• Home
  • Lifestyle
    • Ilmu
      • Agama
      • Muhasabah Diri
      • Petua
    • My Story
    • Info
    • Tips
    • Resepi
    • My Reviews
  • Awareness
    • Social
    • Thyroid
  • Collab

Popular Posts

Ujian membuatkanmu menangis, tapi Allah memberimu sebab untuk tersenyum!

Ujian membuatkanmu menangis, tapi Allah memberimu sebab untuk tersenyum!

Mudah betul nak tanam pokok daun bawang guna kotak telur je!

Mudah betul nak tanam pokok daun bawang guna kotak telur je!

Belajar pandang ke bawah agar hati tak lupa bersyukur.

Belajar pandang ke bawah agar hati tak lupa bersyukur.

Apakah perbezaan antara ultrasound, xray dan CTscan? Jom baca info menarik ini.

Apakah perbezaan antara ultrasound, xray dan CTscan? Jom baca info menarik ini.

Cikla yakin ramai di antara kita pernah mengalami rasa kebas atau semut-semut di kaki bila duduk bersila dalam tempoh yang lama. Keadaan ini selalu dianggap benda biasa je, terutama bila rasa sesemut itu hilang sebaik sahaja kita meluruskan kaki atau berdiri semula. Namun, timbul persoalan. Adakah ini petanda kekurangan kalsium atau sesuatu yang lebih serius?

Sebenarnya, rasa kebas ketika duduk bersila selalunya berlaku akibat tekanan pada saraf atau salur darah yang mengalir ke bahagian kaki. Bila seseorang duduk dalam posisi bersila, terutamanya dalam tempoh yang lama tanpa mengubah posisi, saraf di bahagian paha atau lutut mungkin terhimpit. Ini boleh menyebabkan aliran darah terganggu buat sementara waktu dan memberi kesan kepada deria rasa di kaki. Keadaan ini dinamakan "transient nerve compression" dan ia adalah punca utama kebas jangka pendek seperti ini.

Walaupun ramai mengaitkan rasa kebas dengan kekurangan nutrien seperti kalsium, hakikatnya punca tersebut jarang menjadi penyebab utama kebas yang hanya berlaku ketika duduk dalam posisi tertentu. Kekurangan kalsium atau vitamin lain seperti B12 dan magnesium lebih cenderung menyebabkan simptom kebas yang berpanjangan atau berlaku tanpa mengira posisi. Jadi, kalau rasa kebas tu hanya berlaku ketika duduk bersila dan hilang sejurus kita mengubah kedudukan, besar kemungkinan ia bukan berpunca daripada kekurangan nutrien.

Kenapa kaki mudah kebas bila duduk bersila?
Kenapa kaki mudah kebas bila duduk bersila? Kredit gambar to Google. 

Namun begitu, kalau rasa kebas mula berlaku dengan lebih kerap, lebih cepat timbul walaupun hanya duduk sekejap, atau tak hilang lepas beberapa minit berdiri, ia mungkin menandakan masalah lain yang lebih serius seperti saraf terhimpit, slip disc atau gangguan peredaran darah. Dalam kes seperti ini, pemeriksaan lanjut oleh doktor adalah sangat digalakkan.

Sebagai langkah pencegahan, elak duduk terlalu lama dalam satu posisi. Cuba ubah kedudukan setiap 20 hingga 30 minit dan lakukan regangan ringan terutama pada kaki dan betis. Bagi yang sering mengalami kebas, pemeriksaan tahap nutrien dalam darah seperti kalsium, B12 dan magnesium juga boleh membantu kenalpasti sebarang kekurangan yang mungkin berlaku.

Rasa kebas kaki semasa duduk bersila memang biasa, tapi ia juga boleh memberi petunjuk kepada kesihatan saraf dan peredaran darah kita. Mendengar isyarat tubuh dan bertindak awal adalah langkah bijak untuk kesihatan jangka panjang.

Moga bermanfaat. 
Apabila mendengar istilah hypothyroid dan hypoparathyroid, ramai yang mungkin menyangka kedua-duanya adalah penyakit yang sama sebab mungkin kerana bunyi sebutannya hampir serupa. Namun, hakikatnya, kedua-dua keadaan ini melibatkan kelenjar yang berbeza, memberi kesan kepada hormon yang berlainan dan menimbulkan gejala serta rawatan yang sangat berbeza.

Apa itu Hypothyroid?

Hypothyroid atau hipotiroidisme berlaku bila kelenjar tiroid, yang terletak di bahagian hadapan leher, gagal menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi – iaitu T3 (triiodotironin) dan T4 (tiroksin). Hormon ini penting untuk mengawal kadar metabolisme badan. Bila ia berkurangan, seluruh sistem badan akan menjadi perlahan.

Punca-punca utama hypothyroid termasuk:

1. Penyakit autoimun seperti Hashimoto.
2. Kesan sampingan rawatan radioaktif atau pembedahan tiroid.
3. Kekurangan iodin dalam diet.

Tanda-tanda yang biasa dialami oleh pesakit hypothyroid:

1. Cepat penat dan lesu.
2. Kulit menjadi kering dan pucat.
3. Pertambahan berat badan tanpa sebab jelas.
4. Sembelit.
5. Rasa sejuk walaupun dalam cuaca panas.
6. Masalah tumpuan dan ingatan.
7. Haid tak teratur atau berpanjangan.

Rawatan utama - Pengambilan hormon tiroid sintetik seperti levothyroxine, yang membantu menggantikan hormon yang hilang dan mengembalikan fungsi normal badan.

Keliru antara hypothyroid dan hypoparathyroid? Ini perbezaannya yang ramai tak tahu.
Keliru antara hypothyroid dan hypoparathyroid? Ini perbezaannya yang ramai tak tahu.

Apa pula Hypoparathyroid?

Sementara itu, hypoparathyroid melibatkan kelenjar yang lebih kecil tapi tak kurang pentingnya  iaitu kelenjar paratiroid. Terdapat empat kelenjar paratiroid yang terletak di belakang kelenjar tiroid. Tugas utama kelenjar ini ialah menghasilkan hormon PTH (Parathyroid Hormone) yang mengawal paras kalsium dan fosfat dalam darah.

Bila hormon PTH tak cukup dihasilkan, paras kalsium dalam darah akan jatuh ke tahap yang membahayakan dan ini boleh mengganggu fungsi otot, saraf dan jantung.

Punca utama hypoparathyroid termasuk:

1. Kerosakan kelenjar semasa pembedahan tiroid.
2. Penyakit autoimun.
3. Kecacatan genetik.

Tanda-tanda hypoparathyroid:

1. Kekejangan atau kejang otot.
2. Kebas dan rasa mencucuk pada jari, kaki, atau muka.
3. Otot berkedut atau mengeras tanpa kawalan.
4. Risiko sawan kalau kalsium terlalu rendah.
5. Masalah jantung seperti irama tak normal.

Rawatan - Biasanya melibatkan pengambilan suplemen kalsium, vitamin D aktif (calcitriol), dan dalam kes tertentu, terapi hormon PTH buatan.

Kesimpulannya, walaupun kedua-dua istilah ini kedengaran hampir sama, kesannya terhadap kesihatan adalah sangat berbeza. Hypothyroid lebih berkait dengan sistem metabolisme, manakala hypoparathyroid pula melibatkan keseimbangan kalsium dalam badan.
Sebagai seorang muslim, cikla percaya tentang betapa luasnya pintu rahmat dan keampunan Allah. Walau sebesar mana pun dosa yang dilakukan, Allah tetap menerima taubat hambaNya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh memohon ampun. Inilah bukti kasih sayang Allah yang tak terhitung.

Namun, ada satu perkara yang ramai terlepas pandang, iaitu dosa sesama manusia. Dosa ini tak boleh dihapuskan hanya dengan istighfar atau taubat kepada Allah semata-mata. Ia memerlukan penyelesaian dengan orang yang kita zalimi.

Mudah memohon ampun dari Allah, tapi bagaimana dengan manusia?

Apa itu dosa sesama manusia? Ia melibatkan apa je perbuatan yang menzalimi orang lain, sama ada melalui kata-kata, perbuatan atau mengambil hak mereka. Contohnya:

- Mengumpat atau memfitnah seseorang. 
- Mengambil atau meminjam harta tanpa membayar balik. 
- Menyakiti hati dengan kata-kata kasar. 
- Menipu dalam urusan jual beli. 
- Menganiaya atau menindas orang yang lemah.

Semua ini tak akan terpadam hanya dengan memohon ampun kepada Allah. Kita perlu meminta maaf dan mengembalikan hak orang tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang pernah melakukan kezaliman terhadap saudaranya, baik dalam bentuk kehormatan atau sesuatu yang lain, hendaklah ia meminta halal (maaf) darinya hari ini, sebelum datang hari yang tidak ada dinar dan dirham (hari kiamat)." - (HR Bukhari).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa dosa sesama manusia perlu diselesaikan di dunia ini, kerana di akhirat nanti tiada lagi peluang untuk membayar dengan harta. Segala pembayaran akan dilakukan dengan amalan kita sendiri.

Jangan tangguh meminta maaf!

Ramai yang menunggu waktu yang ‘sesuai’ untuk meminta maaf, sedangkan kita tak tahu bila ajal akan datang menjemput. Bayangkan kalau kita pergi menghadap Allah dengan dosa yang masih terhutang dengan manusia. Alangkah ruginya amalan kita terpaksa diberi kepada orang yang kita zalimi.

Mulakan langkah hari ini. Hubungi orang yang kita pernah sakiti, hulurkan salam kemaafan dan perbetulkan kesilapan. Tak perlu tunggu orang lain membuka jalan sebab keberanian untuk meminta maaf adalah tanda kekuatan jiwa.

Kesimpulannya, taubat kepada Allah memerlukan penyesalan yang mendalam dan tekad untuk tidak mengulangi dosa. Tapi taubat kepada manusia memerlukan usaha nyata untuk memperbaiki hubungan dan mengembalikan hak mereka.

Selagi masih diberi kesempatan hidup, jangan biarkan hutang dosa sesama manusia menjadi penghalang kita meraih rahmat Allah. Mungkin hanya satu panggilan maaf hari ini mampu menyelamatkan kita daripada penyesalan yang takde penghujung di akhirat kelak.
Apabila seseorang didiagnosis dengan kanser tiroid, harapan untuk sembuh selalunya tinggi kerana secara umum, kanser tiroid adalah antara jenis kanser yang mempunyai kadar survival yang baik terutama jenis papillary dan follicular. 

Ramai pesakit menjalani pembedahan untuk membuang kelenjar tiroid (total thyroidectomy), diikuti dengan rawatan radioiodin (RAI) dan kemudian pemantauan melalui ujian darah serta imbasan berkala. 

Dalam banyak kes, doktor akan menggunakan istilah seperti “remisi lengkap” atau “tiada bukti penyakit” bila takde lagi tanda-tanda sel kanser dikesan dalam badan. Di sinilah ramai yang menganggap kanser telah “sembuh”.

Namun, dalam dunia perubatan, perkataan “sembuh” tak selalu bermaksud bebas sepenuhnya dari risiko. Istilah yang lebih tepat ialah remisi iaitu keadaan di mana penyakit tak dapat dikesan buat masa itu, tapi berisiko untuk muncul semula. 

Kanser tiroid, walaupun kelihatan seperti telah “hilang”, boleh berulang selepas beberapa tahun, bahkan dalam kes tertentu, selepas lebih 10 tahun rawatan awal. Inilah yang dinamakan sebagai recurrence atau pengulangan semula kanser.

Apa maksud kanser tiroid sembuh dan mengapa ia boleh berulang?

Recurrence boleh berlaku atas beberapa sebab. Salah satu daripadanya ialah kewujudan sel-sel kanser mikroskopik yang tak dapat dikesan semasa rawatan awal. Sel-sel ini boleh kekal “tidur” dalam badan selama bertahun-tahun sebelum ia mula membiak semula. 

Kadang-kadang, sel-sel ini mungkin berada di luar kawasan tiroid contohnya di nodus limfa, paru-paru atau tulang dan ia akan mula menunjukkan aktiviti semula pada masa akan datang.

Dalam kes kanser yang berulang, sifatnya seringkali mungkin menjadi lebih agresif berbanding kali pertama. Sebab itulah pesakit yang telah melalui rawatan masih perlu mengambil ubat hormon tiroid setiap hari dan hadir ke janji temu susulan secara berkala. 

Ubat ini bukan berfungsi menggantikan hormon yang hilang akibat pembuangan tiroid je, tapi juga ia bertindak untuk menekan paras TSH (thyroid stimulating hormone) dalam darah sebab TSH yang tinggi boleh merangsang pertumbuhan sel kanser yang tersisa.

