Apakah rawatan untuk penyakit hipertiroidisme?

By Cikla Shahril - October 07, 2017

Sebenarnya, penyakit tiroid ni boleh dibahagikan kepada banyak jenis. Selain dari hipotiroidisme, ada lagi satu penyakit tiroid yang biasa berlaku iaitu hipertiroidisme. Hipertiroidisme adalah keadaan di mana kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan. 

Secara umumnya rawatan yang diberikan kepada pesakit hipertiroidisme adalah untuk mengurangkan penghasilan hormon tiroid daripada kelenjar tiroid ataupun untuk mengurangkan kuantiti hormon tiroid yang terbebas dalam peredaran darah.

Apakah rawatan untuk penyakit hipertiroidisme?
Gambar diubahsuai dari carian Google.

Ada beberapa jenis rawatan yang akan diberikan atau dicadangkan oleh doktor kepada pesakit hipertiroidisma, iaitu;

Ubat carbimazole dan methimazole.

Untuk pengetahuan korang, ubat carbimazole adalah ubat anti-tiroid yang biasa digunakan dalam rawatan hipertiroidisme. Manakala, methimazole pula adalah bentuk aktif carbimazole di dalam badan. Carbimazole akan bertindak dengan mengurangkan penghasilan hormon tiroid oleh kelenjar tiroid. 

Biasanya, doktor akan memulakan pesakit dengan dos yang tinggi yang mana ia akan diambil 2 hingga 3 kali sehari dalam tempoh beberapa minggu sampailah hormon tiroid pesakit kembali ke paras normal. 

Selepas itu, pesakit akan meneruskan pengambilan carbimazole dengan dos pengekalan yang lebih rendah.

Akan tetapi, ada  beberapa kesan sampingan biasa yang dikaitkan dengan carbimazole termasuklah wujudnya ruam kulit, rasa loya, sakit kepala, perubahan sistem gastrousus dan sesetengah pesakit akan mengalami pengurangan sel darah putih. 

Tapi, korang jangan risau. Keadaan ini akan kembali normal selepas pengambilan ubat ini dihentikan. 

Bagi wanita mengandung, penggunaan ubat carbimazole perlu diberi lebih perhatian, lebih-lebih lagi kalau pesakit perlu mengambil dos yang tinggi. Kalau perlu, ubat perlu diberhentikan pada hujung kehamilan atas arahan doktor. 

Selain itu, carbimazole juga didapati boleh masuk ke dalam kelenjar susu. So, penggunaan carbimazole oleh ibu yang menyusukan anak juga perlu lebih berhati-hati.

Ubat propylthiouracil (PTU).

Ubat PTU ini pulak bertindak dengan cara yang sama seperti carbimazole, tapi dengan kesan tambahan kepada hormon tiroid yang terdapat di bahagian periferi badan. 

Walau bagaimanapun, disebabkan ubat ini turut memberi kesan sampingan kepada fungsi hati, penggunaan nya perlu dihadkan untuk pesakit yang tidak boleh mengambil carbimazole atau iodin radioaktif sahaja, termasuklah pesakit yang mengandung trimester pertama. 

Ubat PTU ini perlu ditukar kepada carbimazole selepas kandungan masuk trimester kedua dan ketiga. Kesan sampingan PTU adalah hampir sama dengan carbimazole.

Iodin radioaktif (Iodine - 131).

Iodin radioaktif ini mengandungi iodide, prekursor untuk penghasilan hormon tiroid. Apabila ia diserap masuk ke dalam kelenjar, iodide akan mengeluarkan sinaran beta dan akan menyebabkan sel tiroid yang menghasilkan hormon akan musnah. 

Akan tetapi, cara rawatan iodin radioaktif ni adalah tak sesuai digunakan untuk pesakit berusia kurang 30 tahun, atau pesakit yang pernah menggunakan ubat anti-tiroid sebelum ini.

Ubat perencat reseptor beta adrenergik (beta blocker).

Ubat kumpulan ini tidak memberi kesan kepada paras hormon tiroid. Ia hanya membantu dalam mengurangkan simptom hipertirodisme seperti memperlahankan degupan jantung, mengurangkan getaran dan rasa gelisah pesakit dengan merencat reseptor beta adrenergik. 

Contoh ubat jenis ini yang banyak digunakan ialah propranolol.

Sumber Facebook page KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA. 

  • Share:

You Might Also Like

1 Comments

  1. New Giveaway lets start! Jom join :)
    https://intansaffyna.blogspot.my/2017/10/giveaway-besar-besaran-by-intan-saffyna.html

    ReplyDelete