'Santai Tapi Sampai'

29 September 2024

Apakah kunci bahagia dan tenang? Belajar maafkan diri sendiri.

Dalam hidup, salah satu pelajaran terpenting adalah belajar memaafkan diri sendiri. Mungkin kadang kadang kita terlalu 'keras' pada diri, membandingkan diri dengan orang lain atau menganggap diri kita tak cukup baik. 

Hakikatnya, tak ada manusia yang sempurna. Setiap orang ada kekurangan dan itu termasuk diri kita sendiri. Proses menerima kekurangan dan memaafkan diri adalah langkah pertama menuju kebahagiaan yang sebenar.

Sama seperti orang lain, kita tak akan pernah mencapai kesempurnaan sepenuhnya. Ada perkara yang kita usahakan dengan penuh gigih, tapi ia tetap tak menjadi milik kita. Ini mungkin kerana Allah tahu apa yang terbaik. Mungkin apa yang kita inginkan itu tak sesuai dengan kehidupan kita atau mungkin kita belum betul-betul bersedia untuk menerimanya. Allah lebih mengetahui dan kadang-kala, penundaan atau kegagalan itu sebenarnya adalah perlindungan dariNya.

Apakah kunci bahagia dan tenang? Belajar maafkan diri sendiri.

Walaupun kegagalan datang berkali-kali, menyerah kalah bukan pilihan. Dunia ini penuh dengan orang yang mungkin mengecewakan kita, tapi masih ada ramai yang baik dan ikhlas. Kita tak boleh membiarkan pengalaman buruk menghalang kita dari melihat kebaikan yang ada di sekeliling kita. Manusia yang ikhlas wujud di luar sana, yang mampu memberi rasa kasih dan sayang tanpa syarat. Jangan biarkan satu kegagalan atau satu orang merosakkan pandangan kita terhadap dunia.

Sebelum kita memberi cinta kepada orang lain, kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Kalau kita tak hargai dan sayang diri kita, macam mana kita boleh mengharapkan orang lain melakukannya? 

Menyintai diri sendiri bermaksud menerima kekurangan dan kelebihan diri, memaafkan setiap kesilapan dan memberi ruang untuk diri sendiri berkembang. Dengan ini, kita akan lebih bersedia untuk menerima kasih sayang daripada orang lain dan juga lebih yakin dalam memberi.

Apakah kunci bahagia dan tenang? Belajar maafkan diri sendiri.

Kita belajar bahawa tak semua perkara adalah untuk dimiliki atau dikawal. Terkadang, melepaskan sesuatu adalah keindahan sebenar sebab ia membebaskan kita dari keterikatan dan membawa kita lebih dekat kepada ketenangan.

So, belajar memaafkan diri sendiri dan menerima bahawa kita tak sempurna adalah proses yang memerlukan masa dan kesabaran. Semua orang akan melalui fasa sukar dalam hidup, tapi dengan ketabahan, kita akan menemukan hikmah di sebalik setiap ujian. 

Ingatlah, kegagalan bukanlah penamat dan menyerah kalah bukanlah pilihan. Belajarlah untuk mencintai diri sendiri, menghargai perjalanan hidup dan teruslah berusaha. Allah pasti akan mempermudahkan jalan bagi mereka yang tak putus asa. Wallahuallam.

No comments:

Post a Comment