Sebahagian pesakit mungkin bertanya, “Kalau sudah buang tiroid dan rawatan sudah selesai, kenapa masih kena makan ubat seumur hidup?” 

Jawapannya ialah kerana hormon tiroid adalah penting untuk fungsi harian badan termasuklah metabolisme, tenaga, suhu badan dan kesihatan jantung. Bila kelenjar tiroid dibuang, badan tak lagi menghasilkan hormon ini secara semula jadi, so pengambilan levothyroxine atau thyroxine inilah akan menjadi satu keperluan kekal.

Di samping itu, kawalan dan pemantauan berterusan sangat penting. Doktor akan menilai paras thyroglobulin (protein yang dihasilkan oleh sel tiroid) dalam darah. Kalau paras ini naik selepas rawatan, ia boleh menjadi petanda awal bahawa sel tiroid (mungkin kanser) masih ada dan aktif. Imbasan seperti whole body scan atau PET scan juga digunakan untuk mengesan kawasan yang mungkin berlaku recurrence.

Kesimpulannya, “sembuh” daripada kanser tiroid bukan bermaksud risiko telah sifar. Ia bermaksud takde bukti penyakit buat masa itu. So, disiplin terhadap rawatan susulan, pemantauan makmal dan imaging serta pematuhan pengambilan ubat sangat penting untuk memastikan penyakit kekal terkawal atau kalau ia berulang pun, ia akan dapat dikesan pada peringkat awal. 

Pesakit tak perlu hidup dalam ketakutan, tapi perlu hidup dalam kepekaan. Kanser tiroid mungkin senyap, tapi pemantauan yang berterusan adalah suara perlindungan yang tak ternilai. Alert is the key!
Daun bidara, walaupun nampak biasa, sebenarnya daun ini menyimpan 1001 manfaat yang luar biasa untuk kesihatan, bukan saja fizikal, tapi juga dari sudut rohani.

Sebenarnya, daun bidara telah lama digunakan dalam perubatan tradisional, terutamanya dalam masyarakat Melayu dan Timur Tengah. Ia terkenal sebagai ikhtiar untuk mencuci gangguan rohani seperti sihir dan gangguan makhluk halus. 

Kebaikan daun bidara, rahsia alam semula jadi yang ramai terlepas pandang.

Ramai yang mengamalkan mandi daun bidara untuk menenangkan diri dan mendapatkan ketenangan jiwa. Bukan itu je, aromanya yang menyegarkan jugak membantu meredakan tekanan dan keresahan. Bila badan dan minda tenang, kehidupan pun terasa lebih ringan.

Untuk korang yang mengalami masalah kulit seperti jerawat, gatal-gatal atau ekzema, daun bidara boleh dijadikan sebagai bahan semula jadi untuk merawat kulit. Air rebusannya pulak sesuai dijadikan air bilasan atau dicampur dalam mandian. Malah, ia juga boleh dijadikan skrub ringan yang membantu menyingkirkan sel kulit mati secara lembut.

Untuk demam atau panas badan, air rebusan daun bidara boleh digunakan sebagai air mandian untuk menurunkan suhu. Khasiat semula jadinya membantu menyejukkan badan dan memberikan kelegaan segera. Ditambah pulak dengan sifat antibakteria yang terdapat dalam daun ini, ia berperanan penting dalam melawan kuman dan melindungi kulit daripada jangkitan.

Selain itu, nasalah rambut gugur jugak boleh diatasi dengan menggunakan air rebusan daun bidara sebagai bilasan rambut. Ia menguatkan akar rambut dan menjadikan kulit kepala lebih sihat. 

Bukan itu je, bagi luka kecil seperti calar atau gigitan serangga, daun bidara yang ditumbuk halus boleh disapu pada kawasan tersebut untuk mempercepatkan proses penyembuhan. Menarik kan?

Ibu baru bersalin pun elok gunakan daun bidara semasa dalam pantang sebab daun ini selalu  dijadikan ramuan dalam mandian tradisional untuk membuang angin, menyegarkan badan dan membantu proses pemulihan dalaman. Khasiatnya yang menenangkan turut membantu emosi ibu yang sedang melalui fasa berpantang.

Dari segi dalaman pulak, daun bidara dipercayai mampu membantu menstabilkan tekanan darah dan paras gula dalam darah apabila dijadikan teh. Pengambilan secara berkala dan konsisten, dengan izin Allah, boleh menjadi ikhtiar semula jadi bagi mereka yang ingin menjaga kestabilan kesihatan dalaman tanpa bergantung sepenuhnya kepada ubatan moden.

Akhir sekali, daun bidara juga membantu dalam proses detoksifikasi badan. Ia membantu menyingkirkan toksin dari dalam tubuh, menjadikan badan terasa lebih ringan, segar dan bertenaga.

Siapa sangka, pokok kecil yang sering tumbuh di tepi jalan atau di kebun rumah nenek ini menyimpan khasiat yang begitu banyak kan. Kalau kita bijak memanfaatkan alam semula jadi, banyak rahsia kesihatan boleh kita terokai tanpa kos yang tinggi. 

Moga bermanfaat. 
Aloe vera atau lebih dikenali sebagai lidah buaya merupakan salah satu tumbuhan herba yang sangat popular dalam dunia kecantikan dan kesihatan sejak zaman dahulu lagi. Dari nenek moyang kita tanam tepi rumah, sampailah sekarang masuk dalam botol skincare dan supplement, aloe vera memang tak pernah mengecewakan.

Ramai orang kenal aloe vera sebab gelnya yang sejuk dan menyegarkan. Tapi tak semua tahu yang sebenarnya, lidah buaya ni ada macam-macam khasiat yang boleh dimanfaatkan untuk rawatan dalaman dan luaran.

7 kebaikan aloe vera untuk kesihatan dan kecantikan yang ramai belum tahu.

Antara manfaat paling ketara ialah keupayaannya melembapkan kulit secara semula jadi. Bila disapu pada wajah atau tangan, gel aloe vera akan memberikan rasa sejuk, sekaligus menenangkan kulit yang kering atau merengsa. Sebab tu ramai yang suka gunakan lidah buaya sebagai pelembap semula jadi, terutamanya mereka yang ada masalah kulit sensitif.

Aloe vera juga terkenal sebagai rawatan untuk sunburn. Kalau kulit dah merah-merah terbakar lepas berjemur lama sangat, sapu aloe vera memang lega habis. Bukan setakat sejuk, tapi juga membantu merawat keradangan dan mempercepatkan proses pemulihan kulit.

Bagi yang berdepan dengan masalah jerawat, aloe vera sebenarnya adalah salah satu bahan semula jadi yang boleh membantu. Ia mempunyai sifat antibakteria dan anti-radang, yang boleh mengurangkan bengkak jerawat dan membantu mengecutkan secara lembut. Kalau rajin sapu waktu malam sebelum tidur, kulit pun makin bersih. Cubalah!

Selain tu, lidah buaya juga dikatakan membantu melambatkan tanda-tanda penuaan. Kandungan antioksidannya membantu menjaga keanjalan kulit dan kurangkan garisan halus serta kedutan. Untuk mak-mak yang nak kulit nampak sihat dan ‘glowing’, aloe vera memang best dijadikan sebahagian daripada rutin penjagaan harian.

Tak terhad pada kulit saja, aloe vera juga bagus untuk kesihatan kulit kepala. Kalau selalu rasa gatal, berkelemumur atau rambut gugur, cuba sapukan gel aloe vera ke kulit kepala dan biarkan seketika sebelum bilas. Ia membantu melembapkan kulit kepala dan menyihatkan akar rambut secara semula jadi.

Bagi yang ada parut lama atau kesan regangan (stretch mark), penggunaan aloe vera secara konsisten dikatakan dapat membantu memudarkan kesan tersebut. Sifat penyembuhannya membantu memperbaharui sel kulit dan mempercepatkan pemulihan tisu.

Menariknya lagi, aloe vera juga sangat berkesan untuk luka kecil dan gigitan serangga. Sapuan gel lidah buaya mampu mengurangkan bengkak, gatal, dan mempercepatkan proses penyembuhan. Memang sesuai dijadikan “ubat semulajadi” di rumah.

Pendek kata, pokok aloe vera ni memang serba boleh. Nak cantik boleh, nak sihat pun boleh. Tak peliklah kalau makin ramai yang mula kembali kepada rawatan semula jadi macam ni. Jimat, selamat, dan berkesan. Itulah kelebihan yang ada pada aloe vera.

Kalau korang masih belum pernah try, inilah masanya. Tanam satu pokok kat rumah dan nikmati khasiatnya seisi keluarga.

Ye betul, walaupun penuaan adalah proses semula jadi yang tak dapat kita nak elak (moga kita semua diberi kesempatan merasa tua), namun ada sesetengah wanita yang nampak jauh lebih berusia daripada usia sebenar mereka. 

Ia bukan hanya tentang garis halus kat muka ataupun uban yang mula menampakkan dirinya. Kadang-kadang, keletihan jiwa, tekanan emosi dan gaya hidup yang tak seimbang lebih kuat “menarik” usia seseorang dari sekadar faktor genetik semata-mata.

Tahukah korang ada pakar kesihatan dan kajian psikologi mengatakan yang cara hidup, corak pemikiran dan beban harian memainkan peranan besar terhadap kadar penuaan seseorang wanita. 

Badan kita bukan sekadar simpan tenaga fizikal, ia jugak turut merekodkan stres, beban emosi dan rutin harian yang meletihkan. Bila semua tu  jadi non stop, sistem dalam badan mula ‘haus’ sebelum waktunya.

Kenapa sesetengah wanita cepat nampak tua: Inilah kajian dan realiti yang jarang dibincangkan.

Wanita yang memikul terlalu banyak 'tanggungjawab' tanpa ruang untuk diri sendiri mudah mengalami keletihan adrenal. Bila hormon stres seperti kortisol meningkat secara kronik, ia mempercepatkan proses kerosakan sel dalam tubuh. Kulit jadi kusam, tidur tak lena, rambut mudah gugur dan imuniti menurun. Ini semua boleh beri kesan pada wajah dan tenaga keseluruhan.

Selain itu, wanita yang hidup dalam tekanan emosi yang tak diurus, seperti rasa stress, kecewa atau menyimpan kemarahan terlalu lama, juga mudah menunjukkan tanda penuaan awal. 

Kajian menunjukkan bahawa emosi negatif yang dipendam memberi kesan pada keseimbangan hormon dan kesihatan organ dalaman. Hati dan sistem pencernaan adalah antara yang paling cepat terkesan dan ini juga akan tercermin pada wajah serta postur tubuh.

Wanita yang terlalu mengabaikan penjagaan diri dengan alasan “tak sempat” atau “semua untuk orang lain” juga tak terkecuali. Mereka selalu tidur lambat, makan tak menentu dan tak mendengar 'isyarat' tubuh sendiri. Akibatnya, proses pembaikan dan regenerasi sel tak berlaku dengan baik dan ini membuatkan tubuh cepat rosak walaupun usia masih muda.

Pola fikir juga memainkan peranan. Wanita yang sentiasa risau, overthinking atau terlalu 'keras' terhadap diri sendiri menghasilkan tekanan batin yang tinggi. Tanpa sokongan emosi atau ruang untuk melepaskan tekanan, tenaga tubuh menjadi ‘tumpul’ tak lagi fresh, ringan atau bercahaya.

Penuaan bukan sekadar apa yang dilihat di cermin. Ia adalah cerminan dari dalam. Bila seorang wanita diberi ruang untuk bernafas, menyayangi diri dan mendengar kehendak tubuh dan jiwanya, proses penuaan berlaku dengan lebih damai dan lembut. Ia bukan tentang anti-aging, tapi aging dengan sihat dengan wajah yang tenang, tubuh yang ringan dan jiwa yang tak lagi terbeban.

Begitulah. 

Pembedahan thyroidectomy adalah satu prosedur  yang melibatkan pembuangan sebahagian atau keseluruhan kelenjar tiroid iaitu organ kecil berbentuk kupu-kupu yang terletak di bahagian hadapan leher. 

Walaupun bersaiz kecil, tiroid memainkan peranan penting dalam mengawal kadar metabolisme badan melalui penghasilan hormon yang mengawal suhu badan, degupan jantung, tenaga dan keseimbangan hormon secara keseluruhan.

Keperluan untuk menjalani pembedahan ini timbul bila berlaku masalah pada tiroid yang tak dapat dikawal melalui rawatan biasa seperti ubat-ubatan atau rawatan radioaktif. 

Antara sebab utama seseorang disarankan untuk menjalani thyroidectomy termasuklah kewujudan kanser tiroid, goiter (pembesaran tiroid) yang menekan saluran pernafasan atau esofagus, nodul yang mencurigakan, serta hipertiroidisme yang tak respons terhadap rawatan lain.

Mengenali pembedahan Thyroidectomy: Apa yang perlu korang tahu.

Dalam sesetengah kes, keseluruhan kelenjar tiroid perlu dibuang dan ini dikenali sebagai total thyroidectomy. Namun, kalau hanya sebahagian kecil yang terlibat, seperti satu lobus sahaja, doktor mungkin hanya membuang sebahagian daripadanya dalam apa yang dipanggil lobectomy atau hemithyroidectomy. 

Jenis pembedahan yang akan dilakukan bergantung sepenuhnya kepada punca masalah, saiz dan lokasi ketumbuhan atau nodul serta tahap keseriusan keadaan pesakit.

Seperti mana-mana pembedahan lain, prosedur ini turut membawa beberapa risiko yang perlu difahami oleh pesakit. 

Antara komplikasi yang mungkin berlaku termasuk perubahan suara akibat kecederaan pada saraf yang mengawal peti suara, gangguan pada paras kalsium dalam darah sekiranya kelenjar paratiroid terjejas, serta risiko jangkitan atau pendarahan selepas pembedahan. 

Walaupun kebanyakan pesakit pulih dengan baik, penting untuk memahami bahawa kalau keseluruhan kelenjar tiroid dibuang, pesakit perlu mengambil ubat hormon pengganti (levothyroxine) seumur hidup bagi memastikan fungsi hormon dalam badan kekal seimbang.

Mengenali pembedahan Thyroidectomy: Apa yang perlu korang tahu.

Proses pemulihan selepas pembedahan biasanya mengambil masa beberapa minggu. Kebanyakan pesakit boleh kembali menjalani aktiviti harian ringan dalam masa satu hingga dua minggu. Walau bagaimanapun, rawatan susulan seperti pemeriksaan darah secara berkala dan pemantauan hormon akan jadi rutin baru yang penting, terutamanya bagi pesakit yang menjalani pembedahan disebabkan kanser tiroid.

Menjalani thyroidectomy bukanlah keputusan yang mudah. Oleh itu, adalah penting bagi pesakit untuk berbincang secara terbuka dengan doktor mereka. 

Dapatkan penjelasan terperinci tentang jenis pembedahan yang dicadangkan, risiko dan faedahnya, serta apa yang boleh dijangka selepas prosedur. Persediaan yang baik dari segi emosi, fizikal dan maklumat akan membantu pesakit menghadapi proses ini dengan lebih tenang dan yakin.

Pembedahan tiroid bukan sekadar prosedur perubatan, ia adalah langkah penting dalam perjalanan penyembuhan dan penjagaan kesihatan jangka panjang. Dengan sokongan pasukan perubatan yang berpengalaman dan pemahaman yang jelas tentang prosesnya, kebanyakan pesakit dapat meneruskan kehidupan dengan baik selepas pembedahan ini.

Moga bermanfaat. 
Older posts

Search Here

Disclamiers

SELAMAT DATANG KE BLOG NOTA CIKLA. Ini merupakan blog peribadi. Segala perkongsian dalam blog ini adalah pendapat peribadi penulis dan dari info yang telah dinyatakan sumbernya serta untuk rujukan pemilik blog pada masa hadapan. Artikel yang mengandungi fakta/info berkaitan medical adalah dari sumber yang boleh dipercayai dan telah disahkan kesahihannya. Namun, sila dapatkan nasihat pakar untuk lebih detail. Komen yang mempunyai pautan atau laman web yang bersifat keuntungan sebelah pihak (perniagaan) akan dipadamkan serta-merta termasuklah komen yang berbau negatif juga tak akan disiarkan. Sebarang pertanyaan dan kolaborasi sila email ke arinillalove82@gmail.com

Pageviews

Followers

Archive

Labels

beauty (141) bisnes (118) blog story (634) breastfeeding (6) cerita hiburan (124) cerpen (1) cinta dan rumahtangga (107) diy (2) gajet dan IT (20) health (346) idea kreatif (39) kata hikmah (9) parenthood (48) poem (12) pregnancy (8) wordless (17)
Facebook Twitter Instagram Pinterest Tumblr RSS

Created By SoraTemplates | Distributed By Gooyaabi Templates