'Santai Tapi Sampai'

27 September 2024

Taksub dan kesan-kesannya.

Taksub, dalam erti kata lain, adalah 'keterikatan' yang berlebihan terhadap sesuatu sehingga kita menjadi terlalu berat sebelah dan sukar melihat kebenaran dengan objektif. Bila kita terlalu taksub pada sesuatu atau seseorang, mata kita jadi buta terhadap perkara lain. Kita hanya nampak yang positif tentang apa yang kita kagumi dan abaikan segala kekurangan. 

Bayangkan kita taksub pada seorang pemimpin. Bila dia buat salah, kita akan diamkan. Bila dia buat keputusan yang tak baik, kita tetap menyokong tanpa soal. Inilah bahaya taksub, kita hilang keupayaan untuk menilai dengan adil.

Sama juga dalam konteks pekerjaan atau kumpulan. Ada yang terlalu taksub dengan syarikat tempat mereka bekerja sehingga sanggup mengetepikan masa dengan keluarga, kesihatan atau prinsip moral. Demi mengejar kejayaan dalam kerjaya, mereka mungkin melupakan keseimbangan hidup, menyebabkan tekanan mental dan fizikal yang akhirnya membawa kerugian jangka panjang.

Taksub dan kesan-kesannya.

Taksub akan melahirkan bias. Sifat bias ini membuatkan kita condong kepada satu pihak sahaja tanpa melihat gambaran penuh. Sebagai contoh, dalam politik, bila kita taksub pada satu parti, kita mungkin tak dapat menerima sebarang idea baik daripada parti lawan, walaupun ia memberikan manfaat kepada rakyat. Hati kita seolah-olah tertutup kepada kebenaran yang tak selari dengan kepercayaan kita.

Taksub juga menjadikan kita cepat melabel orang lain. Contohnya, kita mungkin anggap orang yang tak sependapat sebagai "musuh" atau "jahat," walhal mereka cuma mempunyai pandangan berbeza.

Satu perkara yang kita sering lupa bila kita terlalu taksub adalah takde yang sempurna melainkan Allah. Apa yang kita kagumi, pasti ada kekurangannya. Begitu juga dengan mereka yang kita benci, pasti ada sisi baik yang boleh dicontohi. Oleh itu, sikap terbuka amat penting dalam apa jua perkara.

Ambillah contoh dalam mana-mana tokoh atau idola yang kita kagumi. Mereka juga manusia biasa yang pasti tak terlepas dari melakukan kesilapan. Maka, berpada-padalah dalam meminati atau mengagumi seseorang. Hanya ambil yang baik-baik untuk dicontohi dan jangan biarkan kekaguman kita menafikan kebaikan dari orang lain.

Taksub dan kesan-kesannya.

Dalam skala yang lebih besar, taksub terhadap ideologi atau politik boleh mencetuskan kekacauan sosial. Kita pernah tengok bagaimana masyarakat dipecahkan oleh sentimen taksub terhadap kaum, agama dan politik. Perkara ini menghalang dialog yang sihat dan kerjasama antara pihak yang berbeza pandangan.

Di peringkat individu pula, terlalu taksub boleh merosakkan pemikiran kita. Kita jadi cepat marah, enggan menerima kritikan dan sukar untuk berubah. Taksub menjadikan kita tertutup kepada pandangan baru, dan inilah yang paling merbahaya. Sedangkan, kebijaksanaan sering kali lahir daripada keterbukaan minda.

Jadi, apa pengajaran yang boleh kita ambil? Sederhanakan diri dalam mengagumi atau meminati sesuatu atau seseorang. Ingat, takde yang sempurna. Jangan menafikan kebaikan dari orang lain, walaupun mereka tak sehaluan dengan kita. Dalam dunia yang penuh dengan perbezaan ini, sikap keterbukaan adalah kunci kepada keharmonian. Jangan biarkan taksub mengaburkan mata, pekakkan telinga dan gelapkan hati kita.

Berpada-padalah dan bersederhanalah. Hanya dengan itu, kita mampu melihat dunia ini dengan pandangan yang lebih adil dan seimbang. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment