14 March 2023

Bagaimana tanggungjawab nafkah seorang suami?

Sebenarnya, dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain termasuk ibubapanya. Urutan nafkah adalah seperti berikut;

a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu.” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46). 

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini, di antara kesimpulan dari hadis ini ialah hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. 

Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya mengikut kemampuannya dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tak wajib melainkan bila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tak memiliki harta dan tak mempunyai sumber pendapatan. Kalau mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, taklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Kalau ada lebihan iaitu setelah ditolak keperluan diri dan isteri,  barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung sebab menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. 

Jika benar ibubapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun kalau dia mampu menampung mereka semua. Kalau tak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahualam.

Kredit : Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi. USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL.

2 comments:

  1. Ramai orang kadang masih terlupa, sesungguhnya untuk diri sendiri itu amatlah perlu.

    ReplyDelete