30/04/2026

Kenapa lelaki susah minta maaf?

Selamat pagi korang. Pagi ni cikla nak share benda yang 'berat' sikit. Bila bercakap tentang hubungan, sama ada cinta, keluarga atau kawan, satu perkara yang sering jadi isu ialah permohonan maaf. Ramai orang perasan, lelaki kadang-kadang nampak susah nak ucap maaf walaupun jelas dorang bersalah. Tapi kenapa jadi camtu? Ke sebab ego semata-mata atau ada faktor lain yang kita tak tau?

Sebenarnya, jawapannya bukanlah black and white. Ada beberapa sebab psikologi dan cara lelaki dibesarkan yang memainkan peranan besar. Dari kecil lagi, ramai lelaki diajar untuk jadi kuat, jangan tunjuk emosi dan jangan nampak lemah. 

Dalam budaya masyarakat kita, menangis atau mengaku salah kadang-kadang dianggap sebagai tanda kelemahan bagi lelaki. Jadi bila dorang dewasa, perkara ini terbawa-bawa. Minta maaf bukan sekadar sebut perkataan, tapi bagi sesetengah lelaki, ia rasa seperti mengaku kalah atau hilang maruah.

Selain itu, lelaki dan wanita secara umum memang berbeza dari segi cara berkomunikasi. Lelaki cenderung untuk fokus pada penyelesaian masalah, bukan ekspresi emosi. Jadi bila berlaku konflik, dorang mungkin lebih fikir macam mana nak betulkan keadaan daripada macam mana nak luahkan perasaan. 

Sebab itu ada lelaki yang terus buat sesuatu untuk memperbaiki keadaan, tapi tak ucap maaf secara jelas. Dalam kepala mereka, tindakan itu sudah cukup sebagai tanda penyesalan.

Kenapa lelaki susah minta maaf?

Faktor ego juga memang tak boleh dinafikan. Tapi ego ini sebenarnya bukan sekadar nak menang atau betul sepanjang masa. Kadang-kadang ia datang dari rasa takut. Takut dipandang rendah, takut pasangan akan gunakan kesalahan itu di masa depan atau takut kehilangan kawalan dalam hubungan. Jadinya, mereka pilih untuk diam atau mengelak daripada minta maaf.

Ada juga lelaki yang memang tak biasa diajar cara minta maaf dengan betul. Bunyi macam pelik kan, tapi hakikatnya kemahiran komunikasi emosi bukan sesuatu yang semua orang belajar secara automatik. Kalau dari kecil dorang tak pernah nampak contoh yang sihat, dorang mungkin tak tahu macam mana nak ungkapkan penyesalan tanpa rasa awkward atau tertekan.

Namun begitu, bukan semua lelaki susah minta maaf ya. Ada je yang boleh mengaku salah dengan matang. Bezanya selalunya terletak pada tahap kesedaran diri dan pengalaman hidup. Lelaki yang lebih matang emosi biasanya lebih faham bahawa minta maaf bukan tanda lemah, tapi tanda tanggungjawab. 

Dalam hubungan pula, penting untuk faham cara pasangan kita berfikir. Kalau pasangan jenis yang susah minta maaf dengan kata-kata, cuba perhatikan tindakan dia. Adakah dia cuba memperbaiki keadaan? Adakah dia berubah selepas itu? Kadang-kadang maaf dorang ni datang dalam bentuk perbuatan, bukan ucapan.

Lastly, kesimpulannya komunikasi dua hala sangat penting. Daripada terus label lelaki sebagai ego atau keras kepala, lebih baik wujudkan ruang yang selamat untuk mereka bercakap. Bila seseorang rasa selamat dan tak dihakimi, lebih mudah untuk dia buka hati dan mengaku kesilapan.

So, lelaki susah minta maaf bukan semata-mata sebab ego, tapi gabungan cara dorang dibesarkan, cara berfikir dan tahap kematangan emosi. Faham perkara ini boleh bantu kita bina hubungan yang lebih sihat dan saling memahami.

Moga bermanfaat. 

25/04/2026

Tiramisu Mocha, senang je nak buat rupanya.

Siapa suka makan desserts camni apa kata korang try buat sendiri. Tengok bahannya takdelah susah sangat nak cari. Ni kalau beli satu slice dah berapa rm kan. Buat sendiri saru famili boleh makan, siap boleh sedekah jiran sebelah lagi. 

Resepi Tiramisu Mocha.

Tiramisu Mocha, senang je nak buat rupanya.
Tiramisu Mocha, senang je nak buat rupanya. 

Bahan-bahan:

250g cream cheese.
250g whipped cream.
150g gula.
Coffee layer cake (boleh ganti dengan biskut yang dicelup dengan air nescafe).
1/2 paket nescafe or mocha 3 in 1 (untuk hiasan atas kek).

Cara membuat:

1. Potong dan susun coffee layer cake dalam loyang (1st layer).
2. Kemudian, pukul cream cheese, whipped cream dan gula dengan hand mixer sampai jadi berkrim.
3. Tuang campuran tadi diatas lapisan cake yang pertama.
4. Susun selapis lagi coffee layer cake diatas campuran tadi (2nd layer).
5. Tuang campuran lagi di atas lapisan cake yang kedua.
6. Ulanglah sampai habis.
7. Taburkan 1/4 atau 1/2 paket nescafe 3in1 di atas kek.
8. Simpan dalam peti sejuk sehingga semalaman.
Selamat mencuba.
Kredit resepi dan gambar : Empunya Resepi

Bell’s Palsy, info yang korang patut tahu.

Pernah tak korang tiba-tiba rasa muka jadi senget sebelah? Nak senyum pun tak jadi, mata susah nak tutup, uisshh kalau kena memang boleh panik dibuatnya. Kalau korang nak tau, inilah salah satu punca keadaan yang kita panggil Bell’s palsy. Jom baca sebagai ilmu. 

Bell’s palsy ni adalah keadaan di mana saraf muka (facial nerve) tiba-tiba jadi lemah atau lumpuh, biasanya dia jadi hanya pada sebelah muka. Dia jugak boleh jadi secara mendadak, contohnya korang bangun tidur (pagi) je dah rasa lain macam.

Bell’s Palsy, info yang korang patut tahu.
Bell’s Palsy, info yang korang patut tahu.  Kredit photo Cleveland Clinic.

Apa sebenarnya Bell’s palsy ni?

Ringkasnya, Bell’s palsy ni berlaku bila saraf yang kawal pergerakan otot muka alami keradangan atau tekanan. Punca sebenar belum 100% pasti, tapi dia sering dikaitkan dengan jangkitan virus seperti herpes simplex (virus yang sama menyebabkan ulser mulut).

Apakah tanda-tanda Bell’s palsy?

Antara simptom yang korang boleh perasan:

  • Muka jadi senget sebelah.
  • Susah nak senyum atau angkat kening.
  • Mata tak boleh tutup rapat.
  • Air liur meleleh tanpa sedar.
  • Rasa kebas atau lemah di muka.
  • Sensitif pada bunyi di sebelah terjejas.
  • Kadang-kadang hilang deria rasa.

Simptom ni biasanya datang secara tiba-tiba dan boleh jadi makin teruk dalam masa 48 jam.

Bell’s palsy boleh sembuh ke?

Good news, ya. Kebanyakan kes boleh sembuh sepenuhnya. Lebih kurang:

  • 70–80% pesakit pulih tanpa komplikasi serius.
  • Ada yang sembuh dalam beberapa minggu.
  • Ada juga yang ambil masa beberapa bulan.

Lagi cepat dapat rawatan, lagi tinggi peluang untuk sembuh sepenuhnya.

Apa rawatan Bell’s palsy?

Rawatan biasanya fokus untuk kurangkan keradangan dan bantu saraf pulih:

1. Ubat steroid - Doktor akan beri ubat seperti prednisolone untuk kurangkan bengkak pada saraf.

2. Ubat antiviral (jika perlu). - Kalau disyaki berpunca dari virus, doktor mungkin tambah ubat antiviral.

3. Penjagaan mata. -  Ini sangat penting sebab mata susah tutup, samada guna eye drop dan pakai eye patch waktu tidur.

4. Fisioterapi muka. - Senaman muka boleh bantu otot kembali aktif dan elak kekejangan jangka panjang.

5. Urutan (massage). - Urutan lembut pada muka juga boleh bantu aliran darah dan pemulihan.

Bila perlu jumpa doktor?

Jangan tunggu lama. Terus jumpa doktor kalau, muka tiba-tiba senget, susah bercakap atau menelan dan tak boleh tutup mata. Apa yang merisaukan, simptom ni juga boleh menyerupai strok dan strok adalah emergency case.

Kesimpulannya, Bell’s palsy memang nampak macam scary bila terjadi, tapi korang janganlah risau ye. Dengan rawatan awal dan penjagaan yang betul, peluang untuk sembuh sangat tinggi. Apa yang penting, jangan abaikan simptom awal. Lagi cepat bertindak, lagi cepat pulih. In Syaa Allah. 

24/04/2026

Sambal terung simple tapi sedap.

Cikla kalau dapat sambal terung macam ni memang tak pandang lauk lain. Silap-silap punah diet, makan bertambah-tambah. 
Nak masak dia pun senang je, jom follow resepi sis Leha Yusuf ni. 

Bahan-bahan;

3 biji terung panjang.
3 sudu cili kisar.
1/2 biji bawang besar (hiris).
3 biji bawang putih (hiris).
Garam.
Gula.

Cara masak;

1. Goreng terung dengan sedikit minyak. Ketepikan.
2. Masukkan bawang putih dan bawang besar, kemudian tumis sampai naik bau.
3. Masuk kan cili kisar, masak sampai pecah minyak.
4. Perasakan dengan garam dan gula.
5. Masukkan terung dan kacau rata.
6. Siap. 

Sambal terung simple tapi sedap.
Sambal terung simple tapi sedap. 

Kalau korang makan belacan, boleh tambah sikit masa menumis tu dengan ikan bilis yang digoreng dulu. Makan panas-panas, memang mantapp wehh. Kenyang menyandor. 

Selamat mencuba. 

Kredit resepi dan gambar : LehaYusuf. 

21/04/2026

Cara elak curang dalam hubungan?

Sejak dulu lagi, isu kecurangan bukan lagi benda asing. Kadang bukan semata-mata sebab tak sayang, tapi mungkin sebab lalai, kurang komunikasi atau emosi yang tak dijaga. Hakikatnya, hubungan yang kuat bukan datang dari cinta semata-mata, tapi dari usaha dua-dua pihak untuk jaga dan hargai apa yang ada.

Kalau korang nak hubungan kekal harmoni dan jauh dari kecurangan, semuanya bermula dengan kesedaran diri. Kita kena jujur dengan perasaan sendiri. Bila rasa bosan, tertekan atau kurang perhatian, jangan terus cari orang lain sebagai pelarian. Itu sebenarnya tanda ada benda yang perlu diperbaiki dalam hubungan, bukan alasan untuk cari pengganti.

Cara elak curang dalam hubungan?



Komunikasi pula memang kunci paling penting. Ramai pasangan nampak okay di luar, tapi dalam diam simpan banyak benda. Lama-lama jadi jurang. Bila dah tak bercakap dari hati ke hati, mulalah cari tempat lain untuk meluah. Sebab tu penting untuk biasakan diri berbual, walaupun benda kecil. Kadang benda remeh tu lah yang sebenarnya menguatkan hubungan.

Selain tu, kena pandai jaga batas dengan orang luar. Tak salah berkawan, tapi bila dah ada pasangan, cara kita bergaul tu kena ada limit. Kalau dah mula simpan rahsia, mesej sorok-sorok atau rasa lebih selesa dengan orang lain berbanding pasangan sendiri, itu sebenarnya red flag yang ramai buat-buat tak nampak.

Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk terus hidupkan hubungan tu. Ramai ingat bila dah lama bersama, semuanya akan jalan sendiri. Hakikatnya, hubungan perlukan effort. Surprise kecil, perhatian simple atau luangkan masa berkualiti. Benda ni nampak biasa tapi impaknya besar. Bila pasangan rasa dihargai, peluang untuk cari orang lain tu memang jauh berkurang.

Akhir sekali, penting untuk ada prinsip dan pegangan diri. Setia bukan bergantung pada situasi, tapi pada nilai yang kita pegang. Kalau dari awal kita dah tanam dalam diri bahawa kecurangan bukan pilihan, in sya Allah kita akan lebih kuat untuk elak walau apa pun dugaan yang datang.

Hubungan yang sihat bukan yang tak pernah diuji, tapi yang mampu bertahan walaupun diuji. Jadi kalau korang betul-betul hargai seseorang, jagalah hubungan tu sebaik mungkin. Sebab sekali kepercayaan hilang, sangat susah untuk bina balik. Begitulah. 

18/04/2026

Jamuan raya tabika Aaira meriah.

Throwback kisah semalam. Walaupun lambat meraikan raya di tabika dak Aaira, tapi masih meriah. Biar lambat asal selamat kata orang. Iyelah, semalam dah 28 Syawal kan, kejap je masa berlalu dah nak habis dah raya. Jamuan camni yang paling happy, budak-budaklah. Pakai baju cantik, dapat makan makanan sedap-sedap. Main dengan kawan-kawan. So, kita simpanlah segala kenangan kat sini. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Tengah queue stanby untuk pertandingan baju beragam raya. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Kat rumah praktis elok je lenggang lenggok. Bila depan juri auto jadi robot pulak jalannya. Alahailah anak. Haha. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Kanak-kanak ceria macam-macam ragam. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Apalah si Aaira tu nak kata tu....

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
"Ishhh, lambatnya..." Agaknya itulah dia cakap dalam hati tu.. hihi. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Nervous pulak aihh.... 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Bff kepochi kat tabika. Tengoklah si Aaira tu, buat memek muka menda tu....

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Ambil hadiah. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Dapat duit raya, alhamdullillah. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Antara parents yang datang bagi support. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Bergambar dengan cikgu, pengerusi tabika merangkap ayah Aaira dan kawan-kawan. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Bergambar kenangan. 

Jamuan raya tabika Aaira meriah.
Anak bongsu mama. 

Tahun ni last Aaira di alam tabika. Tahun depan dah masuk darjah satu pulak. Cikla nak create moments indah untuk dia sebagai kenangan dia dah besar nanti. 

14/04/2026

Jangan pandang rendah pada OKU.

Ada orang tanpa dia sedar, dia cepat sangat menilai seseorang hanya melalui apa yang dia nampak di mata. Bila nampak orang kurang upaya (OKU), ada yang terus rasa simpati berlebihan, ada juga yang tanpa sedar pandang rendah pada mereka. 

Hakikatnya, kedua-dua reaksi ni sebenarnya datang dari satu perkara yang sama, iaitu kita tak betul-betul mengenali siapakah mereka sebenarnya.

OKU bukan sekadar label. Mereka adalah manusia biasa yang ada impian, usaha dan semangat yang kadang-kadang jauh lebih kuat daripada kita yang cukup sifat ni. Apa yang membezakan cuma cara mereka jalani kehidupan. 

Dan percaya atau tak, ramai antara mereka yang hidup lebih berdikari, lebih kental malah dan lebih positif berbanding kita.

Bayangkan hidup dengan cabaran yang orang lain tak perlu hadap setiap hari. Perkara yang bagi kita nampak mudah, bagi mereka mungkin perlukan usaha dua kali ganda. Tapi mereka tetap bangun, tetap cuba dan tetap tak mengalah. Itu bukan sesuatu yang kecil ye, itulah luar biasa.

Masalahnya, ada manusia dalam masyarakat kita masih ada mempunyai mindset di takuk lama. Orang macam ni selalu nampak kekurangan dulu sebelum nampak kelebihan. Dia cepat rasa kesian tapi jarang benar-benar bagi peluang. Sedangkan apa yang OKU perlukan bukan simpati semata-mata, tapi kepercayaan dan ruang untuk buktikan kemampuan.

OKU bukan sekadar label. Mereka adalah manusia biasa yang ada impian, usaha dan semangat yang kadang-kadang jauh lebih kuat daripada kita yang cukup sifat ni.

Kalau kita ubah cara pandang sikit je, kita akan mula nampak sesuatu yang berbeza. Kita akan nampak keberanian dalam diri mereka. Kita akan nampak usaha yang konsisten walaupun penuh cabaran. Kita akan nampak bahawa mereka juga mampu berjaya, malah kadang-kadang lebih hebat.

Namun, apa yang paling penting adalah rasa hormat. Hormat tu simple tapi besar maknanya. Layan mereka macam manusia biasa, bukan macam berbeza. Tak perlu terlalu kasihan, tak perlu juga menjauh. 

Cukup sekadar jadi manusia yang faham dan menghargai. Sebab dalam dunia ni, setiap orang sedang berjuang dengan cara masing-masing. Bezanya cuma ada yang nampak, ada yang tak.

Jadi lepas ni, bila korang jumpa OKU, cuba buang dulu segala persepsi. Tengok mereka sebagai individu, bukan kekurangan mereka. Mana tahu, dari situ korang sendiri akan belajar sesuatu yang selama ni kita terlepas pandang iaitu erti sebenar kekuatan.

Moga bermanfaat. 

12/04/2026

Pasangan curang, perlukah diberi peluang kedua atau terus move on?

Bila kita bercerita tentang kecurangan, bagi cikla benda ni bukan sekadar isu hubungan. Ia adalah tentang sebuah kepercayaan yang runtuh. Satu kesilapan yang mampu mengubah segalanya. Tapi persoalannya, bila pasangan curang, wajarkah kita beri peluang kedua? Cikla yakin setiap orang pasti ada pendapat masing-masing kan? 

Ada orang kata, sekali curang, tetap curang. Tapi ada juga yang percaya manusia boleh berubah, terutama bila dia benar-benar menyesal. Namun, dalam situasi macam ni, tak ada jawapan hitam putih. Semuanya bergantung pada situasi, hati dan kekuatan diri korang sendiri.

Kecurangan bukan sekadar fizikal. Kadang-kadang emosi pun boleh curang. Bila pasangan mula berkongsi rasa dengan orang lain, mencari perhatian di luar, itu pun dah cukup melukakan. So, bila benda ni berlaku, sakit dia memang lain macam. Rasa dikhianati, hilang percaya, malah ada yang mula persoalkan diri sendiri, aku tak cukup baik ke?

Pasangan curang, perlukah diberi peluang kedua atau terus move on?

Kalaulah korang berada dalam situasi macam ni, benda pertama yang korang perlu buat bukanlah terus buat keputusan terburu-buru. Ambil masa. Tenangkan hati. Fahamkan apa sebenarnya yang berlaku. Adakah pasangan betul-betul menyesal atau sekadar takut kehilangan? Adakah dia sanggup usaha untuk baiki hubungan atau cuma bagi alasan demi alasan?

Memberi peluang kedua bukan tanda lemah tapi ia perlukan keberanian yang sangat besar. Korang kena kuat untuk hadap kemungkinan luka yang sama berulang. Dalam masa yang sama, pasangan juga kena betul-betul buktikan perubahan, bukan sekadar janji kosong.

Tapi jujur cakap, bukan semua hubungan layak untuk peluang kedua. Kalau kecurangan berlaku berulang kali, kalau pasangan tak tunjuk usaha berubah atau kalau korang sendiri dah terlalu penat untuk percaya semula, rasanya tak salah untuk pilih diri sendiri. Kadang-kadang melepaskan itu lebih menyelamatkan daripada bertahan.

Apa yang penting, jangan buat keputusan semata-mata sebab takut sunyi atau takut kehilangan. Hubungan yang sihat bukan tentang bertahan walau disakiti, tapi tentang saling menjaga dan menghargai. Sama ada nak beri peluang atau tak, itu hak korang. Dengar kata hati, bukan tekanan orang sekeliling. Sebab korang yang akan jalani hubungan tu, bukan orang lain.

Kadang-kadang peluang kedua boleh jadi permulaan baru yang lebih matang. Tapi kadang-kadang juga, ia hanya mengulangi cerita lama dengan luka yang sama. Jadi, korang sanggup ambil risiko tu atau pilih untuk sayangi diri sendiri dulu? Fikirkanlah....

10/04/2026

Jangan biar stress kuasai hidup kita.

Selamat malam korang. Dalam hidup ini, stress memang tak boleh dielakkan. Bagi cikla tu lumrah. Kerja bertimbun, masalah kewangan, masalah dengan pasangan atau hal keluarga, semuanya boleh jadi punca. Tapi yang penting, macam mana korang urus stress tu supaya tak sampai tahap emosi korang roboh dan korang rasa down.

Jangan biar stress kuasai hidup kita.

Pertama sekali, korang kena faham yang stress bukanlah musuh. Ia sebenarnya signal dari badan yang kata korang sedang tertekan atau perlukan rehat. 

Masalahnya bukan pada stress tu sendiri, tapi bila korang biarkan ia berlarutan tanpa kawalan. Kalau stress dibiarkan, ia boleh jadi lebih serius. Emosi jadi tak stabil, cepat marah, mudah sedih dan hilang semangat.

Kadang-kadang korang tak sedar pun yang korang dah terlalu stress. Antara tanda-tandanya:

1. Cepat terasa walaupun benda kecil.
2. Susah nak fokus. 
3. Rasa kosong atau hilang minat. 
4. Mudah letih walaupun tak buat kerja berat. 
5. Tidur tak lena.

Kalau korang ada tanda-tanda ni, itu maknanya badan dan emosi korang dah mula minta perhatian.

Ada ke cara nak kawal stress ni? Sebenarnya,  tak perlu cara yang complicated pun. Kadang-kadang benda kecil pun dah cukup membantu, antaranya:

1. Ambil masa untuk diri sendiri. - Rehat kejap, buat benda yang korang suka. Tengok movie, dengar lagu atau sekadar baring tanpa fikir apa-apa.

2. Luahkan pada orang yang dipercayai. - Jangan pendam semua. Walaupun bukan semua cerita korang kena share, tapi adakalanya ia perlu demi emosi korang. Share lah berpada-pada (yang korang rasa perlu). Cerita pada kawan atau ahli keluarga, at least boleh ringankan beban.

3. Jaga rutin harian. - Tidur cukup, makan teratur dan cubalah aktif walaupun sikit. Badan yang sihat bantu emosi jadi lebih stabil.

4. Belajar kata tak/no. -  Tak semua benda korang kena buat. Kadang-kadang korang stress sebab terlalu nak jaga semua orang sampai lupa diri sendiri.

Apa yang korang mungkin tak tau, ramai orang tunggu sampai dah terlalu penat baru nak jaga diri. Hakikatnya, penjagaan emosi kena dibuat dari awal. Sama macam badan, jangan tunggu sakit baru nak jaga kesihatan. 

Kalau rasa macam dah tak tertanggung, tak salah untuk dapatkan bantuan profesional. Itu bukan tanda lemah, tapi tanda korang sayang diri sendiri.

Ingat, hidup ni bukan perlumbaan siapa paling kuat tahan stress. Cikla dan kita semua manusia biasa. Tak apa kalau penat, tak apa kalau slow sikit, apa yang penting jangan sampai korang hilang diri sendiri. 

Stress itu biasa, tapi korang yang tentukan sama ada nak biarkan ia kawal hidup korang atau korang yang kawal dia. Begitulah ya. 

09/04/2026

Overthinking buat hidup tak bahagia? Betul ke?

Pernah tak rasa kepala macam tak boleh nak off? Satu perkara atau hal kecil boleh jadi besar dalam fikiran. Dari satu soalan, terus bercabang jadi seribu kemungkinan. Itulah overthinking. Overthinking ni adalah keadaan di mana kita terlalu banyak berfikir sampai emosi sendiri pun jadi penat. 

“Overthinking kills your happiness. Don’t do it.” Ayat ni memang nampak simple, tapi realitinya bukan mudah nak elak. Overthinking selalunya akan datang bila kita terlalu risau tentang perkara yang belum tentu jadi. 

Kita ulang-ulang situasi dalam kepala, bayangkan benda yang belum berlaku dan kadang-kadang cipta masalah yang sebenarnya tak wujud pun. Lama-lama, fikiran jadi berat, hati jadi sempit dan kebahagiaan pun makin menjauh.

Yang buat lagi tricky, overthinking ni kadang nampak macam kita tengah try jadi lebih baik. Kita fikir, kalau kita analisis semua benda, kita boleh elak kesilapan. Tapi sebenarnya, terlalu banyak berfikir boleh buat kita stuck. Kita jadi takut nak buat keputusan, takut salah, takut gagal. Akhirnya, bukan saja tak bergerak ke depan, tapi rasa stress pun makin bertambah.

Bila kita overthinking, kita juga cenderung jadi terlalu keras dengan diri sendiri. Kita ulang kesilapan lama, persoalkan tindakan sendiri dan bandingkan diri dengan orang lain. Semua tu perlahan-lahan makan kebahagiaan kita. Kita lupa untuk hargai apa yang ada sekarang sebab terlalu sibuk fikir what if.

Overthinking buat hidup tak bahagia? Betul ke?

Sebenarnya, hidup tak perlukan jawapan untuk semua benda. Ada perkara yang memang kita kena hadap satu langkah demi satu. Kadang-kadang, cukup sekadar buat yang terbaik pada masa sekarang, tanpa perlu fikir terlalu jauh. 

Bila kita belajar lepaskan sedikit kawalan, kita akan rasa lebih ringan. Bukan maksudnya kita tak boleh berfikir langsung, tapi kita kena tahu bila nak berhenti. Fikiran kita sepatutnya bantu kita, bukan menyeksa kita. 

Bila kita mula sedar kita overthinking, cuba tarik nafas, alihkan perhatian atau buat sesuatu yang boleh tenangkan diri. Perkara kecil macam berjalan, dengar muzik atau bercakap dengan kawan pun boleh bantu.

Akhirnya, kebahagiaan tu bukan datang dari kita fikir semua benda dengan sempurna. Ia datang bila kita belajar terima ketidaksempurnaan dan percaya pada diri sendiri. 

Jadi, bila fikiran mula jadi terlalu crowd, ingat satu benda ni, tak semua perkara perlu difikirkan sampai habis. Kadang-kadang, kita cuma perlu berhenti dan hidup. Begitulah. 

08/04/2026

Kenapa ada orang mudah curang?

Dah habis pun citer Khianat Yang Terpilih di slot Akasia TV3. Mesti ramai yang puas hati dengan ending drama, tapi cikla agak macam ada sambungan lagi. 

So, berbalik kepada apa yang cikla nak kongsi ni, kenapa ada orang mudah curang? Soalan ni nampak macam simple, tapi jawapan dia sebenarnya agak kompleks. 

Kenapa ada orang mudah curang?

Bila kita dengar atau tengok kisah kecurangan, selalunya kita mesti cepat salahkan orang yang curang tu sepenuhnya. Betul tak? Ye, memang betul curang itu adalah pilihan. Tapi hakikatnya ada banyak faktor yang mendorong seseorang ke arah itu.

Kadang-kadang, ia bukan semata-mata sebab dah tak sayang. Ada orang yang sebenarnya sayang je pada pasangan dia, tapi dalam masa yang sama dia rasa kosong. 

Kononnya, rasa tak cukup dihargai, tak difahami atau hubungan dah jadi terlalu rutin sampai hilang spark. Bila ada orang lain datang bagi perhatian lebih sikit je, haa terus rasa macam hidup balik. And, bermula dari situlah, benda kecil boleh jadi besar.

Namun, ada jugak jenis yang memang suka thrill. Bagi dorang, curang tu bukan sebab pasangan tak cukup baik, tapi sebab dorang suka rasa dikejar atau katanya mencari sesuatu yang baru. Perasaan teruja tu jadi macam addicted. Masalahnya kat sini, bila benda ni tak dikawal dan dibiarkan berlarutan, makanya ia akhirnya akan makan diri sendiri dan orang sekeliling.

Selain tu, faktor luka lama pun memainkan peranan. Orang yang pernah dikecewakan, dikhianati atau dibesarkan dalam persekitaran hubungan yang tak sihat, kadang-kadang rasa ni semua akan bawak rasa trauma tu ke dalam hubungan baru. Tanpa sedar, dorang dok ulang corak yang sama. Bukan sebab dorang nak, tapi sebab itu yang dorang dah biasa.

Ehh, jangan lupa pulak tentang peluang. Yes, peluang. Ada orang tak pernah curang bukan sebab dia tak nak, tapi sebab dia tak pernah ada peluang. Bila peluang tu datang pastu ditambah pulak dengan emosi yang tak stabil, apa lagi, terus goyahlah. Itu sebab, sangat penting boundaries dalam hubungan, bukan sekadar trust semata-mata.

Walau apa pun sebabnya, curang tetap satu pilihan. Kita semua ada pilihan untuk jaga hati orang yang kita sayang atau hancurkan kepercayaan tu. Tak kiralah betapa kuat pun godaan atau masalah yang ada, masih ada ruang untuk pilih jalan yang betul. 

Apa yang menariknya, bila kita faham kenapa orang curang, kita bukan nak halalkan atau bersetuju dengan perbuatan tu, tapi lebih kepada nak faham realiti hubungan manusia. Supaya kita lebih peka, lebih jaga hubungan dan lebih kenal diri sendiri. 

Sebab akhirnya, hubungan yang sihat bukan datang dari cinta semata-mata, tapi dari usaha, komunikasi dan kesedaran untuk setia walaupun ada seribu sebab untuk tak.

Korang rasa, curang ni lebih kepada pilihan atau keadaan? 

07/04/2026

Cara mengawal emosi supaya hidup lebih tenang dan positif.

Sebenarnya, mengawal emosi tu bukan bermaksud korang kena jadi batu yang macam takde perasaan. Tapi lebih kepada nak belajar cara bijak handle perasaan supaya hidup lebih tenang, produktif dan paling penting, korang sendiri rasa happy.

Cara  mengawal emosi supaya hidup lebih tenang dan positif.

Pertama sekali, ambil nafas dalam-dalam. Kedengarannya simple je kan, tapi percayalah cara ni power gila! Bila korang tarik nafas dalam, badan automatik akan jadi relax, fikiran pun jadi clear sikit. Umpama macam reset button lah untuk otak korang. Lepas tu, cuba faham kenapa korang rasa emosi tu datang. 

Kadang-kadang kita marah atau sedih sebab salah faham atau tekanan kecil je, tapi bila korang refleks balik, “Aha, ok, rupanya aku stress sebab kerja banyak,” korang boleh tangani dengan lebih matang.

Next, jangan lupa untuk luahkan perasaan. Tapi bukan dengan cara meletup-letup tau! Korang boleh tulis dalam journal ke, mesej kat kawan atau saudara rapat atau buat voice note sendiri. 

Percayalah, bila korang luah, emosi yang semacam nak meletup tu boleh jadi reda sikit. Dan yang paling best, kadang-kadang kita akan terkejut sendiri dengan insight yang muncul bila kita tulis atau bercakap.

Selain tu, cari cara untuk alihkan emosi negatif dengan aktiviti positif. Contoh, dengan berjogging, senaman ringan atau cuma jalan kaki dekat taman. Badan aktif  akan menjadikan minda lebih aktif sekaligus emosi jadi stabil. Tak percaya? Cuba sendiri. Kadang-kadang korang rasa nak marah je, lepas jogging 15 minit, rasa tu hilang macam tak pernah wujud!

Satu lagi benda yang power adalah belajar untuk pause sebelum bertindak. Bayangkan korang tengah panas hati, semua benda nak dicakap terus. Sekejap je, tarik nafas, kira sampai lima. Bila korang bagi ruang untuk diri sendiri, keputusan yang dibuat biasanya lebih waras dan tak menyakitkan sesiapa.

Dan jangan lupa, positive self-talk. Bunyi macam cheesy, tapi bila korang cakap sendiri benda positif macam, “Aku boleh handle ni, aku kuat,” otak korang akan mula ikut. Lama-lama, ia jadi habit yang kuat, dan emosi korang pun lebih stabil. Cubalah!

Akhir sekali, ambil masa untuk recharge. Kadang-kadang emosi kacau sebab korang penat, stres atau overthinking. Jadi, rest lah  sikit. Tengok filem kesukaan korang ke, dengar muzik favorite, paling tak pun tidur sekejap. Bila badan dan minda rehat, emosi pun lebih senang nak control.

Sebenarnya kawal emosi ni bukan benda susah pun. Cuma perlukan kesedaran, latihan dan sedikit sabar dengan diri sendiri. Bila korang mula praktik, life korang akan lebih smooth, hubungan dengan orang sekeliling pun jadi makin harmoni dan yang paling penting, korang sendiri rasa lebih happy dan tenang.

Moga bermanfaat. 

05/04/2026

Ceria luaran, tapi dalam diri...

Kadang-kadang kita nampak orang tu sihat je, nampak ceria je, nampak macam tak ada apa-apa masalah je.  Tapi apa yang mungkin kita tak tahu, dalam diam dia tengah berjuang dengan sesuatu yang kita tak nampak. 

Contohnya, macam pesakit tiroid. Luaran, mereka memang nampak ok, tapi hakikatnya badan mereka cepat penat, mood tak stabil dan nak buat benda kecil pun boleh rasa 'bercinta' sangat. Bayangkan, nak bangun pagi pun kadang rasa macam bawa batu besar. 

Ceria luaran, tapi dalam diri...

Sebab tu, kalau korang ada kawan ke,  pasangan ke atau ahli keluarga yang ada masalah tiroid, cuba faham keadaan mereka. 

Jangan cepat salah anggap bila mereka nampak murung, malas atau tak bersemangat. Kadang tu bukan pilihan, bukan itu yang mereka nak tapi penyakit yang mereka sedang 'fight' setiap hari.

04/04/2026

Tips hubungan sihat: Layan orang seadanya sahaja.

Pernah tak korang rasa penat sangat sebab dah bagi macam-macam, tapi respon yang dapat cuma 'krik krik' atau acuh tak acuh je? 

Kadang-kadang kita ni terlalu bersemangat nak menjaga hati orang lain sampai terlupa nak jaga hati sendiri. Kita berhabis tenaga dan masa malah emosi untuk orang yang sebenarnya cuma letak kita sebagai pilihan terakhir dalam hidup mereka. Sedih kan?


Pesanan daripada Dr Chaku ni sebenarnya sangat mendalam kalau kita fikirkan balik, iaitu tentang konsep timbal balik atau reciprocity dalam sebuah perhubungan. 

Dalam psikologi sosial, ada satu teori yang dipanggil Teori Pertukaran Sosial (Social Exchange Theory). Teori ini menjelaskan bahawa manusia secara semula jadi akan menilai kos dan ganjaran dalam setiap interaksi. 

Kalau kita asyik beri tanpa pernah terima, lama-kelamaan tangki emosi kita akan kering dan kita akan mula rasa terbeban atau burnout. Itulah sebabnya nasihat untuk melayan orang setakat mana mereka melayan kita bukan bermaksud kita nak jadi sombong atau pendendam, tapi ia adalah satu bentuk perlindungan diri supaya kita tak dieksploitasi oleh keadaan.
 
Bayangkan korang sentiasa jadi orang pertama yang bertanya khabar atau merancang perjumpaan, tapi pihak sebelah sana langsung tak menunjukkan usaha yang sama. 

Kalau keadaan ini berterusan, korang sebenarnya sedang membuang masa yang berharga. Bila kita mula belajar untuk 'cakap dengan mereka setakat mana mereka cakap dengan kita', kita sebenarnya sedang menetapkan sempadan diri atau boundaries yang sihat. 

Sempadan ini penting supaya kita tahu siapa yang betul-betul menghargai kehadiran kita dan siapa yang sekadar datang bila perlu je.
 
Melibatkan orang lain dalam hidup kita juga perlukan tapisan yang betul. Kita tak perlu jemput semua orang masuk ke dalam ruang privasi atau emosi kita kalau mereka sendiri tak nak melibatkan kita dalam hidup mereka. 

Dengan mengamalkan sikap ini, hidup korang akan terasa lebih tenang dan ringkas. Korang takkan lagi rasa kecewa yang melampau sebab harapan korang sudah diletakkan pada tahap yang betul, iaitu selari dengan usaha yang orang lain berikan.
 
Kesimpulannya, berhentilah menjadi terlalu 'baik' sampai memakan diri. Bak kata pepatah, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. 

Berikan perhatian, kasih sayang dan masa korang kepada mereka yang tahu menghargainya. Ingatlah bahawa kualiti hubungan itu jauh lebih penting daripada kuantiti kawan yang kita ada. 

Jadi, mulai hari ini, jom kita belajar untuk lebih berpada-pada dan fokuskan energi kita kepada mereka yang benar-benar sudi berjalan seiring dengan kita. Hati korang pun perlukan rehat daripada terus-terusan memberi tanpa dihargai. Moga bermanfaat. 

03/04/2026

Cara jemput rezeki suami?

Pernah tak kita tertanya-tanya, kenapa ada orang kerja biasa-biasa tapi rezekinya sentiasa cukup, malah makin bertambah? Manakala ada pula yang kerja siang malam sampai tak cukup tidur, tapi rasa macam "bocor" je duit tu.
 
Sebenarnya, dalam Islam dan logik kehidupan, rezeki bukan sekadar matematik 1+1=2. Ada "pintu-pintu" yang kalau kita buka, rezeki tu datang dari arah yang tak disangka-sangka. Khusus buat para suami, jom kita tengok macam mana nak jemput rezeki melimpah.
 
Cara jemput rezeki suami?

Bahagiakan isteri dan keluarga.
 
Ini kunci paling utama. Isteri yang bahagia akan sentiasa mendoakan suaminya dengan ikhlas. Secara logiknya, bila rumah tangga harmoni, suami pun lebih tenang dan fokus untuk buat kerja. Jangan kedekut dengan isteri. Anggaplah belanja untuk isteri itu sebagai pelaburan yang bakal dipulangkan Allah berkali ganda.
 
Jaga hubungan dengan ibu bapa.
 
Jangan sesekali abaikan mak ayah. Berkat doa mereka, urusan kerja yang susah boleh jadi senang. Walaupun kita sudah berkeluarga, pastikan ada peruntukan tetap atau sekadar panggilan telefon bertanya khabar buat mereka. Reda Allah itu ada pada redha kedua orang tua.
 
Jaga solat dan hubungan dengan Pencipta.
 
Kita kerja cari rezeki tapi jangan lupa pada Pemberi Rezeki. Solat lima waktu itu wajib, tapi cuba tambahkan dengan solat sunat Dhuha. Dhuha sering digelar "solat pembuka pintu rezeki". Bila kita jaga hubungan dengan Allah, Allah akan mudahkan urusan kita dengan manusia.
 
Ringan tangan memberi (sedekah).
 
Logik manusia, bila kita beri, duit kita kurang. Tapi logik rezeki, lagi banyak kita beri, lagi banyak yang datang. Sedekah tak semestinya dalam jumlah yang besar. RM1 sehari di tabung masjid atau belanja kawan makan pun dikira sedekah. Ia membersihkan harta dan menarik keberkatan.
 
Amanah dan jujur dalam kerja.
 
Rezeki yang melimpah mestilah datang dari sumber yang berkat. Elakkan ambil jalan pintas, curi tulang atau tidak amanah dalam tugasan. Bila majikan atau pelanggan percaya dengan hasil kerja kita, peluang untuk naik pangkat atau dapat projek baru akan sentiasa terbuka luas.
 
Sentiasa bersyukur (The power of gratitude).
 
"Lain syakartum la azidannakum" – Jika kamu bersyukur, Aku akan tambah lagi. Jangan fokus pada apa yang tak ada, tapi hargai apa yang dah ada di tangan. Rasa cukup itu akan buatkan hati tenang dan ketenangan itulah yang menarik lebih banyak peluang rezeki.

Cara jemput rezeki suami?

Kesimpulannya, rezeki bukan hanya dalam bentuk wang ringgit. Kesihatan yang baik, anak yang soleh dan hati yang tenang juga adalah rezeki yang besar. Jadi para suami, teruskan berusaha, jaga hubungan dengan manusia dan Allah, insyaAllah rezeki takkan salah alamat!

02/04/2026

Nasi ayam simple resepi Khairulaming.

Dulu-dulu ingat nak masak nasi ayam ni macam renyah dan rumit je. Kalau nak makan mesti suruh mak masak atau beli je kat kedai. Tapi, rupanya senang je nak buat nasi ayam ni. Guna bahan-bahan yang mudah nak dapat je.

So, hari ni sebab dah tak tau nak masak lauk apa cikla decide nak masak nasi ayam resepi Khairulaming ni. Hurmm, orang dah lama try, cikla baru terhegeh-hegeh nak cuba. Tapi takpe. Biar lambat, asal jadi. Ye tak? 

Kejap je masaknya. Sempatlah anak-anak cikla makan lepas dorang balik dari sekolah. Sebenarnya, ada beberapa bahan yang cikla takde. Cikla guna apa yang ada je tau. Jom tengok bahan-bahan dan cara nak masak.

Nasi ayam simple resepi Khairulaming.
Nasi ayam simple resepi Khairulaming.

Bahan A:

1 ekor ayam (dipotong ikut besar mana korang suka. Kalau cikla, cikla potong kecik. Maklumlah anak ramai, hihi).
Halia (besar ibu jari, potong kasar. Kalau cikla, cikla ketuk).
4 ulas bawang putih (diketuk).

Bahan B:

3 pot beras (ikutlah beras apa korang nak guna).
Daun pandan (cikla takde, cikla ganti serai yang diketuk)
1 ulas bawang merah/besar (dihiris).
Bunga lawang dan kulit kayu manis.
Mentega untuk menumis (cikla takde mentega so cikla tumis je guna minyak masak biasa).
Sedikit pewarna kuning (cikla guna serbuk kunyit je).
1 ketul kiub ayam.
Garam secukupnya. 
Air rebusan ayam.

Bahan C (Untuk sambal cili dan sambal kicap).

6 biji cili merah. 
4 biji cili padi.
Sedikit air.
Sedikit air perahan limau/lemon.
Kicap lemak manis.
Gula, garam dan perasa. 

Bahan hiasan:

Timun jepun.
Salad.
Tomato.

*Potong timun serong dan tomato.

Nasi ayam simple resepi Khairulaming.
Nasi ayam simple resepi Khairulaming.

Cara-caranya:

Untuk nasi.

1. Rebus ayam bersama halia dan bawang putih (bahan A) dan air secukupnya. Biarkan sampai mendidih dan ayam separuh masak.

2. Keluarkan ayam dari periuk dan asingkan. 

3. Cuci beras dan masukkan dalam periuk nasi. 

4. Dalam kuali yang sesuai, letak mentega dan tumis bawang merah, bunga lawang, kulit kayu manis dan daun pandan (atau serai) sehingga kekuningan. Masukkan kiub ayam. Kacau sekejap. Tutup api.

5. Dalam periuk nasi yang dah ada beras di dalamnya, masukkan bahan yang kita tumis tadi bersama air rebusan ayam. Airnya korang agak-agaklah sendiri ye ikut beras masing masing. Sesuaikan rasa dengan garam. Lepas semua dah okey, masak nasi macam biasa. 

Untuk ayam:

1. Ayam yang telah direbus tadi, perap dengan kicap manis, sos cili, sos tomato, sos tiram dan sedikit kicap pekat (nak bagi kaler cantik). 

2. Perasakan dengan garam, gula dan perasa. Biarkan sekejap. Lagi lama perap, lagi sedap. 

*Untuk sos tu korang boleh je guna sos Korea ke, sos bawang putih ke, apa pun boleh ikut tekak korang la. Cikla guna sos bawang putih lebih beli ayam gepuk Pak Gembus tempoh hari. 

3. Lepas perap, goreng ayam sampai masak. Dah masak angkatlah ayam tu dan toskan minyak. 

4. Bila ayam dah suam/sejuk, korang ketuk la ayam tu. Senang nak makan kan. Tak ketuk takpelah. Ikut korang lah. 

Untuk sambal cili.

1. Blend cili besar dan cili padi bersama sedikit air. Korang boleh jugak tambah cuka atau air perahan limau, gula garam secukupnya. 

2. Kalau korang suka makan sambal ni terus tanpa masak pun boleh. Tapi kena guna air masak la ye.

3. Tapi kalau korang nak masak sambal ni pun boleh jugak. Cikla masak sambal ni sampai jadi pekat sikit. Time ni boleh la korang sesuaikan balik rasa masin, manis, pedas, masam sambal ni.

Untuk kicap: 

1. Ambil sikit air rebusan ayam tu bersama halia dan bawang putihnya sekali, lepas tu masukkan kicap lemak manis dan sedikit kicap pekat (kalau ada). 

2. Kacau-kacau dan sesuaikan rasa. 

*Tapi cikla guna lebihan kicap yang cikla buat perap ayam tu. Tambah je dengan air rebusan ayam sikit. Siap. 

Untuk sup:

1. Lebihan air rebusan ayam, tambahkan air, sedikit tulang ayam (kaki dan leher) dan sup bunjut. Sesuaikan balik rasa dengan garam dan perasa. Masukkan sedikit serbuk lada hitam. 

2. Dah mendidih elok, masukkan hirisan daun sup dan daun bawang. Dah siap. 

Nasi ayam simple resepi Khairulaming.
Nasi ayam simple resepi Khairulaming.

Senang kan? Cikla rasa resepi ni paling mudah sekali. Semua orang boleh buat. Selamat mencuba. 

Kepada Khairulaming, cikla buat jadi. Hihi. 




01/04/2026

Tips elak bau badan dengan cara mudah dan semula jadi.

Alhamdullilah, kejap je dah masuk bulan April. Bulan lepas, mamg mood sharing ke laut dalam. Tapi start bulan ni, cikla akan cuba untuk update setiap hari. Okeylah, jom apa yang cikla nak share ni. Baca sampai habis tau. 

Pernah tak korang rasa kurang yakin bila berhadapan dengan orang ramai sebab risau bau badan? Situasi ni memang biasa je jadi, lagi-lagi dengan cuaca panas macam kat Malaysia ni. Peluh tu sebenarnya normal, tapi bila bercampur dengan bakteria, itulah yang boleh hasilkan bau yang kurang mengjengkelkan, huhu.

Tips elak bau badan dengan cara mudah dan semula jadi.

Sebenarnya, nak elak bau badan bukanlah sesuatu yang susah pun. Ia lebih kepada rutin harian dan cara kita jaga diri. Contohnya, mandi secara konsisten sangat penting, terutama selepas berpeluh. Gunakan sabun yang sesuai dan fokus pada bahagian yang mudah berbau macam ketiak, belakang badan dan kaki. Kadang-kadang kita mandi sekadar cukup syarat, tapi tak betul-betul bersih, itu pun boleh jadi punca bau tak best 

Selain tu, pemilihan pakaian pun pun mainkan peranan jugak. Baju yang diperbuat daripada material yang serap peluh seperti kapas lebih membantu berbanding fabrik sintetik. Bila peluh terperangkap dalam pakaian, bakteria lebih mudah membiak dan menyebabkan bau. Jadi, jangan ambil ringan bab ni ya. Dan paling penting, jangan ulang pakai baju tanpa basuh, walaupun nampak macam masih okay.

Pemakanan pun sebenarnya ada kaitan dengan bau badan. Makanan yang kuat bau seperti bawang putih atau makanan berempah boleh mempengaruhi bau peluh kita. Bukanlah kena elak terus, tapi kalau korang perasan badan mudah berbau lepas makan jenis makanan tertentu, mungkin boleh kurangkan sedikit. Minum air yang cukup pun penting supaya badan kita kekal segar dan membantu menyingkirkan toksin.

Kalau korang jenis aktif atau cepat berpeluh, penggunaan deodorant atau antiperspirant boleh bantu kawal bau. Pilih yang sesuai dengan kulit supaya tak menyebabkan iritasi. Ada juga yang suka guna alternatif semula jadi macam tawas atau baking soda dan itu pun boleh jadi pilihan kalau sesuai dengan badan masing-masing.

Apa yang ramai tak sedar, stres pun boleh jadi punca bau badan. Bila kita tertekan, peluh yang dihasilkan berbeza dan lebih mudah menyebabkan bau. Jadi, jaga emosi dan cuba cari cara untuk relax pun sebenarnya salah satu cara untuk kekal segar sepanjang hari.

Akhir sekali, keyakinan diri datang daripada cara kita jaga diri. Bila badan bersih dan segar, kita pun rasa lebih selesa untuk bergaul dengan orang lain. Jadi, mulakan dengan rutin kecil setiap hari, lama-lama ia akan jadi habit yang buat korang lebih yakin tanpa perlu risau lagi pasal bau badan.

Moga bermanfaat.