28/05/2026

Pukul sebab nak mengajar? Wajar ke?

Ada suami bila dah hilang sabar, ayat yang selalu keluar ialah, “Aku dah lama bersabar dengan perangai kau.” Seolah-olah pukulan itu wajar hanya sebab emosi dah terlalu penuh.

Tapi pernah tak suami duduk diam sekejap dan fikir, selama ini siapa sebenarnya yang lebih banyak memendam rasa?

Kadang-kadang seorang isteri bukan tak sakit hati. Bukan tak kecewa.bBukan tak penat melayan perangai suami yang panas baran, suka meninggikan suara, ego tak mahu mengaku salah, balik rumah muka masam, susah berbincang, kurang membantu atau mudah melepaskan marah pada orang rumah. 

Cuma ramai isteri memilih diam. Diam bukan sebab tak terluka. Diam sebab cuba menjaga rumah tangga. Diam sebab masih hormat suami. Diam sebab tak mahu anak-anak nampak ibu ayah bergaduh. Dan ada juga yang diam sebab terlalu penat untuk menjelaskan apa yang dia rasa.

Malangnya, bila seorang isteri mula bersuara selepas terlalu lama memendam, dia pula dilabel melawan, biadab atau buat suami hilang sabar. Hakikatnya, memukul bukan cara mendidik.bTak kira apa pun alasan, tangan yang sepatutnya melindungi bukan digunakan untuk menyakiti.

Seorang perempuan berkahwin bukan untuk jadi tempat suami melepaskan kemarahan. Dia tinggalkan keluarga, belajar hidup dengan orang baru, menyesuaikan diri dengan perangai suami, mengandung, melahirkan anak, urus rumah, simpan penat sendiri. Semua itu bukan perkara kecil ya. 

Pukul sebab nak mengajar? Wajar ke?

Bayangkan perempuan yang setiap hari tidur sebelah kita, masakkan makanan untuk kita, jaga anak-anak kita akhirnya menangis sebab tangan kita sendiri. Luka pada badan mungkin boleh hilang. Tapi luka dalam hati kadang-kadang bertahun tak sembuh.

Ada isteri yang masih mampu senyum depan orang walaupun dalam hati takut bila suami mula naik suara.

Ada yang setiap kali dengar bunyi tapak kaki suami balik rumah, dada terus berdebar sebab takut malam itu akan jadi medan marah lagi.

Dan lebih sedih, ada anak-anak yang membesar dengan trauma melihat ibu mereka dipukul depan mata.

Anak lelaki mungkin membesar dengan fikiran bahawa memukul isteri itu normal bila marah.

Anak perempuan pula mungkin membesar dengan kepercayaan bahawa disakiti pasangan adalah sesuatu yang perlu ditahan demi mempertahankan rumah tangga. 

Sedangkan kasih sayang tak sepatutnya membuat seseorang hidup dalam ketakutan.

Kalau benar dah terlalu lama bersabar, berbincanglah.
Kalau terlalu banyak salah faham, carilah jalan untuk berbicara.
Kalau emosi tak terkawal, belajarlah untuk diam sekejap sebelum marah meledak.

Seorang lelaki tak akan jadi lemah hanya kerana memilih untuk mengawal tangan dan kemarahan. Malah lelaki yang benar-benar kuat ialah lelaki yang mampu menahan marah ketika emosinya sedang memuncak. Rumah tangga bukan tempat mencari siapa paling berkuasa. Ia tempat dua manusia belajar memahami kekurangan masing-masing.

Dan buat para suami, cuba tanya diri sendiri dengan jujur. Kalau ibu atau adik perempuan kita dipukul suami atas alasan nak mengajar, sanggupkah kita melihatnya? Kalau hati kita sendiri tak sanggup melihat perempuan yang kita sayang disakiti, kenapa tangan itu begitu mudah jatuh pada isteri sendiri? 

Isteri bukan musuh. Dia pasangan hidup yang sepatutnya dipeluk ketika penat, didengar ketika sedih dan dilindungi ketika lemah. Kerana dalam rumah tangga, rasa hormat dan kelembutan selalu lebih kuat daripada pukulan dan kemarahan. Wallahualam.

27/05/2026

Jadi orang hebat tanpa hilang rendah diri.

Ada orang bila dah berjaya sikit, terus lupa diri. Cara bercakap berubah, cara pandang orang pun lain macam. Padahal dulu masa susah, semua orang dia cari. Tapi bila dah duduk tinggi sikit, mulalah rasa diri paling betul, paling hebat dan paling layak dihormati.

Sebab tu cikla suka sangat dengan ayat ni, 'Tinggi boleh, tapi jangan sampai ke langit. Rendah boleh, tapi jangan sampai dipijak.' Ayat dia pendek je, tapi maksud dia dalam.

Dalam hidup ni, memang kita digalakkan untuk jadi lebih baik. Nak berjaya, nak ada duit, nak ada ilmu, nak ada nama. Tak salah langsung. Malah bagus sebenarnya kalau kita ada impian besar. Tapi setinggi mana pun kita naik, jangan sampai lupa untuk berpijak di bumi yang nyata.

Kadang-kadang orang bukan benci kita sebab kita berjaya. Orang cuma penat dengan sikap kita yang berubah selepas berjaya. Setuju tak?

Jadi orang hebat tanpa hilang rendah diri.

Bila dah ada sedikit kelebihan, jangan pandang rendah dekat orang lain. Jangan bercakap macam semua orang tak setanding kita. Dunia ni kecil je sebenarnya. Hari ni kita di atas, esok lusa belum tentu lagi. Hidup ni berpusing. Orang yang kita tak pandang hari ni, mungkin satu hari nanti jadi orang yang paling banyak bantu kita.

Dalam masa yang sama, nak jadi baik pun kena ada batasnya. Ramai orang terlalu takut nak kecewakan orang lain sampai akhirnya diri sendiri dipijak. Semua benda dia okay je, tapi dalam masa yang sama semua benda dia pendam. 

Bila orang ambil kesempatan, dia diam sebab tak nak nampak jahat. Hakikatnya, rendah diri tak bermaksud kita kena biarkan orang pijak maruah, masa dan perasaan kita. Ada beza antara baik hati dengan terlalu mengalah.

Kadang-kadang kita kena belajar cakap 'tak'. Kena belajar letak harga diri di tempat yang betul. Hormat orang lain penting, tapi hormat diri sendiri pun sama penting. Kalau terlalu tinggi, orang susah nak dekat. Kalau terlalu rendah, orang senang nak pijak. 

So, berpada-padalah dalam segala hal. Biar orang hormat kita sebab sikap kita, bukan sebab kita menunjuk siapa diri kita.

Akhirnya, manusia ni bukan dinilai pada seberapa tinggi dia berdiri, tapi pada bagaimana dia melayan orang lain ketika dia berada di atas. Begitulah. 

26/05/2026

Aidiladha : Dalam pengorbanan ada keberkatan.

In syaa Allah, esok kita akan menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha. Perayaan ini merupakan antara hari kebesaran yang sangat istimewa buat umat Islam di seluruh dunia. 

Sambutan ini bukan sekadar tentang penyembelihan haiwan korban, malah membawa makna yang jauh lebih mendalam dalam kehidupan seorang Muslim. 

Di sebalik ibadah korban, tersimpan nilai keikhlasan, pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT yang perlu dihayati oleh setiap insan.

Sejarah ibadah korban berkait rapat dengan kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim menerima perintah daripada Allah SWT untuk mengorbankan anak kesayangannya sebagai tanda ketaatan yang mutlak. 

Walaupun perintah itu sangat berat, baginda tetap akur dan reda demi memenuhi perintah Allah. Begitu juga Nabi Ismail AS yang menerima ketentuan tersebut dengan penuh keimanan. 

Namun, sebelum pengorbanan itu berlaku, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas sebagai tanda rahmat dan kasih sayangNya kepada hamba yang taat.

Daripada kisah inilah, umat Islam diajar bahawa pengorbanan yang sebenar bukan hanya melibatkan harta atau haiwan semata-mata, tapi juga pengorbanan perasaan, masa dan kepentingan diri demi mendapatkan keredaan Allah SWT. 

Aidiladha mengingatkan manusia supaya sentiasa meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam setiap perkara.

Ibadah korban juga mendidik umat Islam tentang sifat ikhlas dan rasa syukur. Haiwan yang dikorbankan bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau berbangga, sebaliknya dilakukan dengan niat ibadah dan membantu golongan yang memerlukan. 

Aidiladha : Dalam pengorbanan ada keberkatan.

Daging korban diagihkan kepada keluarga, jiran tetangga serta golongan fakir miskin agar mereka turut merasai nikmat dan kegembiraan Aidiladha. 

Melalui amalan ini, hubungan sesama masyarakat menjadi lebih erat dan semangat saling membantu dapat dipupuk.

Selain itu, Aidiladha turut mengajar umat Islam tentang nilai kasih sayang dan kebersamaan. Ketika proses korban dilakukan, masyarakat biasanya bergotong-royong membantu antara satu sama lain. 

Suasana ini bukan sahaja menghidupkan semangat ukhwah, malah menjadi peluang untuk mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga dan jiran tetangga.

Dalam kehidupan hari ini, semangat pengorbanan sangat penting untuk diamalkan. Ada yang berkorban masa demi keluarga, berkorban tenaga demi mencari rezeki yang halal dan ada juga yang sanggup membantu orang lain walaupun dalam keadaan susah. 

Semua pengorbanan yang dilakukan dengan niat yang baik mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT.

Jadi, Aidiladha bukan hanya tentang menyembelih haiwan semata-mata, tapi merupakan simbol keimanan, keikhlasan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Aidiladha mengajar umat Islam supaya sentiasa bersyukur, saling membantu dan sanggup berkorban demi kebaikan bersama. 

Semoga semangat pengorbanan ini terus hidup dalam diri setiap Muslim, bukan sahaja ketika Aidiladha tapi dalam kehidupan seharian. Wallahualam. 

21/05/2026

Cemburu tak salah, tanda masih ada rasa sayang.

“Awak ni kuat cemburu sangatlah…”

Ayat tu mungkin nampak biasa. Tapi bagi seorang isteri, kadang-kadang ayat itulah yang paling menusuk hati. Sebab di sebalik cemburu seorang perempuan, sebenarnya ada rasa takut yang dia sendiri susah nak jelaskan.

Tak ada isteri yang berkahwin dengan niat nak jadi isteri yang suka mengongkong. Takde perempuan yang bangun pagi dan berharap dia jadi seorang yang penuh syak wasangka. Tapi bila hati terlalu sayang, bila seseorang terlalu penting dalam hidup dia, rasa cemburu itu datang sendiri tanpa dipaksa.

Seorang isteri yang cemburu bukan sebab dia tak percaya seratus peratus. Kadang-kadang dia cuma takut kehilangan. Takut berubahnya layanan. Takut hati suami makin jauh. Takut dirinya tak lagi dihargai seperti dulu.

Cemburu tak salah, tanda masih ada rasa sayang.

Lelaki mungkin nampak benda itu kecil. Sekadar komen pada perempuan lain. Sekadar terlalu mesra di tempat kerja. Sekadar sibuk dengan telefon sampai isteri bercakap pun tak dipandang. Tapi bagi hati seorang isteri, benda-benda kecil itulah yang perlahan-lahan melukakan.

Isteri ni pelik sedikit. Dia boleh bertahan dengan penat, dengan kurang tidur, dengan sakit badan urus rumah dan anak-anak. Tapi bila hati dia terasa tak dipedulikan, dia mula diam. Dan diam seorang isteri selalunya lebih bahaya daripada marahnya.

Kadang-kadang isteri cuma nak rasa dirinya masih penting. Masih dipilih. Masih disayangi walaupun usia makin bertambah, badan dah tak sama macam dulu, dan hidup dah penuh tanggungjawab.

Bila isteri bertanya “Awak tengah chat siapa?” mungkin dia bukan nak mengawal. Dia cuma perlukan rasa tenang. Bila dia terasa hati tengok suami terlalu ramah dengan perempuan lain, itu bukan bermaksud dia tak matang. Dia cuma takut dirinya dibandingkan tanpa dia sedar. 

Dan para suami, cuba letakkan diri sekejap di tempat seorang isteri. Bayangkan perempuan yang tinggalkan banyak benda dalam hidup dia selepas berkahwin. Masa, tenaga, badan, emosi, kadang-kadang kerjaya pun dia korbankan demi keluarga. Dalam diam, dia berharap satu saja. Hati suami tetap menjaga dirinya seperti awal dulu.

Cemburu seorang isteri selalunya lahir daripada kasih sayang yang terlalu dalam. Sebab itu dia ambil peduli. Sebab itu dia mudah terasa. Sebab dalam hati dia, suami itu dunia yang dia paling takut untuk kehilangan.

Bukan semua perempuan pandai meluah dengan lembut. Ada yang membebel. Ada yang marah. Ada yang sindir. Tapi kalau difahami betul-betul, semuanya datang daripada hati yang sedang meminta perhatian dan kasih sayang.

Kadang-kadang seorang isteri tak perlukan hadiah mahal pun. Cukup suami pandai menjaga batas dengan perempuan lain. Cukup suami tahu menghormati perasaan dia. Cukup suami masih memilih untuk membuatkan dia rasa selamat di sisi. Kerana bila hati isteri dijaga dengan baik, rumah itu akan terasa lebih tenang.

Dan wahai para suami, jangan tunggu sampai isteri berhenti cemburu. Kadang-kadang bila seorang perempuan sudah terlalu penat untuk ambil peduli, itu bukan bermaksud dia semakin matang tapi mungkin hatinya sudah mula menjauh sedikit demi sedikit.

20/05/2026

Lidah memang tak bertulang, tapi cukup kuat untuk mematahkan hati seseorang.

Kadang-kadang kita rasa apa yang keluar dari mulut cuma gurauan biasa atau luahan marah sekejap, tapi bagi orang yang mendengar, kata-kata itu boleh tersimpan lama dalam hati.
Ramai orang ingat luka fizikal saja yang sakit. 

Hakikatnya, luka disebabkan kata-kata juga boleh tinggalkan kesan yang mendalam. Ada orang nampak tenang di luar, tapi sebenarnya sedang cuba pulihkan hati yang terluka kerana hinaan, sindiran atau kata-kata kasar yang diterima.

Sebab itu, menjaga percakapan sangat penting dalam kehidupan seharian. Bila sedang marah, kita selalunya bercakap tanpa berfikir. Masa itu emosi menguasai diri dan apa saja boleh terkeluar dari mulut. 

Lidah memang tak bertulang, tapi cukup kuat untuk mematahkan hati seseorang.

Selepas keadaan reda, mungkin kita boleh minta maaf, tapi bukan semua luka hati mudah sembuh. Ada kata-kata yang terus bermain dalam fikiran seseorang walaupun sudah bertahun berlalu.

Dalam hubungan keluarga, persahabatan atau pasangan, komunikasi yang baik boleh mengeratkan hubungan. Sebaliknya, percakapan yang menyakitkan boleh menjauhkan hati. 

Kadang-kadang bukan sebab masalah besar pun, tetapi cara kita bercakap membuatkan orang rasa tidak dihargai.

Sebenarnya, bercakap dengan lembut bukan tanda lemah. Malah, orang yang mampu menjaga kata-kata ketika marah adalah orang yang kuat mengawal emosi. Tak salah untuk menegur atau meluahkan rasa tak puas hati, tapi pilihlah cara yang lebih baik supaya hati orang lain tak terluka.

Sebelum bercakap, cuba fikir sekejap. Kalau kita sendiri tak suka mendengar kata-kata itu, mungkin orang lain juga akan terasa sakit bila mendengarnya. 

Lidah memang tak bertulang, tapi kesannya mampu meninggalkan luka yang tak nampak di mata.

18/05/2026

Apa itu Hashimoto's thyroiditis?

Bila kita cerita pasal masalah tiroid, mesti ramai yang terus teringat hormon terlebih aktif atau berat badan turun mendadak. Tapi sebenarnya, ada satu lagi penyakit tiroid yang agak biasa berlaku terutama dalam kalangan wanita iaitu Hashimoto thyroiditis.

Nama dia mungkin kedengaran pelik kepada yang first time tau dan dengar pasal ni, tapi keadaan ini sebenarnya agak common.

Apa itu Hashimoto's thyroiditis?

Hashimoto thyroiditis tu apa sebenarnya?

Hashimoto ialah sejenis penyakit autoimun. Maksudnya, sistem imun badan yang sepatutnya melindungi kita tiba-tiba tersalah serang kelenjar tiroid sendiri. 

Bila benda ni jadi dalam jangka masa panjang, kelenjar tiroid boleh jadi lemah dan tak mampu hasilkan hormon yang cukup. Akhirnyaaaa, pesakit akan mengalami Hypothyroidism iaitu keadaan di mana hormon tiroid rendah.

Apa simptomnya ye?

Masalahnya, simptom Hashimoto ni kadang-kadang nampak macam benda biasa je. Sebab tu ramai tak sedar mereka sebenarnya ada masalah tiroid. Antara simptom yang biasa berlaku:

- Cepat penat walaupun tak buat kerja berat.
- Selalu mengantuk.
- Berat badan makin naik.
- Tak tahan sejuk.
- Kulit jadi kering.
- Rambut gugur lebih dari biasa.
- Mood down atau susah nak fokus. 
- Sembelit.
- Ada juga yang perasan leher mereka nampak  bengkak sikit sebab kelenjar tiroid membesar.

Tapi, kenapa berat badan boleh naik pulak?

Bila hormon tiroid rendah, metabolisme badan akan jadi lebih slow. Maksudnya, badan akan membakar tenaga dengan lebih perlahan berbanding biasa. Sebab itu sesetengah pesakit mudah naik berat badan walaupun dorang makan tak banyak sangat. Selain tu, badan jugak boleh rasa lesu dan kurang bertenaga untuk aktif bergerak.

Macam mana doktor kesan penyakit ni?

Biasanya doktor akan buat ujian darah (thyroid function test, TFT) untuk tengok bacaan hormon tiroid seperti  TSH dan FT4. Selain tu, doktor juga mungkin periksa antibody thyroid seperti anti-TPO untuk melihat sama ada wujud masalah autoimun.

Boleh dirawat ke?

Ya, boleh dirawat dan ramai pesakit dapat hidup seperti biasa bila hormon tiroid terkawal.

Kalau hormon tiroid dah rendah, doktor biasanya akan beri ubat hormon tiroid seperti Levothyroxine atau Thyroxine (sama je ubatnya tapi nama je lain) untuk membantu menggantikan hormon yang badan tak cukup hasilkan. 

Apa yang penting; 

- Makan ubat ikut arahan doktor. 
- Konsisten follow-up.
- Pantau bacaan hormon secara berkala.

Kesimpulannya, hashimoto thyroiditis bukan sekadar penat yang biasa korang alami tu atau berat korang naik sebab makan banyak. Ia adalah penyakit autoimun yang boleh menjejaskan fungsi tiroid secara slowly.

Kalau korang selalu rasa letih, berat badan naik tanpa sebab munsabah atau ada simptom berkaitan hormon tiroid, jangan abaikan tau. Pergi buat pemeriksaan awal sebab tindakan ni boleh membantu rawatan yang korang nak jalani kelak jadi lebih mudah dan terkawal.

Bila tak mampu kawal emosi...

Bila buka media sosial sekarang, makin kerap kita dengar berita pasal penderaan dan penganiayaan kanak-kanak di taska. Ada yang melibatkan baby masih kecil, ada yang sampai cedera, trauma dan lebih menyedihkan bila ada kes yang berakhir dengan kehilangan nyawa.

Kes terbaru yang viral melibatkan pengasuh menutup muka baby yang berusia 7 bulan pastu dihempapnya. Baby kecik wehh, gila betul la. Dah tentu budak tu lemas dihimpit macam tu. Dan apa yang menyedihkan, meninggal budak tu. Innalilllah. Sebagai ibu bapa atau manusia biasa pun, memang susah nak tahan rasa geram bila baca berita macam ni.

Bila tak mampu kawal emosi...

Budak kecik lagi-lagi baby ni bukan tahu nak mempertahankan diri pun. Dorang tak pandai cerita apa yang jadi sepanjang hari time mereka stay kat taska tu. Ada yang cuma menangis, takut atau tiba-tiba berubah perangai bila balik rumah. Tapi itulah, kadang-kadang tanda tu orang dewasa terlepas pandang sebab terlalu percaya atau terlalu sibuk sampai tak sedar sign yang anak tunjuk. 

Apa yang paling sedih bila ada pengasuh atau pihak taska yang sebenarnya tak bersedia pun nak jaga anak orang. Mungkin dorang nampak kerja jaga budak ni macam senang je, mudah je. Pastu, tengok pulak dia punya upah, wow lumayan, masyuk. 

Tapi hakikatnya, jaga anak kecik ni memang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi, emosi yang stabil dan hati yang betul-betul ikhlas. Kalau setakat datang kerja sebab duit semata-mata tapi hati takde, memang mudah hilang sabarlah. 

Budak kecik ni bukan robot ye. Dorang ni akan menangis, meragam, muntah, berak, tak tidur, berebut mainan dan macam-macam lagi peel dorang buat. Benda tu normal je untuk budak-budak seusia dorang. 

So, kalau si pengasuh tu cepat baran, tak tahan tekanan atau memang tak suka budak kecil, jangan paksa diri ambil tanggungjawab ni. Sebab silap haribulan, anak orang yang jadi mangsa. Nauzubillah. 

Kadang tu cikla tertanya jugak, macam manalah ada orang sanggup berkasar dengan baby? Baby tu dah la kecik sangat. Nak duduk sendiri pun tak reti lagi. Tapi, itulah realiti yang menakutkan sekarang ni. Ada yang cubit, hempas, tengking, himpit, tekup dan buat macam-macam hanya sebab tak boleh kawal emosi sendiri.

Sebab itu mak pak sekarang ni hidup dalam keadaan risau setiap kali nak tinggalkan anak di taska lagi-lagi dengar isu dera aniaya ni makin menjadi-jadi pulak. Tu yang kita tau, yang kita tak tau entah berapa banyak kes lagi. Hantar anak pagi-pagi pun hati tak tenang. Sepanjang kerja asyik fikir anak okay ke tak. Keluar pulak kes-kes viral macam ni, lagi bertambah takut.

Namun, dalam masa sama, kita juga tak boleh nak pukul rata semua taska atau pengasuh sama. Masih ramai sebenarnya pengasuh yang baik, penyayang dan ikhlas jaga anak macam anak sendiri. Ada yang sanggup bersabar, melayan kerenah budak dengan penuh kasih sayang dan benar-benar faham amanah besar yang mereka pegang.

Cuma sebagai mak pak, kita memang kena lebih berhati-hati. Jangan cepat nau nak percaya hanya sebab tempat tu nampak cantik atau murah. Sebenarnya hal yang paling penting ialah cara dorang melayan anak-anak kecik. Tu yang utama. 

Pastu, cuba perhati dan alert dengan perubahan emosi anak, kesan lebam, ketakutan melampau atau perubahan tingkah laku anak yang pelik. Naluri mak pak ni kadang-kadang betul tau. 

Bila tak mampu kawal emosi...

Korang yang bekerja dalam bidang penjagaan kanak-kanak, tolonglah faham satu benda. Bila mak pak hantar anak pada korang, dorang sebenarnya sedang meletakkan kepercayaan yang sangat besar. Anak itu dunia mereka, lagi-lagi kalau itulah satu-satunya anak dorang. So, janganlah khianati kepercayaan tu hanya sebab emosi sekejap atau tekanan kerja. 

Kalau rasa tak mampu, tak kuat mental, tak cukup sabar atau memang tak minat jaga budak, tak payah amik tanggugjawab ni. Itu jauh lebih baik daripada korang menerima tanggungjawab tapi akhirnya menyakitkan anak kecil yang langsung tak bersalah. 

Harap-harap makin ramai yang sedar yang menjaga anak kecik bukan sekadar kerja, tapi  amanah. Dan, amanah nilah bukan semua orang mampu pikul dengan betul dan ikhlas. Fikir-fikirkanlah. 

17/05/2026

Bila seseorang berubah, jangan ungkit kisah silamnya.

Ada orang mudah nak judge atau tengok seseorang itu pada masa lalu sampai terlupa bahawa manusia boleh berubah. Kita nampak kesilapan dia, kelemahan dia, perangai lama dia tapi kita tak nampak mungkin setiap malam yang dia lalui sendirian untuk cuba jadi lebih baik.

Hakikatnya, proses untuk berubah bukan sesuatu yang mudah ye. Lagi-lagi bila perbuatan tu dah jadi umpama darah daging. Ada yang terpaksa lawan rasa kecewa, lawan trauma, lawan diri sendiri, malah ada yang jatuh berkali-kali sebelum akhirnya mampu bangun semula. 

Jadi, bila seseorang mula berubah ke arah yang lebih baik, perkara paling kecil yang kita boleh buat adalah menghargai usaha itu, bukan mengungkit apa yang pernah berlaku dulu.

Kadang-kadang, ayat seperti “dulu bukan main lagi dia ni” atau “alah, aku tahu perangai lama dia macam mana” nampak biasa pada orang yang bercakap. Tapi pada orang yang sedang cuba bina hidup baru, ayat itu boleh jadi sangat menyakitkan. Ia seolah-olah menarik dia kembali ke tempat yang dia cuba tinggalkan.

Bila Seseorang Berubah, Jangan Ungkit Kisah Silamnya

Ye, semua orang ada masa silam. Tak ada manusia yang hidup sempurna tanpa pernah buat silap. Bezanya cuma ada orang simpan kesalahan mereka secara diam dan ada yang kesilapan mereka pernah dilihat ramai. Sebab itu, kita tak perlu jadi hakim kepada perjalanan hidup orang lain.

Kalau seseorang sedang cuba berubah, beri ruang untuk dia berkembang. Berilah sokongan walaupun kecil, doakan yang baik atau sekadar tak mengungkit kisah lama pun dah cukup besar nilainya. Kadang-kadang, orang yang pernah jatuh paling teruk itulah yang paling menghargai peluang untuk jadi lebih baik.

Dan mungkin suatu hari nanti, kita juga akan berada di tempat yang sama. Kita juga berharap orang lain melihat siapa diri kita hari ini, bukan terus menghukum berdasarkan siapa kita semalam.

Walaupun bukan mudah untuk bangkit, tapi lebih susah bila orang sekeliling tak pernah benarkan kita benar-benar berubah. Begitulah....

16/05/2026

Bukan semua hal perlu dikongsi.

Ada satu perkara yang makin biasa kebanyakan orang sekarang buat, iaitu semua benda rasa macam perlu dikongsi. Sedih sikit, update status. Marah sikit, tulis panjang-panjang. Kecewa dengan seseorang, terus luah dekat media sosial. 

Ye faham, kadang-kadang bukan sebab nakkan perhatian pun, cuma rasa lega bila dapat luahkan apa yang terbuku dalam hati tu  Memang betul, manusia perlukan tempat untuk meluah atau mengadu. 

Tapi dalam masa yang sama, bukan semua hal kita orang lain kena tau. 

Ada perkara yang lebih baik disimpan kemas dalam hati atau diluahkan hanya kepada orang yang betul-betul kita dipercayai. 

Bukan sebab kita kena pendam semuanya, tapi kerana tak semua orang mampu faham apa yang kita rasa. Ada yang mendengar untuk memahami dan ada juga yang mendengar sekadar nak tahu cerita je.

Bila kita terlalu terbuka berkongsi emosi, kadang-kadang kita sendiri akan penat di kemudian hari. Waktu marah, kita tulis ikut emosi. Waktu sakit hati, kita luah tanpa fikir panjang. 

Tapi bila hati dah tenang, kita mula rasa malu, menyesal atau berharap orang lupa apa yang pernah kita kongsikan. Tapi, malangnya, tak semua benda di internet mudah hilang atau dipadam. 

Bukan semua hal perlu dikongsi.
Bukan semua hal perlu dikongsi. Gambar sekadar hiasan, sumber Pinterest.

Ada juga masa, terlalu banyak berkongsi boleh membuka ruang untuk orang salah faham. Orang luar nampak satu bahagian cerita je, lalu pastu terus membuat andaian. Sedangkan mereka tak tahu keseluruhan situasi yang berlaku sebenarnya. 

At last, masalah yang asalnya kecil jadi lebih besar sebab terlalu ramai yang masuk campur.

Menjaga privasi bukan bermaksud kita sombong atau memendam rasa. Ia sebenarnya lebih kepada satu bentuk menjaga diri. Lagipun bukan semua luka kita perlu tunjuk semata-mata nak buktikan kita sedang sakit atau terluka. 

Kadang-kadang diam itu lebih menenangkan. Kadang-kadang memilih untuk tak bercerita adalah cara kita menjaga hati sendiri.

So, belajarlah berpada-pada dalam meluahkan perasaan sebab ia mengajar kita untuk lebih matang mengawal emosi. Tak semua rasa marah perlu dilepaskan time itu jugak. 

Tak semua kecewa perlu diumumkan kepada semua orang. Ada waktunya kita perlu beri ruang untuk diri sendiri untuk bertenang dulu sebelum bercakap atau bertindak.

Dalam hidup ni, ada perkara yang lebih indah bila disimpan rapi. Bahagia tak perlu terlalu ditayang dan sedih tak semestinya perlu diumumkan. Cukuplah orang yang benar-benar dekat tahu keadaan kita. 

Selebihnya, biarlah hati belajar kuat sedikit demi sedikit.

Sebab pada akhirnya, ketenangan itu datang bila kita tahu membezakan antara apa yang perlu diluahkan dan apa yang lebih baik disimpan.

15/05/2026

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Tahun ni Aaira dah 6 tahun. Dan tahun dia terbuka hati pulak nak join pertandingan mewakili PASTI dia. Cikla okey je, tak paksa pun dia join. Tapi sekurang-kurang bagi pengalaman kan. Kalah menang adat bertanding, tapi kenalah cuba sehabis baik. Jangan menyerah macam tu je. 

Pertandingan sebenar lambat lagi, bulan Jun nanti. Tapi, hari Rabu lepas dan hari ni, Jumaat dorang ada friendly match. Kiranya nak bagi dorang rasa macam mana perlawanan sebenar nanti. 

Kebetulan, hari ni buat kat area rumah, so cikla pergilah tengok kekonon nak bagi sokongan. Sempat jugaklah snap beberapa gambar, buat kenangan.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.
Friendly Match Netball PASTI, Aaira first time main.

Memasing nampak macam belum dapat rentak lagi, maklumlah kebanyakan mereka ada yang first time main, so nampak macam takut takut dengan bola. Pihak lawan pulak nampak dah expert, pantas je pas-pas bola.  Takpelah, praktis make prefect kan. Nanti bila dah buat banyak kali latihan boleh improve. 

Apa pun, hari kejadian nanti anak-anak buat yang terbaik ye. Mama tak tau boleh join ke tak, mama bagi sokongan dari jauh je la. Hihi. 

14/05/2026

Kenapa thyroxine kena amik secara konsisten setiap hari?

Thyroxine biasanya disarankan diambil pada waktu yang sama setiap hari. Sebab utamanya ialah untuk pastikan paras hormon tiroid dalam badan stabil.

Kenapa penting sangat konsisten?

- Penyerapan ubat berubah ikut masa & makanan
- Thyroxine paling baik diserap bila perut kosong. Kalau hari ini makan lepas ubat, esok sebelum makan, jumlah ubat yang masuk ke badan boleh jadi berbeza.
- Hormon tiroid perlu stabil. Ubat ini bertindak perlahan dan digunakan untuk kawal fungsi tiroid jangka panjang. Kalau diambil pada masa berbeza-beza boleh buat bacaan darah (TSH/T4) jadi tak konsisten.
- Kurangkan simptom turun naik hormon. Kalau penyerapan tak stabil, boleh rasa cepat penat, berdebar, mengantuk, susah fokus, berat badan berubah dan rasa sejuk/panas sangat. 

Kenapa thyroxine kena amik secara konsisten setiap hari?
Kenapa thyroxine kena amik secara konsisten setiap hari?

Cara biasa yang doktor sarankan diambil waktu pagi selepas bangun tidur dengan air kosong.
Tunggu sekitar 30–60 minit sebelum makan/minum lain. 

Atau ada juga orang ambil waktu malam, tapi kena konsisten dan biasanya 3–4 jam selepas makan terakhir.

Beberapa benda boleh ganggu penyerapan thyroxine kalau diambil terlalu dekat iaitu susu / pil kalsium, zat besi, antasid dan kopi.

Kalau terlupa sekali-sekala biasanya bukan emergency, tapi kalau boleh elakkan kerap terlupa. Apa yang paling penting, jangan gandakan dos tanpa arahan doktor.

06/05/2026

Pesakit tiroid tak boleh makan kubis?

Dalam sayur kubis ada bahan yang dipanggil goitrogen. Dia ni boleh ganggu fungsi tiroid kalau korang makan terlalu banyak, lagi-lagi kalau mentah. So, kalau korang jenis suka buat salad kubis hari-hari tu, haa… yang tu kena control sikit.

Kalau kubis tu dimasak dulu, kesan goitrogen tu dah banyak berkurang, so bolehlah korang makan, lagi-lagi kalau korang ni bff kubis forever.

Pesakit tiroid tak boleh makan kubis?
Pesakit tiroid tak boleh makan kubis?

Tapi, kalau korang memang alahan dengan kubis. Contohnya, lepas makan kubis jadi shaking ke, senak perut ke dan apa-apa kesan yang tak okey, elolah korang avoid ye.

Yang mana takde alahan macam di atas tu, makan je la, tapi berpada-pada dan selang-selikan dengan sayur lain.

Pendek kata, pesakit tiroid tak perlu pantang kubis sampai nampak kubis pun lari, cukup sekadar makan dengan cara yang betul dan bersederhana.

01/05/2026

Maaf boleh, lupa belum tentu. Kenapa ye?

Kadang-kadang kita sendiri pun pelik. Dah lama benda tu berlaku dan kita dah cuba maafkan pun tapi kenapa rasa sakit tu masih ada? Kenapa susah sangat nak move on? Betullah orang selalu cakap, kita boleh maafkan, tapi tak semestinya boleh lupakan.

Sebenarnya, perasaan tu normal ye. Bila seseorang lalui pengalaman yang betul-betul melukakan hati, otak kita akan rekod memori tu dengan lebih kuat. Lagi dalam luka yang kita rasa, lagi kuat ia melekat. 

Bukan sebab kita sengaja nak ingat tapi sebab emosi tu terlalu besar dan menyakitkan sampai susah nak padam begitu saja.

Bila kita maafkan seseorang, itu lebih kepada keputusan. Kita pilih untuk lepaskan dendam, untuk tak terus marah atau terus membenci. Tapi untuk melupakan, itu bukan sesuatu yang boleh kita paksa-paksa. Ia perlukan masa dan kadang-kadang ia takkan hilang sepenuhnya pun. Ia cuma jadi semakin kurang terasa.

Ada juga yang susah move on sebab masih mencari jawapan. Kenapa jadi macam ni? Apa salah aku? 

Soalan-soalan macam ni buat kita ulang balik cerita lama dalam kepala. Tanpa sedar, kita sendiri yang tarik diri kita ke masa silam walaupun badan kita dah lama bergerak ke depan.

Selain tu, ada juga faktor harapan. Bila kita pernah sayang, pernah percaya kita harap benda tu akan jadi lain. Bila realiti tak sama dengan apa yang kita bayangkan, rasa kecewa tu jadi berganda. Dan itulah yang buatkan kita susah lepaskan sepenuhnya.

Tapi sebenarnya, move on bukan bermaksud kita lupa segalanya. Move on lebih kepada kita belajar hidup dengan apa yang dah jadi. Kita terima yang itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup kita. Luka tu mungkin tak hilang, tapi ia tak lagi mengawal hidup kita.

Proses ni tak ada tempoh masa yang tetap. Ada orang cepat, ada orang perlahan. Yang penting, jangan paksa diri. Beri ruang untuk diri rasa, untuk sembuh. Kadang-kadang, bukan kita yang tak kuat cuma hati kita perlukan lebih masa untuk pulih.

Jadi, maafkanlah kalau mampu. Bukan untuk orang lain semata-mata, tapi untuk ketenangan diri sendiri. Dan kalau masih belum boleh lupa, tak apa. Itu bukan satu kelemahan. Itu cuma tanda yang apa kita rasa dulu, benar-benar bermakna.