuatan dalam diri kita sendiri.

Dan bila tiba masanya nanti, hati yang sembuh akan tahu siapa yang layak diberi tempat dan siapa yang cukup kita lepaskan dengan redha. 

Waallahuallam. 

16 January 2026

Selalu rasa macam usaha tak pernah cukup? Mungkin salah tempat yang kita curah!

January 16, 2026 2 Comments
Pernah tak rasa penat berusaha tapi hasilnya macam tak pernah jadi macam yang kita nak? Kita bagi masa, tenaga, perhatian, malah perasaan tapi tetap rasa kosong. Bukan sebab kita tak cukup usaha. Selalunya sebab usaha itu dicurahkan ke tempat yang salah.

Bayangkan usaha kita macam air yang mengalir tanpa henti. Kalau air itu dituang ke dalam bekas yang bocor, sebanyak mana pun kita isi, ia tetap tak akan penuh. Bukan salah airnya. Bukan juga salah kita yang rajin tuang. Masalahnya cuma satu, bekas itu tak mampu simpan apa yang kita beri.

Selalu rasa macam usaha tak pernah cukup? Mungkin salah tempat yang kita curah!

Dalam hidup, ‘bekas bocor’ itu boleh jadi apa saja. Hubungan yang tak pernah hargai kita. Pekerjaan yang sentiasa ambil tanpa peduli kesejahteraan. Perniagaan atau impian yang dibina atas asas yang rapuh. Atau kadang-kadang, bekas bocor itu adalah diri kita sendiri yang terlalu sibuk menyenangkan orang lain sampai lupa jaga diri.

Kita sering diajar untuk kuat, sabar dan teruskan usaha. Itu tak salah. Tapi jarang kita diingatkan untuk berhenti sekejap dan tanya soalan paling penting, “Usaha aku ni sedang mengisi apa?” Kalau jawapannya sesuatu yang tak pernah memberi balik, tak pernah menghargai dan tak pernah berubah, mungkin masalahnya bukan pada jumlah usaha, tapi pada arah usaha.

Mengubah arah usaha bukan bermakna kita mudah berputus asa. Ia tanda kita semakin matang. Kita belajar memilih. Kita sedar tenaga kita berharga. Kita faham bahawa tak semua perkara layak menerima versi terbaik diri kita.

Kadang-kadang, satu keputusan kecil sudah cukup. Kurangkan memberi pada yang tak menghargai. Berhenti berharap pada yang tak pernah janji. Alihkan fokus kepada perkara yang boleh berkembang, yang boleh menyimpan dan memulangkan semula apa yang kita curahkan.

Bila usaha dicurah ke tempat yang betul, kita tak perlu paksa diri berlebihan. Sedikit pun sudah terasa cukup. Perlahan-lahan, hasilnya mula penuh. Bukan sebab kita berubah menjadi orang lain, tapi sebab akhirnya kita meletakkan usaha di tempat yang sepatutnya.

Jadi, kalau hari ini korang rasa letih tanpa hasil, jangan terus salahkan diri. Mungkin yang perlu dibaiki bukan usaha, tapi tempat kita mencurahkannya.

4 January 2026

Makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit hyperthyroid (selain soya).

January 04, 2026 3 Comments
Ramai pesakit hyperthyroid selalu tanya, 'Selain soya, apa lagi sebenarnya yang tak sesuai dimakan?'

Soalan ni memang sangat relevan sebab hyperthyroid bukan sekadar isu hormon, tapi ia beri kesan pada jantung, emosi, berat badan dan tenaga harian kita. So, pemilihan makanan memang memainkan peranan besar.

Untuk faham kenapa sesetengah makanan perlu dielakkan, kita kena tahu sikit asasnya. Hyperthyroid berlaku bila kelenjar tiroid jadi terlalu aktif dan menghasilkan hormon berlebihan.

Bila hormon ni terlalu tinggi, badan jadi 'terlebih laju'. Jantung berdebar, susah tidur, cepat panas, mudah cemas dan berat badan susah naik walaupun makan banyak.

Makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit hyperthyroid (selain soya).

Salah satu perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah iodin. Iodin sebenarnya nutrien penting untuk tiroid, tapi untuk pesakit hyperthyroid, iodin berlebihan boleh merangsang kelenjar tiroid jadi lebih aktif. 

Sebab tu makanan seperti rumpai laut dan sewaktu dengannya sebaiknya dielakkan atau diambil dalam kuantiti yang sangat minimum. Garam beriodin pula bukan 'haram' sepenuhnya, tapi jangan guna berlebihan. 

Apa-apa suplemen atau multivitamin yang tinggi iodin juga perlu dielakkan kecuali atas nasihat doktor.

Selain itu, kafein adalah 'musuh senyap' bagi ramai pesakit hyperthyroid. Badan yang sedia ada hormon tinggi memang cenderung untuk berdebar dan gelisah. Bila campur pula dengan kopi, teh pekat atau minuman tenaga, simptom boleh jadi lebih teruk. 

Ada yang lepas minum kopi terus rasa jantung laju, tangan menggigil dan susah nak tenang. Kalau masih nak minum, cuba kurangkan kuantiti atau pilih versi rendah kafein dan perhatikan reaksi badan sendiri.

Makanan tinggi gula dan terlalu diproses juga wajar dikawal. Walaupun hyperthyroid buat berat badan susah naik, itu bukan lesen untuk ambil gula berlebihan. 

Gula boleh menyebabkan lonjakan tenaga sementara, lepas tu badan jadi lebih letih, emosi tak stabil dan degupan jantung makin tak menentu. 

Kuih manis, kek, minuman manis dan makanan segera sebaiknya diambil sekali-sekala sahaja, bukan setiap hari.

Makanan bergoreng dan tinggi lemak tepu pula boleh memberi kesan jangka panjang pada jantung. Pesakit hyperthyroid memang berisiko mengalami masalah jantung jika tidak dikawal dengan baik. 

Bila diet pula tinggi lemak tidak sihat, beban pada sistem kardiovaskular jadi bertambah. Tak perlu pantang terus, tapi kawal kekerapan dan pilih kaedah masakan yang lebih sihat seperti rebus, bakar atau tumis ringan.

Produk tenusu pula bergantung kepada individu. Ada pesakit yang boleh minum susu tanpa masalah, tapi ada juga yang rasa tidak selesa, cepat panas badan atau berdebar selepas ambil produk tenusu. 

Dalam kes ni, penting untuk kenal badan sendiri. Jika perasan simptom bertambah lepas ambil susu atau keju, cuba kurangkan dan lihat perubahan.

Satu lagi perkara yang sering dipandang ringan ialah pengambilan suplemen dan herba. Banyak produk di pasaran mendakwa boleh tingkatkan tenaga, laju kurus atau 'boost metabolism'. 

Untuk pesakit hyperthyroid, produk seperti ini boleh memburukkan keadaan. Sebarang suplemen, herba atau produk detox sebaiknya dibincangkan dulu dengan doktor atau ahli farmasi.

Kesimpulannya, pesakit hyperthyroid tak perlu hidup dalam ketakutan terhadap makanan, tapi perlu lebih peka dan berhemah. Fokus pada makanan seimbang, elakkan rangsangan berlebihan pada tiroid, jaga kesihatan jantung dan dengar isyarat badan sendiri. 

Bila makan dengan betul, rawatan perubatan pun akan jadi lebih berkesan dan kualiti hidup boleh bertambah baik.

Moga bermanfaat. 

2 January 2026

Tahun baru, harapan baru: Tak perlu drastik pun, janji konsisten.

January 02, 2026 11 Comments
​Pejam celik, pejam celik, eh dah masuk tahun baru lagi kita ya. Hari ni pun dah 2hb Januari 2026 dah. Rasanya macam baru semalam kita sibuk kira detik bunga api tahun lepas, tiba-tiba hari ini kalendar dah tukar angka lagi. 

Biasanya, bila masuk je tahun baru, media sosial kita mesti penuh dengan kapsyen "New Year, New Me" yang gah. Ada yang dah siap beli kasut sukan baru sebab nak marathon, ada yang dah borong buku nota cantik-cantik nak buat jurnal dan ada jugak yang nekad mahu terus diet bermula hari pertama tahun baru. 

Tapi kalau kita jujur dengan diri sendiri, selalunya semangat berkobar-kobar itu bertahan sampai hujung bulan Januari saja, kan? Lepas itu, kasut sukan tadi mula jadi hiasan bawah katil dan azam kita pun perlahan-lahan hanyut dibawa arus kesibukan kerja yang tak pernah habis.

​Sebenarnya, tak salah pun kalau kita tak ada perubahan drastik sepantas kilat. Kadang-kadang kita terlalu menekan diri untuk jadi "sempurna" dalam masa semalam hanya sebab orang lain nampak macam dah berjaya. 

Apa kata tahun ini kita cuba pendekatan yang lebih santai dan tenang? Kita tak perlu pun nak buktikan apa-apa dekat sesiapa. Tahun baru ini sepatutnya menjadi ruang untuk kita lebih menghargai diri sendiri, bukannya menambah beban stres yang sedia ada. 

Kalau rasa nak berubah, mulakan dengan langkah kecil yang kita mampu buat secara konsisten. Tak perlu nak paksa diri lari 10 kilometer sehari kalau berjalan kaki keliling taman pun kita dah mengah, cukuplah sekadar kita bergerak lebih sedikit daripada semalam. Betul tak?

Tahun baru, harapan baru: Tak perlu drastik pun, janji konsisten.

​Apa yang paling penting dalam menempuh tahun baru ini adalah kesihatan mental dan ketenangan hati kita. Hidup ini bukannya perlumbaan formula 1 yang perlukan kita sentiasa berada di litar paling laju. Ada masanya kita perlu perlahankan rentak, ambil nafas dalam-dalam dan lihat sejauh mana kita dah melangkah selama ini. 

Kegagalan kecil tahun lepas janganlah dijadikan beban, sebaliknya anggap ia sebagai yuran pembelajaran untuk kita jadi lebih matang. Kita semua sedang bergelut dengan cabaran masing-masing, jadi berbuat baiklah pada diri sendiri. 

Jangan terlalu keras menghukum kalau ada hari yang kita rasa tak produktif langsung, sebab berehat itu juga sebahagian daripada proses untuk kita terus maju ke depan.

​Jadi, apa rancangan korang untuk tahun ini? Korang masih nak kejar target yang setinggi langit atau korang cuma nak fokus untuk jadi lebih bahagia dan tenang je? 

Apa pun pilihan korang, pastikan ia adalah untuk kepuasan diri sendiri dan bukannya sebab nak ikut trend semata-mata tau. Jom kita jadikan tahun ini sebagai tahun yang lebih bermakna, bukan dengan pencapaian yang hebat di mata orang, tapi dengan rasa syukur yang lebih mendalam di dalam hati.

Selamat menempuh lembaran baru semua, semoga perjalanan kita kali ini lebih indah dan penuh dengan kejutan yang menggembirakan! Selamat Tahun Baru 2026. 

25 December 2025

Cinta yang tetap ada...

December 25, 2025 1 Comments
Cinta bukan sekadar siapa yang buat kita ketawa. Bukan hanya tentang gurauan manis, senyuman yang menenangkan atau momen bahagia yang terasa sempurna. Cinta yang sebenar sebenarnya diuji pada saat kita berada di titik paling lemah, saat air mata mengalir tanpa mampu ditahan, saat hati terasa terlalu berat untuk dibawa dan saat kaki sendiri tak lagi kuat untuk berdiri.

Dalam hidup ni, bukan setiap hari kita kuat. Betul tak? Ada mass kita tersenyum, tapi dalam diam jiwa sedang menanggung sesuatu yang orang lain tak nampak. Ada hari kita cuba berpura-pura okey, sedangkan dalam hati sedang runtuh satu persatu. 

Pada waktu inilah kita akan benar-benar nampak siapa yang sekadar hadir untuk keseronokan dan siapa yang benar-benar memilih untuk tetap ada walau keadaan kita tak lagi sempurna. Cinta yang tulus tak pernah memilih hanya pada waktu indah. Ia tak hadir hanya ketika kita berjaya, bahagia atau penuh tawa. 

Cinta yang tetap ada...



Cinta yang sebenar sanggup duduk diam di sebelah kita saat kita menangis tanpa suara, sanggup memegang tangan kita walaupun kita sendiri sudah terasa tak berharga dan sanggup terus bertahan walaupun perjalanan itu penuh luka dan ujian. Kadang-kadang cinta bukan tentang kata-kata romantik yang panjang, tapi tentang kehadiran seseorang yang tak pernah beransur pergi. 

Ia tentang seseorang yang masih melihat nilai diri kita walaupun kita berada dalam keadaan paling rapuh. Seseorang yang tak canggung melihat air mata kita, tak menjauh saat kita hilang senyuman dan tak menyerah hanya kerana kita sedang jatuh.

Kalau dalam hidup ini kita bertemu seseorang yang tetap ada saat kita tak mampu berdiri sendiri, hargailah dia. Sebab, tak ramai sanggup bertahan melalui sisi paling gelap dalam hidup seseorang. Dan kalau kita sendiri mampu menjadi orang seperti itu untuk seseorang, maka kita sedang memegang makna cinta yang sebenar. Bukan hanya hadir untuk bahagia, tapi tetap setia walau hati sedang berperang dengan luka.

#luahanrasa

16 December 2025

Kenapa perempuan selalu overthinking?

December 16, 2025 1 Comments
Perempuan memang selalu dikaitkan dengan perkataan overthinking. Sikit-sikit fikir. Diam sikit, mula berteka-teki. Ayat pendek pun boleh jadi satu cerita panjang dalam kepala. Tapi persoalannya, kenapa perempuan jadi camtu? Adakah sebab emosi tak stabil atau memang tabiat semula jadi?

Sebenarnya, overthinking jadi bukannya takde sebab. Ia berkait rapat dengan cara otak dan emosi perempuan berfungsi. Otak perempuan cenderung memproses emosi dengan lebih mendalam dan terperinci. Bila berlaku sesuatu perkara, walaupun kecil, otak akan cuba mencari makna di sebaliknya. Nada suara berubah sikit, mesej dibalas lambat atau reaksi tak macam biasa, semua itu boleh mencetuskan persoalan dalam fikiran.

Selain itu, perempuan biasanya lebih mementingkan hubungan dan perasaan orang sekeliling. Mereka lebih peka terhadap perubahan sikap, bahasa badan dan emosi orang lain. 

Kenapa perempuan selalu overthinking?

Bukan sebab suka mencari masalah, tapi sebab naluri untuk menjaga hubungan. Dalam kepala mereka, “Kalau dia berubah, mesti ada sebab.” Dari situlah proses berfikir berulang-ulang bermula.

Faktor hormon juga memainkan peranan besar. Perubahan hormon, terutama ketika keletihan, stres atau fasa tertentu dalam kitaran bulanan, boleh membuatkan emosi jadi lagi sensitif. Bila emosi naik turun, fikiran pun jadi lebih aktif. Perkara yang biasanya tak difikirkan pun boleh tiba-tiba terasa berat dan mengganggu.

Satu lagi sebab utama kenapa perempuan mudah overthinking ialah sebab mereka jenis yang ambil berat dan bertanggungjawab. Mereka mahu pastikan semuanya berjalan lancar. Keluarga, pasangan, kerja dan perasaan orang lain. 

Bila terlalu peduli, mereka cenderung menyalahkan diri sendiri atau memikirkan pelbagai kemungkinan walaupun hakikatnya bukan salah mereka.

Dan yang paling penting, ramai perempuan pilih untuk pendam daripada meluahkan. Mereka simpan perasaan, tahan emosi dan cuba selesaikan semuanya sendiri. Bila perasaan tak diluah, otak akan terus bekerja tanpa henti, memikirkan apa yang patut dibuat, apa yang salah dan apa yang mungkin berlaku selepas ini.

Kesimpulannya, overthinking bukan tanda perempuan lemah atau drama. Ia adalah gabungan sifat peka, empati yang tinggi dan keinginan untuk menjaga keseimbangan emosi dalam hidup. 

Apa yang penting, perempuan perlu belajar untuk memberi ruang kepada diri sendiri, berani meluah dan sedar bahawa tak semua perkara perlu difikirkan terlalu dalam. Kadang-kadang, yang diperlukan hanyalah rehat, kejujuran pada diri sendiri dan keyakinan bahawa tak semua benda perlu dikawal.