Suatu ketika, Siti Aisyah RA melihat baginda Rasullullah SAW telah lama tidak berbaju baru. Baju yang sedia ada telah pun lusuh.
Lalu dia pun berkata,
“Ya Rasulullah, kita ada lapan dirham dan ambillah duit ini untuk membeli bajumu yang baru.”
Lalu, baginda Rasulullah SAW mengambil duit tersebut dan pergi ke pasar. Di pertengahan jalan, baginda SAW melihat seorang budak kecil sedang menangis.
Baginda SAW bertanya, “Mengapakah engkau menangis?”
Budak itu menjawab, “Ya Rasulullah, saya ini adalah hamba. Tuan saya telah memberikan empat dirham untuk membelikan barang, tetapi duit itu telah hilang.”
Lalu, baginda SAW memberikan empat dirham daripada lapan dirham kepunyaan baginda SAW kepada budak tersebut.
Baginda Rasulullah SAW meneruskan perjalanan ke pasar.
Di pertengahan jalan, baginda SAW terjumpa seorang tua yang mengadu bahawa dia sedang kelaparan dan memohon pertolongan baginda SAW.
Dua dirham daripada empat dirham yang ada pada baginda Rasulullah SAW diberikan kepada orang tua tersebut.
Apabila sampai di pasar, baginda SAW membeli sehelai baju yang berharga dua dirham.
Setelah itu, baginda Rasulullah SAW pun pulang ke rumah. Di pertengahan jalan pulang, baginda SAW berjumpa dengan seorang fakir miskin yang mengadu kepada baginda SAW tentang bajunya yang telah buruk dan meminta baju daripada baginda SAW.
Lalu baginda Rasulullah SAW memberikan baju yang baru dibeli tadi kepada fakir miskin itu.
Pulanglah baginda Rasulullah SAW ke rumah tanpa membawa baju baru dan dalam keadaan tiada lagi dirham.
Di pertengahan jalan, baginda SAW berjumpa semula dengan budak kecil yang menangis tadi, masih lagi dalam keadaan menangis.
Lalu baginda SAW bertanya, “Mengapakah engkau masih lagi menangis? Bukankah aku telah gantikan duitmu yang hilang tadi?”
Budak itu menjawab, “Ya Rasulullah, saya telah lewat untuk pulang ke rumah tuan saya. Saya takut jika tuan saya memarahi saya.”
Baginda SAW menjawab, “Jika begitu, biarlah aku menemani kamu pulang.”
Ketika baginda Rasulullah SAW berjalan bersama budak itu, ada seseorang telah melihat dan memberitahu kepada tuan budak itu.
Tuan budak tersebut merasa sangat gembira kerana baginda Rasulullah SAW akan berkunjung ke rumahnya lalu dia pun masuk ke dalam rumah.
Ketika baginda SAW dan budak itu sampai dihadapan rumah, baginda Rasulullah SAW pun memberikan salam.
Tuan hamba budak itu yang sedang berada di dalam rumah menjawab salam baginda SAW dengan suara yang perlahan sehinggakan baginda SAW tidak mendengarnya.
Baginda SAW memberi salam lagi, tuan hamba budak itu masih menjawab dengan suara yang perlahan.
Kali ketiga, baginda SAW memberi salam dengan suara yang agak kuat sedikit lalu dijawab dengan oleh tuan hamba budak itu dengan suara yang jelas didengari oleh baginda SAW.
Baginda SAW bertanya, “Apakah engkau tidak mendengar salamku?”
Tuan hamba budak itu menjawab, “Saya mendengar Rasulullah SAW memberi salam dan saya jawab salam itu dengan suara yang perlahan kerana saya suka mendengar suara Rasulullah SAW dan saya juga suka Rasulullah SAW mendoakan saya sehingga tiga kali.”
Baginda Rasulullah SAW tersenyum mendengar jawab itu.
Baginda SAW berkata, “Aku membawa hambamu ini kepada kamu kerana dia takut kamu akan memarahinya kerana pulang lewat. Aku harap engkau tidak memarahi dia.”
Jawab tuan hamba budak itu, “Bagaimana saya akan marah kepada dia kerana dialah menyebabkan Rasulullah datang ke rumah saya. Maka dengan sebab itu, saya merdekakan dia.”
Selepas itu, Baginda Rasulullah SAW pun pulang ke rumah lalu Siti Aisyah r.a. bertanya, “Dimanakah baju baru itu, ya Rasulullah?”
Baginda SAW menjawab, “Aku telah membeli baju baru, tiba-tiba datang seorang fakir miskin meminta baju daripada aku, lalu aku memberikan kepadanya.”
Begitulah sikap pemurah dan penyayangnya Baginda Rasulullah SAW.
Sumber artikel : Ustaz Mustaffa Kamal Bin Hamzah.
0 comments: