Pernah tak kita terfikir bahawa setiap kali kita berbicara, kita sebenarnya mendedahkan sedikit sebanyak tentang diri kita? Bak kata pepatah, “lisan adalah cerminan hati.”
Ya, perkataan yang kita ucapkan mencerminkan apa yang ada dalam hati dan fikiran kita. Jom kita baca tentang bagaimana lisan kita menjadi cerminan hati dan kenapa penting untuk menjaga setiap perkataan yang keluar dari mulut kita.
1. Perkataan membentuk persepsi orang lain terhadap kita.
Bila kita berbicara, orang lain akan menilai kita berdasarkan apa yang kita katakan. Kata-kata yang kasar atau menyakitkan hati mungkin akan membuatkan orang lain menjauh, walaupun hati kita sebenarnya takde niat pun nak kata gitu.
Sebaliknya, kata-kata yang lembut, penuh hikmah dan sopan akan membuatkan orang lain berasa selesa. Perkataan adalah jendela kepada personaliti dan hati kita.
Jadi, berhati-hatilah dengan lisan kita sebab ia mencerminkan siapa kita sebenarnya.
2. Lidah lebih tajam daripada pedang.
Lisan mempunyai kekuatan yang luar biasa. Satu perkataan mampu memotivasikan seseorang, tapi satu perkataan juga mampu menjatuhkan semangat orang lain.
Sebagai contoh, memuji seseorang boleh memberi kesan positif yang mendalam, sementara perkataan yang sinis atau perlian atau kejian boleh melukakan hati dan membuat seseorang berasa rendah diri. Justeru, penting untuk kita memilih kata dengan berhati-hati.
Mudah sahaja. Sebelum bercakap, tanyakan diri, adakah perkataan ini baik? Adakah ia akan menyakiti orang lain? Jika jawapannya tak, lebih baik kita diam.
Lisan adalah cerminan hati. Kredit image to telegram @manhajulhaq |
3. Apa yang kita cakap, menunjukkan apa yang kita fikir.
Ada kajian psikologi kata, perkataan yang kita pilih dalam perbualan harian menggambarkan keadaan emosi dan mental kita. Kalau seseorang selalu bercakap tentang perkara negatif atau selalu merungut, ini mungkin tanda dia sedang mengalami tekanan atau ketidak puasan hati.
Sebaliknya, orang yang sering berkata-kata positif dan memberi dorongan biasanya adalah mereka yang mempunyai pandangan hidup yang optimistik. So, kalau kita mahu menjadi orang yang lebih positif, mulakan dengan mengawal cara kita bercakap.
4. Menjaga lisan menjaga hubungan.
Hubungan yang baik sama ada dengan rakan, keluarga atau pasangan, sebahagian besarnya dibina berdasarkan komunikasi yang baik. Kata-kata yang menyakitkan boleh memutuskan hubungan yang telah lama dibina, sementara kata-kata yang menyokong dan penuh kasih sayang boleh memperkukuh hubungan.
Tak hairanlah yang komunikasi yang baik adalah kunci kepada hubungan yang bahagia. So, mulakan dengan menjaga lisan kita.
5. Lisan kita membawa kesedaran diri.
Lisan kita memberi kita peluang untuk refleksi diri. Setelah kita bercakap, cuba renung balik apa yang kita telah ucapkan? Adakah ia membina atau meruntuhkan? Menjaga lisan bukan hanya untuk kepentingan orang lain, tapi juga untuk kesejahteraan diri sendiri. Dengan kata-kata yang baik dan positif, kita juga akan berasa lebih tenang, yakin dan harmoni dalam hidup.
Moga bermanfaat.
0 comments: