Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah menjelangnya bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus." (Sahih Muslim No: 2308) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih.
Pengajaran :
1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan PenciptaNya.
Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.
2. Antara amalan kebaikan yang selalu dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah bersedekah dan bertadarus al-Quran. Setiap Muslim dituntut membaca al-Quran pada setiap hari, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia ini kerana dengan bertadabbur makna dan kandungan al-Quran akan meningkatkan keimanan dan kekayaan hati ke arah kebaikan.
3. Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan memperbanyakkan bersedekah, membaca, dan mentadabur al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan serta dihidangkan di dalamnya dengan pelbagai amal ibadah yang pahalanya digandakan.
4. Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
5. Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala.
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ
“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96)
6. Tadarus al-Quran juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.
Kredit : Perkongsian 1 Hari 1 Hadis.
No comments:
Post a Comment